Category: Jenayah

  • Guru dakwa rugi RM438,900 akibat Macau Scam

    Guru dakwa rugi RM438,900 akibat Macau Scam

    SEORANG guru wanita mendakwa kerugian RM438,900 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam sejak Ogos lepas. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata mangsa, 44, mendakwa dihubungi seorang lelaki kononnya wakil syarikat insurans pada awal Ogos, bagi menyiasat penipuan tuntutan bernilai RM76,000 atas namanya. 

    Mangsa menafikan dakwaan itu, menyebabkan suspek memintanya berhubung dengan seorang lagi suspek lelaki yang dikatakan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Kuala Lumpur yang akan mengendalikan kes salah guna nama mangsa. 

    “Suspek kedua semasa dihubungi pula mendakwa nama mangsa turut dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram berjumlah RM2.8 juta menyebabkan dia perlu membayar wang jaminan RM600,000 dengan membuka akaun bank yang baharu. 

    “Mangsa mendakwa telah membuka akaun itu namun hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM439,032 dan suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan semua maklumat perbankan bagi tujuan siasatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

    Mohd. Wazir berkata mangsa mendakwa membuat semakan di bank kelmarin dan mendapati wang akaunnya hanya berbaki RM132.31 selain terdapat banyak transaksi pemindahan wang secara online ke akaun tidak diketahuinya. 

    Mangsa cuba mendapatkan penjelasan daripada ‘pegawai polis’ tersebut, namun mendakwa nombor telefon itu tidak lagi digunakan. 

    Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Nenasi, Pekan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

  • Long Tiger lolos: Dua anggota digantung tugas

    Long Tiger lolos: Dua anggota digantung tugas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA anggota polis digantung tugas bagi membantu siasatan insiden seorang banduan lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang meloloskan diri daripada tahanan lokap di Mahkamah Majistret Tangkak pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua anggota itu digantung tugas kerana disyaki terlibat secara langsung atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan tahanan bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, berjaya melarikan diri.

    “Sebelum ini kita ada panggil empat anggota untuk soal siasat dan hasil daripada itu dua daripadanya kita tahan (gantung) kerja kerana disyaki terlibat secara lansung atas kesalahan cuai.

    “Walaupun mereka ini (dua anggota polis) tidak dituduh di mahkamah, kita lihat kesalahan ini serius dan kita ambil tindakan untuk tahan kerja mereka.

    “Kita akan siasat daripada segala aspek sama ada atas kecuaian ke dia bersekongkol, bersubahat ke atau pun dia menerima rasuah, kita akan lihat daripada semua yang ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Bas Ekpress, Bas Persiaran dan Lori di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) arah Utara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Kluang, malam tadi.

    Sebelum ini, media melaporkan suspek, Abdul Hamim meloloskan diri dari lokap mahkamah melalui pintu utama sebelum lelaki itu dibawa menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihaknya juga telah menahan sepasang suami isteri kira-kira pukul 12.30 tengah malam Selasa di Bukit Gambir, Muar kerana dipercayai terlibat melindungi suspek selepas dia berjaya meloloskan diri.

    “Kita masih lagi mengesan Long Tiger ini yang mana kita percaya masih berada dalam kawasan Bukit Gambir, Muar dan sekitarnya.

    “Kita juga telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan masing-masingnya berusia 41 dan 43 tahun kerana disyaki mengetahui serta bersubahat melindungi suspek ini.

    “Jadi, saya ingin menyeru kepada orang awam untuk jangan sesekali melindungi suspek ini kerana dia sedang diburu, jika kita dapat maklumat ada yang buat juga kita akan ambil tindakan,” katanya.

    Kedua suspek telah direman selama empat hari bermula 21 Disember untuk membantu siasatan.

  • Dipukul tanpa sebab, pasangan kekasih hairan diserang sekumpulan lelaki

    Dipukul tanpa sebab, pasangan kekasih hairan diserang sekumpulan lelaki

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TANPA mengetahui punca sebenar, sepasang kekasih hairan apabila mereka diugut dan dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di sebuah restoran makanan laut di Taman Impian Emas, Johor Bahru pada 11 Disember lalu.

    Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, Tai Yoke Eng, 25, berkata, pada mulanya dia hanya menerima jemputan kenalannya untuk menghadiri jamuan makan bersama beberapa individu lain di restoran tersebut.

    Dakwa pekerja bank itu, situasi kurang senang mula terjadi apabila teman lelaki kepada kenalannya mula memegang bahagian tubuhnya hingga membuatkan dia tidak selesa.

    “Saya menepis tangan lelaki berkenaan dan menghubungi teman lelaki untuk datang mengambil saya. Ketika kami mahu pulang, seorang lelaki membaling kerusi ke arah kami.

    “Sejurus kemudian muncul sekumpulan lelaki seramai kira-kira 10 orang dan mereka bertindak memukul teman lelaki saya.

    “Kenalan saya memegang saya dan menghalang saya daripada membantu teman lelaki,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, hari ini.

    Menurut wanita itu, tangannya mengalami lebam manakala teman lelakinya, Benjamin Low Keng Seng, 27, cedera di bahagian muka dan tubuh badan akibat kejadian itu.

    Selain itu katanya, sehingga kini mereka masih tertanya-tanya mengapa kejadian itu berlaku kerana kenalannya itu enggan memberitahu punca mereka diserang sehingga dicederakan.

    “Kami telah membuat laporan polis secara berasingan berhubung kejadian tersebut dan berharap tindakan tegas dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.

    Sementara itu, Keng Seng yang bekerja sendiri berkata, dia turut mengalami kecederaan dalaman sehingga mengakibatkan muntah darah.

    “Saya bukan sahaja ditumbuk dan ditendang, malah turut dipijak salah seorang lelaki yang bertindak menyerang saya.

    “Selain itu, ketika kami telah berjaya memasuki kereta untuk melarikan diri, salah seorang daripada mereka menendang bahagian depan kereta sehingga berlaku kerosakan,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Lim Thow Siang berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera mengikut lunas undang-undang.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid turut mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

  • Polis tumpaskan Geng April, tahan suami isteri

    Polis tumpaskan Geng April, tahan suami isteri

    POLIS menumpaskan sindiket curi kenderaan dan pecah rumah yang dikenali sebagai Geng April, apabila menahan sepasang suami isteri yang juga dalang utama kegiatan itu sejak dua tahun lalu.

    Pasangan suami isteri masing-masing berusia 39 dan 45 tahun itu ditahan bersama-sama dua lelaki yang juga ahli sindiket tersebut di sekitar Kajang pada 6 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, sindiket iru menyasarkan rumah mewah untuk dipecah masuk dan melarikan kenderaan mewah milik mangsa sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga yang lebih murah.

    “Kenderaan yang dicuri akan ditempatkan di beberapa kawasan termasuk tempat letak kereta kondominum dan tepi jalan bagi mengelakkan aktiviti mereka disedari polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor , hari ini.

    Susulan tangkapan itu, polis merampas lapan buah kenderaan mewah, antaranya jenis Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry dan Nissan Almera.

    Mohd. Zaid berkata, tiga suspek yang ditahan memiliki 36 rekod jenayah membabitkan kesalahan jenayah dan dadah manakala wanita yang ditahan tidak memilki rekod jenayah lampau.

    Beliau berkata, dengan tangkapan tersebut, pihaknya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada awal tahun ini.

    Katanya kesemua suspek direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 serta 379 Kanun Keseksaan.

  • Maritim Malaysia buru 12 warga Indonesia rompak diesel RM4.86 juta

    Maritim Malaysia buru 12 warga Indonesia rompak diesel RM4.86 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBUAH kapal tangki MT Ocean Pride berdaftar di Singapura kehilangan kira-kira 1.8 juta liter minyak diesel yang disyaki dirompak kru kapal terbabit ketika dalam perjalanan ke Dili, Timor Leste, awal bulan ini.

    Kehilangan minyak diesel yang dibawa MT Ocean Pride dari Banyan, Singapura disedari pihak syarikat perkapalan itu selepas mereka terputus hubungan dengan vesel terbabit.

    Berikutan itu, kira-kira 12 kru kapal warga Indonesia diburu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki melakukan rompakan terbabit pada 5 Disember lalu.

    Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima Notis Merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) yang memaklumkan kejadian melibatkan kapal tangki MT Ocean Pride.

    Menurutnya, laporan kejadian dibuat pengurus operasi syarikat perkapalan berkenaan selepas mereka gagal menghubungi vesel terbabit ketika berada di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, dekat sini.

    “Kapal tangki MT Ocean Pride memulakan pelayaran dari Banyan, Singapura dengan membawa muatan 4.15 juta liter minyak diesel untuk dihantar ke Dili, Timor Leste.

    “Namun pihak syarikat terputus hubungan dengan kru sebelum Bot Perkasa 29 Maritim Malaysia mengesan kedudukan kapal terbabit dan mendapati kesemua kru yang berusia 25 hingga 51 tahun tiada di dalam kapal,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Kata Nurul Hizam, pasukan penyiasat mendapati vesel terbabit ditinggalkan di Tanjung Siang, Kota Tinggi selain terdapat cap jari kru pada vesel berkenaan dan kesemua dokumen berkaitan tidak ada di dalam kapal terbabit.

    Jelas beliau, pihaknya juga mendapati sejumlah 1.8 juta liter minyak diesel hilang dipercayai dirompak kesemua suspek yang terlibat dan kerugian dianggarkan bernilai RM4.86 juta.

    “Susulan kejadian ini, Maritim Malaysia menyeru agar orang ramai terutamanya komuniti maritim yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit diminta tampil membantu siasatan.

    “Mereka boleh menghubungi Komander Maritim Mohd. Affandi Ismail di talian 03-89957935 atau Leftenan Maritim Feerdaus Daud (07-8916595),” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

  • Tiga lelaki hentak cermin kereta diburu

    Tiga lelaki hentak cermin kereta diburu

    Rakaman kejadian yang tular di laman sosial memaparkan suspek bertindak memukul cermin kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar.

    TIGA lelaki bermotosikal yang bertindak menghentak cermin sebuah kereta dengan topi keledar di Jalan Lundang, Kota Bharu, semalam sebelum kejadian itu tular dalam media sosial, kini diburu polis.

    Ketiga-tiga suspek itu diburu selepas melakukan perbuatan ganas itu terhadap mangsa iaitu seorang peniaga berusia 31 tahun memandu sebuah kereta jenis Perodua MyVi di lokasi tersebut pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak berpuas hati kerana dikatakan kereta berkenaan hampir terhimpit motosikal yang mereka tunggang.

    “Semasa kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak perempuan berusia empat tahun dalam perjalanan untuk pergi berniaga.

    “Tiga lelaki tidak dikenali yang memunggang dua motosikal mengekori kereta mangsa dan ketika kenderaaan berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat, kesemua suspek bertindak memukul cermin bahagian kiri belakang kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar,” katanya ketika, hari ini.

    Tiga lelaki bertindak mengekori sebelum memukul cermin kereta mangsa dengan topi keledar di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lundang.

    Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis berikutan bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.

    “Kejadian tiada menyebabkan sebarang kemalangan atau kerosakan terhadap kereta milik mangsa yang menjadi sasaran suspek.

    “Usaha mengesan suspek-suspek giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

    Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan cuai,” katanya.

  • Luka meragukan di tubuh mangsa, polis klasifikasi sebagai kes bunuh

    Luka meragukan di tubuh mangsa, polis klasifikasi sebagai kes bunuh

    POLIS mengklasifikasikan kes satu mayat ditemukan terbaring di tepi jalan di Batang Kali-Selayang, Ulu Yam, Selangor pada Sabtu lepas sebagai kes bunuh, berikutan terdapat kecederaan meragukan ke atas tubuh mangsa.

    Susulan itu Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Identiti mayat belum diketahui itu yang menerusi bedah siasat menemui kesan lebam di kedua-dua mata dan kesan bengkak di bahagian dahi,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.

    Zainal Mohamed berkata keluarga atau waris yang kehilangan ahli keluarga atau orang awam mempunyai maklumat berkaitan kes, diminta tampil membantu menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan R. Kolanthaivelu di talian 019-2579232 bagi membantu siasatan.

    Pada 18 Disember lepas, mayat wanita ditemui terbaring di tepi jalan dan ditutup dengan sehelai kain selimut warna merah jambu serta sehelai kain berwarna putih.

    Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di tempat kejadian dan mangsa dipercayai merupakan warga asing.– Bernama

  • Mangsa banjir lapar, pecah masuk kedai cari makanan

    Mangsa banjir lapar, pecah masuk kedai cari makanan

    BEBERAPA mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam memecah masuk beberapa buah kedai serbaneka hari ini selepas dipercayai kehabisan bekalan makanan akibat terkandas dalam banjir selama dua hari di taman tersebut.

    Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kejadian berkenaan dipercayai berlaku sekitar jam 1 hingga 2 petang berikutan kawasan tersebut teruk dilanda banjir.

    “Saya mengesahkan beberapa kejadian pecah kedai serbaneka berlaku di (Taman) Sri Muda iaitu kawasan yang mengalami banjir teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Terdahulu satu klip video berdurasi 11 saat tular memaparkan kejadian tersebut yang dimuat naik oleh pemilik akaun Anne Abdullah di Facebook.

    Baharudin berkata, pihaknya dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menggerakkan elemen cegah jenayah dan bantuan untuk memastikan keadaan terkawal di kawasan tersebut.

  • Wanita rugi RM44,000 diperdaya ‘pegawai kesihatan’

    Wanita rugi RM44,000 diperdaya ‘pegawai kesihatan’

    SEORANG kakitangan swasta wanita berusia 27 tahun dari Butterworth, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM44,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai penjawat awam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa ‘pegawai kesihatan’.

    Ujarnya, suspek mendakwa mangsa telah mengambil ubat secara berlebihan sebanyak 16 kali di sebuah klinik kesihatan bermula dari November sehingga bulan ini.

    “Panggilan terbabit kemudiannya disambungkan kepada ‘Inspektor Yong’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang kononnya ditugaskan untuk menyiasat kes berkenaan.

    “Mangsa kemudian dimaklumkan dia turut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, mangsa turut diarahkan oleh suspek untuk memberikan maklumat akaun banknya untuk semakan sebelum tindakan membekukan akaunnya diambil.

    Bagaimanapun kata beliau, selepas berbuat demikian, mangsa mendapati wang simpanannya telah dipindahkan ke akaun lain.

    “Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. 

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang mengaku daripada penjawat awam.

    Tegasnya, pihak polis tidak akan sesekali mendapatkan maklumat perbankan daripada mana-mana individu menerusi panggilan telefon.

  • Penebar roti canai parah ditikam rakan sekerja

    Penebar roti canai parah ditikam rakan sekerja

    SEORANG penebar roti canai warga Indonesia cedera parah selepas ditikam rakan senegaranya di medan selera di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, malam tadi.

    Mangsa yang dikenali sebagai Zakaria, ditikam dengan pisau oleh suspek, 27, yang juga pekerja kedai nasi lemak di restoran sama dalam kejadian pukul 9.45 malam.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, siasatab mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Suspek sudah ditahan oleh orang awam dan tangkapan semula dibuat oleh anggota polis rondaan. Motif kejadian mangsa ditikam masih lagi dalam siasatan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.