Category: Jenayah

  • Dua pengarah syarikat direman SPRM kes seleweng RM500,000

    Dua pengarah syarikat direman SPRM kes seleweng RM500,000

    DUA pengarah dan seorang pekerja syarikat swasta direman dua hari bermula hari ini kerana disyaki memalsukan dokumen dan melakukan pecah amanah sehingga mengakibatkan kerugian dana syarikat berjumlah RM500,000.

    Perintah reman sehingga esok itu dibenarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.

    Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia 40-an hingga 60-an itu ditahan di Shah Alam pukul 5 petang hingga 9 malam semalam, lapor Harian Metro.

    Sumber berkata, mereka disyaki memanipulasi dokumen dan turut membuat dokumen invois palsu sehingga menyebabkan syarikat terbabit mengalami kerugian dalam penjualan produk sarung tangan kepada sebuah syarikat pembeli.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574).

  • Kedutaan China: Kapal disyaki curi bangkai kapal perang diupah syarikat Malaysia

    Kedutaan China: Kapal disyaki curi bangkai kapal perang diupah syarikat Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEDUTAAN China di Malaysia mahu pihak Malaysia dapat mengendalikan kes kapal China yang ditahan kerana disyaki terlibat operasi mencuri bangkai kapal perang lama dengan adil dan mengikut undang-undang.

    Menurut jurucakap kedutaan tersebut, pihaknya dimaklumkan bahawa bahawa kapal berkenaan diupah oleh syarikat Malaysia.

    “Berdasarkan maklumat yang ada, kapal yang beroperasi di perairan Malaysia itu adalah diupah syarikat tempatan Malaysia.

    APMM menahan sebuah kapal pengangkut dari China yang membawa besi buruk dan peluru meriam lama dipercayai zaman Perang Dunia Kedua di Tanjung Siang, Kota Tinggi.

    “Kami berharap pihak Malaysia dapat mengendalikan kes ini dengan adil mengikut undang-undang, bersungguh-sungguh melindungi keselamatan dan hak serta kepentingan warga China dan melaporkan perkembangan siasatan tepat pada masanya,” menurut jurucakap kedutaan itu.

    Pada Ahad, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal pengangkut dari China yang membawa besi buruk dan peluru meriam lama dipercayai zaman Perang Dunia Kedua di Tanjung Siang, Kota Tinggi.

    Menurut kenyataan APMM yang dikeluarkan kelmarin, kapal itu pada awalnya ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia.

    Jelas APMM, peluru meriam itu dipercayai dari Perang Dunia Kedua telah ditemui pada kapal pengangkut pukal yang didaftarkan di China.

    APMM dalam satu kenyataan terbaharu di Johor Bahru malam tadi memberitahu, siasatan lanjut ke atas kapal tersebut menemukan 100 butir peluru dipercayai masih aktif dalam kapal China yang ditahan itu.

    “Maritim Malaysia tidak menolak kemungkinan kapal yang berdaftar dari Fuzhou, China ini terlibat dalam aktiviti pencurian bangkai kapal peranglama British di perairan Pahang,” menurut kenyataan itu.

  • Warga emas ditahan bantu siasatan budak hilang

    Warga emas ditahan bantu siasatan budak hilang

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan berhubung seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada 26 Mei lalu sebelum ditemukan selepas 24 jam dalam keadaan lemah.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, lelaki berusia 70-an itu ditahan kira-kira 10.30 malam tadi hasil risikan yang dijalankan pihak polis.

    “Berdasarkan risikan dijalankan, polis menahan lelaki warga emas yang juga tinggal di kawasan kejiranan kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan kes kehilangan mangsa itu.

    “Lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, kanak-kanak perempuan itu kini masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas, di Kepala Batas dan beliau difahamkan keadaan kesihatan mangsa semakin baik.

    Mohd Asri berkata setakat ini pihak polis masih belum dapat merekodkan keterangan daripada kanak-kanak perempuan itu kerana keadaannya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.

    Katanya selain pemantauan oleh pasukan kesihatan, kanak-kanak itu turut berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kami juga masih menunggu laporan lengkap perubatan kanak-kanak tersebut daripada pihak hospital (untuk lengkapkan siasatan).

    “Jika laporan siasatan dan dapatan (siasatan) kita terdapat unsur-unsur lain termasuk jenayah lain, cabul dan sebagainya, polis akan menukar seksyen siasatan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan,” katanya.

    Difahamkan mangsa mengenali lelaki warga emas itu dan kanak-kanak perempuan tersebut ditinggalkan dalam kawasan semak di Permatang Keriang semalaman ketika dilaporkan hilang.

    Media sebelum ini melaporkan orang awam telah menemukan kanak-kanak itu di kawasan semak Permatang Keriang, Penaga kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang dan pemeriksaan mendapati kecedaraan patah rahang, luka di bahagian dagu serta belakang kepala, lebam di dada dan belakang badan serta patah dua batang gigi.

    Kanak-kanak itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada sekitar 1 tengah hari Jumaat lepas dan didapati tidak pulang ke rumahnya sebelum ditemukan pada 6 petang keesokannya.

  • Suami parah ditetak isteri dengan pisau pemotong daging

    Suami parah ditetak isteri dengan pisau pemotong daging

    SEORANG wanita ditahan selepas dipercayai menetak suaminya di lengan kanan menggunakan pisau pemotong daging di rumah mereka di Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, pukul 12 tengah hari kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan di rumahnya pukul 3 petang semalam susulan laporan dibuat oleh bapa mangsa tengah malam kelmarin.

    “Pihak polis menerima laporan berkaitan mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata pukul 12 tengah malam kelmarin.

    “Berdasarkan keterangan bapa mangsa, dia dimaklumkan oleh anaknya yang lain memaklumkan mangsa berusia 31 tahun ditetak oleh isterinya menggunakan pisau pemotong daging.

    “Bertindak atas laporan yang diterima, suspek ditangkap di rumahnya di Pengkalan Chepa pukul 3 petang semalam,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, hasil ujian saringan awal terhadap suspek adalah negatif dan suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini.

    “Kes disiasat mengikit Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” tambah beliau, memetik laporan Harian Metro.

  • Tular bertumbuk di Kastam Johor Bahru, dua penunggang motosikal ditahan

    Tular bertumbuk di Kastam Johor Bahru, dua penunggang motosikal ditahan

    DUA lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, pukul 4 petang, 22 Mei lalu.

    Dua suspek lelaki yang juga penunggang motosikal warga tempatan dan bekerja di Singapura, bergaduh sesama sendiri selepas berlaku pergeselan di laluan motosikal bangunan itu dari arah Singapura masuk ke Malaysia.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata selepas saling cabar mencabar, kedua-dua suspek bergerak ke arah luar bangunan dan kemudian mula bertumbuk.

    “Kejadian ini berpunca apabila seorang daripada mereka yang berada di belakang tergesel motosikal seorang lagi suspek ketika mereka lalu di laluan motosikal CIQ, BSI.

    Tangkap layar sebuah video yang tular memaparkan dua lelaki bergaduh di CIQ BSI, Johor Bahru selepas motosikal mereka bergesel

    “Akibat tidak berpuas hati, berlaku cabar mencabar antara mereka berdua yang kemudian ajak bergaduh di luar bangunan.

    “Tiba di luar (bangunan), mereka mula bertumbuk seperti yang boleh disaksikan dalam video tular,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, Johor Bahru, hari ini.

    Raub berkata, suspek pertama berusia 27 tahun kini direman empat hari sehingga esok. Suspek mempunyai dua rekod kes dadah dan ketika ditahan juga positif ganja.

    “Semalam, seorang lagi suspek berusia 34 tahun ditahan di sekitar daerah ini dan perintah reman akan dikeluarkan hari ini,” katanya, lapor BH Online.

  • Gadis dicabul ketika menerima rawatan sihir

    Gadis dicabul ketika menerima rawatan sihir

    SEORANG wanita yang mendapatkan rawatan kerana mengesyaki dirinya disihir mendakwa dicabul pengamal perubatan tradisional ketika rawatan di Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

    Perbuatan terkutuk lelaki berusia 60-an itu terbongkar selepas mangsa berusia 27 tahun membuat laporan polis, Ahad lalu.

    Menurut sumber, kejadian berlaku pada 22 Mei lalu ketika mangsa bersama tunangnya ke pusat rawatan tradisional berkenaan dan bertemu seorang lelaki yang mengaku pengamal perubatan.

    “Mangsa mendakwa disuruh memasuki sebuah bilik dan semasa proses rawatan, lelaki itu menyentuh bahagian badan dan kemaluannya beberapa kali.

    “Sebaik selesai rawatan, lelaki itu menyuruh mangsa mandi dan meneruskan semula sesi rawatan mereka yang mengambil masa lebih dua jam.

    “Semasa rawatan kedua itu, mangsa mendakwa diperlakukan perkara sama ke atas dirinya menyebabkan dia berasa takut lalu keluar dari bilik berkenaan,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada tunangnya.

    Katanya, mangsa yang trauma dengan perbuatan pengamal perubatan terbabit tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

    Beliau berkata, suspek ditahan dan direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

    Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

  • Jho Low bawah tahanan rumah di Shanghai

    Jho Low bawah tahanan rumah di Shanghai

    AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China, menurut pengarang bersama ‘Billion Dollar Whale’, Bradley Hope.

    “China mengawal Jho dengan ketat disebabkan rundingan dengan Malaysia, juga kerana penaungnya dalam perkhidmatan pengintipan ditangkap dan rakan kongsinya di CCCC (China Communications Construction Company) disingkirkan,” katanya memetik laporan FMT.

    Hope berkata, daripada aset risikan, Low kini menjadi liabiliti selepas Datuk Seri Najib Razak disingkirkan pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

    Semalam, Al Jazeera melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Low dipercayai bersembunyi di Macau.

    Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion dana 1MDB.

    Beijing sebelum ini menafikan melindungi Low.

    Malam tadi, dilaporkan bahawa sumber SPRM mengesahkan Kee Kok Thiam, bekas pembantu Low yang memaklumkan pihak berkuasa Malaysia tentang keberadaan Low di Macau, telah meninggal dunia.

    Kee kembali ke Malaysia pada 3 Mei lepas selepas lima tahun berada di luar negara.

  • Jurugambar ditahan bantu siasatan amang seksual di Sepang

    Jurugambar ditahan bantu siasatan amang seksual di Sepang

    SEORANG jurugambar ditahan Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki di sebuah sekolah di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 12 Mei lepas.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad berkata lelaki warga tempatan berumur 39 tahun itu, ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada kira-kira 1.30 tengah hari susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa pada 26 Mei, selepas mangsa yang berumur 9 tahun mengadu dicabul ketika pulang dari sekolah pada 15 Mei.

    Beliau berkata kejadian itu, didakwa berlaku di sekolah berkenaan ketika program petting zoo yang diadakan sempena Bulan Panitia Sains pada 15 Mei, di mana lelaki berkenaan merupakan salah seorang daripada dua jurugambar luar, yang dipanggil pihak sekolah untuk merakam gambar sempena acara tersebut.

    Ekoran kejadian itu, satu perjumpaan antara pihak sekolah, penjaga mangsa dan dua jurugambar yang bertugas, telah diadakan pada 23 Mei dan salah seorang jurugambar berkenaan dikatakan mengaku melakukan perbuatan tersebut.

    Md Noor Aehwan berkata pihak sekolah telah memutuskan untuk tidak lagi membenarkan kedua-dua jurugambar itu memasuki kawasan sekolah untuk program lain selepas ini, namun bapa mangsa yang tidak berpuashati dengan tindakan sekolah, telah membuat laporan polis pada 26 Mei yang membawa kepada penahanan lelaki itu.

    Beliau ketika dihubungi hari ini berkata lelaki berkenaan, yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, kini direman selama seminggu hingga 1 Jun ini.

    Md Noor Aehwan juga berkata saksi pelajar lain juga dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

  • Pegawai JPN cedera dipukul dua lelaki

    Pegawai JPN cedera dipukul dua lelaki

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah cedera di akibat dipukul dua lelaki di pejabatnya sendiri di Jalan Stadium dekat Alor Setar pukul 12.45 tengah hari semalam.

    Menurut sumber, mangsa dikatakan didatangi dua lelaki atas alasan untuk membincangkan urusan berkaitan sekolah.

    “Namun dua lelaki tersebut secara tiba-tiba menyerang mangsa yang berusia 50-an selepas berlaku perbincangan antara mereka melibatkan satu isu lain,” kata sumber berkenaan.

    Katanya, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di muka antaranya mata, hidung dan bibir.

    “Mangsa kemudiannya membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Daerah Kota Setar, petang semalam.

    Difahamkan kejadian itu berpunca daripada isu melibatkan ahli keluarga saudara-mara suspek,” katanya lagi.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian menimpa mangsa.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai kejadian itu.

    Tambahnya, setakat ini seorang suspek lelaki berusia 40-an telah ditahan dan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 2 Jun.

    Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

  • Polis buru perompak farmasi bersenjata sabit

    Polis buru perompak farmasi bersenjata sabit

    SEORANG pekerja di sebuah farmasi berdepan detik cemas apabila didatangi perompak lelaki bersenjatakan sabit dalam kejadian di Jalan Telipot, di Kota Bharu, pukul 2.30 petang Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, mangsa yang berusia 20-an didatangi suspek yang turut memakai topi keledar selain memakai pelitup muka.

    “Suspek menuju ke kaunter dan meminta pekerja berkenaan mengeluarkan wang. Pada masa sama suspek mengeluarkan sabit dan terus menarik peti duit kaunter selain memotong kabel sebelum melarikan diri.

    “Semasa kejadian tiada pelanggan lain dalam farmasi berkenaan dan siasatan polis menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek seorang lelaki tempatan, memakai baju T berwarna merah dan berseluar panjang.

    “Suspek juga memakai jaket berwarna biru dan menunggang motosikal jenis Honda Dash. Ketinggian suspek lebih kurang 170 sentimeter (cm),” katanya menerusi kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, pihak polis sedang giat menjalankan operasi dalam usaha mengesan dan menangkap suspek berkenaan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat.

    Katanya, bagi kesalahan Seksyen 397 Kanun Keseksaan sebatan adalah wajib.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Fadil Shamsur Bahar di talian 012-344755 atau 09-7752200,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular video berdurasi 32 saat di media sosial yang memaparkan kejadian individu melakukan rompakan dengan menggunakan senjata sabit.