Category: Jenayah

  • Mara pandang serius, siasat salah laku pelajar MRSM-Mahdzir

    Mara pandang serius, siasat salah laku pelajar MRSM-Mahdzir

    PIHAK Majlis Amanah Rakyat (MARA) memandang serius berkaitan rakaman video kejadian buli melibatkan pelajar dikatakan berlaku di sebuah sekolah bawah kelolaan agensi itu di Perak.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya maklum kejadian itu yang tular dalam Facebook dan Twitter.

    Pihak Mara katanya, memandang serius isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang tular.

    “Saya telah mengarahkan pihak pengurusan Mara untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Tambah Mahdzir, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan Mara jika video yang tular adalah benar.

    Pihak Mara juga tegas Mahdzir, tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.

    “Selain tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa,” katanya.

    Video berdurasi 10 saat itu tular dalam media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama yang dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

    Terdahulu, Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, beliau sudah mengarahkan polis Kuala Kangsar menjalankan siasatan.

  • Lima lelaki Indonesia terlibat sindiket judi online dicekup

    Lima lelaki Indonesia terlibat sindiket judi online dicekup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    LIMA lelaki warganegara Indonesia yang memasuki negara ini pada 2019 menggunakan pas lawatan sosial dicekup selepas disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian.

    Kesemua suspek berusia 21 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman mewah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru pada pukul 2 petang, 8 Disember lalu.

    Kelima-lima mereka yang menerima gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dipercayai berperanan sebagai operator tambah nilai dan pengeluaran kredit bagi permainan judi terbabit.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket berkenaan menjadikan kediaman tersebut sebagai pusat panggilan bagi tiga laman sesawang perjudian yang menyasar pelanggan warga tempatan.

    Semua suspek berusia 21 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman mewah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru pada pukul 2 petang, 8 Disember lalu

    “Nilai kutipan sindiket berkenaan antara RM3,000 hingga RM10,000 sehari yang kita percaya telah beroperasi sejak Mac lalu.

    “Anggaran keuntungan yang diraih sindiket tersebut dipercayai mencecah sehingga RM2.7 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

    Ayob Khan berkata, semua transaksi yang dijalankan sindiket itu melibatkan perbankan dalam talian dengan beberapa akaun dikenal pasti merupakan bank tempatan.

    “Semua suspek ditahan mengaku dijanjikan antara RM500 hingga RM800 komisen berdasarkan keuntungan bulanan mereka,” katanya.

    Polis merampas tiga komputer riba, sebuah tablet, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem wifi dan kunci rumah dalam serbuan itu

    Dalam serbuan itu, polis merampas tiga komputer riba, sebuah tablet, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem wifi dan kunci rumah.

    Tambah Ayob Khan, dalang sindiket terbabit kini sedang disiasat manakala kesemua suspek tersebut dikenakan reman empat hari bermula 9 Disember.

    Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

  • Gagal seludup 85 ekor biri-biri, kambing dari Thailand

    Gagal seludup 85 ekor biri-biri, kambing dari Thailand

    CUBAAN menyeludup 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing bernilai RM63,100 dipercayai dari negara jiran berjaya dipatahkan polis di Pasir Mas, tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, dalam rondaan pada pukul 12.55 pagi di Jalan Repek-Lubok Jong berjaya mengesan sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan.

    “Kami mengekori lori berkenaan dan berjaya menahannya di tepi jalan Taman Tengku Anis. Pemeriksaan di belakang lori menemui 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing.

    “Pemandu dan seorang kelindan berusia awal 20-an ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen permit permindahan haiwan ternakan dan binatang berkenaan diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Lori yang yang digunakan membawa biri-biri dan kambing seludup yang ditahan di Pasir Mas pada awal pagi Jumaat.

    Menurutnya, hasil siasatan awal, kedua-dua tahanan mengaku terlibat dengan penyeludupan biri-biri dan kambing dari Thailand.

    Katanya, kesemua kambing tersebut diambil di kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti dan dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis, Lubok Jong.

    “Tangkapan dan rampasan diserahkan ke pihak veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Maritim tahan dua bot dari Indonesia

    Maritim tahan dua bot dari Indonesia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN dua bot tunda dari Batam, Indonesia yang tidak memaklumkan ketibaan dan tidak mempunyai kebenaran menunda daripada Pengarah Laut Malaysia membawa pada apabila ditahan semalam.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan dua bot tunda itu yang disyaki melakukan operasi tanpa kebenaran pada jam 6 petang ketika menunda sebuah kapal tangki.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mereka melakukan kesalahan tersebut pada kedudukan 0.7 batu nautika tenggara Tanjung Langsat, dekat ini.

    “Kedua-dua bot tunda terbabit yang berdaftar dari Batam, Indonesia dikendalikan oleh 13 kru warga Indonesia berumur antara 25 tahun hingga 47 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kedua-dua bot tunda terbabit tidak memaklumkan ketibaan dan tidak mempunyai kebenaran menunda daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, semua kru berserta dua bot tunda terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Maritim Johor katanya, mengingatkan setiap kapal asing yang ingin memasuki perairan negeri Johor agar melaporkan ketibaan dan mendapatkan kebenaran sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

  • Polis nafi laporan plot terbaharu tawan Sabah dari selatan Filipina

    Polis nafi laporan plot terbaharu tawan Sabah dari selatan Filipina

    PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah hari ini menafikan laporan berita mengenai 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan negeri itu.

    “Tak benar. Walaupun begitu kita (polis Sabah) akan tingkatkan keselamatan,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama pada Khamis.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan mengenai rancangan untuk menyerang Sabah dipercayai telah diadakan di selatan Filipina.

    Akhbar itu yang memetik South China Morning Post menyatakan mesyuarat rahsia melibatkan 19 datuk bandar itu diadakan bagi membincangkan mengenai rancangan bagi merekrut 600 individu untuk menyerang negeri itu serta menghantar pengintip.

    Menurut laporan media tersebut, difahamkan pertemuan itu diatur oleh pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

    Sementara itu di Lahad Datu, khabar angin berhubung plot rahsia dari selatan Filipina untuk menawan Sabah diterima perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sejak awal bulan ini.

    Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad berkata, pihaknya cuba mendapatkan maklumat-maklumat tambahan serta pengesahan berhubung khabar angin itu daripada pihak keselamatan di Filipina.

    “Khabar angin seumpama ini tersebar setiap kali pilihan raya di negara itu (Filipina) semakin hampir dan khabar angin ini dikhuatiri dijadikan plot propaganda untuk pilihan raya di sana dalam meraih undi,” katanya kepada Bernama.

    Namun menurutnya, ESSCom tidak pernah mengambil ringan sebarang ancaman, malah setiap maklumat atau khabar angin yang diperoleh dianggap serius dan perlu disiasat.

    “Ini menggambarkan komitmen sebenar pasukan keselamatan dalam memastikan kedaulatan Sabah tidak diganggu-gugat pihak luar yang berniat jahat menimbulkan kekacauan dan ketegangan di negeri ini,” katanya. – Bernama

  • Sembunyikan dadah dalam batang paip PVC di reban ayam

    Sembunyikan dadah dalam batang paip PVC di reban ayam

    CUBAAN seorang lelaki menyembunyikan 144 biji pil yaba bernilai RM1,440 yang dalam sebatang paip PVC di rumahnya di Tasek Hulu, Rantau Panjang gagal apabila berjaya dikesan polis kelmarin.

    Lelaki berusia 42 tahun itu yang tidak bekerja ditahan dalam serbuan pukul 10.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis tidak menemui barang salah dalam rumah suspek, namun hasil soal siasat suspek kemudiannya menunjukkan sebatang paip PVC berwarna putih yang disimpan dalam reban ayam.

    “Suspek mengaku dadah itu adalah miliknya dan mendapatkan bekalan daripada seorang individu bernama Jesmani yang tinggal di Tasek Pasir Putih, Rantau Panjang.

    “Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dadah yang disembunyikan dalam kasut di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air Teniat, Lubok Stol, semalam.

    Dalam serbuan berasingan pula, Mohd Nasaruddin berkata, polis merampas 16 biji pil epam dan 200 biji pil yaba bernilai RM2,160 yang disembunyikan dalam kasut di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air Teniat, Lubok Stol, semalam.

    Menurutnya, dalam serbuan pukul 5.30 petang, polis juga menahan tiga lelaki warga asing.

    “Hasil saringan awal mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mengaku dadah berkenaan adalah milik mereka.

    “Difahamkan, suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang individu yang bernama Tok Nah yang dipercayai tinggal di Gual Sok,” katanya.

    Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti individu berkenaan.

    “Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39(A), Seksyen 12(A) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya

  • PGA gagalkan cubaan seludup 3 tan daun ketum

    PGA gagalkan cubaan seludup 3 tan daun ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BATALION 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta, Perak yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah, berjaya menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum seberat lebih tiga tan ke negara jiran semalam.

    Penolong Pegawai Pemerintahnya, Deputi Supritendan Ayob Ismail berkata, kejayaan membanteras penyeludupan itu berlaku pada pukul 11.45 malam tadi apabila pasukan risik Kompeni ‘D’ Batalion terserempak dengan lori dipandu seorang lelaki berusia 30-an di Jalan Kuala Kedah.

    Melihat keadaan lelaki itu yang berada dalam keadaan mencurigakan katanya, pasukan risik tersebut mengarahkan dia memberhentikan lori tersebut untuk diperiksa.

    “Pemandu lori tersebut gagal menunjukkan Mykadnya namun menerusi akuan lisan, dia mendakwa berasal dari Kubang Rotan, Jalan Kuala Kedah.

    Sebahagian daripada bungkusan berisi daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori menemukan sejumlah besar beg plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), hari ini.

    Tambahnya, kesemua daun ketum itu dianggarkan bernilai RM96,000.

    “Kita percaya daun ketum ini dibawa menggunakan lori dari daerah Padang Terap menuju ke Kuala Kedah untuk diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut.

    “Sebelum ini ‘askar semut’ yang menaiki kereta atau motosikal sering digunakan untuk menyeludup ke negara jiran. Namun disebabkan kawalan di pagar sempadan kian ketat, mereka dilihat mula mencari cara alternatif untuk melaksanakan kerja haram tersebut,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

  • Arak tiruan RM1.2 juta dirampas PGA

    Arak tiruan RM1.2 juta dirampas PGA

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ARAK seludup berjumlah RM1.2 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam susulan penahanan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Treh, Muar, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, kedua-dua suspek yang berusia 29 tahun ditahan dalam Op Kontraban yang dilakukan pada pukul 11 pagi.

    “Hasil siasatan mendapati suspek sudah menjalankan aktiviti penjualan arak tidak bercukai dengan menjadikan premis tersebut sebagai tempat memproses arak tidak bercukai.

    “Dalam serbuan itu kita merampas dua tong biru mengandungi 200 liter (L) cecair pati arak, dua tong biru mengandungi 200L cecair tiruan, 35, 48 dan 80 kotak mengandungi 170 mililiter (ml), 350ml dan 700ml arak jenis Club 99,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dimin berkata, turut dirampas 110 dan 125 kotak mengandungi 375ml dan 750ml arak jenis Mcdowell’s selain 54 kotak mengandungi 350ml arak jenis Grand Royal.

    Hasil siasatan mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan haram memproses arak tidak bercukai

    Susulan serbuan tersebut katanya, PGA dipandu arah oleh suspek melakukan serbuan di Parit Kadir Darat, Bukit Pasir dan Parit Jamil, Parit Jawa di sini sebelum menemukan 14 tong biru mengandungi 200L cecair pati arak.

    Katanya, menerusi tiga serbuan tersebut pihaknya merampas kamera litar tertutup (CCTV) selain 10 kenderaan termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lima lori selain satu fortlift.

    Menurut beliau, jumlah keseluruhan nilai arak tersebut RM1.2 juta manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan RM3.5 juta.

    Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).

    Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280.

  • Walaupun sudah minta maaf, tetap buat laporan polis individu persenda OKU

    Walaupun sudah minta maaf, tetap buat laporan polis individu persenda OKU

    PRESIDEN OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, beliau tetap membuat laporan polis ke atas individu yang mempersendakan Orang Kurang Upaya (OKU) walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.

    Beliau berkata, laporan polis itu bertujuan menghalang insiden menghina OKU terus berlaku dalam kalangan masyarakat seterusnya menjadikan orang ramai lebih prihatin terhadap golongan berkenaan.

    “Ada juga persatuan OKU dan individu lain yang menjaga OKU akan buat laporan polis, jika tidak ini (menghina OKU) akan berterusan, tidak akan berhenti.

    “Kita perlu pastikan bahawa (menghina OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield di sini, pada kira-kira 2 petang.

    Dua pemuda yang merakam perbuatan mereka menggunakan parkir khas bagi OKU di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur sehingga viral dan mendapat kecaman orang ramai telah membuat permohonan maaf kepada komuniti OKU menerusi klip video.

    Selain itu, beberapa individu yang turut tular kerana mempersendakan OKU semasa menggunakan tandas khas untuk golongan tersebut di sebuah stesen minyak juga telah mengemukakan permohanan maaf secara bertulis kepada Ras Adiba.

    Sementara itu, Ras Adiba meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membantu memperkasakan OKU antara lain dengan meminda Akta Orang Kurang Upaya 2008.

    “Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 juga mesti benarkan pendakwaan dibuat ke atas mana-mana tingkah laku, timbanglah hukuman maksimum terhadap mereka (yang menghina OKU).

    “Seksyen 233 Akta Komunikasi 1988 juga perlulah membenarkan suatu dakwaan jenayah terhadap mana-mana pihak yang buat komen atau kenyataan jelik dan sebagainya terhadap OKU,” katanya.

    Beliau turut mencadangkan supaya penganjuran kempen jenayah kebencian OKU untuk memastikan OKU terus dilindungi.

    Ras Adiba juga menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan kemudahan khas untuk golongan OKU. – BERNAMA

  • Seludup 29,930 kotak rokok, dua lelaki ditahan

    Seludup 29,930 kotak rokok, dua lelaki ditahan

    DUA lelaki tempatan ditahan kerana menyeludup 29,930 kotak rokok dan 2,993 karton rokok putih tidak bercukai dianggarkan bernilai RM300,000 di sebuah premis di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

    Kedua-dua suspek yang ditahan kira-kira pukul 5.30 petang itu berusia 58 dan 38 tahun.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil soal siasat seorang daripada suspek telah membawa polis ke sebuah lagi premis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

    “Susulan itu polis menemukan 807 karton rokok jenama M-One warna merah berjumlah 8,070 kotak rokok pada 8 malam itu.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan, Kuala Lumpur manakala reman suspek dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hari ini untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Idzam menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 0083, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan segera.