MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, wanita yang mendakwa berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah akan dipanggil menjalani sesi kaunseling.

Jelasnya, wanita terbabit akan diberikan kaunseling di pejabat agama negeri yang terlibat dan langkah itu perlu bagi membetulkan pemahaman wanita berkenaan.

“Jika kita tahu lokasi wanita berkenaan, kita minta pejabat agama negeri terlibat memanggil beliau untuk sesi kaunseling.

“Saya faham dalam keadaan langit terbuka semua orang boleh bercakap. Jika dahulu, penulis kolum akhbar akan disemak oleh editor tetapi sekarang semua boleh jadi wartawan, jurugambar, penerbit dan tukang cetak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan di Wisma Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Taman Shamelin, Kuala Lumpur, hari ini.

Idris menasihatkan masyarakat mempelajari ilmu agama dengan pihak yang bertauliah bagi mengelak kekeliruan dan terpesong akidah.

Baru-baru ini, tular video seorang wanita mendakwa telah berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah.

Melalui rakaman secara langsung itu, wanita itu memberitahu, baginda mendoakan kebaikan buat rakyat Malaysia selain turut menyebut nama isteri nabi, Siti Khadijah dan anak baginda, Fatimah Az-Zahra.

Bagaimanapun, seorang waris kepada wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan wanita itu berada dalam keadaan kecelaruan.

Idris menjelaskan, kes itu dirujuk kepada pejabat agama negeri berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Masyarakat ingat semua perkara di bawah menteri agama tetapi kuasa mendakwa tidak ada di bawah menteri agama dan tidak ada pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jakim hanya boleh minta pihak berkuasa agama negeri terlibat untuk bertindak.

“Insya-Allah mereka responsif untuk membetulkan pemahaman sedemikian sama seperti seperti kes Perjalanan Mimpi Yang Terakhir di Selangor dan Raja Bomoh di Perak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here