Category: Jenayah

  • Gagal seludup barang kosmetik di kawasan surau

    Gagal seludup barang kosmetik di kawasan surau

    DUA lelaki dipercayai warganegara asing terkejut apabila diserbu Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan semasa mengangkat kotak berisi 157 botol barangan kosmetik seludup di kawasan surau Jeram Perdah 2, Tanah Merah semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, pada mulanya pihaknya membuat rondaan pada pukul 4 pagi dan ternampak dua lelaki berkenaan sedang mengangkat kotak-kotak berkenaan.

    “Menyedari kehadiran kami, kedua-dua lelaki tersebut melarikan diri dengan menaiki perahu ke tebing Sungai Golok Thailand.

    “Barangan kosmetik seludup itu bernilai RM2,225. Kes disiasat di bawah Peraturan 18 A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam satu kes lain, beliau berkata, pihaknya merampas karkas babi hutan seberat 200 kilogram (kg) bernilai RM5,000 dalam sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, semalam.

    Azhari berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Panglima Bayu ke Rantau Panjang ditahan selepas didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 1.45 petang.

    “Hasil pemeriksaan menjumpai karkas babi hutan di belakang kenderaan tersebut. Anggota kami meminta mereka mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan.

    “Seterusnya karkas babi hutan berkenaan dibawa ke Martak Lubok Stol untuk pengiraan dan timbangan. Hasil timbangan mendapati, muatan karkas babi hutan yang dibawa melebihi jumlah muatan dibenarkan dalam permit pindah,” katanya.

    Menurutnya, kesemua barang kes dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu, Tanah Merah untuk siasatan lanjut pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.

  • Tiga lelaki terbabit video tular ditahan polis

    Tiga lelaki terbabit video tular ditahan polis

    POLIS menahan tiga lelaki termasuk remaja berusia 16 hingga 19 tahun kerana terbabit dalam kejadian pukul yang videonya tular dalam media sosial sejak semalam.

    Menerusi video berdurasi dua minit 33 saat itu, mangsa dipukul tiga lelaki dalam kejadian di kawasan Kuala Sepetang, Taiping.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah bersama-sama anggota polis Balai Kuala Sepetang menahan ketiga-tiga suspek pukul 9.45 malam.

    “Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Taiping dan mereka dibenar untuk ditahan selama tiga hari bagi membantu siasatan.

    “Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Enam lelaki direman disyaki terima bayaran bekalkan sijil vaksinasi COVID-19

    Enam lelaki direman disyaki terima bayaran bekalkan sijil vaksinasi COVID-19

    ENAM lelaki direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di negeri ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud berkata kesemua mereka yang berusia 35 hingga 57 tahun itu ditahan malam tadi dan direman hingga Sabtu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang hari ini selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.

    M Zambri berkata kesemua lelaki itu dikatakan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa perlu melakukan suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, namun gagal menyediakan sijil berkenaan untuk pelanggan mereka sehingga kini.

    “Polis menerima laporan (daripada pelanggan) bahawa bayaran telah dibuat oleh mereka untuk membeli sijil itu, tetapi suspek dikatakan tidak memberikan sijil itu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata polis percaya kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan seorang doktor lelaki Sabtu lepas, yang disyaki menjual sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di sebuah klinik swasta di Marang.

    Siasatan awal polis mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik itu untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan, dengan bayaran antara RM400 hingga RM600.

    Katanya reman terhadap doktor berkenaan berakhir hari ini dan dia dilepaskan sementara menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya.

    — BERNAMA

  • Tiga anggota polis ditahan peras ugut ejen jualan

    Tiga anggota polis ditahan peras ugut ejen jualan

    TIGA anggota polis ditahan selepas disyaki terbabit kes pemerasan terhadap seorang ejen jualan kenderaan di Persiaran Pandan Prima, Ampang, Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, siasatan mendapati mangsa lelaki berusia 30 tahun diugut supaya memberi wang tunai dan secara pindahan dalam talian

    “Pengadu ditahan oleh dua anggota polis Unit Ronda Bermotosikal (URB) lengkap beruniform dari balai polis Ampang (suspek). Suspek seterusnya membuat pemeriksaan telefon pengadu dan mendakwa pengadu mempunyai kesalahan atas milikan sesuatu dokumen.

    “Suspek meminta sejumlah wang tunai untuk menyelesaikan masalah itu. Akibat takut, pengadu seterusnya menyerahkan wang secara tunai dan secara pindahan dalam talian melalui akaun bank atas nama seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, tiga anggota polis itu yang berusia 36, 40 dan 44 tahun bertugas di balai Ampang ditahan semalam dan direman selama empat hari mulai hari ini.

    ‘’Semua suspek bebas daripada kesalahan dadah dan tatatertib serta berkhidmat dengan polis lebih 10 tahun.

    “Modus operandi suspek adalah berjalan mengesan mangsa dan melakukan pemerasan dengan meminta wang supaya tidak ditangkap. Usaha mengesan suspek masih bebas terutama pemilik akaun diteruskan,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, iaitu menjalankan pemerasan.

  • Polis tahan lelaki dipercayai bunuh rakan gara-gara hutang

    Polis tahan lelaki dipercayai bunuh rakan gara-gara hutang

    POLIS menahan seorang lelaki di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil, Selangor Selasa lepas, yang dipercayai telah menculik dan membunuh rakan sekerjanya disebabkan masalah berkaitan hutang.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian 3 Okt lepas seorang individu mendakwa beliau bersama seorang lelaki berumur 29 tahun diserang dua lelaki bersenjatakan kayu semasa berada di kolam ikan Kampung Poh, Bidor pada pukul 10.22 malam, sebelum lelaki itu dilarikan.

    Beliau berkata susulan laporan polis oleh individu berkenaan, Selasa lepas polis menahan seorang suspek berumur 30 tahun yang kemudiannya mendedahkan bahawa lelaki itu telah dibunuh dan mayatnya ditanam di sebuah kebun sawit di kawasan Bidor.

    “Polis menemui mayat itu yang dibungkus dengan kanvas setelah dipandu arah oleh suspek, dan berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang antara mangsa dengan suspek, yang kedua-duanya bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah dan Seksyen 302 akta sama kerana membunuh.

    Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata polis sedang berusaha mengesan seorang lagi suspek bernama M. Anbu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya diminta menghubungi ASP Noor Irwan Abd Ghani dengan menelefon 017-3168097 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran. 

    Menurutnya kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan narkotik.

    — BERNAMA

  • Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini – Hamzah

    Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini – Hamzah

    OPERASI Benteng (Op Benteng) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya. 

    “Inilah sebabnya saya perlu maklumkan kepada semua supaya kami akan lebih bersedia kerana buat masa ini pelbagai kementerian telah terlibat bersama KDN dalam NTF. 

    “Setelah Op Benteng diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini berakhir, ia akan kembali semula kepada kami (KDN) dan usaha memastikan Op Benteng sentiasa ke hadapan akan dibuat,” katanya dalam sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks KDN, di sini.

    Hamzah berkata bukan sesuatu yang baharu untuk KDN kembali mengambil alih hal berkaitan pengoperasian Op Benteng berkenaan.

    Menurutnya, walaupun NTF bakal berakhir pada Jun ini, operasi Gasak Laut dan Darat akan diaktifkan semula bertujuan mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

    “Selain itu, bagi memperkasakan kawasan perairan Sabah inisiatif pelantikan polis bantuan oleh pengusaha resort akan dilaksanakan. Usaha ini dilihat dapat membantu penguatkuasaan di lokaliti dan meningkatkan rasa selamat penduduk setempat.

    “Bagi tujuan ini, sesi libat urus akan dilaksanakan bersama pengusaha resort bagi memastikan inisiatif ini dijalankan dengan sebaiknya,” katanya.

    Pada Disember lepas, Bernama melaporkan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menyatakan bahawa keputusan mengekalkan NTF yang diterajui pasukan keselamatannya itu akan diketahui pada pertengahan tahun ini.

    Menurut Affendi NTF ditubuhkan secara ad hoc dan terbukti keberkesanannya dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin menerusi Op Benteng sejak negara dilanda pandemik COVID-19. 

    Sementara itu, mengulas desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hamzah berkata hanya pihak bertanggungjawab sahaja yang akan membuat ketetapan berhubung bila ia akan diadakan. 

    “Desas-desus ini bukan membabitkan Johor sahaja malah ada juga desas-desus mengenai Pilihan Raya Umum (PRU). 

    “Saya selaku Setiausaha Agung Parti Bersatu, sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan supaya rakyat dalam negara tahu siapa untuk mereka pilih serta memilih kepimpinan yang lebih baik bagi kepentingan negara,” katanya. 

    Sebelum ini, desas-desus PRN Johor diadakan dalam masa terdekat bertiup kencang, berikutan kerajaan negeri itu kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang yang memiliki 27 kerusi. 

    — BERNAMA

  • Maritim rampas 97,500 karton rokok cuba diseludup di Langkawi

    Maritim rampas 97,500 karton rokok cuba diseludup di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis merampas sebanyak 97,500 karton rokok yang cuba diseludup ke negara ini kira-kira 2.7 batu nautika, barat Tanjung Belua, Langkawi semalam.

    Pengarah Maritim Kedah Dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan itu dibuat setelah pihaknya menahan sebuah bot ‘barter trade’ yang digunakan penyeludup bagi membawa kesemua rokok tersebut kira-kira pukul 4 pagi semalam.

    Katanya, kejayaan rampasan tersebut adalah hasil maklumat risikan dan intipan berterusan dilakukan pihaknya, selain kerjasama rapat bersama penguatkuasa negara jiran.

    “Sebaik bot itu ditahan, pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat 1,950 bungkusan mengandungi 97,500 berisi 19.5 juta batang rokok seludup pelbagai jenama di dalamnya.

    “Pemeriksaan lanjut turut menemukan 39 guni berisi tembakau. Kesemua itu disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Susulan itu kata beliau, pihaknya menahan seramai tujuh kru bot tersebut berusia 19 hingga 55 tahun yang disyaki warga Indonesia.

    “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,417,500 merangkumi bot, rokok dan tembakau yang ditemukan. Nilai hasil cukai kerajaan ke atas 97,500 karton rokok yang dirampas itu pula dianggarkan kira-kira RM1.95 juta” katanya.

    Mengulas lanjut beliau berkata, bahan terlarang itu dipercayai dibawa dari Thailand untuk dipasarkan di negara ini menggunakan taktik pemalsuan pembayaran duti setem pada kotak rokok tersebut.

    “Kami percaya aktiviti penyeludupan rokok dalam kapasiti besar ini didalangi sindiket antarabangsa yang turut melibatkan ejen-ejen darat dan laut dalam kalangan warga tempatan,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 49(1) dan 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cuba membawa masuk rokok seludup ke Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa menggunakan pintu sempadan yang sah.

  • Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di ibu negara

    Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di ibu negara

    SEORANG lelaki meninggal dunia manakala 11 lagi individu selamat dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Dato Haji Yusof Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, petang tadi.

    Bagaimanapun, identiti lengkap mangsa yang merupakan warga tempatan belum diketahui.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian dengan kekuatan lebih 40 anggota dari tujuh balai bomba.

    Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran bermula di sebuah bilik di tingkat satu rumah kedai empat tingkat berkenaan.

    Jurucakap itu memaklumkan sembilan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan jentera EMRS manakala tiga lagi mangsa menolak untuk dihantar ke hospital.

    “Api dapat dikawal pada kira-kira 6 petang dan padam sepenuhnya 6.55 petang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Mayat reput terdampar di pantai Seberang Takir

    Mayat reput terdampar di pantai Seberang Takir

    SATU mayat yang sudah reput ditemukan di kawasan Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus, pada pukul 12 tengah hari.

    Mayat tanpa identiti itu dijumpai terdampar di pesisir pantai oleh sekumpulan pekerja pembersihan sebelum dilaporkan kepada polis.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, polis kemudian pergi ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

    “Mayat yang belum diketahui jantinanya ini tidak cukup sifat dengan kepala, tangan dan betisnya sudah tiada.

    “Pengesahan identiti dan jantina mayat masih dalam siasatan. Mayat tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

    Abdul Rahim berkata, ia merupakan mayat kedua ditemui di pantai di negeri ini pada bulan ini.

    “Pada 3 Januari lalu, satu mayat reput tanpa identiti ditemui terdampar di Pantai Mengabang Panjang, Kuala Nerus,” katanya.

    Beliau sehubungan itu meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan polis untuk proses pengecaman.

  • Tiga lelaki baru keluar penjara ditahan pecah rumah

    Tiga lelaki baru keluar penjara ditahan pecah rumah

    TIGA lelaki warga tempatan yang baru selesai menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) diberkas semula kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah pada Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan selesai menjalani hukuman berkenaan pada Julai 2021.

    “Ketiga-tiga suspek berumur antara 39 hingga 58 tahun itu sebelum ini dikenakan hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

    “Mereka dikenal pasti mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, tangkapan ke atas ketiga-ketiga suspek dijalankan setelah pihaknya menerima laporan berkaitan kes sebuah rumah dipecah masuk pada Sabtu.

    “Mangsa yang tiba di rumahnya pukul jam 11 malam mendapati rumahnya berselerak selain pelbagai barangan berharga telah hilang.

    “Antaranya termasuklah barangan kemas, elektronik, peralatan elektrik, wang tunai dan pelbagai barangan peribadi dengan anggaran kerugian adalah sekitar RM50,000,” katanya.

    Menurut beliau, siasatan mendapati kumpulan itu menyasarkan barangan kemas dan kenderaan mewah.

    “Barang kemas hasil pecah rumah tersebut kemudiannya dijual di kedai pajak gadai di sekitar Rawang dan Setapak.

    “Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di sekitar Petaling Jaya, Serdang dan Ampang,” katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    “Kesemua suspek direman 10 hari untuk siasatan lanjut,” ujar beliau.