Category: Jenayah

  • Tujuh anggota polis Kelantan dibuang kerja

    Tujuh anggota polis Kelantan dibuang kerja

    SERAMAI tujuh anggota polis dikenakan tindakan buang kerja sejak awal Januari lalu hingga hari ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

    Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas anggota terbabit didapati bersalah oleh mahkamah atas pelbagai kesalahan yang dilakukan seperti penagihan dadah dan kesalahan jenayah.

    “Sepanjang tahun ini sebanyak 116 laporan diterima oleh Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kelantan, berhubung salah laku disiplin pegawai dan anggota.

    “Daripada jumlah itu, 61 kes sudah berjaya diselesaikan manakala baki 55 kes masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Shafien berkata kebanyakan kes melibatkan anggota berpangkat rendah dan berlaku di peringkat daerah.

    Dalam perkembangan lain, Shafien berkata sejumlah 770 kes penipuan dengan jumlah kerugian bernilai RM14.2 juta direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di negeri ini sejak awal Januari hingga 30 Nov tahun ini, berbanding tahun lalu merekodkan 866 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM17 juta.

    “Walaupun jumlah kes menurun namun penipuan e-dagang dan tipu pelaburan dalam talian pula menunjukkan peningkatan, dengan masing-masing merekodkan 318 dan 68 kes.

    “Kebanyakan kes penipuan seperti ini berlaku disebabkan mangsa kekurangan ilmu, kerana mereka sepatutnya menyiasat terlebih dahulu kesahihan pihak yang mereka berurusan atau menawarkan pinjaman tersebut,” katanya. – Bernama

  • Seludup ketika banjir, PGA7 rampas barang RM889,915

    Seludup ketika banjir, PGA7 rampas barang RM889,915

    BATALION ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas barang seludup bernilai RM889,915 dalam permeriksaan sekitar kira-kira 41.8 kilometer di sempadan negara dari Rantau Panjang, Pasir Mas hingga Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sejak empat hari lepas.

    Pegawai Pemerintah Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata, limpahan air Sungai Golok berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lepas didapati memudahkan penyeludup untuk melakukan kegiatan haram mereka.

    Beliau berkata air sungai yang melimpah tebing menyebabkan perahu digunakan penyeludup dapat sampai ke jalan raya sekali gus memudahkan mereka untuk memunggah barangan terlarang.

    “Dari jalan raya, mereka akan guna kenderaan untuk menempatkan barangan seludup ke tempat-tempat transit sebelum barangan tersebut diedarkan ke tempat lain pula. Bagaimanapun modus operandi ini berjaya dikesan PGA7 yang berjaya membanteras kegiatan itu menerusi 17 rampasan dalam tempoh empat hari berkenaan,” kepada pemberita selepas meninjau pos kawalan PGA di Rantau Panjang yang ditenggelami air, di Pasir Mas, hari ini.

    Sementara itu Azhari berkata empat daripada 17 pos kawalan agensi keselamatan itu iaitu Pos Ibrahim Pencen, Pos Pak Teh Kana, Pos Kaloi dan Pos Serongga, yang terletak di tebing Sungai Golok, ditenggelami air lebih 2 meter sejak beberapa hari lepas.

    “Ketika ini 31 pegawai dan anggota yang bertugas di empat pos berkenaan telah dipindahkan ke tempat selamat namun penugasan mereka masih diteruskan. Walaupun berdepan cabaran bencana banjir, namun 400 pegawai dan anggota PGA7 yang mula ditugaskan sejak 16 Dis lalu kekal tabah dan cekal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.- Bernama

  • Mayat dua lelaki Myanmar ditemui di Telok Kemang

    Mayat dua lelaki Myanmar ditemui di Telok Kemang

    MAYAT dua lelaki warga Myanmar ditemukan di pantai Telok Kemang, Port Dickson, ditemui di perairan tersebut hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd Timar berkata, kedua-dua mangsa sebelum itu mandi di pantai tersebut.

    Katanya, mangsa pertama dijumpai oleh nelayan pada pukul 8.50 pagi dan mangsa kedua ditemui pada pukul 9.57 pagi.

    “Kedua-duanya dijumpai lebih kurang tiga batu nautika daripada tempat mangsa dipercayai lemas. Kerja-kerja pemindahan mangsa sedang dilakukan oleh pihak bomba dan Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

    Kedua-dua mangsa itu dikenal pasti sebagai Biak Lian, 38 tahun dan Van Lian Cung berusia 26 tahun merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, Bot Benteng 04 telah digerakkan ke lokasi untuk mengambil mayat tersebut manakala mayat kedua ditemui tidak jauh dari lokasi mayat pertama ditemui.

    “Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan ingin menasihatkan khususnya kepada pengunjung di pantai peranginan supaya menangguhkan aktiviti di pantai ketika cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan dua lelaki dipercayai warga negara Myanmar dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Telok Kemang berhadapan sebuah hotel di sini dalam kejadian pada tengah hari Sabtu.

    Kerja-kerja mencari dan menyelamat giat dijalankan oleh pasukan khas, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dengan kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Kilang kicap proses kacang soya berhampiran tandas

    Kilang kicap proses kacang soya berhampiran tandas

    NAJIS tikus bertaburan di kawasan penyimpanan kicap dan kacang soya pula diproses berhampiran tandas.

    Itu situasi meloyakan yang dikesan ketika pemeriksaan sekumpulan pengawai Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang pemprosesan kicap yang beroperasi sejak hampir 100 tahun lalu di Jalan Patani hari ini.

    Selain itu, kilang tersebut juga didapati masih menggunakan tong gentian kaca yang telah rosak dan pecah pada bahagian penutup untuk memproses perapan kacang soya dan dipenuhi kulat yang berbahaya kepada kesihatan.

    Sehubungan itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang yang turut mengeluarkan tauchu dan kuah rojak untuk pasaran sekitar utara tanah air itu turut diarahkan tutup selama 14 hari.

    Malah tegasnya, pemilik kilang yang mewarisi perniagaan itu daripada datuknya turut dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan pihak berkuasa.

    “Kilang ini pernah diserbu tahun lalu dan kita telah menasihati pemiliknya menjaga kebersihan, namun nampaknya mereka masih ingkar dengan arahan tersebut yang dapat dilihat menerusi operasi hari ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

    Sementara itu dalam operasi sama hari ini, sebuah kilang pembuatan mi di lokasi berhampiran turut diarahkan tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak menepati piawaian kebersihan ditetapkan.

    Menurut Mohd. Wazir, ketika pemeriksaan di premis berkenaan, pihaknya turut menjumpai najis lipas dan tikus manakala mi kering pula dibiarkan terdedah selain ada yang hanya ditutup dengan surat khabar.

    “Kilang itu juga didapati meletakkan bahan pembuatan mi serta kuetiau di atas lantai dan ini melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    Jelasnya, pemilik kilang itu didapati menggunakan logo halal serta MESTI dan pihaknya akan melaporkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya logo halal ditarik balik penggunaannya oleh kilang terbabit.

    Tambah beliau, secara keseluruhan pihaknya mengeluarkan sebanyak empat kompaun berjumlah hampir RM9,000 ke atas kedua-dua premis tersebut atas pelbagai kesalahan.

  • Petugas hospital, isteri dan ahli perniagaan ditahan edar dadah

    Petugas hospital, isteri dan ahli perniagaan ditahan edar dadah

    POLIS merampas 5 kilogram dadah bernilai RM9,800 selepas menahan seorang petugas di sebuah hospital bersama-sama isterinya serta seorang ahli perniagaan dalam serbuan di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di Kampung Bandar Setapak pada pukul 6.45 petang.

    “Kita merampas dua bungkusan ketulan mampan dadah jenis ganja yang dijumpai dalam beg silang,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wang Maju, Kuala Lumpur hari ini.

    Ashari berkata, hasil soal siasat, polis menahan isteri suspek berusia 42 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Pudu.

    “Kami merampas tiga bungkusan ketulan mampan dadah jenis ganja di dalam sebuah bilik,” katanya.

    Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki yang juga ahli perniagaan di sebuah restoran di Kota Damansara pada pukul 9 malam.

    “Lelaki berusia 50 tahun itu disyaki pembekal dadah jenis ganja.

    “Hasil semakan mendapati suspek tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

    Menurutnya, polis siasat kemungkinan petugas hospital berkenaan turut menjual dadah di tempat kerjanya.

    “Kami percaya suspek bergiat aktif sejak akhir tahun lalu dengan menjual dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

    Ashari berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

  • Jenazah ibu, lapan anak dikebumikan esok

    Jenazah ibu, lapan anak dikebumikan esok

    JENAZAH sembilan sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan tragis membabitkan tiga buah kereta dan sebuah treler akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, esok.

    Urusan pengkebumian sembilan beranak itu dijangka mengambil masa kerana terpaksa menunggu keputusan ujian calitan Covid-19 dan keputusan bedah siasat kesemua mangsa.

    Difahamkan, ujian calitan Covid-19 atas jenazah sembilan sekeluarga tersebut mendapati ada antara mereka yang positif, sehubungan itu langkah tambahan perlu diambil sebelum dikebumikan.

    Sementara itu, jenazah seorang lagi mangsa yang turut terkorban dalam nahas berkenaan didapati bebas Covid-19 dan akan dikebumikan di tanah perkuburan sama pada malam ini.

    Warta Raktyat hari ini melaporkan seorang ibu bersama lapan anaknya termasuk 10 yang maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di kilometer 8.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

    Mangsa yang maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

    Mangsa adalah Norul Naziah Buyong, 37, Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17, Razatul Aliah, 16, Puteri Hidayah, 12, dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.

    Selain itu, Muhamad Rolkaizat Rezky, 9, Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Puteri Nur Ain Syalwana, 3, Muhammad Raid Fathi berusia 10 bulan dan Mohamad Rahimi Rolex, 27.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar dilaporkan berkata, pemandu treler yang berusia 37 tahun direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

  • Op Benteng:32 PATI Myanmar panjat pagar keselamatan ditahan

    Op Benteng:32 PATI Myanmar panjat pagar keselamatan ditahan

    CUBAAN 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar memanjat pagar keselamatan ketika hujan lebat untuk masuk ke negara ini tidak berjaya apabila mereka berjaya ditahan, semalam.

    Sepasukan anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim berjaya mengesan mereka yang terdiri daripada 21 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun pada pukul 6 pagi semalam selepas menerima maklumat.

    Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md. Dali Jamil berkata, ketika kejadian, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di kawasan semak berhampiran tangki air BKH 3 di sini dalam Op Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia/Thailand.

    Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pegawai dan anggotanya menemui kesemua PATI berkenaan sedang bersembunyi di kawasan semak dalam keadaan mencurigakan.

    “Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah masuk ke negara ini.

    “Berikutan itu, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk dibuat laporan tangkapan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Md. Dali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(3)(C) Akta Imigresen 1963.

    Dalam pada itu, Md. Dali berkata, sejak 1 Disember sehingga kini, Batalion 2 PGA merekodkan rampasan daun ketum sebanyak 4,131 kilogram dengan anggaran nilai RM123,930 serta 218 bungkusan air ketum anggaran RM1,484.

    Beliau berkata, turut dirampas rokok pelbagai jenama yang dianggaran bernilai RM25,906, tiga buah motosikal anggaran RM164,602.

    “PGA Batalion 2 berjaya menahan 13 lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Thailand termasuk 32 warga Myanmar semalam atas pelbagai kesalahan.

    “Pihak batalion 2 Kulim akan meneruskan lagi usaha bagi membanteras dan mencegah kegiatan pencerobohan, penyeludupan Pati dan barangan terlarang yang aktif di kawasan sempadan,” katanya.

  • Tiada kejadian tetak di Bukit Selambau, Kedah

    Tiada kejadian tetak di Bukit Selambau, Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya terdapat seorang lelaki ditetak tangan dan kakinya hingga putus kerana mencuri lembu di Bukit Selambau.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. S. Suresh Kumar berkata, semakan pihaknya mendapati kejadian itu tidak berlaku.

    Malah katanya, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian itu di mana-mana balai polis dalam kontinjen Kedah termasuk di Bukit Selambau.

    “Penularan video itu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

    “Justeru satu laporan polis telah dibuat terhadap penularan video berkenaan dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia,” katanya.

    Sejak semalam tular dalam media sosial dan aplikasi Whatsapp klip video memaparkan seorang lelaki berada dalam keadaan parah dengan tangan serta kakinya putus akibat ditetak.

    Bersama klip video tersebut, disertakan juga rakaman suara beberapa individu yang mendakwa kejadian itu berlaku di Bukit Selambau.

    Suresh menambah, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menularkan video yang tiada kesahihan kerana dibimbangi mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

    “Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Firdaus di talian 012-3517317 bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Polis kesan modus operandi baharu edar ganja

    Polis kesan modus operandi baharu edar ganja

    POLISmengesan modus operandi baharu aktiviti pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang mengaut keuntungan melalui hasil penjualan bunga ganja bernilai tinggi di pasaran.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata penemuan itu terbongkar apabila empat lelaki warga tempatan menganggotai sindiket terbabit diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 14 Dis lepas.

    Beliau berkata serbuan pada 10 pagi itu, tiga suspek ditahan di kawasan Brickfields sementara seorang lagi ditahan di Shah Alam masing-masing berumur lingkungan 22 hingga 36 tahun.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket bergiat aktif mengimport benih ganja dari luar negara selain turut menggunakan teknologi canggih bagi tujuan penanaman serta penjagaan pokok ganja itu.

    “Ia dijual dalam bentuk timbangan auns dengan harga RM2,800 bagi setiap satu auns (28 gram) dan ia hanya dijual kepada pelanggan tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Hasil kedua-dua serbuan, polis merampas bunga ganja seberat 4.555 kilogram (kg); daun-daun kering disyaki daun ganja seberat 0.72 kg; tujuh biji benih ganja seberat 0.67 gram selain lapan batang pokok ganja dengan nilai keseluruhan rampasan dadah itu bernilai kira-kira RM 491,520.

    “Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz serta motosikal jenis KTM bernilai RM95,000,” katanya.

    Ujian saringan mendapati tiga suspek positif dadah THC manakala dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    “Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, dalam kejadian lain, polis menahan dua suspek masing-masing seorang wanita dan lelaki kerana disyaki terlibat sindiket memproses dadah di sebuah premis di Bandar Baru Petaling, di sini, pada Rabu lepas.

    Beliau berkata polis menemui serbuk MDMA seberat 8,932 gram; 558 botol cecair MDMA; ketamin seberat 63 gram; 190 biji pil ecstacy dan 120 biji pil erimin 5 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM 545,325.

    “Hasil siasatan mendapati sindiket telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menggunakan premis kondominium mewah dengan kawalan keselamatan ketat bagi mengaburi kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya sambil menambah mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    — BERNAMA

  • Tipu tanah rugi RM22 juta, polis cari warga emas

    Tipu tanah rugi RM22 juta, polis cari warga emas

    POLIS sedang mencari seorang warga emas bagi membantu siasatan kes penipuan tukar hak milik tanah membabitkan kerugian berjumlah RM22 juta.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki  dikenali sebagai Chua Seng Keat, 61, yang alamat terakhirnya di Kota Damansara, Petaling Jaya untuk tampil bagi membantu siasatan.

    Menurutnya ia susulan aduan daripada seorang ahli perniagaan yang mendapati tanah yang didaftarkan di atas nama syarikatnya telah ditukar milik kepada seorang individu tidak dikenali selepas membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian di Wisma Negeri Sembilan pada 15 Okt tahun lepas.

    “Individu tersebut telah membuat tandatangan palsu di dalam dokumen-dokumen berkaitan ke atas pertukaran tanah tersebut tanpa pengetahuan daripada pengadu yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM22 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 bagi membantu siasatan. – BERNAMA