Category: Jenayah

  • Bekas menteri DAP tegur Sivakumar dalam isu pegawainya terlibat rasuah

    Bekas menteri DAP tegur Sivakumar dalam isu pegawainya terlibat rasuah

    SEORANG bekas menteri DAP, M. Kulasegaran menegur Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berhubung isu melibatkan beberapa pegawainya yang terlibat dalam kes rasuah yang sedang disiasat.

    Kulasegaran yang pernah menjawat jawatan sama di kementerian tersebut dipetik berkata dalam portal The Vibes, Sivakumar sepatutnya mengetahui punca salah seorang pembantunya dilantik itu dipecat 15 tahun lalu.

    Untuk rekod, Kulasegaran berkata, Sivakumar sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Politiknya dan mengetahui punca pegawai itu dipecat.

    “Jadi, apabila saya melihatnya (Sivakumar selepas pelantikan), saya bertanya kepadanya: ‘Mengapa kamu mengambil pegawai yang telah kami singkirkan? Proses membuat keputusan (dalam pelantikan) adalah salah.’

    “Dia (Sivakumar) mengambil risiko yang besar. Saya terpaksa melepaskan orang itu kerana dia terlibat dalam banyak kesalahan, dan ia adalah keputusan serta-merta pada 2008,” katanya dipetik dalam wawancara portal itu, lapor Agenda Daily.

    Kulasegaran juga mengulas mengenai pilihan pegawai Sivakumar, mengatakan bahawa keputusannya mengenai perkara ini ‘mungkin bukan yang terbaik dibuat menteri’.

    Beliau dilaporkan berkata, bahawa Sivakumar mungkin terlepas pandang latar belakang individu tersebut sebelum melantik mereka.

    Bagaimanapun, beliau berkata, kesilapan dibuat Sivakumar itu sepatutnya dijadikan alasan untuk beliau dipecat daripada jawatan menteri.

    Perkara itu masih ‘pramatang’ kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengesahkan sebarang salah laku bagi pihak Ahli Parlimen Batu Gajah, Kulasegaran dilaporkan berkata.

    “Masih awal untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana kini siasatan pada SPRM.

    “(SPRM) perlu (akhirnya) keluar (dengan dapatan daripada siasatan) kerana ia adalah perkara yang sangat mendesak yang melibatkan pendapat dan sentimen awam dan mengganggu keseluruhan rentak kementerian,” katanya lagi.

    Awal bulan ini, Sivakumar dilaporkan mengesahkan pemecatan lima pegawai daripada kementeriannya berikutan siasatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa baru-baru ini berhubung kuota pengambilan pekerja asing.

    Pada 13 April, seorang pembantu kepada Sivakumar ditangkap bersama-sama ejen pengambilan oleh SPRM yang didakwa atas kuota untuk merekrut pekerja asing dan sehari kemudian seorang lagi suspek yang dikenali sebagai setiausaha sulit wanita Sivakumar turut ditahan oleh agensi anti rasuah itu.

  • Pemilik syarikat rugi RM320,000 diperdaya tawaran rokok, arak murah

    Pemilik syarikat rugi RM320,000 diperdaya tawaran rokok, arak murah

    PEMILIK syarikat swasta di Miri mengalami kerugian RM320,000 akibat ditipu dengan tawaran barangan murah daripada individu yang mengaku kenalan lama.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, lelaki berusia 49 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berhubung kes itu pada kelmarin.

    Beliau berkata, mangsa memaklumkan dia berhubung melalui telefon dan aplikasi WhatsApp dengan individu yang mengaku kenalan lamanya.

    “Individu terbabit menawarkan jualan barangan seperti arak, bir dan rokok yang hampir tamat tempoh dengan harga yang murah.

    “Mangsa kemudiannya membuat pembayaran ke dalam satu akaun bank secara perbankan dalam talian sebanyak 16 kali transaksi berjumlah RM320,000 ke akaun pihak ketiga bermula pada 19 sehingga 23 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Alexson berkata, mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas barang yang sepatutnya dihantar ke Miri tidak tiba dan telefon pengadu juga disekat oleh suspek.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Guru wanita rugi RM187,000 diperdaya ‘polis’ Bukit Aman

    Guru wanita rugi RM187,000 diperdaya ‘polis’ Bukit Aman

    SEORANG guru wanita di Kuantan, baru-baru ini, kerugian RM187,000 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 36 tahun dihubungi suspek pada 10 Mei lalu.

    “Suspek memaklumkan bahawa mangsa terbabit sindiket pemerdagangan manusia serta ada waran tangkap terhadapnya.

    “Mangsa yang agak panik kemudiannya menuruti arahan suspek dengan memindahkan semua wang simpanan yang dimilikinya kepada satu akaun bank.

    “Pada masa sama, mangsa turut memberikan maklumat penting termasuk kata pengguna dan kata laluan untuk urus niaga dalam talian kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 bagi tujuan siasatan seperti yang diarahkan oleh suspek.

    Katanya, menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Sorok syabu dalam muatan kelapa tua

    Sorok syabu dalam muatan kelapa tua

    ‘RAJA’ kartel dadah Indonesia yang diberkas polis Johor, baru-baru ini dipercayai menggunakan taktik menyembunyikan beratus kilogram dadah syabu di dalam muatan kelapa tua ketika diseludup ke negara itu.

    Suspek bernama Marno yang mempunyai rangkaian hubungan dengan sindiket dadah di Malaysia berjaya ditahan Polis Johor hasil kerjasama dengan pihak polis negara jiran itu.

    Sumber berkata, Marno dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah syabu atau methamphetamine seberat 411 kilogram (kg) yang dirampas Polis Riau, Indonesia, baru-baru ini.

    “Suspek yang amat dikehendaki oleh pihak polis negara jiran dikesan melakukan jenayah itu dengan turut dibantu anak dan isterinya.

    “Bagaimanapun rangkaian sindiket dadah itu dapat dilumpuhkan sepenuhnya selepas anak dan isterinya ditahan di Dumai, Indonesia sebaik pulang ‘bercuti’ dari Malaysia,” katanya, memetik laporan apor Harian Metro, hari ini.

    Difahamkan Polis daerah Riau sebelum ini berjaya merampas 290kg methamphetamine semasa operasi awal tahun ini termasuk 121kg methamphetamine pada 2022 yang dikaitkan dengan kumpulan pengedaran dadah Marno.

    “Kesemua dadah syabu yang boleh menjangkau harga melebih RM50 juta itu adalah dadah berasal dari Malaysia yang diseludup Marno untuk pasaran besar Indonesia.

    “Selain itu rampasan dadah syabu seberat 276kg di Pekanbaru, Indonesia pada Januari lalu turut dikaitkan dengan sindiket dadah Marno.

    “Penahanan itu adalah bukti kerjasama erat antara polis Malaysia dan polis Riau dalam menangani sindiket pengedaran dadah rentas sempadan,” katanya.

    Pada 7 Mei lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan kejayaan polis Johor melumpuhkan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan lima lelaki termasuk seorang warga asing selain merampas dadah seberat 82.47kg bernilai lebih RM3.4 juta.

    Ini susulan serbuan di sebuah rumah yang dijadikan rumah inap di Pontian, Johor.

    Sebanyak 62 paket syabu seberat 64.89kg bernilai RM2,141,667 serta 58,626 biji pil ekstasi seberat 17.58 kilogram dirampas.

    Lima lelaki yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 53 tahun iaitu empat daripadanya warga tempatan dan seorang warga asing dengan dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

  • Polis tahan penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kes pecah amanah RM24.8 juta

    Polis tahan penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kes pecah amanah RM24.8 juta

    POLIS  menahan seorang penjawat awam sebuah agensi kerajaan di sini, bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan kerugian RM24.8 juta.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya menerima laporan mengenainya semalam, sebelum suspek lelaki berusia 37 tahun yang merupakan penolong akauntan itu ditahan pada 12.21 tengah malam tadi.

    “Pihak polis telah menerima satu laporan berkait dengan salah laku oleh petugas agensi kerajaan itu berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan agensi berkenaan melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian salah laku ini dilakukan oleh suspek sejak tahun 2016 hingga Mei 2023.

    “Suspek membuat 194 transaksi wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik agensi kerajaan berkenaan ke akaun syarikat milik suspek, yang secara keseluruhan transaksi berjumlah RM24,800,189.73,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhamad Zaki berkata direman hingga 2 Jun untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

  • Polis selamatkan lima kanak-kanak warga asing jadi buruh paksa

    Polis selamatkan lima kanak-kanak warga asing jadi buruh paksa

     

    JABATAN  Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyelamatkan lima kanak-kanak warga asing yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam serbuan sebuah kilang memproses barang terpakai di Teluk Panglima Garang, Selangor.

    BERITA HARIAN melaporkan serbuan dijalankan pada jam 5.45 petang semalam, hasil risikan oleh Bahagian AntiPemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), sejak beberapa bulan lalu bersama Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja.

    Sumber berkata, serbuan sama juga membawa kepada penangkapan 80 warganegara asing yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas permit kerja.

    “Operasi ini mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada indikator ‘National Guideline on Human Trafficking Indicators’.

    “Lima kanak-kanak warga asing yang diselamatkan mengikut Akta ATIPSOM 2007 terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan warga Kemboja dan Myanmar serta dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar dan seorang kanak-kanak lelaki warga Pakistan, semua berusia antara 16 hingga 17 tahun,” katanya semalam.

    Beliau berkata, kanak-kanak terbabit bekerja meleraikan barang elektronik terpakai sejak tiga bulan lalu dan dibayar sebanyak RM70 hingga RM80 sehari.

    “Semua kanak-kanak ini ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan, manakala semua warga asing yang ditahan terdiri daripada 29 warga Kemboja, enam warga Bangladesh, 27 warga Myanmar, 13 warga Pakistan dan lima warga China direman selama 14 hari.

    “Polis turut menangkap seorang lelaki warga tempatan yang disyaki pengurus kilang berkenaan dan seorang lelaki warga China disyaki berperanan sebagai penolong pengurus.

    “Kedua-dua mereka direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Akta ATIPSOM dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

  • Tikaman di dada punca kematian wanita hamil dibunuh,dibakar

    Tikaman di dada punca kematian wanita hamil dibunuh,dibakar

    PUNCA kematian pelayan restoran yang dibunuh kejam sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, Isnin lepas adalah dari luka tikaman pada bahagian dada.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias berkata punca itu dikenal pasti setelah selesai proses bedah siasat terhadap mangsa.

    Jelasnya lagi, jenazah mangsa juga telah dituntut oleh keluarga dan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Kampung Nelayan, Sungai Besar.

    Dalam pada itu, Agus Salim berkata keperluan tambahan tempoh reman akan dilakukan pihak sekiranya memerlukan siasatan lanjutan berhubung kes tersebut.

    Katanya, mahkamah sebelum ini meluluskan reman pertama selama enam hari bermula Rabu hingga 29 Mei depan.

    Media sebelum ini melaporkan, perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan luar nikah dipercayai punca seorang wanita 21 tahun dibunuh kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di sini Isnin lepas.

    Agus Salim berkata suspek berusia 20 tahun yang merupakan bekas penuntut kolej itu telah membawa mangsa menaiki kereta seterusnya bertengkar dengan wanita tersebut sebelum dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam, 22 Mei lalu.

  • Duta Indonesia terkejut, pampasan RM1,500 selesai kes amah dirantai

    Duta Indonesia terkejut, pampasan RM1,500 selesai kes amah dirantai

    DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono terkejut selepas kes seorang amah atau tukang cuci dirantai dan dikurung dalam bilik air selesai selepas mangsa dibayar RM1,500 pemilik rumah.

    Hermono yang bertemu pegawai penyiasat polis di IPD Kajang pagi ini, berkata perkara itu tidak boleh diterimanya kerana pemilik rumah bukan hanya mengambil tindakan sendiri tanpa mengikut undang-undang, malah dia juga melakukan jenayah.

    “Saya terkejut polis membenarkan kes ini diselesaikan dengan cara seperti ini. Saya menggesa mereka (polis) mengambil tindakan mengikut undang-undang Malaysia tetapi mereka berkata wanita itu gagal ditemui.

    “Ini adalah tugas mereka untuk mencarinya kerana dia sudah tentu ketakutan,” katanya kepada FMT.

    Katanya, surat penyelesaian kedua-dua pihak tidak menjadi satu bentuk amaran kepada majikan daripada membuli atau mendera pekerja domestik.

    Hermono.

    Hermono berkata, polis mendedahkan pemilik rumah merantai pinggang dan kaki mangsa sebelum dikurung dalam bilik air.

    Lelaki itu katanya, turut mengunci pintu rumah sebelum pergi ke rumah mangsa bagi mencari barangan kemas yang dipercayai dicuri wanita itu.

    “Tindakan ini tidak masuk akal kerana pemilik rumah sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada polis untuk tindakan lanjut. Malah, lelaki itu juga tidak menemui barangan berharga yang dikatakan hilang di rumah mangsa.

    “Wanita itu adalah tukang cuci separuh masa yang bekerja di apartmen lelaki itu sebulan sekali,” katanya.

    Hermono berkata, dalam kejadian pada 21 Mei lalu itu, tukang cuci itu diselamatkan selepas jiran mendengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum menghubungi polis yang kemudiannya memecahkan pintu rumah untuk menyelamatkan wanita tersebut.

    Semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu kepada Harian Metro.

    Katanya, majikan mengesyaki wanita itu mencuri barangan kemas miliknya.

  • Imigresen serbu pusat urut ‘gay’ warga asing, 6 lelaki diberkas

    Imigresen serbu pusat urut ‘gay’ warga asing, 6 lelaki diberkas

    JABATAN Imigresen menyerbu sebuah pusat urut dan menahan enam lelaki warga asing kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks songsang di sebuah premis di Kuala Lumpur, pukul 7.15 Selasa.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menahan tujuh pelanggan lelaki tempatan di premis dua tingkat tersebut.

    “Warga asing yang ditahan terdiri lima orang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 26 hingga 38 tahun.

    “Seorang lelaki Indonesia tersebut adalah penjaga atau ‘Daddy’ kepada semua tukang urut. Selain khidmat urutan, mereka juga menawarkan perkhidmatan seks songsang kepada pelanggan lelaki,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, kumpulan itu dipercayai mula beroperasi sejak tahun lalu dan modus operandi mereka ialah mengiklankan pakej urutan khas untuk lelaki di laman sosial, WhatsApp, dan Telegram.

    Menurutnya, pelanggan yang berminat akan menghubungi nombor telefon yang dinyatakan sebelum diberikan gambar seksi tukang urut lelaki bagi membuat pilihan.

    Jelasya, bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan urut adalah antara RM200 hingga RM300 untuk tempoh satu jam bergantung kepada ‘pakej’ yang dipilih oleh pelanggan.

    “Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan hampir RM650,000,” katanya, lapor FMT.

    Ruslin berkata, pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan, pas lawatan sosial tamat tempoh dan ada yang menyalahgunakan pas.

    Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

  • Polis tahan dua lelaki mabuk keluar kata-kata kesat pada anggota polis

    Polis tahan dua lelaki mabuk keluar kata-kata kesat pada anggota polis

    POLIS menahan dua lelaki kerana dipercayai mabuk dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini di Iskandar Puteri, semalam.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata pada awalnya orang awam memaklumkan terdapat sebuah kereta yang mencurigakan kerana diletakkan di tengah jalan pada pukul 8.30 pagi.

    Beliau berkata anggota peronda polis (MPV) yang membuat pemeriksaan kemudian mendapati terdapat dua lelaki tempatan berusia 30-an sedang tidur di dalam kereta itu.

    “Bagaimanapun, seorang daripada lelaki terbabit yang berada di bahagian penumpang belakang telah bertindak keluar dari kereta dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota MPV.

    “Kedua-dua lelaki itu ditahan dan seorang daripadanya didapati tidak mempunyai kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rahmat berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah, manakala seorang daripadanya pernah ditahan membabitkan kes kongsi gelap.

    Beliau berkata permohonan reman akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.