Category: Jenayah

  • 188 ketulan ganja mampat berat 142 kg dirampas

    188 ketulan ganja mampat berat 142 kg dirampas

    POLIS Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang bergiat aktif sejak Jun lalu selepas menyerbu sebuah rumah kedai dan beberapa buah rumah di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT).

    Serbuan selama enam hari sehingga kelmarin itu berjaya menahan enam lelaki tempatan bersama 198 ketulan mampat ganja seberat 142.3 kilogram (kg) yang bernilai kira-kira RM355,785.

    Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 52 tahun itu terdiri daripada penganggur, peniaga dan pekerja kilang.

    Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Seberang Jaya pada Jumaat lalu yang mana seorang lelaki berjaya ditahan manakala enam ketulan mampat ganja seberat 5.2 kg turut dirampas.

    “Penahanan lelaki itu kemudiannya membawa kepada lima lagi serbuan iaitu di Bukit Mertajam, Permatang Pauh dan Seberang Jaya yang mana polis berjaya menahan empat lagi individu selain merampas 192 ketulan mampat ganja,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam hari ini.

    Menurut Shafee, selain rampasan dadah, pihaknya turut menyita empat buah kenderaan dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM133,600 daripada sindiket berkenaan.

    Jelasnya, siasatan polis mendapati sindiket berkenaan mula bergiat aktif mengedarkan ganja kira-kira enam bulan lalu iaitu sekitar Jun untuk pasaran tempatan.

    “Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati tiga daripada suspek positif ganja dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Lelaki ‘tunda’ kereta mangsa banjir ditahan polis

    Lelaki ‘tunda’ kereta mangsa banjir ditahan polis

    DALAM situasi mangsa banjir yang serba kesulitan ketika ini, masih ada individu tidak bertanggungjawab yang tergamak mengambil kesempatan mencuri harta milik mereka.

    Di Shah Alam, seorang lelaki ditahan polis bagi bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan mencuri sebuah kereta jenis Honda City, milik seorang mangsa banjir di Jalan Persiaran Perusahaan, Seksyen 23.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, siasatan mendapati pemilik kenderaan terbabit meletakkan kenderaannya di tepi jalan dalam keadaan baik dan berkunci kira-kira pukul 6 petang, 18 Disember lalu.

    Beliau berkata, pemilik meletakkan kenderaan berkenaan di jalan itu disebabkan kawasan tempat tinggalnya mengalami banjir

    “Walau bagaimanapun, kira-kira jam 8.45 malam 20 Disember (Isnin) lalu, mangsa (pemilik) mendapati kereta berada di atas lori tunda dengan nombor pendaftaran WCX3048 atas nama Syarikat Sparks Motors Rescue Empire.

    “Lori itu dipandu seorang lelaki tempatan tidak dikenali, malah suspek mendakwa ada individu menyuruhnya menunda kereta milik isteri mangsa itu ke bengkel,” katanya seperti dilaporkan BH.

    Arjunaidi menambah, mangsa sempat membuat pemeriksaan ke atas kenderaannya dan mendapati bateri kereta hilang selain nombor pendaftaran kenderaan bahagian depan serta belakang dipatahkan selain pelekat cukai jalan turut hilang.

    Beliau memberitahu, mangsa tampil membuat laporan selepas dihubungi oleh polis susulan hantarannya yang tular di media sosial, Rabu lalu.

    “Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, yang juga pemandu lori tunda terbabit.

    “Suspek direman dua hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

    Pada 19 Disember lalu, tular dalam media sosial pemilik akaun Instagram @wangi_by_cinta mendakwa suspek mencabut nombor pendaftaran kereta miliknya dan mengangkut kenderaan terbabit ke atas lori tunda sebelum disedari oleh penduduk setempat.

  • Kantoi tukar mangga tabung masjid untuk curi duit

    Kantoi tukar mangga tabung masjid untuk curi duit

    HELAH seorang lelaki yang menukar mangga tabung masjid terbongkar apabila dia ditangkap ketika membuka tabung masjid menggunakan kuncinya sendiri, di Masjid Kubang Bemban, di Pasir Mas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata suspek, 29, telah beberapa kali mencuri duit dalam tabung masjid tersebut dan modus operandinya adalah dengan cara menukarkan mangga tabung masjid.

    Mohd Nasaruddin berkata, berdasarkan laporan diterima, ahli jawatankuasa (AJK) masjid telah menunggu kedatangan suspek yang sebelum ini dilihat mencuri wang tabung melalui kamera litar tertutup (CCTV) beberapa hari lalu.

    Katanya, dalam kejadian itu, suspek datang ke masjid pada 2.30 petang menggunakan basikal elektrik melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan terus memasuki masjid dan membuka mangga tabung masjid menggunakan kuncinya.

    “Semasa kejadian petang semalam, seorang pekerja membaiki lantai masjid telah menyedari kejadian itu dan telah menelefon anggota RELA yang juga ahli jawatankuasa masjid tersebut sebelum bersama-sama menahan suspek di ruang solat wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata ketika disoal siasat suspek mengaku telah mencuri duit tabung masjid sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 511 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

  • Tekong darat, transporter ditahan bawa PATI

    Tekong darat, transporter ditahan bawa PATI

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Taktik digunakan tiga warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat serta ‘transporter’ bagi membawa 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada waktu subuh, gagal mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengakibatkan kesemua mereka ditahan, pagi semalam.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota cawangan khas (E6), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira pukul 6.30 pagi setelah mereka terlebih dulu mengesan dua kenderaan dinaiki tiga lelaki tempatan tersebut di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu.

    Katanya, kenderaan jenis Perodua Alza dan Perodua Aruz yang dinaiki tekong darat dan transporter itu kemudiannya berhenti di kawasan berhampiran tangki air kawasan tersebut.

    “Selepas itu, kesemua PATI warganegara Myanmar tersebut terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita keluar dari tempat persembunyian mereka di kawasan semak sebelum menaik kedua-dua kenderaan itu.

    “Pihak polis lalu mengekori kedua-dua kenderaan tersebut sebelum menahan mereka di kawasan Napoh,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, malam tadi.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini.

    “Siasatan awal mendapati PATI itu baru memasuki Malaysia melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand. Mereka dipercayai membayar sebanyak RM4,000 kepada seorang lelaki warganegara Myanmar yang berada di Thailand untuk masuk ke negara ini.

    “Bagi transporter warga tempatan itu pula, mereka dipercayai menerima bayaran sebanyak RM800 bagi setiap kereta untuk membawa PATI tersebut bekerja di Sungai Lembu dekat Kulim,” katanya.

    Kamarul Zaman berkata, tangkapan PATI bersama tekong darat dan transporter itu merupakan kejayaan E6 dalam membendung kemasukan semula PATI ke Malaysia selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah pemerdagangan manusia ini boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis bagi memastikan aktiviti ini dapat ditumpaskan sepenuhnya,” katanya.

  • Warga emas rugi RM298,500 diperdaya ‘pegawai Tabung Haji, polis’

    Warga emas rugi RM298,500 diperdaya ‘pegawai Tabung Haji, polis’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG suri rumah kerugian RM298,500 diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Tabung Haji (LTH) dan ‘Inspektor Yong’ selepas didakwa mangsa mempunyai pinjaman dengan LTH pada bulan lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Supritenden Amran Md. Jusin berkata, mangsa, 62, menerima satu panggilan jam 11.23 pagi, 10 November lalu daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LTH.

    “Suspek wanita yang menyamar sebagai pegawai LTH itu memaklumkan mangsa mempunyai pinjaman dengan LTH sebanyak RM12,900 yang belum diselesaikan. Mangsa kemudian menafikan ada membuat pinjaman tersebut.

    “Panggilan itu kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain dan akhirnya seorang wanita memperkenalkan diri sebagai polis dengan nama ‘Chief Inspektor Yong’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, ‘Chief Inspektor Yong’ mengarahkan mangsa membuka satu akaun di sebuah bank tempatan dan mendaftarkan kemudahan perbankan internet sebelum diarahkan mengeluarkan semua wang miliknya dan suami.

    Menurutnya, semua wang berkenaan kemudian diminta dimasukkan ke dalam akaun baru dibuka itu untuk tujuan siasatan dan akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

    Amran Md. Jusin

    Mangsa katanya, mengikut semua arahan tersebut antara 15 November hingga 14 Disember dengan memasukkan wang semuanya berjumlah RM298,500 ke dalam akaun yang baru dibuka itu.

    “Mangsa turut memberikan kata laluan perbankan internet untuk akaun baharu itu kepada ‘Chief Inspektor Yong’. Mangsa menyedari ditipu setelah gagal menghubungi ‘Chief Inspektor Yong’.

    “Semakan mangsa pada 18 Disember terhadap akaun bank yang baru dibuka itu mendapati baki dalam akaun telah tiada dan telah berlaku pengeluaran wang tanpa pengetahuan mangsa,” katanya.

    Amran berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan sebat.

    Polis Johor katanya, menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali dan melakukan pemeriksaan terhadap kesahihan informasi dimaklumkan individu yang berkenaan.

    Tambah beliau, orang ramai boleh menggunakan aplikasi semakan atas talian yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa seperti Semak Mule, CCID Scam Response Centre, CCID Infoline dan Facebook JSJK.

  • Peguam Long Tiger umum tarik diri

    Peguam Long Tiger umum tarik diri

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    FIRMA guaman Shaharudinali Azfarazmi & Co yang mewakili Long Tiger sebagai peguam bela lelaki berketurunan Rohingya itu mengumumkan penarikan diri berikutan berhadapan masalah untuk mendapat arahan daripada anak guam mereka yang kini hilang selepas melarikan diri.

    Datuk Shaharudin Ali berkata, mereka adalah peguam bela kepada suspek yang nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dalam beberapa kes jenayah dan sivil yang sedang berlangsung.

    “Seperti yang diketahui umum, Abdul Hamim atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ telah melarikan diri daripada lokap Mahkamah Tangkak pada 15 Disember lalu dan berita ini telah tersebar luas.

    “Kami dengan berat hati terpaksa menarik diri sebagai peguam belanya di dalam kes-kes yang berkenaan kerana kami mengalami masalah untuk mendapatkan arahan-arahan seterusnya daripadanya bagi maksud perjalanan kes-kes yang membabitkan beliau.

    “Sebagai peguam bela, kami juga merasai Abdul Hamim telah melarikan diri semasa perjalanan prosiding kes-kes beliau yang mencerminkan bahawa beliau tiada keyakinan dengan khidmat guaman oleh pihak kami dan tiada keyakinan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, sejak anak guamnya dilaporkan meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, dekat sini pada Rabu minggu lepas, Abdul Hamim masih belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa sehingga hari ini.

    Tambah Shaharudin, lelaki yang menjadi buruan semua kontinjen polis itu berkemungkinan mempunyai sebab tertentu untuk melarikan diri.

    “Abdul Hamim mungkin mempunyai sebab tertentu mengapa dia mengambil tindakan sedemikian dan dia juga tetap tidak bersalah kecuali selepas disabitkan oleh mahkamah,” katanya.

    Sebelum ini, Shaharudin mendakwa terdapat cubaan mencederakan dan membunuh anak guamnya ketika ditahan di dalam penjara dan pihaknya telah melakukan satu laporan polis berhubung perkara itu.

    Akhbar pada 15 Disember lalu melaporkan suspek berjaya meloloskan diri dari lokap mahkamah melalui pintu utama ketika dia dibawa dari Penjara Sungai Udang, Melaka bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun yang disyaki rakan subahat Long Tiger.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di Balai Polis Bukit Gambir kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin dan kini direman selama empat hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

    “Kita masih lagi melancarkan operasi untuk mengesan Long Tiger ini dan kita percaya dia masih berada di kawasan sekitar Bukit Gambir dan sebagainya. Saya menyeru kepada masyarakat agar jangan sesekali melindungi Long Tiger ini kerana dia diburu oleh pihak polis,” kata Ayob Khan.

  • Dua individu direman bantu siasatan kes penyelewengan RM48,000

    Dua individu direman bantu siasatan kes penyelewengan RM48,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu terdiri daripada bekas Penolong Pengurus Besar Wilayah dan bekas pengurus cawangan sebuah badan berkanun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang dianggarkan berjumlah RM48,000 yang dipercayai berlaku di Kedah, empat tahun lalu.

    Sumber memaklumkan, kedua-dua mereka yang berusia 61 dan 35 tahun, disyaki menggunakan jawatan dengan meminta hasil penjualan sawit dari kilang untuk kegunaan peribadi pada 2018.

    Kedua-dua mereka bagaimanapun dikatakan tidak lagi berkhidmat dengan badan berkanun tersebut memandangkan Penolong Pengurus Besar Wilayah itu sudah pun bersara manakala pengurus cawangan tersebut pula diberhentikan.

    Sumber memaklumkan, bekas pengurus cawangan tersebut ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sungai Petani kira-kira pukul 3 petang semalam manakala Penolong Pengurus Besar Wilayah itu ditahan 10 minit kemudian di lokasi sama.

    Kedua-dua mereka tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani kira-kira pukul 10 pagi sebelum keluar kira-kira 15 minit kemudian setelah permohonan reman dikeluarkan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim.

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu tersebut namun enggan mengulas lanjut.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Buruh ditahan jadi penghantar pil yaba

    Buruh ditahan jadi penghantar pil yaba

    SEORANG buruh ditahan dan merampas 10,000 pil yaba bernilai RM100,000 selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Bayu Lalang Banggol Chicha, Pasir Mas semalam.

    Lelaki itu, 33, ditahan di bahagian dapur rumah dan pemeriksaan ke atas beg silang suspek di atas lantai menemui 2,000 biji pil yaba.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis turut menemui 8,000 pil sama dalam bungkusan baju hujan.

    Menurut beliau, suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM1,000 setiap kali penghantaran dilakukan ke lokasi yang ditentukan.

    “Suspek tidak mengaku dadah yang bernilai RM100,000 ditemui dalam rumah itu adalah miliknya ketika soal siasat dilakukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, suspek mengaku mengambil upah sebagai penghantar dadah daripada seorang individu dikenali sebagai Din dan mendapat upah sebanyak RM1,000 seminggu.

    “Suspek memberitahu, kebiasaan penghantaran dilakukan sebanyak satu hingga dua kali seminggu,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Nasaruddin berkata, serbuan di Kampung Tujuh, Tumpat membawa kepada penangkapan Din yang berusia 35 tahun bagi membantu siasatan.

    Katanya, hasil soal siasat awal, suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan telah mengarahkan suspek pertama dikenali sebagai Keriuntuk mengambil dan menghantar dadah kepada pelanggan lain.

    “Upah akan dibayar setelah kerja itu diselesaikan dan Din turut mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Yoe yang tinggal di sekitar Rantau Panjang.

    “Semasa serbuan dilakukan, polis tidak menjumpai barang salah di dalam dan luar kawasan rumah suspek,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

  • Koperal cedera pintu simpan tayar gantian bas ekspres terbuka di SJR

    Koperal cedera pintu simpan tayar gantian bas ekspres terbuka di SJR

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG anggota polis yang sedang bertugas cedera selepas sebuah bas ekspres melanggar khemah sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 52.0 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 10.30 malam melibatkan bas ekspres dipandu seorang lelaki yang membawa 26 penumpang.

    “Bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Larkin, Johor Bahru menuju ke Kuala Terengganu melibatkan 26 penumpang terdiri daripada 12 lelaki dan sembilan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki.

    “Semasa sampai di SJR tersebut tiba-tiba pintu penyimpanan tayar simpanan bahagian belakang sebelah kanan telah terbuka dan terkena khemah SJR yang berada di tengah-tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semasa kejadian anggota yang sedang bertugas berada di bawah khemah berkenaan dan seorang daripadanya cedera.

    Semasa kejadian terdapat anggota yang sedang bertugas berada di bawah khemah berkenaan dan seorang daripadanya cedera selepas khemah di SJR terbabit dilanggar

    Jelasnya, anggota yang cedera itu berpangkat Koperal dan berusia 30 tahun, mengalami bengkak di bahagian belakang badan sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Pemandu bas ekspres berusia 50 tahun dan kelindannya termasuk semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Pihaknya kemudian melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas ekspres tersebut namun keputusannya negatif daripada sebarang pengaruh dadah selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

    Menurutnya, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan RM10,000 hingga RM15,000 bagi sabitan seterusnya.

  • 3 ditahan selepas serbu dua premis proses, simpan, jual arak tiruan

    3 ditahan selepas serbu dua premis proses, simpan, jual arak tiruan

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan tiga lelaki selepas melakukan serbuan di dua premis berasingan di Kawasan Industri Taman Bukit Maluri, Kepong, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Serbuan tersebut selepas pihak polis mendapat maklumat dan risikan premis berkenaan disyaki memproses dan menyimpan arak tiruan.

    Difahamkan, suspek mengisi campuran arak tiruan tersebut ke dalam botol kaca yang sama seperti minuman keras berjenama terkenal di mana harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua minuman keras tersebut dipercayai untuk memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan.

    “Kita percaya sasaran pasaran mereka adalah untuk pasaran tempatan lebih-lebih lagi untuk memenuhi permintaan ketika sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Krismas tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

    Eng Lai berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 6 petang itu, pihaknya berjaya merampas 53 botol arak kosong dan 70 botol yang sudah diisi dengan arak tiruan, 131 pelekat minuman keras pelbagai jenama serta pelbagai peralatan membancuh.

    “Pada serbuan di premis kedua pula kita berjaya merampas 756 kotak minuman keras jenama Tsingtao dan 474 kotak minuman keras jenama Harbin Ice di mana setiap kotak mengandungi 24 tin.

    “Minuman ini dipercaya tidak dibayar cukai Kastam yang dianggarkan bernilai RM117,912,” katanya dalam satu kennyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kesemua suspek direman tiga hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang(Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.