Category: Jenayah

  • Pengurus guna gaji pekerja untuk berjudi, dakwa wang dicuri

    Pengurus guna gaji pekerja untuk berjudi, dakwa wang dicuri

    SEORANG pengurus syarikat pembinaan mendakwa wang gaji pekerjanya sebanyak RM39,000 hilang dari dalam kenderaan semasa singgah makan di Taman Sentosa, Port Dickson, semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pengurus berkenaan mendakwa, sebelum itu dia mengeluarkan wang dari di Cyberjaya bagi membayar gaji pekerja.

    “Apabila selesai, dia kembali semula ke kenderaan dan mendapati duit dan beg sandang sudah hilang, namun tiada kesan pecah cermin pada kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Aidi Sham berkata, ketika disoal siasat oleh polis, pengurus itu didapati mengada-adakan cerita kehilangan wang berjumlah RM39,800, agar dapat melewatkan pembayaran gaji pekerja kerana wang itu sudah habis digunakannya untuk bermain judi.

    Katanya, pengadu disiasat kerana membuat keterangan dan laporan polis palsu.

    “Kes disiasat mengikut seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

  • KPDNHEP rampas pakaian sukan tiruan jenama popular bernilai RM60,500

    KPDNHEP rampas pakaian sukan tiruan jenama popular bernilai RM60,500

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pakaian sukan jenama popular tiruan bernilai RM60,500 dalam serbuan di sebuah stor di Kuala Kangsar Prima, Kuala Kangsar, semalam.

    Operasi berkenaan dijalankan pada pukul 11 pagi hasil maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mendapati pengedaran dan penjualan pakaian berjenama tiruan itu secara dalam talian.

    Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Kangsar, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, operasi membabitkan tujuh penguat kuasa KPDNHEP Kuala Kangsar bersama wakil pemilik cap dagang itu menemukan pakaian sukan berjenama tiruan antaranya Adidas, Levi’s dan Nike disimpan di stor itu.

    “Pakaian terbabit diiklankan di dalam talian pada harga lebih murah dari pasaran semasa bagi menarik perhatian pembeli.

    “Pakaian itu dibekalkan pembekal dari Lembah Klang yang mengimportnya dari luar negara dan ia disita untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, perniagaan terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita berusia 31 tahun yang dipercayai menjalankan perniagaan itu bersama suaminya.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan, barangan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan secara salah.

  • 2 polis, 2 OKT ditahan berhubung kes OKT mati dalam lokap

    2 polis, 2 OKT ditahan berhubung kes OKT mati dalam lokap

    POLIS menahan dua orang kena tuduh (OKT) dan dua anggota polis bagi membantu siasatan kes kematian seorang OKT di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, pihaknya sudah mendapatkan perintah reman terhadap semua suspek selama tujuh hari bermula hari ini.

    “Mereka direman untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Semalam, polis mengesahkan kematian seorang OKT lelaki berusia 63 tahun di lokap IPD Taiping pada pukul 11 pagi.

    OKT itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu.

    Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

  • 2 lelaki dengan 46 rekod lampau ditahan lagi

    2 lelaki dengan 46 rekod lampau ditahan lagi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK serik-serik. Mungkin itu perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan dua lelaki yang mempunyai 46 rekod dadah dan jenayah ditahan di dua lokasi di Bandaraya Johor Bahru malam tadi.

    Dua lelaki tempatan berusia 22 dan 44 tahun ditahan bersama-sama sebuah kereta curi serta sejumlah dadah dalam satu operasi khas.

    Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Superitendan R Azizan Ibrahim berkata, operasi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 7 malam.

    “Polis merampas 57.65 gram (g) syabu bernilai RM5,765 selain 8.65g ganja bernilai RM432 dan 12 biji pil ekstasi bernilai RM180.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah bagi operasi ini RM6,377. Polis turut melakukan sitaan sebuah kereta Proton Saga bernilai RM10,000. Kenderaan ini dilaporkan hilang di Melaka pada tahun 2021.

    “Keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM16,377,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, modus operandi mereka ialah dengan menyewa rumah berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat menyimpan dadah dan kegiatan tersebut dilakukan sejak awal tahun lalu.

    Menurut beliau, dadah tersebut boleh digunakan seramai 308 penagih.

    “Seorang suspek mempunyai 42 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai empat rekod dadah,” katanya.

    Tambah beliau, seorang daripadanya merupakan orang yang dikehendaki bersabit kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Semua suspek katanya, direman tujuh hari bermula Jumaat sehingga 20 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952, jika sabit kesalahan dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.

    Sementara itu, beliau memberitahu, JSJN Johor menangkap 638 individu atas pelbagai kesalahan dadah dari awal bulan ini sehingga Khamis.

    Tambahnya, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 93.17 kilogram dadah dirampas bernilai RM375,527 dirampas selain turut disita harta bernilai RM460,180.

  • ADUN Perak positif dadah ditahan ketika berhibur di Pulau Pinang

    ADUN Perak positif dadah ditahan ketika berhibur di Pulau Pinang

    SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di Seberang Perai, Pulau Pinang malam tadi kerana disyaki positif dadah.

    Turut ditahan bersama ADUN berusia 54 tahun dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu ialah 35 individu lain masing-masing 28 lelaki dan lapan wanita kerana disyaki positif dadah.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komissioner, Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ketika serbuan itu seramai 82 individu telah diperiksa.

    “Seramai 48 individu berusia antara 21 hingga 70 tahun telah ditahan yang mana 36 daripadanya termasuk ADUN berkenaan disyaki positif dadah.

    “Selain itu, polis turut menahan seramai 12 wanita warga asing dan siasatab masih dijalankan bagi menentukan sama ada mereka bekerja di situ atau hadir bersama rakan masing-masing,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Mustafa Kamal Gani, ADUN berkenaan direman selama sehari dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patologi.

  • Buli siber dalam kalangan belia: Malaysia kedua tertinggi di Asia

    Buli siber dalam kalangan belia: Malaysia kedua tertinggi di Asia

    LAPORAN Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia, menunjukkan bahawa buli siber kini menjadi masalah yang semakin ketara dalam negara.

    Penggunaan media sosial yang meluas telah menjadikan ia platform yang menggalakkan perbuatan buli siber dan sikap buruk, bukan sahaja dalam kalangan belia, malah orang dewasa.

    Penyelidik mengenai buli siber belia Jessie Yong berkata, perbuatan itu mungkin berpunca dari rasa tidak gembira si pembuli akibat keperluan asasnya tidak dipenuhi.

    “Menurut Teori Pilihan Glasser, keperluan-keperluan itu berkisar kepada aspek kelangsungan hidup, isu kepunyaan (untuk menyayangi, disayangi dan harga diri), kuasa, kebebasan dan keseronokan,” jelasnya kepada Bernama dalam satu temu bual.

    Teori Pilihan yang dibangunkan oleh pakar psikiatri Amerika Syarikat, William Glasser itu menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai lima keperluan asas yang menggerakkan tingkah laku (pilihan mereka).

    “Apabila satu atau lebih keperluan asas ini tidak dipenuhi, mereka mungkin menggunakan buli siber sebagai platform bagi memuaskan keperluan itu. Itu sebabnya kes buli siber tidak hanya dilakukan oleh golongan belia sahaja, tetapi turut membabitkan orang dewasa,” jelas Yong, yang juga pensyarah sambilan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC). 

    “Kajian juga menunjukkan bahawa pelaku buli siber mengalami kadar kesunyian yang tinggi,” katanya dalam webinar TalkSpace yang diadakan baru-baru ini bagi menangani isu berkaitan dengan buli siber terutama dalam kalangan belia.

    “Ini disebabkan oleh kekurangan kasih sayang ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Membuli dalam talian adalah usaha mereka untuk meraih perhatian daripada orang asing,” katanya.

    Beliau berkata mereka yang mempunyai rasa harga diri yang rendah, rasa kurang diterima secara sosial dan rasa kurang popular atau kurang disukai, juga mempunyai kecenderungan untuk terlibat dalam buli siber, berikutan kajian menunjukkan bahawa pembuli siber selalunya adalah individu yang tidak pandai bersosial.

    Sementara itu dalam seminar yang sama, pengasas Projek #Cybercancelled dan bekas Miss Petite Universe International Semenanjung (MPUIS) 2020, Narvinni Jayakumar berkongsi pengalamannya  berhadapan dengan pelbagai bentuk buli siber sejak berusia 16 tahun.

    Menurutnya beliau melalui pengalaman dibuli secara lisan, secara penyamaran serta secara menghendap siber (cyber stalking); dan kini beliau berhasrat untuk membantu mereka yang mengalami situasi sama dengannya.

    Sesi webinar pada 29 Dis lepas itu, dianjurkan buat julung kalinya oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Persuasif dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia dan dihadiri lebih 400 orang.

    Kumpulan pelajar itu turut melancarkan kempen NETHICS bagi tujuan memupuk etika media sosial yang baik dan membendung gangguan siber.

    Pengarah projek Larissa Lorelle Christian berkata kempen itu akan memberi peluang kepada belia untuk menangani isu buli siber dan mempelajari etika berkomunikasi dalam talian.

    Bengkel WorkSpace turut diadakan sempena kempen berkenaan pada 10 Jan lepas untuk berkongsi kepentingan membina jenama diri dan cara untuk memperbaiki identiti dalam talian menerusi platform media sosial.

    — BERNAMA

  • Tular lelaki mati mengejut di gelanggang badminton

    Tular lelaki mati mengejut di gelanggang badminton

    SEORANG lelaki yang lengkap berpakaian sukan ditemukan meninggal dunia secara tiba-tiba di sebuah gelanggang badminton di Taman Raja Idris di Taiping pukul 8.30 malam tadi.

    Siasatan awal dijalankan pihak polis mendapati, tiada sebarang kesan unsur jenayah pada tubuh mangsa, Lim Thian Meng, 47, semasa ditemukan terbaring di gelanggang itu.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa sebelum itu bermain badminton bersama-sama rakan lain.

    “Temubual bersama rakan mengatakan, mangsa telah datang untuk bermain badminton di situ pada jam 6.30 petang.

    “Sekitar 8.30 malam ketika bermain, mangsa dikatakan telah tunduk untuk mengambil bulu tangkis, namun terus rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pihak ambulans telah dihubungi dan petugas kesihatan yang hadir telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    Katanya, polis dimaklumkan bahawa mangsa yang masih bujang itu mempunyai penyakit darah tinggi dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

    “Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, siasatan lanjut dibuat selepas bedah siasat selesai,” katanya.

    Kejadian berkenaan tular selepas beberapa keping gambar memperlihatkan tubuh mangsa terbaring di gelanggang dikongsi dalam media sosial.

  • Kastam rampas 3.96 kg mercun bola bernilai RM130,000 dalam gudang simpanan ayam sejuk beku

    Kastam rampas 3.96 kg mercun bola bernilai RM130,000 dalam gudang simpanan ayam sejuk beku

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 3,960 kilogram mercun bernilai lebih RM130,000 di sebuah gudang di Kampung Atas Pinggir, Tendong, di sini kelmarin.

    Pengarahnya Mohd Nasir Deraman berkata rampasan di sebuah gudang simpanan ayam sejuk beku itu membabitkan 600 guni mercun jenis bola dan 15 kotak mercun jenis CN4002.

    Katanya turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan mercun terbabit untuk siasatan lanjut.

    “Serbuan telah dibuat hasil intipan dan maklumat yang dilakukan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang. Hasil soal siasat juga mendapati suspek menerima kadar upah bernilai RM500 untuk penyimpanan.

    “Kita juga tidak menolak kemungkinan bekalan mercun yang dirampas ini untuk digunakan sempena Tahun Baharu Cina yang akan datang untuk pasaran ke negeri selatan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan di Rantau Panjang di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Nasir berkata hasil siasatan modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk mercun melalui sempadan Malaysia-Thailand dengan menggunakan khidmat penyeludup melalui Sungai Golok secara berperingkat. 

    “Mercun-mercun yang diseludup ini akan dikumpul dan disembunyikan di suatu tempat bagi memastikan pergerakan mereka selamat sebelum di bawa ke luar Kelantan khususnya ke negeri selatan untuk diedar dalam pasaran,” katanya.

    Kata  beliau lagi, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

    “Orang ramai juga digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, dan sebagainya selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

    JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-8855, atau pejabat Kastam terdekat. JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Remaja 17 tahun antara 23 individu didakwa promosi judi ‘online’

    Remaja 17 tahun antara 23 individu didakwa promosi judi ‘online’

    SEORANG remaja berusia 17 tahun serta dua berusia 18 tahun antara 23 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mempromosikan judi ‘online’.

    Bagaimanapun, kesemua mereka iaitu 19 lelaki dan empat perempuan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.

    Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 32 tahun itu didakwa secara berasingan mempromosikan permainan perjudian di dalam talian kepada pelanggan dengan menggunakan set komputer di dua lokasi berbeza.

    Seramai 10 daripada mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Persiaran Gurney pukul 5.25 petang pada 7 Januari lalu manakala 13 yang lain di sebuah kondominium di Jalan Kelawei pukul 6.45 petang pada tarikh sama.

    Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

    Selain itu, tertuduh juga berdepan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil memohon mahkamah mengenakan jaminan maksimum RM10,000 namun peguam kesemua tertuduh, Pang Chun Keat memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

    Ini kerana menurut Chun Keat, tertuduh yang masih bujang tidak mempunyai pekerjaan tetap selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta tiada kebarangkalian untuk melarikan diri.

    Malah katanya, kesemua tertuduh juga terjejas mental dan fizikal kerana masih direman hari ini bagi tujuan pendakwaan meskipun tempoh tahanan reman mereka sepatutnya berakhir semalam.

    Rosnee kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tertuduh manakala kes akan disebut semula pada 7 Mac depan.

    Akhbar sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket perjudian online yang menjadikan dua unit kondominium mewah sebagai pusat operasi selepas menahan 23 individu dalam dua serbuan berasingan Jumaat lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua yang ditahan bekerja sebagai ejen mempromosikan sindiket perjudian ‘online’ dengan gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain turut dibayar komisyen sebanyak lima peratus jika pelanggan kalah dalam permainan perjudian tersebut.

    Sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan Disember tahun lalu dengan waktu operasi antara pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari dan memancing pelanggan  melalui media sosial Facebook, Whatsapp dan Telegram.

    Dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian antaranya 85 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 18 unit komputer riba, lapan set komputer meja; 49 keping kad sim dan dua buah kereta jenis Honda.

  • Pengawal keselamatan dipenjara 5 tahun gilis kaki anak tiri

    Pengawal keselamatan dipenjara 5 tahun gilis kaki anak tiri

    MAHKAMAH Sesyen Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang pengawal keselamatan atas kesalahan menggilis kaki anak lelaki tirinya menggunakan motosikal, awal bulan ini.

    Ramlan Abdul Karim, 32, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak tiri berumur 10 tahun menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Ysuku.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Padang pada 7 Januari lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

    Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pukul 11.10 malam selepas tertuduh, ketika itu berada di atas motosikal bertengkar dengan isterinya membabitkan hal penceraian di hadapan rumah mereka.

    Berang dengan salah faham yang berlaku, tertuduh secara tiba-tiba telah memecut laju motosikalnya sehingga menggilis mangsa yang berada berhampiran.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari merayu hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor umur mangsa yang hanya berusia 10 tahun dan kecederaan dialaminya.

    Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakli peguam merayu agar hukumannya diringankan kerana telah insaf selain perlu menjaga ibu dan bapanya.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.