Category: Jenayah

  • Edar dadah di Felda:Suami isteri, pasangan kekasih ditahan

    Edar dadah di Felda:Suami isteri, pasangan kekasih ditahan

    POLIS menahan sepasang kekasih dan suami isteri selepas disyaki terbabit dalam kes pengedaran dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM402,411 di Temerloh pada awal bulan ini.

    Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Temerloh menahan empat individu berkenaan ditahan dalam serbuan pada 2 dan 3 Januari lalu.

    Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, menerusi serbuan pertama pasangan kekasih berumur 35 dan 41 tahun yang berada dalam bilik sewa di Taman Dahlia, Temerloh ditahan pada pukul 11 malam, 2 Januari lalu.

    Katanya, hasil siasatan lanjut, polis merampas sembilan paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 60.67 gram dan enam paket lutsinar disyaki dadah jenis syabu 7.76 gram.

    “Hasil ujian saringan awal terhadap dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis morfin dan masing-masing mempunyai lima dan tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

    “Susulan penahanan pasangan terbabit, polis melakukan serbuan kedua pada 12.15 tengah malam, 3 Januari lalu di taman sama dan berjaya menahan suami isteri berumur 35 dan 36 tahun.

    “Penahanan itu menemukan dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 41.01 gram dan satu paket plastik lutsinar jenis syabu seberat 25.85 gram.

    “Hasil ujian saringan awal terhadap kedua-dua suspek negatif tetapi masing-masing mempunyai satu dan dua rekod berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan, hari ini.

    Ramli berkata, dengan penahanan itu, seorang suspek membawa sepasukan polis ke rumah di Jalan Batu 6, Temerloh yang membawa kepada rampasan dadah lebih besar pada 5 pagi, 3 Januari lalu.

    Katanya, rampasan itu membabitkan dadah jenis syabu seberat 1,068.79 gram, 29 paket dadah jenis syabu seberat 729.28 gram dan 17 paket plastik lutsinar jenis heroin seberat 129.18 gram.

    “Satu beg kain berzip berwarna hitam mengandungi dadah jenis heroin seberat 2,350.18 gram dan 10 papan pil erimin seberat 26.99 gram, tiga paket heroin seberat 1,359.25 gram dan syabu seberat 658.40 gram serta 53 jenis barang kemas dan wang tunai RM24,000 dan selaras senapang patah tanpa peluru.

    “Bagi kes senapang patah, kes ini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan akan dipenjara lebih melebihi satu tahun penjara atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    “Jumlah nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta ialah RM792,058 iaitu dadah jenis syabu, heroin dan erimin berjumlah RM402,411 manakala nilai sitaan harta RM389,647.50 termasuk wang tunai RM24,000, akaun bank (RM77,647.50), barang kemas (RM160,000), sebuah pacuan empat roda (RM120,000) dan sebuah motosikal (RM8,000).

    “Mereka kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 3 Januari lalu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    “Sindiket ini dipercayai memperolehi bekalan dadah jenis heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda di sekitar Temerloh dan Kuantan,” katanya.

  • Rasuah dapatkan kontrak:Pesara, pengurus syarikat ditahan

    Rasuah dapatkan kontrak:Pesara, pengurus syarikat ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat menahan seorang pesara sebuah syarikat milik kerajaan dan seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan RM500,000.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 61 tahun itu ditahan pejabat SPRM Johor Bahru antara pukul 12.30 tengah Hari hingga 5 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan pada 2019 hingga 2020, suspek pesara yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus syarikat milik kerajaan di Segamat telah menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja kontrak perladangan di daerah tersebut.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    Dalam pada itu, Majitret Suhaila Shafi’uddin membenarkan tempoh reman selama lima bermula hari ini hingga 10 Januari ini.

  • Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki tempatan dikenali N. Ganesparan kerana gagal hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi kes pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berkenaan dikehendaki bersabit waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur pada 20 Dis lepas, berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 233(1(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki berusia 40 tahun itu,(dinasihatkan) supaya menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Supt Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat Insp Shahrir Mohamad 019-5414014,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Sebelum ini, media melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi Diraja dan kerajaan yang tular di media sosial. – BERNAMA

  • Cemar sungai:JAS tahan pengurus, pengarah kilang

    Cemar sungai:JAS tahan pengurus, pengarah kilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor menahan seorang pengurus dan seorang pengarah kilang kerana dipercayai melepaskan sisa buangan di Sungai Perembi, Pasir Gudang kelmarin.

    Menurut Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusoff, dua suspek lelaki yang merupakkan warganegara tempatan itu berusia 50-an dan 40-an.

    “Kedua-dua mereka ditahan ketika serbuan dijalankan terhadap premis berkenaan pada pukul 4 petang.

    “Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam lebih kurang pukul 5 petang.

    “Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana melepaskan air buangan efluen tidak terolah secara pintasan (bypass) ke Sungai Perembi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Difahamkan kilang tersebut merupakan sebuah kilang yang memproses bahan berasaskan makanan.

    Pihaknya kemudian mengarahkan premis berkenaan untuk melakukan langkah penambahbaikan bagi dan menghentikan pembuangan sisa berkenaan.

    “Siasatan di sungai mendapati tiada pencemaran berlaku akibat sisa buangan daripada premis tersebut,” katanya.

    Famey berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntuk denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Maritim Malaysia lakukan rampasan daun ketum terbesar seberat 5 tan

    Maritim Malaysia lakukan rampasan daun ketum terbesar seberat 5 tan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Hasil kecekapan risikan yang dilaksanakan selama hampir sebulan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira lima tan daun ketum ke negara jiran dan menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi ‘transporter’, awal pagi semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan daun ketum tersebut merupakan yang terbesar dilakukan setakat ini dan hampir menyamai jumlah rampasan keseluruhan pada 2021 iaitu sebanyak 5.9 tan.

    Katanya, tangkapan tersebut dilakukan pada pukul 1.40 pagi semalam apabila pihaknya berjaya mengesan kedudukan sebuah bot fiber yang bergerak keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan gelap.

    “Bot Perkasa 1226 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan. Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot menuju ke daratan berhampiran.

    “Bot fiber itu bagaimanapun berjaya dipintas lalu ditahan oleh pegawai dan anggota yang menaiki Bot Perkasa 1226. Pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki warganegara tempatan menaiki bot fiber itu yang turut membawa 200 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum dianggarkan seberat kira-kira dua tan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Marina Harbour, Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, soal siasat dijalankan terhadap kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan 300 lagi bungkusan plasik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat tiga tan, di satu kawasan yang terletak kira-kira 4.0 batu nautika, timur muara Kuala Kedah.

    “Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa yang mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding RM40 di pasaran tempatan.

    “Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.08 juta dengan nilai daun ketum yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM900,000,” katanya.

    Mohd. Zawawi menambah, kedua-dua transporter itu mendakwa mereka menerima upah sebanyak RM700 untuk dikongsi berdua bagi menyelesaikan tugas tersebut.

    “Upah diterima itu agak rendah kerana biasanya mereka akan menerima RM500 atau RM700 seorang bergantung kepada kuantiti penghantaran. Namun bersandarkan kekuatan enjin bot yang berkuasa 115 kuasa kuda, kita percaya mereka memang merancang untuk melakukan penyeludupan secara besar-besaran pada satu-satu masa,” katanya.

  • Peniaga sayur maut, isteri dan anak cedera selepas rempuh ekor treler

    Peniaga sayur maut, isteri dan anak cedera selepas rempuh ekor treler

    SEORANG peniaga sayur maut selepas van dinaiki terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 28.6, Jalan Dungun-Bukit Besi di persimpangan lampu isyarat ke Plaza Tol Bukit Besi, Dungun, hari ini.

    Selain Che Idris Jusoh, 70, yang maut dalam kemalangan pada jam 6.30 pagi itu, isteri dan anak lelakinya, Nurul Syafiqah Shahira Mahamood, 26, dan Muhammad Che Idris, 5, cedera.

    Che Idris parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang membawa muatan besi buruk dari arah plaza tol terbabit berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke arah Bukit Besi.

    Ketika membelok, kepala treler terbabit dikatakan terpisah yang menyebabkan ekor treler itu jatuh dan merintangi jalan di situ.

    Van dinaiki tiga beranak dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun itu dikatakan gagal membrek lalu merempuh bahagian tengah ekor treler terbabit.

    Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.58 pagi sebelum sebuah jentera dan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    “Ketika sampai, pemandu van terbabit disahkan meninggal dunia dan isterinya yang cedera tersepit di bahagian depan kenderaan.

    “Anak lelaki mangsa ketika itu dibawa keluar oleh orang awam yang kebetulan melalui tempat kejadian.

    “Kami mengambil masa selama 20 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa tersepit dan dihantar ke Hospital Dungun dengan ambulans manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, ketika kejadian treler terbabit dalam perjalanan menghantar besi buruk ke Gebeng, Kuantan manakala van dinaiki mangsa dalam perjalanan ke Pasar Dungun.

    “Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

    “Kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.

  • Minta suapan setengah juta ringgit, pengurus syarikat ditahan

    Minta suapan setengah juta ringgit, pengurus syarikat ditahan

    SEORANG pengurus sebuah syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah melebihi RM500,000.

    Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan remah terhadap suspek bermula hari ini sehingga 8 Januari depan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurut sumber, suspek berusia 43 tahun ditahan pukul 4 petang semalam di pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

    Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha stesen minyak sekitar Kuala Lumpur sebagai dorongan mengelakkan penilaian prestasi stesen minyak pemilik berkenaan terjejas.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab. Rahman mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

  • Polis Pulau Pinang rampas RM113.92 juta dadah tahun lalu

    Polis Pulau Pinang rampas RM113.92 juta dadah tahun lalu

    POLIS Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM113.92 juta sepanjang tahun lalu iaitu meningkat sebanyak RM65.18 juta berbanding tahun 2020 (RM48.74 juta).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, peningkatan rampasan dadah itu hasil peningkatan operasi, risikan dan kehadiran anggota polis di lapangan.

    Menurut beliau, daripada operasi sepanjang tahun lalu juga, seramai 7,688 individu berjaya ditahan sepanjang yang mana seramai 1,976 daripadanya melibatkan kesalahan kategori bekalan; 4,197 (pemilikan) dan 1,515 (urin).

    Jelas beliau, pihaknya menjangkakan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah itu akan berterusan memandangkan sindiket-sindiket terbabit dikesan bergerak agresif selain adanya permintaan.

    “Disebabkan itu, kita meningkatkan kerja-kerja risikan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah ini,” katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

    Terdahulu beliau menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Bagi Bulan Januari 2022 Peringkat Kontinjen Pulau Pinang.

    Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata,  jenayah komersial di Pulau Pinang turut meningkat mendadak sepanjang tahun lalu membabitkan kerugian sebanyak RM537 juta atau 225.4 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM165 juta).

    Jelasnya, jumlah itu melibatkan sebanyak 3,209 kes yang disiasat sepanjang tahun lalu berbanding hanya 2,453 kes pada tahun 2020.

    Bagaimanapun secara keseluruhan jelae beliau, kadar jenayah di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 27.3 peratus sepanjang tahun 2021 berdasarkan nilai ambang yang dijadikan kayu pengukur dan juga digunakan oleh Interpol dalam kajian jenayah di seluruh dunia.

    Dalam perkembangan berkaitan beliau menjelaskan, sebanyak 171 kertas siasatan tatatertib turut dibuka polis Pulau Pinang melibatkan 314 anggota iaitu 43  pegawai kanan; pegawai rendah (269) dan dua kakitangan awam sepanjang tahun lalu.

    Daripada jumlah itu jelasnya, kes tatatertib adalah sebanyak 107; jenayah (33); dadah (17); tidak hadir bertugas (8), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (4) dan syariah (2).

    “Daripada 314 kes tersebut, 28 orang masih dalam siasatan untuk diambil tindakan antaranya gantung, tahan dan dibuang kerja.

    “Hanya setelah Lembaga Tatatertib bersidang dan membuat keputusan serta hukuman dijatuhkan, baru mereka ini akan berada dalam statistik hukuman,” katanya.

  • Polis kesan sindiket penipuan dalam talian guna wajah pegawai polis

    Polis kesan sindiket penipuan dalam talian guna wajah pegawai polis

    POLIS mengesan satu sindiket penipuan dalam talian ‘Macau Scam’ yang disyaki membuat panggilan video palsu menggunakan gambar wajah pegawai polis bagi memaklumkan mangsa terlibat kes pengubahan wang haram dan rasuah.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata anggota sindiket berkenaan akan memperkenalkan diri sebagai pegawai insurans sebelum disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ yang menyatakan mangsa terlibat dalam kes terbabit.

    Beliau berkata ‘pegawai polis’ berkenaan membuat panggilan video dengan berpakaian uniform menggunakan aplikasi menampakkan pergerakan mulut seperti orang sebenar sekali gus mengelirukan mangsa.

    “Sindiket ini mengelirukan orang ramai dengan membuat panggilan video menggunakan aplikasi tersebut yang menampakkan kesahihan pemanggil sedangkan ia telah diubah suai dengan menampakkan pergerakan mulut dan gambar wajah yang disunting.

    “Kaedah ini boleh memperdayakan orang ramai sehingga mengakibatkan kerugian,” katanya dalam kenyataan.

    Beh berkata semalam pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan sindiket itu daripada seorang suri rumah berusia 40 tahun yang menyatakan dia didakwa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah melalui semakan maklumat peribadi pengadu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu,” katanya sambil menambah orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan panggilan yang diterima.

    Beliau berkata pihaknya memandang serius terhadap kes melibatkan panggilan palsu yang menggunakan gambar profil pegawai polis dan pihak penguat kuasa bagi mengaburi orang ramai.

    Orang ramai dinasihatkan membuat semakan menerusi laman sesawang Semak Mule atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan sindiket itu. – Bernama

  • Tular JPJ iring lori balak ke pusat timbang, bukan untuk ‘perlindungan’

    Tular JPJ iring lori balak ke pusat timbang, bukan untuk ‘perlindungan’

    VIDEO tular menerusi media sosial memaparkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengiringi beberapa lori balak di kawasan Gua Musang, Kelantan sebenarnya sebahagian Operasi Khas Lori Balak yang dilaksanakan JPJ Kelantan, semalam.

    JPJ dalam kenyataan memaklumkan tindakan kenderaan JPJ mengiringi lori-lori itu untuk ke Stesen Penguatkuasa Mentara, Gua Musang adalah bagi memastikan pemandu lori terlibat tidak meloloskan diri daripada kawalan JPJ seterusnya ke lokasi yang diarahkan untuk menimbang berat muatan.

    Menurut kenyataan itu, tindakan terbabit juga merupakan satu daripada prosedur operasi standard (SOP) JPJ bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

    “JPJ memandang serius persepsi negatif terhadap JPJ yang didakwa seolah-olah memberi ‘perlindungan’ kepada kesemua lori balak terbabit. Perkongsian video itu dilihat telah mencalarkan imej JPJ tanpa si pemilik akaun media sosial tersebut mengetahui gerak kerja sebenar JPJ.

    “JPJ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan dengan membuat laporan polis jika didapati tuduhan itu menggugat kredibiliti dan imej JPJ dalam melaksanakan tugas rutin,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, JPJ menerusi operasi tersebut menahan 30 lori balak di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang dan bertindak membuat pemeriksaan sebelum kesemua lori berkenaan diarahkan untuk ditimbang di Stesen Penguatkuasa Mentara diringi kenderaan rasmi JPJ.

    “Selain itu, JPJ telah mengeluarkan 56 notis kesalahan iaitu 23 notis mengikut Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, dua notis mengikut Seksyen 224 APAD 2010 dan 31 notis bagi lain-lain kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Hari ini, tular satu video menerusi media sosial memaparkan kenderaan JPJ yang didakwa mengiringi lori balak di Kelantan dan mendapat pelbagai reaksi warganet sekali gus menyeru JPJ serta Kementerian Pengangkutan memberikan penjelasan lanjut mengenainya.- Bernama