Category: Jenayah

  • Reman doktor jual sijil vaksin palsu sambung 2 hari

    Reman doktor jual sijil vaksin palsu sambung 2 hari

    PERINTAH tahanan reman terhadap seorang doktor klinik swasta yang didakwa menjual sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Terengganu disambung dua hari lagi oleh Mahkamah Majistret Marang.

    Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tahanan reman dilanjutkan sehingga Khamis ini terhadap doktor lelaki berusia 51 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dijalankan pihak polis.

    Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu itu.

    Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar. – BERNAMA

  • 15 direman dalam kes penyata akaun bank palsu

    15 direman dalam kes penyata akaun bank palsu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 15 individu termasuk seorang wanita direman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan terhadap kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat tertentu, yang mempunyai butiran palsu bagi memasuki tender pada 2018 dan 2019.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Menurut sumber, kesemua 15 individu itu merupakan antara 21 individu berusia antara 31 hingga 77 tahun yang ditahan di sekitar Bangi dan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah semalam.

    SPRM 15
    Beberapa individu yang ditahan SPRM semalam dibawa keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar setelah menerima perintah tahanan reman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank palsu syarikat untuk mendapatkan tender pada 2018 dan 2019.

    “Tender yang dimaksudkan itu adalah berkaitan dengan penswastaan pengumpulan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.

    “Kes ini melibatkan beberapa syarikat berbeza mereka yang ditahan terdiri daripada individu berjawatan pengarah syarikat, pemilik, pengurus, kontraktor dan individu bekerja sendiri,” katanya, hari ini.

    Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

    “SPRM memang sedang mengesan individu-individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes ini. Jadi tidak mustahil akan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan dibuat itu.

    Beliau turut memaklumkan kes tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Pembakaran terbuka, premis kitar semula kayu palet didenda RM4,000

    Pembakaran terbuka, premis kitar semula kayu palet didenda RM4,000

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 kepada pemilik sebuah premis perniagaan kitar semula kayu palet terpakai di Juru Estate,  Seberang Perai Tengah (SPT) kerana melakukan pembakaran terbuka.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas lokasi pembakaran terbuka itu selepas mendapat laporan daripada orang awam.

    Ujarnya, siasatan lanjut mendapati premis  yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual kayu palet terpakai itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu membenar dan menyebabkan pembakaran terbuka kayu palet di dalam kawasan premis.

    “Kompaun berjumlah RM4,000 telah dikenakan ke atas syarikat tersebut atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan.

    “Jabatan Alam Sekitar memandang serius isu pembakaran terbuka dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat-syarikat yang menghantar kayu palet untuk dikitar semula memeriksa premis penerima bagi memastikan bahan yang dihantar benar-benar dikitar semula dan bukan dilupuskan secara pembakaran terbuka.

    Jelas beliau, pihaknya juga telah mengaktifkan beberapa Pasukan Rondaan selepas waktu bekerja bagi mencegah isu pencemaran dan pembakaran terbuka.

    “Sebarang kesalahan akan diambil tindakan sewajarnya iaitu kompaun dan atau tindakan mahkamah dengan denda maksima RM500,000,” katanya.

    Dalam masa sama tambahnya, sebarang aduan atau maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar yang tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar boleh dikemukakan melalui saluran talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/.

    “Aduan pembakaran terbuka di sekitar kawasan perumahan juga boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

  • Sijil vaksin palsu: Doktor dipercayai minta rakan jadi ejen cari pelanggan

    Sijil vaksin palsu: Doktor dipercayai minta rakan jadi ejen cari pelanggan

    MENJADIKAN rakan-rakan sebagai ejen antara taktik yang dipercayai digunakan seorang doktor untuk mencari individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Terengganu.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata susulan itu, seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun yang disyaki menjadi ejen doktor tersebut ditahan di sekitar Marang, Dungun dan daerah ini pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.

    “Mereka bukan kakitangan klinik tapi lebih kepada kawan-kawan, ejen ini cari orang untuk vaksin di klinik suspek. Mereka ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai keterangan diambil,” katanya kepada Bernama malam tadi.

    Beliau berkata ejen tersebut dibayar serendah RM50, manakala bayaran dikenakan untuk mendapatkan sijil vaksinasi palsu adalah antara RM400 hingga RM600 bagi setiap pelanggan. 

    Terdahulu dalam sidang media, Rohaimi berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik.

    Sabtu lepas, doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan di sebuah klinik swasta di Marang, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19.

    Menurut Rohaimi siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu telah berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat angka sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu.

    — BERNAMA

  • Rakam gambar seluar dalam wanita, lelaki ditahan polis

    Rakam gambar seluar dalam wanita, lelaki ditahan polis

    PADAH merakam gambar seluar dalam seorang wanita di sebuah kompleks beli-belah di Bayan Lepas, Pulau Pinang, seorang lelaki ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 20-an itu ditahan orang awam sebelum menyerahkannya kepada polis.

    Menurut beliau, suspek kini direman dua hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    “Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    “Kita turut merampas dua buah iPhone berserta ‘powerbank’, fon telinga dan beg kain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambah Kamarul Rizal, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

  • PDRM mohon ekstradisi suspek bunuh Imam Fadi al-Batsh

    PDRM mohon ekstradisi suspek bunuh Imam Fadi al-Batsh

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon suspek kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin pada 2018, di sini, yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin semalam, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pada masa ini, PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).

    “PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin, bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Terdahulu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas dipetik berkata pada Ahad suspek pembunuhan Fadi al-Batsh telah ditahan.

    Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Kota Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut oleh Mossad.

    Pada 21 April 2018, Fadi, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh. – BERNAMA

  • Maritim tahan kapal tangki bawa diesel RM1.5 juta tanpa lesen

    Maritim tahan kapal tangki bawa diesel RM1.5 juta tanpa lesen

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri menahan sebuah kapal tangki membawa 90,000 liter diesel bernilai RM1.5 juta tanpa lesen pada kedudukan 1.7 batu nautika dari barat muara Sungai Miri, awal pagi semalam.

    Menurut Pengarah APMM Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng, kehadiran kapal tangki yang mencurigakan itu dikesan pihkanya ketika meronda pada pukul 2.35 pagi.

    “Anggota maritim kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas kapal tangki yang dikendalikan empat kru berusia 23 hingga 51 tahun.

    “Pemeriksaan awal mendapati kapal terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, kerana tidak memiliki Master serta Domestic Shipping License (DSL).

    “Kapal terbabit turut dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana kerana tiada dokumen Surat Control Supplies Act (CSA),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hasil semakan katanya, mendapati kapal yang membawa diesel dianggarkan sebanyak 90,000 liter itu tiada Sijil Petroleum Development Act (PDA), tiada resit pembelian bahan bakar serta disyaki menyeludup diesel dan membawa bahan bakar melebihi kuantiti dibenarkan.

    Menurutnya, soal siasat yang dijalankan ke atas kesemua kru mendapati kapal berkenaan sedang bergerak dari perairan Baram menuju ke Miri.

    “Kesemua kru termasuk kapal ditahan dan muatan diesel dirampas lalu diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Wanita mendakwa ‘berinteraksi dengan nabi’ akan dikaunseling

    Wanita mendakwa ‘berinteraksi dengan nabi’ akan dikaunseling

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, wanita yang mendakwa berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah akan dipanggil menjalani sesi kaunseling.

    Jelasnya, wanita terbabit akan diberikan kaunseling di pejabat agama negeri yang terlibat dan langkah itu perlu bagi membetulkan pemahaman wanita berkenaan.

    “Jika kita tahu lokasi wanita berkenaan, kita minta pejabat agama negeri terlibat memanggil beliau untuk sesi kaunseling.

    “Saya faham dalam keadaan langit terbuka semua orang boleh bercakap. Jika dahulu, penulis kolum akhbar akan disemak oleh editor tetapi sekarang semua boleh jadi wartawan, jurugambar, penerbit dan tukang cetak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan di Wisma Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Taman Shamelin, Kuala Lumpur, hari ini.

    Idris menasihatkan masyarakat mempelajari ilmu agama dengan pihak yang bertauliah bagi mengelak kekeliruan dan terpesong akidah.

    Baru-baru ini, tular video seorang wanita mendakwa telah berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah.

    Melalui rakaman secara langsung itu, wanita itu memberitahu, baginda mendoakan kebaikan buat rakyat Malaysia selain turut menyebut nama isteri nabi, Siti Khadijah dan anak baginda, Fatimah Az-Zahra.

    Bagaimanapun, seorang waris kepada wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan wanita itu berada dalam keadaan kecelaruan.

    Idris menjelaskan, kes itu dirujuk kepada pejabat agama negeri berkenaan untuk tindakan lanjut.

    “Masyarakat ingat semua perkara di bawah menteri agama tetapi kuasa mendakwa tidak ada di bawah menteri agama dan tidak ada pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

    “Jakim hanya boleh minta pihak berkuasa agama negeri terlibat untuk bertindak.

    “Insya-Allah mereka responsif untuk membetulkan pemahaman sedemikian sama seperti seperti kes Perjalanan Mimpi Yang Terakhir di Selangor dan Raja Bomoh di Perak,” katanya.

  • Polis tahan 3 ah long termasuk wania terlibat kes sindiket pinjaman wang haram

    Polis tahan 3 ah long termasuk wania terlibat kes sindiket pinjaman wang haram

    POLIS menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen secara dalam talian dan melakukan ugutan jenayah kepada mangsa pinjaman menerusi Operasi Vulture di Desa Aman Puri, Kuala Lumpur pada 3 Jan lepas.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata hasil risikan selama tiga minggu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, polis berjaya menahan kesemua suspek berumur 22 tahun di sebuah pangsapuri pada pukul 5 petang.

    Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah menjadikan pangsapuri tersebut sebagai pusat panggilan bagi kes pinjaman wang tanpa lesen secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai nama syarikat.

    “Sindiket ini mengenakan faedah pinjaman sebanyak 25 hingga 30 peratus dalam tempoh 10 hari dari tarikh pinjaman dibuat dan dipercayai membuat ugutan jenayah serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada peminjam, ahli keluarga peminjam dan kawan-kawan peminjam yang gagal membuat bayaran yang telah ditetapkan.

    “Sindiket ini sudah beroperasi hampir dua tahun dan sering bertukar tempat operasi dan menggunakan pelbagai nama syarikat semasa menawarkan pinjaman secara dalam talian,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenis, dua unit komputer, seunit komputer riba, dua unit modem dan lima keping kad sim telefon.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sekiranya menerima tawaran pinjaman secara dalam talian seperti tawaran pinjaman melalui sosial media seperti Facebook dan Instagram.

    “Orang ramai diingatkan jangan mengisi butiran peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, e-mel serta maklumat bank dalam tawaran pinjaman secara dalam talian dan seharusnya orang ramai dinasihatkan supaya melakukan sebarang urusan pinjaman wang di pejabat pinjaman wang berlesen atau institusi kewangan berhampiran,” katanya.- Bernama

  • Doktor kaut hampir RM1 juta jual sijil vaksin palsu

    Doktor kaut hampir RM1 juta jual sijil vaksin palsu

    POLIS Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, dekat Kuala Terengganu, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

    “Siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik ini (tujuan vaksinasi) dan daripada jumlah itu kita masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapat sijil vaksinasi palsu.

    “Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

    Rohaimi berkata, individu dari luar Terengganu juga dipercayai turut menggunakan khidmat doktor tersebut bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

    “Kita dapati kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian, jadi kita akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang turut dirampas dari klinik berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, doktor yang mengaku dirinya sebagai golongan antivaksin itu, dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik yang lain.

    “Walaupun doktor itu mengaku antivaksin, beliau sudah menerima suntikan vaksin (COVID-19), mungkin atas sebab tuntutan kerjaya beliau sebagai doktor,” katanya.

    Katanya, suspek dipercayai menggunakan ejen yang diberi komisen sebanyak RM50 untuk mempromosikan khidmatnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Menurut Rohaimi, perbuatan doktor yang bertauliah itu bukan sahaja merupakan satu jenayah, malah boleh membawa musibah kepada kesihatan masyarakat.

    Pada sidang media sama, Pengarah JKN Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, klinik swasta berkenaan dibenarkan untuk memberi suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lepas dan semakan mendapati klinik itu telah membuat permohonan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19, namun belum diluluskan.

    Kasemani berkata, terdapat klinik yang masih belum dilantik menjadi PPV, namun boleh memberikan suntikan secara berbayar bagi vaksin COVID-19 keluaran Sinovac sahaja.

    Beliau berkata, pemberian suntikan vaksin secara berbayar semakin berkurangan kerana sudah terdapat vaksin yang mencukupi untuk diberikan secara percuma di PPV yang dilantik.

    “Kita akan tunggu hasil siasatan polis untuk tindakan lanjut terhadap doktor dan klinik ini,” katanya dan menambah pendaftaran klinik serta lesen doktor tersebut boleh dibatalkan jika didapati bersalah. – BERNAMA