Category: Jenayah

  • Elak pemeriksaan, polis tembak tayar kereta

    Elak pemeriksaan, polis tembak tayar kereta

    TINDAKAN seorang pemandu kereta yang cuba merempuh pihak berkuasa telah menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

    Kejadian pada 10.30 pagi itu dipercayai berlaku selepas seorang lelaki bersama dua lagi rakannya dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan cuba mengelak daripada ditahan polis.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kereta itu pada mulanya ditahan oleh Unit Kereta Peronda Polis (MPV) di Tanjung Aru selepas menerima maklumat pasangan suami isteri sedang bergaduh dalam kenderaan berkenaan.

    Menurut beliau, anggota MPV yang bertugas kemudiannya mengarahkan semua individu membabitkan empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun itu turun dari kenderaan.

    “Seorang lelaki dan wanita mendakwa mereka adalah pasangan suami isteri memberikan MyKad untuk diperiksa.

    “Sementara dua lagi individu mendakwa tidak membawa MyKad dan seorang lagi iaitu pemandu memberitahu MyKad miliknya berada di tempat duduk pemandu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Namun, Mohd. Zaidi menyatakan bahawa tiga daripada suspek termasuk wanita terbabit bertindak masuk semula ke dalam kenderaan itu dan terus memecut laju meninggalkan dua rakannya termasuk suami kepada wanita terbabit.

    Menurutnya, anggota MPV terus mengejar kenderaan berkenaan namun sebaik sampai di Jalan Tun Fuad Stephens yang sesak, pemandu kenderaan bertindak berpatah balik secara berbahaya dan hampir merempuh anggota polis.

    “Keadaan itu menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar untuk memberhentikan kenderaan suspek.

    “Suspek akhirnya memberhentikan kenderaan di tengah jalan dan terus melarikan diri bersama dua lagi rakannya meninggalkan kereta terbabit,” katanya.

    Kejadian tersebut sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sehingga tular dalam media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

    Menerusi video berdurasi 1.45 minit yang tular, dapat dilihat sebuah Proton Wira berwarna kuning berhenti di tengah jalan berhampiran sebuah hotel di pusat bandar raya dan terdapat kenderaan polis menyusul di lokasi kejadian.

    Mohd. Zaidi berkata, suspek wanita akhirnya berjaya ditahan di sebuah bilik penginapan di Sinsuran dan siasatan mendapati MyKad yang dibawa adalah milik orang lain.

    Tambahnya, dua lagi suspek yang dikenali sebagai Ijam iaitu pemandu kereta berkenaan dan rakannya, Ali sedang dikesan pihak polis.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan tiga suspek yang ditahan juga akan dipohon reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya. 

  • Padah berlabuh tanpa kebenaran di Pulau Jarak

    Padah berlabuh tanpa kebenaran di Pulau Jarak

    TINDAKAN sebuah kapal tangki berlabuh kebenaran dan sebuah bot nelayan menceroboh zon tangkapan ikan mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di dua lokasi berasaingan di perairan Pulau Jarak, Lumut, kelmarin.

    Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal tangki sepanjang 171.20 meter yang berdaftar di Jerman itu ditahan di kedudukan 30.7 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada 11.15 pagi.

    Menurutnya, kapal dikendalikan seorang nakhoda dengan 18 kru terdiri daripada warga Russia, Ukraine, Romania dan Filipina berusia 28 hingga 63 tahun dikesan berlabuh secara haram melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

    “Kapal tangki berkenaan dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) di bawah Seksyen 491B(1)(I).

    “Semua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Shahrizan berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau menahan sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 6.2 batu nautika timur Pulau Jarak selepas didapati menangkap ikan kurang 12 batu nautika daripada daratan pada 5.40 petang, hari sama.

    “Bot dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama dua kru warga Thailand dan Laos itu berusia antara 36 hingga 51 tahun ditahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

    Beliau berkata, komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

  • Remaja dari Gua Musang hilang, polis lancar gerakan mencari

    Remaja dari Gua Musang hilang, polis lancar gerakan mencari

    SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir dekat Gua Musang, Kelantan dipercayai hilang sejak pukul 9 malam kelmarin.

    Perkara itu dimaklumkan oleh bapa saudaranya yang dikenali sebagai Azizul Rahman dalam laman Facebook miliknya.

    “Mintak doakan anak saudara saya.. umur 13 tahun hilang depan rumah jam 9 malam lagi.. sampai sekarang tak dapat dikesan, di Kampung Orang Asli, Pasir Linggi Pos Lebir (sempadan Gua Musang – Krai).. lapan kilometer melalui jalan hutan dari simpang Sungai Sam,” katanya.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Sik Choon Foo berkata, laporan tentang remaja yang hilang terbabit dibuat oleh ibunya pada pukul 7 malam kelmarin selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah.

    “Mangsa dipercayai keluar daripada rumah pukul 9 malam, kelmarin, sebelum ibunya menyedari mangsa belum pulang ke rumah pada pukul 3 pagi semalam, dan terus mencarinya bersama keluarga sekitar kampung.

    “Pihak kami telah terima laporan mengenai kehilangan mangsa malam ini dan operasi mencari dan menyelamat akan digerakkan pada 12 Jan, pukul 8 pagi,” katanya.

    Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, kawasan pencarian dengan jarak radius dua kilometer itu turut melibatkan agensi lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung.

  • Buruh cedera dipukul rakan semasa tuntut hutang

    Buruh cedera dipukul rakan semasa tuntut hutang

    APABILA meminjam duit seseorang, memang menjadi kewajipan bagi peminjam untuk melunaskan hutang dalam tempoh yang dijanjikan.

    Jika lambat membayar hutang, pemiutang berhak menuntutnya.

    Namun, lain pula hal yang berlaku di Taman Dusun Setia, Seremban malam tadi.

    Seorang lelaki cedera di bahagian dada selepas bertengkar ketika meminta rakannya untuk membayar hutang.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, mangsa, Mohd Shahrizad Abu Kaseh, yang bekerja sebagai buruh pergi ke rumah suspek yang berumur 28 tahun.

    Menurut beliau, mangsa yang berumur 30 tahun meminta rakannya membayar hutang seperti yang dijanjikannya semalam selepas menerima gaji.

    “Walau bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan lelaki itu sehingga berlaku pergelutan antara mereka sehingga terjatuh di atas jalan raya.

    “Pada masa yang sama, suspek yang memegang senjata tajam telah terkena pada bahagian kanan dada mangsa sehingga berdarah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Nanda menambah, mangsa kemudian dibawa oleh orang awam ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk menerima rawatan.

    Beliau memberitahu, polis menerima laporan tentang kejadian tersebut daripada orang awam.

    “Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • 46 PATI Myanmar ditahan termasuk seorang kanak-kanak, 10 remaja

    46 PATI Myanmar ditahan termasuk seorang kanak-kanak, 10 remaja

    SERAMAI 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanakl dan 10 remaja diberkas ketika cuba masuk ke negara ini di dua lokasi berasingan di Pasir Mas, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd. Nasaruddin M. Nasir, serbuan pertama dilakukan pada pukul 11 malam dan menahan mereka yang berusia antara 11 hingga 43 tahun terdiri daripada lelaki dan wanita.

    “Serbuan itu dilakukan di kawasan semak di Kampung Sapi, Alor Pasir, Jeram Perdah dan polis berjaya menahan seramai 40 PATI termasuk lima remaja.

    “Kesemua PATI yang ditahan itu berusia antara 14 hingga 43 tahun ditahan semasa sedang bersembunyi dalam semak sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 29 PATI yang ditahan itu merupakan lelaki dan selebihnya adalah wanita.

    Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan dalam serbuan itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

    Mohd. Nasaruddin berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI yang dibawa masuk itu akan dihantar ke Kuala Lumpur.

    “Tangkapan PATI ini dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Jeram Perdah yang telah bertindak membuat serbuan sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan migran ke Malaysia,” katanya.

    Menurutnya, dalam serbuan kedua dalam sebuah bangunan lot kedai lama di Jalan Pusu 40, pihaknya telah menahan seorang kanak-kanak dan lima remaja warga Myanmar.

    Beliau berkata, PATI tersebut ditahan pada pukul 4.45 petang hari yang sama.

    Katanya, kesemua mereka ini berusia antara 11 hingga 17 dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah semasa ditahan.

    “PATI yang kita tahan ini terdiri daripada lima perempuan dan seorang lelaki,” katanya.

    Menurutnya, hasil soal siasat yang telah dibuat PATI itu mengaku baru satu hari sampai di Malaysia.

    Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 51 (3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

  • SPRM Sabah tahan lelaki dipercayai terlibat sindiket Sijil Digital Vaksinasi COVID-19

    SPRM Sabah tahan lelaki dipercayai terlibat sindiket Sijil Digital Vaksinasi COVID-19

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang lelaki dipercayai meminta rasuah lebih RM2,000 daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lepas.

    Menurut sumber, lelaki berumur 31 tahun itu juga dipercayai memberi rasuah kepada sukarelawan di satu pusat pemberian vaksin sebagai balasan mendaftarkan nama individu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mendapatkan sijil digital berkenaan.

    Suspek ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi di pejabat SPRM di sini.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA

  • Sindiket judi online beroperasi di kondominium mewah tumpas

    Sindiket judi online beroperasi di kondominium mewah tumpas

    BERSEMBUNYI di sebalik kondominium mewah untuk menjalankan aktiviti perjudian online untuk mengaburi pihak berkuasa.

    Bagaimanapun, taktik yang digunakan satu sindiket di Pulau Pinang itu berjaya dikesan polis yang menyerbu dua unit kondominium mewah di Persiaran Gurney dan Jalan Kelawei pada Jumaat lalu dan menahan seramai 23 ahli sindiket berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, serbuan pertama pukul 5.25 petang 7 Januari lalu berjaya menahan seramai 13 individu masing-masing 10 lelaki dan tiga wanita berumur antara 19 hingga 31 tahun.

    Katanya, susulan kedua pula berjaya menahan seramai 10 lagi individu iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 16 hingga 27 tahun.

    Jelas beliau, kesemua yang ditahan bekerja sebagai ejen yang mempromosikan sindiket perjudian online itu dan dibayar  antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain dijanjikan lima peratus komisen jika pelanggan kalah dalam  perjudian tersebut.

    “Sindiket itu dipercayai mengambil pekerja golongan muda yang mahir dalam dunia  komputer dan baru bekerja antara seminggu hingga sebulan.

    “Malah ada antara pekerja itu juga pernah ditahan di atas kesalahan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket itu dikesan bergiat aktif sejak pertengahan bulan lalu dan beroperasi antara pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari.

    Ujarnya, para pelanggan pula dipancing menerusi media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Telegram secara berkongsi pautan kepada perkhidmatan perjudian yang ditawarkan.

    “Dalam serbuan itu, kita turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian termasuk 85 unit telefon bimbit; 18 unit komputer riba; lapan set desktop komputer, 49 keping kad sim dan dua buah kereta jenis Honda,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a); Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

  • Op Akaun Palsu: 7 anggota sindiket keldai akaun dicekup

    Op Akaun Palsu: 7 anggota sindiket keldai akaun dicekup

    TUJUH ahli sindiket keldai akaun yang menjalankan aktiviti penipuan tawaran kerja dan pelaburan tidak wujud, melibatkan kerugian RM466,380.25, ditahan menerusi Op Akaun Palsu dalam empat serbuan berasingan di dalam dan luar Melaka, baru-baru ini.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 40 tahun termasuk pasangan kekasih tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, ditahan di Alor Gajah, Seri Kembangan dan Kajang di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jan lepas.

    Beliau berkata, seorang tukang kebun berusia 30 tahun telah ditawarkan pekerjaan oleh pasangan kekasih berusia 30 dan 21 tahun itu, sebelum dia diminta menyerahkan kad ATM serta nombor pin kad berkenaan yang akan digunakan sebagai akaun tumpang bagi kegiatan penipuan dan pembelian dalam talian.

    Katanya, mangsa diberi komisen sebanyak RM300 hingga RM400 sekali bayar untuk satu akaun bank dan mangsa telah menyerahkan dua kad ATM miliknya dan nombor pin kad tersebut kepada suspek.

    “Mangsa juga diminta mencari rakan lain yang boleh memberikan kad ATM serta nombor pin akaun bank mereka dan mangsa berjaya mendapatkan lima rakannya yang berminat dengan tawaran daripada sindiket berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Supt E Sundra Rajan.

    Abdul Majid berkata, tukang kebun itu juga telah dibawa ke sebuah rumah di Seri Kembangan oleh dua ahli sindiket tersebut yang dikenali sebagai Yusri dan Naufal.

    Mangsa kemudiannya berasa curiga lalu membuat laporan polis pada 3 Jan lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Beliau berkata, polis telah merampas 58 keping kad ATM pelbagai bank selain beberapa mata wang asing dalam Op Akaun Palsu tersebut.

    “Kami percaya sindiket penipuan ini melibatkan penipuan rentas negara yang telah aktif sejak Oktober tahun lepas dan sindiket dipercayai didalangi suspek warganegara China yang masih diburu.

    “Dengan tertangkapnya ahli sindiket berkenaan, kami percaya sebanyak 36 kes penipuan dalam talian di seluruh negara yang melibatkan kerugian RM466,380.25 berjaya diselesaikan dan tiga kes daripadanya melibatkan kerugian berjumlah RM26,069.22 dilaporkan di Melaka,” katanya.

    Menurut Abdul Majid, siasatan awal juga mendapati kesemua suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan dadah.

    Sementara itu, katanya, penipuan tawaran kerja tidak wujud di Melaka meningkat kepada 76 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.23 juta tahun lepas, berbanding empat kes melibatkan kerugian RM79,700 pada 2020.

    Beliau berkata, kes penipuan pelaburan tidak wujud pula menurun pada tahun lepas iaitu sebanyak 126 kes, namun nilai kerugiannya meningkat kepada RM6.49 juta, berbanding 259 kes pada 2020 dengan nilai kerugian RM2.87 juta.

    “Polis Melaka menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan wang dan buat semakan dahulu dengan pihak Bank Negara atau polis, sekiranya berasa curiga terhadap transaksi yang hendak dilakukan,” katanya. – BERNAMA

  • Pemandu lori seludup rokok bernilai RM8.69 juta

    Pemandu lori seludup rokok bernilai RM8.69 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 362,600 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM8.69 juta selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki di tepi jalan Kampung Iban, Merotai dekat Tawau malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Supt Mohd Yacob Murad berkata, pihaknya melakukan intipan menerusi Op Kontraban pada 10 malam dan mengesan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun tersebut dalam keadaan mencurigakan dengan bahagian belakang lori ditutup kanvas.

    “Pemeriksaan ke atas lori menemukan 604 kotak besar berisi pelbagai jenama rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri ini.

    “Rokok yang ditemukan adalah jenama a-satu (161,600 bungkus), Tex Hijau (108,500), Tex Merah (68,000) dan Tex Biru (24,500) yang semuanya dianggarkan bernilai RM8,690,888,” katanya dalam kenyataan.

    Mohd Yacob berkata, pihaknya menahan pemandu lori dan merampas kenderaan itu serta satu telefon bimbit.

    Katanya, lelaki itu dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

  • Gaduh dekat stesen monorel, polis buru suspek

    Gaduh dekat stesen monorel, polis buru suspek

    POLIS sedang mengesan sekumpulan individu yang terlibat dalam insiden pergaduhan berdekatan stesen Monorel Bukit Bintang yang tular baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, video berkenaan yang berdurasi 22 saat menunjukkan sekumpulan individu bergaduh berhampiran stesen monorel itu.

    “Siasatan akan dijalankan berkenaan kejadian ini dan pihak polis memohon mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    Noor Dellhan turut memberi ingatan kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang. – BERNAMA