Category: Jenayah

  • Wanita dakwa diganggu seksual oleh ADUN Johor

    Wanita dakwa diganggu seksual oleh ADUN Johor

    POLIS menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan salah laku ADUN terbabit terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 11.30 pagi tadi.

    “Ya, ada terima. Kes berkenaan sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum meneliti laporan itu.

    Laporan polis mengenai gangguan seksual itu tular di media sosial.

    Mangsa, yang dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit. – BERNAMA

  • Bapa maafkan perbuatan anak penggal kepala ibu

    Bapa maafkan perbuatan anak penggal kepala ibu

    BAPA kepada seorang lelaki yang dipercayai memenggal kepala ibunya hingga maut kini trauma dan memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.

    Bagaimanapun, bapanya, 61, yang enggan namanya didedahkan tetap memaafkan perbuatan anaknya itu meskipun sedih selepas kehilangan isteri tercinta.

    “Apa pun dia tetap anak dan darah daging saya. Ini mungkin kesilapannya tetapi apa boleh buat semuanya sudah terjadi kepada keluarga kami,” katanya.

    Dia berkata demikian ketika ditemui semasa menunggu jenazah isterinya dari Hospital Sungai Buloh untuk dibawa ke Surau An Nur di Kampung Baru, Pasir Penambang di Kuala Selangor, hari ini.

    Menurutnya, sebagai bapa sudah tentu dia inginkan yang terbaik buat keluarga, namun semua itu di luar kemampuannya.

    “Saya hanya mampu berdoa agar anak saya berubah lebih baik, menjadi insan berguna dan menginsafi kesilapan yang dilakukan,” katanya.

    Mengulas kejadian itu, lelaki itu berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana keluar menjual udang di Kampung Bukit Belimbing.

    “Saya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan oleh seorang rakan. Saya bergegas pulang dan mendapati orang ramai sudah mula berkumpul di luar rumah dan arwah isteri sudah meninggal dunia,” katanya.

    Bapa tujuh anak itu berkata, arwah isterinya itu disifatkan seorang yang peramah, baik hati dan taat serta rajin beribadah.

    “Arwah isteri tidak meninggalkan solat, sering berpuasa sunat dan dia juga ibu yang baik kepada anak-anak kami.

    “Arwah juga baik dengan masyarakat dan jika ada kenduri dia antara yang paling awal datang membantu,” katanya.

    Katanya, meskipun mengakui terasa kehilangan isteri, namun tetap reda dengan ketentuan-Nya dan berdoa agar arwah isterinya itu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

    “Siapa tidak sedih apabila insan yang kita sayang sudah tiada di dunia ini, tetapi kami perlu pasrah dan menerima takdir yang telah tersurat,” katanya.

    Dalam pada itu, lelaki berkenaan juga meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar arwah isterinya dalam media sosial.

    “Saya nasihatkan orang ramai jangan sebar gambar kejadian kerana ia mengaibkan keluarga kami. Tolonglah hentikan perbuatan ini,” katanya.

    Media semalam melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, kelmarin.

    Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian disedari oleh seorang daripada anak mangsa yang pergi ke kediaman berkenaan selepas beberapa kali gagal menghubungi mangsa.

  • Maritim rampas 2.3 tan metrik daun ketum, tahan dua ‘keldai’

    Maritim rampas 2.3 tan metrik daun ketum, tahan dua ‘keldai’

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 2.3 tan metrik daun ketum dan menahan dua lelaki dipercayai ‘keldai ketum’ di perairan Kuala Perlis pada Sabtu lepas.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zawawi Abdullah berkata, anggota Maritim menahan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran yang membawa muatan daun ketum terbabit di kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang pada kira-kira jam 7.55 pagi.

    “Sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun itu bertindak menukar haluan sebelum terjun ke laut dan melarikan diri ke darat namun berjaya ditahan,” katanya kepada pemberita di Kuala Perlis, hari ini.

    Beliau berkata, pemeriksaan pada petak simpanan bot berkenaan menemukan 230 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dianggarkan bernilai RM414,000.

    Katanya, selain daun ketum, anggota Maritim turut menemukan beg kecil berwarna hitam mengandungi dua peket kecil plastik lut sinar disyaki berisi 100 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM2,500.

    “Turut ditemukan, dua peket kecil plastik lut sinar disyaki berisi syabu seberat 1.72 gram dianggarkan bernilai RM688 dan tiga peket kecil plastik lut sinar disyaki heroin seberat 1.47 gram dianggarkan bernilai RM117.60 di bahagian kemudi bot,” katanya.

    Mohd. Zawawi tidak menolak kemungkinan penyeludupan itu didalangi sindiket tempatan yang menggunakan perkhidmatan ‘keldai ketum’ untuk membawa keluar daun ketum ke negara jiran.

    Beliau berkata, keseluruhan barangan rampasan termasuk daun ketum, dadah, bot gentian serta enjin sangkut dianggarkan bernilai RM537,305.60 dan merupakan rampasan terbesar setakat tahun ini.

    Katanya, kes penyeludupan daun ketum akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, kes dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala mengendalikan bot tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985. – Bernama

  • Perlu seminggu lagi padam kebakaran tapak sampah Sungai Burung

    Perlu seminggu lagi padam kebakaran tapak sampah Sungai Burung

    KEBAKARAN tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang memasuki hari kelima hari ini dijangka mengambil masa seminggu lagi untuk dipadamkan.

    Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, ini kerana anggota pasukan bomba dan penyelamat berdepan beberapa kesukaran selain melibatkan kawasan terbakar yang luas.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengatasi masalah itu termasuk meminta pihak syarikat operator tapak berkenaan bertanggungjawab.

    “Bomba menghadapi masalah iaitu tekanan air rendah dan masalah kekurangan tanah untuk ditambun selain kawasan yang terbakar juga mungkin sudah seluas tujuh hektar,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah itu hari ini dengan diiringi Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

    Dalam pada itu Mansor berkata, kejadian kebakaran tersebut perlu ditangani dengan baik oleh semua pihak berkaitan memandangkan menyebabkan kesan kebakaran yang membimbangkan.

    Malah ujar beliau, insiden itu juga merupakan kejadian terburuk setakat ini meskipun tapak sampah berkenaan pernah beberapa kali dilaporkan terbakar sebelum ini.

    anggota pasukan bomba dan penyelamat berdepan beberapa kesukaran selain melibatkan kawasan terbakar yang luas

    Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, pihak operator tapak pelupusan sampah berkenaan telah beberapa kali dikenakan tindakan oleh pihaknya atas kesalahan pembakaran terbuka.

    Ujarnya, operator berkenaan turut dikompaun sebelum ini selain mempunyai kes mahkamah yang sedang berjalan.

    “Bagi kejadian ini, JAS Pulau Pinang akan meneliti  kesalahan-kesalahan mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk diambil tindakan terhadap syarikat operator terbabit,” katanya.

    Pada Rabu lalu, tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang keseluruhannya seluas 16.2 hektar itu dikesan mengalami kebakaran pada kawasan seluas kira-kira 6.5 hektar.

    Ekoran itu, kira-kira 200 penduduk daripada 86 keluarga di kLadang Byram dan Kampung Kebun Baru yang terletak berhampiran tapak tersebut diminta berpindah ke pusat pemindahan sementra (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah sejak semalam.

  • Lapan PATI baru mendarat diberkas dalam Op Benteng

    Lapan PATI baru mendarat diberkas dalam Op Benteng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LAPAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat berjaya diberkas
    dalam dua siri serbuan di kawasan pantai Kampung Masjid, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) dan anggota petugas Pos Pemerhati mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan pantai itu pukul 2.40 pagi.

    “Tim terbabit melihat kelibat orang sedang turun dari bot dan berjalan menuju ke arah daratan pantai tersebut.
    Kemudian pada pukul 3.10 pagi, tim telah berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas enam PATI warga Indonesia.

    “Kemudian pada pukul 7.20 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) pula berjaya membuat penambahan tangkapan ke atas dua PATI warga negara itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, semua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 49 tahun.

    Menurutnya, semua PATI tersebut telah dibuat saringan Covid- 19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan mendapati semuanya negatif.

    Mereka katanya, akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru dan laporan dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM4,811 melibatkan matawang Malaysia RM612, matawang Indonesia IDR 1,060,000 (RM309), beberapa matawang asing lain, tujuh telefon bimbit bernilai RM3,130, barang kemas bernilai RM680 serta seutas jam tangan.

    Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan, ujarnya.

  • Sorok mercun Tahun Baru Cina dalam kedai menjual telefon bimbit

    Sorok mercun Tahun Baru Cina dalam kedai menjual telefon bimbit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK satu sindiket cuba menyembunyikan mercun dan berselindung di sebalik kedai menjual telefon bimbit tidak berjaya apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua semalam.

    Menerusi serbuan di Taman Mutiara Emas, Skudai, Johor Bahru pada pukul 3 petang, PPM Wilayah Dua merampas 250 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM350,000.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kejayaan serbuan itu adalah selepas pihak polis melakukan siasatan dan intipan selama dua hingga tiga minggu di kedai berkenaan.

    Jelasnya, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang merupakan pekerja di premis tersebut.

    “Menerusi serbuan berkenaan kita melakukan pemeriksaan di seluruh kedai dan menemukan 250 kotak mengandungi 16 jenis mercun dalam bahagian stor di belakang kedai tersebut.

    “Kedai itu berselindung di sebalik kedai menjual telefon bimbit. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa di luar kotak ditulis Happy Boom iaitu bungai api yang dibenarkan dijual di pasaran.

    “Namun di dalamnya mengandungi mercun terlarang,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Marin, Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, semua bekalan mercun tersebut dipercayai untuk dipasarkan sebelum Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

    Menurutnya, kedai tersebut sudah lama beroperasi menjual telefon bimbit dan pihaknya masih menyiasat sudah berapa lama kegiatan itu dilakukan yang berselindung di sebalik perniagaan itu.

    Suspek berkenaan katanya, dipercayai ahli sindiket berkenaan dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan pihaknya masih menyiasat suspek lain yang terlibat.

    “Pemeriksaan mendapati penjaga premis berkenaan tidak mempunyai dokumen sah untuk menyimpan dan menjual mercun berkenaan,” katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan.

    Kamarul Zaman turut meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan sebarang kegiatan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang menerusi talian 07-2372222 atau 07-2376122.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hanya 26 buah kuil di negeri ini dibenarkan menyambut perayaan Thaipusam dengan melibatkan 50 penganut sahaja di rumah ibadat yang terlibat.

    Jelasnya, daripada jumlah itu hanya tujuh kuil sahaja dibenarkan untuk dibuat perarakan dan pihak polis akan melakukan pemantauan di setiap kuil yang terlibat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

  • Kerugian cecah hingga RM6.5 bilion akibat banjir-Mustapa Mohamed

    Kerugian cecah hingga RM6.5 bilion akibat banjir-Mustapa Mohamed

    DIANGGARKAN kerugian akibat banjir di seluruh negara sejak hujung bulan lalu mencecah antara RM5.3 hingga RM6.5 bilion.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu, daripada jumlah itu, kerosakan kediaman merekodkan kerugian tertinggi iaitu antara RM1.2 hingga RM1.4 bilion.

    “Dalam merasai dugaan yang dihadapi ini, kerajaan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengambil inisiatif menyediakan kajian menyeluruh impak banjir yang berlaku di negeri-negeri yang terkesan banjir,” katanya.

    Beliau ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 di Dewan Serbaguna, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.

  • RM100,000 lesap ditipu sindiket Macau Scam

    RM100,000 lesap ditipu sindiket Macau Scam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SIMPANAN seorang pesara guru wanita berjumlah RM100,000 lesap apabila dia terperdaya dengan panggilan Macau Scam oleh dua individu yang menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis berpangkat sarjan baru-baru ini.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Supritenden Elias Omar, wanita tersebut pada awalnya menerima panggilan telefon dari salah seorang suspek yang mengaku sebagai ejen insurans pada 3 Januari lepas.

    Katanya, ejen insurans dari Kuala Lumpur itu mendakwa dia menghubung mangsa kerana terdapat tuntutan insurans terhadap wanita tersebut memandangkan pesara guru berkenaan sebelum ini dikatakan pernah terlibat dalam kemalangan.

    “Sebaik wanita itu menafikan dakwaan yang dia pernah terlibat dengan kemalangan, pesara guru tersebut diarahkan untuk membuat laporan secara dalam talian ke Balai Polis Pudu. Oleh itu panggilan tersebut telah disambungkan kepada seorang suspek lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari Balai Polis Pudu untuk membuat pengesahan.

    “Namun setelah membuat siasatan kononnya, ‘sarjan’ tersebut mendakwa mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram pula. Mangsa kemudiannya diminta memberikan 16 nombor digit yang tertera di kad bank miliknya, serta butiran perbankan dalam talian untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, suspek juga cuba menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.

    “Bagi mengelak daripada ditangkap, mangsa perlu melaporkan diri melalui aplikasi Whatsapp kepada suspek setiap dua jam.

    “Semakan ke atas akaunnya pula mendapati berlaku kegiatan pemindahan wang berjumlah RM100,000 secara berperingkat dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga. Sehubungan itu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 13 Januari lalu,” katanya.  

    Elias menambah, siasatan kini dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda.

  • Scam teka bola: Kerani wanita rugi RM132,000

    Scam teka bola: Kerani wanita rugi RM132,000

    SEORANG kerani di sebuah syarikat swasta kerugian RM132,000 selepas terpedaya mendapat pulangan keuntungan mengikut kadar dijanjikan dalam pertandingan teka bola sepak secara dalam talian, Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu wanita berumur 53 tahun telah terpengaruh menyertai pertandingan berkenaan menerusi aplikasi yang diperkenalkan oleh rakannya semasa berada di rumah di Jalan Tampin, Bahau, di Jempol.

    Tertarik dengan tawaran keuntungan dua peratus mengikut modal yang dimasukkan bagi setiap teka perlawanan bola sepak itu, wanita itu membuka lima akaun berasingan menerusi aplikasi tersebut untuk menyertai pertandingan itu.

    “Wanita itu membuat bayaran sebanyak enam kali transaksi pada hari sama ke sebuah akaun bank tempatan melibatkan jumlah RM132,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Bagaimanapun beliau berkata, semalam, wanita itu cuba untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh dengan menggunakan aplikasi tersebut namun akaun tersebut tidak dapat berfungsi selain mendapati baki modal pada akaunnya telah tiada.

    Katanya mangsa yang menyedari telah ditipu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai orang dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • Kantoi cuba seludup barang keperluan harian ke Indonesia

    Kantoi cuba seludup barang keperluan harian ke Indonesia

    DUA individu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau selepas cuba menyeludup keluar pelbagai barangan termasuk barangan bersubsidi ke negara jiran di perairan Tanjung Saima, Pulau Sebatik, awal pagi semalam.

    Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, serbuan dilakukan pada pukul 1.30 pagi melbatkan bot kargo dikendalikan seorang tekong lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama seorang penumpang wanita tempatan berusia 35 tahun.

    Katanya, sebanyak 1.6 tan gula pasir, 2.1 tan minyak masak peket, 3.4 tan tepung gandum, 1,764 set kosmetik pelbagai jenama serta pelbagai barangan runcit dirampas Zon Maritim Tawau.

    “Sebelum itu sepasukan anggotanya melakukan rondaan Ops Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) Selatan di kawasan berkenaan, terdapat sebuah bot kargo dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah perairan Batu 3 menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

    “Bot kargo tempatan itu didapati sarat dengan muatan pelbagai barangan yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

    “Pemeriksaan dokumentasi terhadap barangan yang dibawa mendapati tekong gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa serta mengemukakan dokumen kastam yang meragukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu, katanya, kedua-dua suspek ditahan bersama bot serta muatan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

    “Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM212,956.

    “Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) 2002,” katanya.