SEORANG lelaki berang dipercayai selepas wanita yang dibayar RM2,500 untuk mencari jodoh untuknya telah gagal, sebelum memukulnya dalam sebuah lif dalam kejadian di Jalan 2 Chan Sow Lin, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.

Suspek yang merupakan penjawat awam berjumpa mangsa yang sedang bekerja di pejabat di Jalan 2 Chan Sow Lin kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, suspek kemudian membawa mangsa masuk ke dalam lif untuk turun ke bawah dan ketika itu lelaki tersebut memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kepala.

“Mangsa mengalami pendarahan di kepala dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular video dalam media sosial memaparkan seorang wanita dipukul seorang individu dalam sebuah lif.

Idzam memberitahu, pihaknya sudah mengenal pasti individu terbabit dan akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here