Category: Jenayah

  • Bot tunda dan barge berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang ditahan

    Bot tunda dan barge berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda Nautillus dan ‘barge’ Singa Besar yang disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Ketua Jabatan Laut Malaysia semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tunda bersama barge itu ditahan semasa rondaan rutin kira-kira pukul 10.15 pagi semalam pada jarak 0.5 batu nautika barat Penaga.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh dari Pengarah Laut Malaysia ketika diminta.

    “Barge bermuatan jentera dan bot tunda itu dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda terdiri daripada enam warga Indonesia dan dua warga tempatan.

    “Bagaimanapun, kesemua mereka yang berumur antara 21 hingga 48 tahun itu memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, nakhoda bersama seorang ketua jurutera telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Jika sabit kesalahan katanya, akta itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

    “Kita akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • 6 termasuk wanita ditahan 1 jam selepas larikan RM260,000

    6 termasuk wanita ditahan 1 jam selepas larikan RM260,000

    TIDAK sampai satu jam memecah pecah cermin sebuah kenderaan mewah dan melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 di Tanah Rata, Cameron Highlands, Sabtu lalu, enam penjenayah terbabit termasuk seorang wanita berjaya ditahan.

    Semua suspek berusia 19 hingga 38 tahun itu ditahan pukul jam 11.40 malam Sabtu dalam serbuan di sebuah lokasi di Brinchang.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan ke atas suspek berjaya dilakukan kurang satu jam selepas kejadian dilaporkan.

    “Hasil pemeriksaan, polis menemui dan merampas kembali wang tunai RM260,000 yang dilarikan dari kenderaan tersebut selain beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu.

    “Turut dirampas ialah empat peket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 34.74 gram dan satu peket plastik berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja kira-kira 4.2 gram,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Cameron Highlands, hari ini.

    Katanya, polis turut menemui dan merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi selain pelbagai barang kemas, tiga jongkong emas, 10 telefon bimbit, sebuah beg berisi wang tunai berjumlah RM3,843 dan anak kunci gari.

    “Siasatan lanjut mendapati dua suspek telah mendedahkan penglibatan mereka dalam tujuh kes jenayah pecah cermin kereta dan curi barang di sekitar Cameron Highlands.

    “Suspek turut mendedahkan penglibatan dua lagi rakan jenayah dalam kegiatan itu yang masih bebas. Berikutan itu, usaha mengesan dan menjejaki dua suspek itu sedang dijalankan,” katanya.

    Beliau berkata, suspek bagaimanapun sudah dikenal pasti dan hasil semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 25 rekod jenayah lampau.

    Menurutnya, dengan tertangkapnya kumpulan tersebut, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah cermin kenderaan yang berlaku di sekitar Cameron Highlands.

    “Hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek yang ditahan mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua mereka direman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    “Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 394 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau.

  • Perhilitan tangkap gajah jantan liar masuk kampung

    Perhilitan tangkap gajah jantan liar masuk kampung

    PENDUDUK di Kampung Salor, Jeli, kini boleh menarik nafas lega apabila seekor gajah liar sering masuk ke kawasan kampung dan merosakkan tamanan sudah ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jumaat lalu.

    Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap gajah jantan pada pukul 5 petang dengan anggaran ukuran tapak kaki hadapan 35 sentimeter.

    Menurut Perhilitan, operasi tangkapan itu dilakukan susulan aduan diterima daripada penduduk sejak Ogos lalu berhubung gangguan gajah liar di Kampung Salor, Kampung Batu Melintang, Jerek, Lawar dan Pendok.

    “Gajah ini adalah daripada kumpulan gajah Gunung Basor dengan anggaran populasi lebih dari 30 ekor dan dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan.

    “Jabatan Perhilitan mengambil tindakan seperti memberi khidmat nasihat kepada penduduk setempat, pemantauan dan kawalan di kawasan konflik selain menggunakan kaedah tembak halau bagi memastikan gajah liar berkenaan kembali semula ke hutan simpan berhampiran.

    “Operasi tangkap pindah ini adalah langkah susulan bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat dan memastikan keselamatan gajah liar dari diancam pemburuan haram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Perhilitan turut memaklumlam, operasi pindah gajah liar itu dirancang dilakukan esok dan gajah berkenaan akan dilepaskan ke habitat semula jadi di Taman Negara dengan kerjasama daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang Pahang.

    Katanya, penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun supaya tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan risiko konflik hidupan liar di kawasan berkenaan.

    “Pihak jabatan ingin menjelaskan bahawa operasi tangkap pindah gajah bukan penyelesaian jangka panjang terutamanya di kawasan kebun atau ladang yang berhampiran dengan kawasan hutan simpan.

    “Langkah mitigasi yang lebih efektif seperti sistem pagar elektrik gajah (SPEG) adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk menghalang gajah liar memasuki kawasan tanaman,” katanya.

  • Hanya selipar ditemui tepi sungai:Budak dua tahun dikhuatiri lemas

    Hanya selipar ditemui tepi sungai:Budak dua tahun dikhuatiri lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang dan hanya menemukan sepasang seliparnya di tepi sungai di Kampung Sungai Zon Kumareling, Tambunan, pukul 6 petang semalam.

    Selipar itu ditemukan ibu mangsa yang mencari anaknya, Mohammad Syaril di tepi sungai di belakang rumah mereka yang dipercayai lemas.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.53 petang.

    Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai bersama pacuan empat roda JBPM dikerah ke lokasi kejadian.

    “Pasukan Bomba bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Menerusi maklumat awal, mangsa dipercayai hilang di sungai berdasarkan kepada penemuan selipar mangsa di tepi sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, maklumat berhubung keadaan operasi mencari kanak-kanak terbabit dikemaskini dari semasa ke semasa.

    “Setakat ini, mangsa belum ditemukan dan operasi SAR masih dijalankan,” katanya.

  • Pengarah Urusan syarikat, jurutera ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu

    Pengarah Urusan syarikat, jurutera ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah urusan sebuah syarikat dan seorang jurutera profesional bagi membantu siasatan kerana mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM250,000 bagi projek pembinaan jambatan sementara di Segamat.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 52 dan 41 itu ditahan pejabat SPRM Johor Bahru, Johor Bahru sekitar pukul 7 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Pada 2016 hingga 2020, kedua-dua suspek bersubahat dalam mengemukakan dan memperakukan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di Segamat bagi projek pembinaan jambatan sementara bernilai lebih RM4 juta, sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Kedua-kedua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi ini, bagi mendapatkan permohonan reman.

    Majistret Nurmardiana Mamat membenarkan tempoh reman selam enam hari bermula hari ini hingga 15 Januari.

  • ‘Saya tidak melakukan sebarang jenayah’ – Azam Baki

    ‘Saya tidak melakukan sebarang jenayah’ – Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tiada halangan sekiranya kes yang didakwa membabitkan dirinya dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM.

    Beliau juga sedia menyerahkan kepada budi bicara Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) kerana tiada sebarang fakta disembunyikannya.

    Malah beliau juga yakin tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah guna kuasa seperti yang didakwa pihak tertentu.

    Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan mengejut terhadap pembangunan di Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang, hari ini.

    Pada Rabu lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),Tan Sri Abu Zahar Ujang, dalam sidang media khas menyatakan LPPR yang juga satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

    Katanya, tujuan panel lembaga itu memanggil Azam pada 24 November lalu adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan berkenaan yang tular dalam media sosial kerana ia menimbulkan pandangan negatif terhadap SPRM.

    Kelmarin Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan pula berkata, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

  • Kaki mangsa hampir putus ditetak ketika disamun

    Kaki mangsa hampir putus ditetak ketika disamun

    SEORANG lelaki ditetak dengan sebilah parang semasa disamun lelaki bertopeng dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bunut Rendang, Pasir Puteh, semalam.

    Semasa kejadian pada pukul 2.20 petang, mangsa, 27, mengalami kecederaan parah hampir putus di pergelangan kaki kiri, luka di lengan kiri, di bahagian belakang badan dan bahu kiri.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

    Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama-sama rakannya sedang tidur di dalam sebuah bilik dan didatangi seorang lelaki bertopeng yang memakai sarung tangan hitam sambil memegang sebilah parang di tangan kanan.

    “Lelaki itu terus menetak mangsa dan suspek kemudian mengambil telefon bimbit serta barang milik mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Alza berwarna putih dan bercermin gelap.

    “Hasil temubual dengan jiran mangsa, mereka memaklumkan ada melihat kereta Perodua Alza berwarna putih yang berada di hadapan rumah mangsa.

    “Jiran mangsa melihat seorang lelaki bertopeng, berpakaian hitam dan memakai sarung tangan hitam keluar dari rumah mangsa.

    “Suspek memberi amaran kepada jiran mangsa dengan menunjukkan sepucuk pistol dan mengarahkannya supaya masuk ke dalam rumah,” katanya ketika dihubungi.

    Mengulas lanjut, Shafien berkata, suspek masuk di bahagian penumpang hadapan kenderaan dan kereta itu terus memecut keluar dari tempat kejadian.

    Beliau berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan siasatan terhadap kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

    “Punca kejadian masih belum dapat dipastikan lagi, namun modus operandi adalah samun dan mendatangkan kecederaan parah. Polis kini giat mengesan suspek,” katanya.

    Beliau berkata, hasil semakan mendapati mangsa mempunyai 12 rekod jenayah lampau masing-masing enam berkaitan kesalahan narkotik dan enam kesalahan jenayah harta benda.

  • Mayat bayi masih bertali pusat dibuang bawah flat

    Mayat bayi masih bertali pusat dibuang bawah flat

    SEORANG pekerja pembersihan warga Bangladesh terkejut apabila menemukan mayat bayi perempuan baru dilahirkan di Blok A Flat Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, pukul 8 pagi tadi.

    Sebelum iktu Muhammad Joshim, 30, sedang menyapu sampah di bawah flat berkenaan sebelum ternampak bungkusan plastik sampah hitam di atas kawasan berumput.

    Katanya, sebaik menghampiri dia terkejut melihat di sebelah plastik sampah itu ada bayi perempuan masih bertali pusat dalam keadaan tertiarap tidak bernyawa.

    “Saya takut bila lihat bayi itu dan segera beritahu seorang wanita penduduk di sini. Saya juga beritahu rakan sekerja,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat bayi di kawasan rumput dan beralaskan papan kayu itu pada pukul 8.21 pagi.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diterima, pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ke lokasi untuk siasatan.

    “Hasil penemuan di tempat kejadian dapati mayat bayi perempuan yang dijumpai itu dipercayai berusia sehari dan masih bertali pusat.

    “Mayat bayi itu dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

    Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

    “Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Tular bergaduh isu tapak niaga, pasangan suami isteri ditahan polis

    Tular bergaduh isu tapak niaga, pasangan suami isteri ditahan polis

    DUA individu yang mencederakan seorang lelaki selepas terlibat dalam pertengkaran dalam kejadian di Taman OUG, Kuala Lumpur pada Jumaat telah ditahan polis.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan telah diambil susulan daripada video berdurasi 45 saat yang tular dalam media sosial.

    “Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berumur 58 tahun mendakwa telah dicederakan oleh suspek apabila dia mengambil gambar tapak niaga milik suspek sebagai bukti bahawa berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan.

    “Suspek seorang lelaki berumur 53 tahun dikatakan telah mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

    “Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengambil gambar telah menyerang dan menendang mangsa di bahagian belakang badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Amihizam berkata, seorang lagi suspek lain iaitu seorang wanita berumur 48 tahun turut ditangkap bagi membantu siasatan.

    Menurut beliau, kedua-dua suspek dalam kes ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera.

    “Mangsa telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” ujarnya.

    Amihizam dalam pada itu turut menasihati orang awam agar tidak melakukan tindakan di luar kawalan yang boleh mendatangkan kecederaan dan ketakutan kepada mana-mana orang.

  • Harimau jantan yang mati ditembak semalam, belum dapat dipastikan sama ada diburu Perhilitan

    Harimau jantan yang mati ditembak semalam, belum dapat dipastikan sama ada diburu Perhilitan

    IDENTITI harimau belang yang ditembak mati selepas kira-kira tiga jam membaham seorang lelaki Orang Asli pada Jumaat, belum dapat dikenal pasti sama ada ia adalah antara tiga ekor harimau yang diburu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan di Pos Bihai, Gua Musang, sebelum ini.

    Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bihai susulan aduan terdapat tiga ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan itu sejak 10 Disember tahun lepas.

    “Kita juga telah memasang tiga perangkap harimau belang (Perangkap Wahab) di Pos Bihai iaitu dua di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak.

    “Beberapa kaedah tangkapan turut digunakan seperti menggunakan tembak pelali dan pemasangan perangkap bagi meningkatkan lagi keberhasilan tangkapan harimau belang di perkampungan terbabit,” katanya menurut laporan Bernama.

    Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata pihaknya sentiasa memberikan talimat kepada penduduk kampung dari semasa ke semasa mengenai perjalanan operasi jabatan serta langkah berjaga-jaga ketika berada di luar kawasan rumah.

    Dalam kejadian semalam, mangsa Anek Bin Along, 59, maut setelah dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, pada pukul 9 pagi, pada Jumaat.

    Dilaporkan kejadian berlaku ketika mangsa keluar membuang air kecil di belakang rumah manakala anak perempuannya sedang menumbuk padi di belakang rumahnya kira-kira pukul 9.10 pagi.

    Namun, Perhilitan Kelantan terpaksa menembak mati harimau jantan berusia tiga tahun dan seberat 120 kilogram itu, selepas haiwan berkenaan cuba menyerang kakitangan Perhilitan semasa proses tangkapan dijalankan pada pukul 12.15 tengah hari, di kampung itu. – Bernama