Category: Jenayah

  • 5 mangsa bot karam diserahkan kepada kedutaan Indonesia

    5 mangsa bot karam diserahkan kepada kedutaan Indonesia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LIMA mangsa bot kayu karam di perairan negeri ini kelmarin yang terselamat diserahkan kepada wakil pihak kedutaan Indonesia di Pejabat Zon Maritim Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, semua mangsa warga Indonesia itu diserahkan kepada wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, Hariyadi.

    “Penyerahan dilakukan pada jam 1.45 petang tadi (Isnin). KJRI Johor Bahru mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan kesemua lima mangsa terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kejadian pada sekitar jam 1 pagi kelmarin, bot kayu dinaiki lima mangsa berkenaan bocor dan karam yang ketika itu mereka dalam perjalanan dari Pulau Nipah, Indonesia menuju ke Batam, Indonesia.

    Kemudian sebuah kapal dagang menjumpai mereka pada jam 1.15 pagi kelmarin dan memberikan rakit keselamatan kepada mereka sebagai bantuan awal kecemasan.

    Rakit keselamatan bersama-sama lima mangsa itu kemudian ditemui sebuah kapal kargo yang sedang melalui Selat Melaka pada kedudukan 11.4 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat jam 12.35 tengah hari semalam.

    Nurul Hizam berkata, Maritim Johor mengucapkan terima kasih atas bantuan dan sokongan daripada komuniti maritim yang sentiasa menghulurkan bantuan dalam operasi mencari dan menyalamat.

    Katanya, kapal dan bot yang melalui perairan Johor boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-219 9401 atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya mempunyai kecemasan atau ingin menyalurkan maklumat mengenai sebarang insiden.

  • Pemandu lori bawa 7 tong dram diesel secara haram

    Pemandu lori bawa 7 tong dram diesel secara haram

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pemandu lori ditahan kerana gagal mengemukakan permit khas sewaktu membeli minyak diesel dari sebuah stesen minyak mini di Mukim Terap, Serdang, Kedah hari ini dipercayai untuk kegunaan jentera di kawasan pembinaan.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kulim, Mohd. Fazly Edros berkata, pihaknya menahan lelaki itu kira-kira pukul 10.30 pagi ketika dia sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram di atas sebuah lori di stesen minyak tersebut.

    Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat tujuh tong dram berkapasiti 200 liter di atas lori tersebut.

    “Ketika ditahan, jumlah minyak diesel yang sempat dibeli lelaki itu berjumlah kira-kira 1,205 liter bernilai RM2,590.

    “Pemandu lori itu gagal mengemukakan permit khas iaitu surat kebenaran bertulis dikeluarkan pengawal bekalan KPDNHEP sedangkan minyak yang digunakan oleh jentera bagi kerja-kerja pembinaan, sepatutnya adalah minyak komersial yang dibeli dari pemborong sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Mohd Fazly menambah, kesemua barangan termasuk lori satu tan dipandu lelaki tersebut dirampas dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM12,590.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan berkaitan barang kawalan.

    “Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 itu dibaca secara bersama dengan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu tiada siapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali di bawah satu lesen dikeluarkan di bawah peraturan 4,” katanya.

    Tambahnya, tindakan juga turut diambil terhadap stesen minyak tersebut di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974 kerana melanggar syarat lesen iaitu membenarkan pembeli untuk membeli minyak dengan memasukkannya selain daripada tangki kenderaan.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula, boleh didenda tidak lebih RM2 juta,” katanya.

  • Warga emas ditemui mati selepas lebih seminggu di rumah

    Warga emas ditemui mati selepas lebih seminggu di rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI kehilangan seorang lelaki warga emas yang sudah lebih seminggu tidak kelihatan terjawab apabila ditemukan mati di kediamannya di Jalan Layang 3, Taman Perling, Johor Bahru semalam.

    Jiran mangsa yang sudah beberapa hari tidak melihat kelibat Ng Meng Kuan, 83, sebelum itu terhidu bau busuk dari rumahnya selain sudah beberapa hari tidak melihat kelibat warga emas tersebut.

    Susulan itu jiran tersebut menghubungi pihak polis sebelum bomba datang membantu memecahkan pintu untuk masuk ke rumah.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Syuhaidy Fazly Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 petang.

    “Seramai lapan anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Pihak bomba membuka pintu kediaman yang berkunci menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa yang tinggal seorang diri ditemukan sudah meninggal dunia dipercayai sejak lebih seminggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi tersebut kemudian ditamatkan pada pukul 4.42 petang,” ujarnya.

  • Jenayah komersial meningkat sepanjang PKP, kerugian lebih RM11 juta

    Jenayah komersial meningkat sepanjang PKP, kerugian lebih RM11 juta

    KES penipuan membabitkan jenayah komersial di Kedah meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021 yang menyebabkan kerugian lebih RM11 juta.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, peningkatan kes terutama membabitkan jenayah penipuan yang mencatatkan sebanyak 1,881 kes pada 2021 berbanding 1,125 kes pada 2020.

    Daripada jumlah itu, 90 peratus adalah kes penipuan membabitkan jenayah penipuan seperti Macau Scam sebanyak 397 kes, Love Scam (98 kes), pinjaman wang tidak wujud (297 kes), pelaburan tidak wujud (214 kes) dan penipuan belian dalam talian (593 kes).

    “Kejadian banyak berlaku ketika PKP yang mana kebanyakan individu berada di rumah dan waktu itu sindiket penipuan ini merancang serta mencari taktik untuk mengaut wang daripada mangsa. 

    “Jumlah kerugian disebabkan jenayah kes komersial juga meningkat sebanyak RM11,079.937.52 iaitu kerugian sebanyak RM28,899,760.03 pada 2021 berbanding sebanyak RM17,819,822.51 pada 2020.

    “Ia membabitkan kerugian berjumlah RM28 juta pada 2021 berbanding 17 juta pada tahun sebelumnya yang mana peningkatan kes penipuan disebabkan perubahan trend jenayah daripada jenayah bersemuka dengan secara maya disebabkan oleh PKP,” katanya memetik laporan HM ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, bagi pertuduhan jenayah komersial pada tahun ini iaitu sebanyak 657 kes berjaya dituduh iaitu hampir 34.92 peratus.

    Beliau berkata, jenayah kekerasan juga meningkat sebanyak 10.95 peratus, jenayah harta benda meningkat 11.14 peratus dan jenayah narkotik turut menunjukkan peningkatan 28.5 peratus.

    “Kemalangan jalan raya pula turun enam peratus iaitu 18,327 kes pada 2021 berbanding 19,490 kes pada 2020,” katanya.

    Katanya, keseluruhan indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan 7.5 peratus iaitu 3,822 kes pada tahun lalu berbanding 4,133 kes, pada 2020.

    Dalam pada itu, pihaknya berjaya memperoleh sebanyak RM10.9 juta daripada kutipan saman sempena tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik sehingga 80 peratus bermula dari 9 hingga 29 Disember tahun lalu.

  • Mayat wanita reput, busuk dalam tasik di Putrajaya

    Mayat wanita reput, busuk dalam tasik di Putrajaya

    MAYAT wanita yang sudah reput dan busuk ditemukan di dalam sebuah tasik berhampiran Sky Ride Presint 2 di Putrajayasemalam.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang menjumpai mayat itu kira-kira 6.55 petang.

    “Pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati keadaan mayat telah kembung, reput, kulit terkupas dan berbau busuk, bahagian kemaluan si mati didapati reput dan terurai daripada badan manakala rambut juga telah tertanggal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, mayat juga ditemukan dalam keadaan telentang, berpakaian lengkap dan dipercayai berada di dalam air lebih kurang dua ke tiga hari.

    “Pakaian mangsa ialah blazer berwarna hitam, kemeja-T berwarna biru, skirt mini jean berwarna hitam dan tali pinggang pada skirt berlogo Versace, mangsa turut memakai tiga bentuk cincin dan gelang tangan,” katanya.

    A. Asmadi berkata, ketinggian wanita itu kira-kira 160 sentimeter namun taraf kewarganegaraannya dan umur masih belum dapat dipastikan dan memohon orang ramai atau waris yang kehilangan ahli keluarga atau saksi kejadian tampil membantu siasatan.

    Beliau berkata, mayat wanita itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan awal sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat dan pengesanan identiti.

    Katanya, orang awam terutama ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian serta mangsa diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerusi talian 03-88862145 atau pegawai penyiasat (IO) Insp Hafiza 019-8926572. – BERNAMA

  • Judi: 2,933 individu ditahan, RM1.12 juta dirampas

    Judi: 2,933 individu ditahan, RM1.12 juta dirampas

    SERAMAI 2,933 individu ditahan kerana disyaki terlibat pelbagai kes judi di ibu kota sepanjang tahun 2021, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, pihaknya telah melakukan sebanyak 1,528 serbuan serta merampas wang tunai RM1.12 juta, dalam usaha membanteras kegiatan judi dalam talian.

    “Jumlah berkenaan meningkat berbanding 779 serbuan, 2,051 individu ditahan dan wang tunai RM637,563 dirampas pada tahun 2020.

    “Pada tahun lepas (2021) juga seramai 20 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala sebanyak 1,528 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah itu 1,142 kes telah berjaya dituduh di mahkamah berbanding 581 kes pada 2020 ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abd Jalil berkata, pihaknya memandang berat kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan kesungguhan pihaknya membanteras kegiatan jenayah berkenaan.

    “Polis akan terus melipatgandakan usaha bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad, jabatan agama Islam negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam mengekang kegiatan ini,” katanya. – BERNAMA

  • Suami ditahan kes dera isteri, 9 anak yang tular dalam media sosial

    Suami ditahan kes dera isteri, 9 anak yang tular dalam media sosial

    SEORANG peniaga berusia 41 tahun di Pulau Pinang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes dera membabitkan isteri dan sembilan anaknya yang tular di dalam media sosial.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, suspek ditahan semalam selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian dera tersebut daripada isterinya yang berusia 31 tahun.

    Menurut beliau, wanita warga asing berkenaan membuat laporan mendakwa dia bersama-sama sembilan anak-anaknya berusia setahun hingga 13 tahun menjadi mangsa dera lelaki berkenaan.

    “Bertindak daripada laporan itu, polis bertindak menahan lelaki berkenaan semalam dan suspek kini direman bermula hari ini sehingga 6 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut termasuk dari aspek kesihatan dan perubatan terhadap mangsa masih dijalankan.

    Dalam masa sama jelas beliau, polis turut mengenal pasti anak-anak pasangan terbabit yang menjadi mangsa dera dengan tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang daripada mereka mengalami kecederaan.

    “Kita masih menunggu laporan perubatan wanita tersebut bagi mengesahkan sama ada dia juga menjadi mangsa dera oleh suspek,” katanya.

    Kisah penderaan wanita dan anak-anaknya itu menjadi tular dalam media sosial baru-baru ini selepas seorang individu dipercayai kakitangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memuat naik mengenainya dalam laman sosial Facebook.

    Difahamkan, mangsa bersama sembilan anaknya itu berjaya diselamatkan dengan bantuan NGO di Pulau Pinang.

  • Ops Ambang 2022: Polis rampas 350 kg ketum, keluar 299 kompaun

    Ops Ambang 2022: Polis rampas 350 kg ketum, keluar 299 kompaun

    POLIS menahan dua lelaki dan merampas daun ketum seberat 350 kilogram (kg) serta pelbagai jenis dadah seberat 325 gram (g) yang kesemuanya bernilai RM28,621 dalam tiga serbuan di sekitar ibu kota malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, polis menahan seorang suspek selepas menemukan beberapa jenis dadah antaranya serbuk MDMA seberat 169g, methamphetamine (27.5g), serbuk ketamin (18.31g), pil erimin 5 (2.85g) dan pil ecstacy (37.87g) di dalam pangsapuri berkenaan.

    Beliau berkata, dalam serbuan kedua di kawasan berhampiran Pasar Sri Sentosa Jalan Seri Sentosa pula polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 45g, methamphetamine (10g), ganja (17g) dan menahan seorang lagi suspek.

    “Di lokasi ketiga serbuan di Persiaran Zaaba, Taman Tun Dr Ismail polis berjaya menemukan daun ketum seberat 350 kg dan ubat batuk sebanyak 8,230 mililiter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu Amihizam berkata, polis mengeluarkan 299 kompaun dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah ‘Ops Ambang 2022’ di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Solaris dan di sekitar Bandar Baru Sri Petaling, bagi kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 637 individu dan 33 buah premis perniagaan di kawasan terbabit dalam operari itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya berkata 12 orang dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar SOP di sekitar kawasan Bukit Bintang ketika ambang tahun baharu 2022 semalam kerana tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan oleh polis supaya tidak berhenti dan berkumpul di kawasan terbabit.

    “Walaupun dalam keadaan hujan renyai ketika waktu puncak ambang tahun baru 2022 pihak kami menganggarkan seramai 700 hingga 1,000 orang mula hadir sekitar kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota seperti di Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan KLCC mendapati kawasan itu yang menjadi tumpuan ketika menyambut ambang tahun baharu dipenuhi pengunjung dari pelbagai bangsa.

    Pihak polis turut kelihatan mengawal keselamatan di kawasan-kawasan berkenaan. – BERNAMA

  • 157 dikompaun RM157,000 termasuk dua remaja langgar SOP PPN

    157 dikompaun RM157,000 termasuk dua remaja langgar SOP PPN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 157 individu termasuk dua remaja bawah umur dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM157,000 setelah didapati asyik berhibur di dua premis hiburan di Taman Molek dan Taman Johor Jaya, Johor Bahru, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam Ops Noda/Bersepadu Musim Perayaan dan Tahun Baharu itu, pemeriksaan dijalankan terhadap kesemua individu berusia 16 hingga 66 tahun.

    “Dalam kedua-dua serbuan, seramai 157 warga tempatan terdiri daripada 143 pelanggan, 12 pekerja dan dua penjaga premis telah diperiksa.

    “Kesemua warga tempatan telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang. Nilai keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM157,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Seramai 157 warga tempatan terdiri daripada 143 pelanggan, 12 pekerja dan dua penjaga premis telah diperiksa di dua buah pusat hiburan

    Katanya, daripada jumlah itu seramai 12 lelaki dan empat wanita warganegara asing diperiksa untuk semakan ketulenan passport di Jabatan Imigresen.

    Selain itu katanya, siasatan mendapati pusat hiburan terbabit tidak mempunyai Lesen Hiburan Awam dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

    Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    “Operasi secara berterusan bagi mengawal dan memantau semua pusat-pusat hiburan di Daerah Seri Alam akan diteruskan.

    “Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak atau individu yang cuba menjalankan operasi pusat hiburan tanpa mengikut undang-undang sedia ada,” ujarnya.

  • Ops Ambang Tahun Baharu Pulau Pinang, 253 ditahan polis

    Ops Ambang Tahun Baharu Pulau Pinang, 253 ditahan polis

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai 253 individu atas pelbagai kesalahan dalam Op Ambang Tahun Baharu 2022 yang dijalankan di seluruh negeri itu bermula pukul 9 malam hingga 4 pagi tadi.

    Daripada jumlah itu, seramai 144 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan melibatkan narkotik dengan pelbagai jenis dadah bernilai RM17,338 turut dirampas.

    Mereka yang ditahan itu termasuk 16 individu yang disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 112.2 gram bernilai RM3,997.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, Op Ambang Tahun Baharu 2022 itu melibatkan kekuatan 146 pegawai kanan dan 821 anggota polis dari kelima-lima ibu pejabat polis daerah (IPD) di negeri itu.

    “Seramai 36 individu pula ditahan atas kesalahan jenayah manakala lima individu yang mempunyai rekod jenayah dikehendaki turut berjaya ditahan.

    “Di samping itu, kita turut menahan tiga individu di bawah Akta Bahan Letupan 1957 kerana membakar mercun tanpa kebenaran serta 26 individu lagi atas kesalahan di bawah Enakman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis (IPK) kontinjen Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu Rahimi berkata, secara keseluruhannya operasi tersebut telah memeriksa seramai 8,164 individu dan 4,929 buah kenderaan.

    Ujarnya, polis turut mengeluarkan sebanyak 1,301 saman serta menyita 52 buah motosikal atas pelbagai kesalahan trafik selain menahan tiga individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.