Category: Jenayah

  • Maqis rampas sembilan tan ikan selar sejuk beku bernilai RM9,000

    Maqis rampas sembilan tan ikan selar sejuk beku bernilai RM9,000

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Padang Besar merampas sembilan tan ikan selar sejuk beku dari Thailand dianggarkan bernilai RM9,000, Jumaat lepas.

    MAQIS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menahan sebuah lori sejuk beku yang membawa masuk ikan tersebut tanpa Permit Import sah di Unit Pemeriksaan Kargo MAQIS, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Padang Besar kira-kira 11 pagi.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama,” menurut kenyataan itu.

    Menurut MAQIS, pihaknya dimaklumkan ikan selar sejuk beku tersebut mendapat permintaan tinggi di negara ini terutama di sekitar Selangor.
    Sehubungan itu, MAQIS meminta semua pemain industri supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan atau akan berdepan tindakan undang-undang. – Bernama

  • Polis panggil geng kereta FCCM-FC Club Malaysia

    Polis panggil geng kereta FCCM-FC Club Malaysia

    POLIS akan memanggil sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta untuk memberi keterangan dalam masa terdekat selepas gambar mereka berkumpul di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang-Pantai, Nilai tular, semalam.

    Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan hantaran menerusi Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuh raya berkenaan kira-kira 6.30 petang, Sabtu lepas.

    “Untuk permulaan kita akan panggil ketua kelab itu dahulu, kita dah kenal pasti kira-kira 48 kereta setakat ini. Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

    “Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terlibat di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    Sehubungan itu, Mohd Fazley menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

    Beliau berkata perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi menyelaraskan tindakan lanjut selain cadangan bagi menyediakan tempat khusus di kawasan berkenaan untuk orang ramai bergambar serta menjaja.

    “Lebuhraya Temiang-Pantai merupakan lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di lokasi terbabit tetapi tindakan mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya,” katanya.

    Semalam, kelab kereta itu menerusi akaun mereka di Facebook memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan deretan kenderaan dipercayai milik ahli kelab berhenti di laluan kecemasan kedua-dua arah untuk mengambil gambar yang didakwa merupakan sebahagian daripada aktiviti lepak santai mereka. – Bernama

  • Suami maut ditikam isteri di Negeri Sembilan

    Suami maut ditikam isteri di Negeri Sembilan

    Seorang lelaki maut disyaki  ditikam isteri  sendiri di sebuah rumah di Rasah Kemayan, Seremban 2 di Seremban, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata dalam kejadian kira-kira 4.11 petang itu berkata mangsa yang berusia 55 tahun ditemukan maut di dapur rumah berkenaan selepas disyaki ditikam dua kali di bahagian dada serta pinggang oleh isterinya yang juga berusia 55 tahun.

    “Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah terima panggilan MERS 999 daripada anak perempuan mangsa berumur 18 tahun membuat aduan seorang lelaki ditikam di bahagian dada dipercayai suspek adalah isteri mangsa di  Rasah Kemayan, Seremban 2.

    “Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa terdapat dua kesan tikaman di dada kiri dan pinggang kiri.  Mangsa dan isteri mempunyai empat orang anak. Pada ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, motif kejadian berpunca daripada masalah kewangan dan polis menahan isteri mangsa serta senjata tajam turut dirampas. Wanita itu akan direman esok.

    Beliau berkata bedah siasat mangsa akan dilakukan esok. – BERNAMA

  • Sembilan diberkas sindiket penipuan dalam talian

    Sembilan diberkas sindiket penipuan dalam talian

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan sembilan individu dalam empat serbuan berasingan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang Khamis lalu kerana disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian.

    Lapan lelaki serta seorang wanita berusia 19 hingga 51 tahun itu diberkas dalam operasi dijalankan sepasukan anggota risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman kira-kira jam 1.15 petang.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas tiga buah kereta, 21 telefon pintar, dua buah komputer, 18 buku catatan, kad kredit, kad bank serta wang tunai berjumlah lebih RM14,000.

    “Ada yang ditangkap di rumah dan kawasan-kawasan lain, setakat ini kumpulan ini dikenal pasti terlibat dalam enam kes dengan anggaran kerugian RM150,000.

    “Modus operandi mereka adalah dengan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta menyamar menjadi agensi penguat kuasa yang lain termasuk polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

    Wan Hassan berkata hasil siasatan mendapati sindiket penipuan ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Melayu Yong dan Kumpulan India Yong.

    Katanya, polis kini sedang mengesan dua lagi individu disyaki terbabit dalam kes ini dan berkemungkinan adalah dalang sindiket terbabit.

    “Mereka ini sering berubah tempat operasi bagi mengelak kegiatan mereka terkesan, namun kita yakin penahanan kesemua suspek ini akan membantu polis menyelesaikan lebih banyak kes penipuan dalam talian,” katanya.

    Beliau berkata les ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, densa atau sebat atau kedua duanya sekali.

    Katanya, kesemua suspek telah direman dan akan disambung reman hingga Selasa ini,” jelas beliau.

  • Pekerja kedai runcit warga Pakistan ditembak senapang patah

    Pekerja kedai runcit warga Pakistan ditembak senapang patah

    HANYA kerana rasa tidak puas hati, seorang pekerja kedai runcit nyaris maut terkena beberapa das tembakan senapang patah pada bahagian badan yang dilepaskan oleh seorang lelaki dalam kejadian di Pokok Tumpang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang petang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun berkenaan dilaporkan cedera pada dada kanan dan tangan kanan selepas terkena tembakan tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, suspek berusia 33 tahun  dikatakan pergi ke kedai runcit milik seorang wanita warga tempatan itu sambil membawa selaras senapang patah milik bapanya sebelum menembak mangsa.

    “Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera dihantar ke Hospita Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan manakala suspek berjaya ditangkap selepas itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berpunca ekoran suspek yang sebelum ini kerap ke kedai runcit itu tidak berpuas hati terhadap mangsa.

    Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan punca perasaan tidak hati hati tersebut.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

  • 41 suspek penagih, tokan dadah 3 kawasan Felda dicekup

    41 suspek penagih, tokan dadah 3 kawasan Felda dicekup

    POLIS menahan 40 lelaki dan seorang wanita disyaki penagih dan tokan dadah dalam serbuan Ops Tapis Khas dan Ops Sarang di tiga kawasan Felda sekitar Tampin, pada Jumaat lepas dan semalam.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua mereka yang berusia 27 hingga 65 tahun ditahan di Felda Bukit Jalur, Felda Sungai Kelamah dan Felda Jelai 4.

    “Polis turut merampas dadah jenis heroin dianggar seberat 99 gram dan syabu seberat 17 gram keseluruhannya dianggar bernilai RM6,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan mendapati 12 daripada mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan disiasat mengikut Seksyen 39C ADB 1952.

    Katanya, kesemua mereka kini direman antara empat hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – BERNAMA

  • PGA gagalkan cubaan seludup masuk 88kg ganja bernilai RM4.4 juta

    PGA gagalkan cubaan seludup masuk 88kg ganja bernilai RM4.4 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 18 menggagalkan cubaan menyeludup masuk 88 kilogram ganja bernilai RM4.4 juta dalam satu operasi di kawasan semak sempadan Malaysia-Thailand di Jalan Stesen Kereta Api, Padang Besar, Perlis semalam.

    Timbalan Komander Briged Utara ACP Mohd Noh Khamis berkata ganja terbabit dirampas pada 9.08 malam hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan di kawasan itu.

    “Sebelum itu, anggota PGA berjaya mengesan dua suspek lelaki dalam keadaan mencurigakan yang keluar masuk pagar berduri sempadan Malaysia-Thailand di kawasan tersebut namun tidak dapat dipastikan apa yang dibawa oleh mereka kerana keadaan gelap.

    “Setelah 30 minit intipan, kami dapati tiada pergerakan orang di situ dan anggota telah melakukan pemeriksaan, hasilnya kita menemukan tujuh plastik hitam berisi 88 ketulan ganja mampat yang ditinggalkan di situ,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

    Beliau berkata ganja terbabit kemudian diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Katanya PGA akan terus meningkatkan kawalan di kawasan sempadan termasuk melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mengesan dan mengekang sebarang aktiviti penyeludupan.

    — BERNAMA

  • Pemerdagangan manusia: Polis selamat enam individu termasuk lima wanita, tahan sembilan suspek

    Pemerdagangan manusia: Polis selamat enam individu termasuk lima wanita, tahan sembilan suspek

    POLIS berjaya menyelamatkan lima wanita dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata dalam serbuan Isnin lepas, sembilan suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu turut ditahan manakala sebuah kenderaan mewah dirampas.

    Beliau berkata serbuan dibuat susulan laporan seorang remaja wanita warga tempatan pada 12.20 tengah hari bahawa pekerja ibunya, iaitu seorang remaja warga asing, telah dilarikan oleh dua suspek lelaki warga tempatan dan seorang suspek wanita warga asing yang menaiki sebuah kereta mewah.

    Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, pengadu bersama mangsa yang ketika itu berada di kawasan Damansara Utama turut mendakwa ditarik suspek ke dalam kenderaan berkenaan sambil mulut kedua-duanya ditekup namun beliau kemudian dibebaskan tidak jauh dari lokasi kejadian. 

    Bertindak atas risikan, Mohamad Fakhruddin berkata kedua-dua suspek lelaki berjaya ditahan di sebuah pusat hiburan di ibu kota pada 5.30 petang hari yang sama.

    Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, mangsa yang dilarikan berjaya ditemukan bersama empat wanita dan seorang lelaki yang juga warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di sebuah unit di pangsapuri perkhidmatan di  sebuah hotel terkemuka di sini.

    Beliau berkata kesemua mangsa dikawal oleh empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing yang kemudian ditahan di premis itu serta direman selama lima hari untuk disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. 

    “Siasatan awal ke atas semua mangsa yang diselamatkan mendapati seorang suspek adalah ejen pekerja warga asing yang telah memperdaya mangsa untuk bekerja tanpa bayaran gaji,” katanya. 

    Mohamad Fakhruddin berkata kesemua mangsa dikurung di premis itu selama beberapa hari serta dipukul sehingga cedera dan ada antara mereka yang dikurung kerana cuba melarikan diri daripada majikan. 

    — BERNAMA 

  • PGA rampas pelbagai dadah bernilai RM27.3 juta di Pasir Mas

    PGA rampas pelbagai dadah bernilai RM27.3 juta di Pasir Mas

    BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas dadah jenis syabu, pil kuda dan ganja mampat bernilai RM27.3 juta di Kampung Padang Embun di sini semalam.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Hazani Ghazali berkata rampasan pada 11.45 pagi itu adalah terbesar dilakukan polis di negeri ini setakat awal tahun ini.

    Beliau berkata rampasan dilakukan selepas anggota PGA9 telah terserempak dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan lampu isyarat Kampung Lati.

    “Kenderaan itu diarahkan berhenti untuk pemeriksaan namun pemandunya memecut laju.

    “Anggota PGA9 kemudian mengejar kenderaan itu sejauh 10 kilometer dan apabila tiba di Jambatan Ibrahim Ali, anggota PGA9 melepaskan tiga das tembakan ke tayar belakang yang menyebabkan kenderaan itu terbabas ke dalam tali air di Kampung Padang Embun,” katanya pada sidang media di Pasir Mas hari ini.

    Turut hadir, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Komander Briged Tenggara PGA SAC Hasan Basri Ahmad Safar.

    Hazani berkata pemandu Toyota Hilux itu berjaya keluar dari kenderaannya dan melarikan diri ke arah pekan Pasir Mas dengan menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI 2.0 berwarna kelabu dipercayai dipandu rakannya.

    “Anggota PGA9 yang membuat pemeriksaan ke atas Toyota Hilux terbabit menjumpai 17 bungkusan plastik berwarna ungu dan merah di bahagian tempat duduk penumpang bahagian belakang dan ruangan tempat menyimpan barang bahagian belakang.

    “Pemeriksaan lanjut menemukan 300 kilogram syabu, 1.6 juta biji pil kuda dan 200 kilogram ganja mampat yang kesemuanya dianggar bernilai RM27.3 juta,” katanya.

    Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik pacuan empat roda dan Volkswagen Golf itu.

    Katanya dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran di seluruh Semenanjung dan boleh digunakan oleh kira-kira 1.3 juta penagih.

    — BERNAMA

  • 1,776 pegawai, anggota bomba positif Covid-19

    1,776 pegawai, anggota bomba positif Covid-19

    KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid mendedahkan, seramai 1,776 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dilaporkan dijangkiti Covid-19.

    Menurut beliau, statistik tersebu sejak virus itu melanda negara pada Januari 2020 dan selepas hasil ujian saringan ke atas 7,200 pegawai dan anggota yang disyaki (PUI) dijangkiti atau kontak kepada kes (PUS).

    Mohammad berkata, daripada jumlah kes positif, dua pegawai meninggal dunia akibat Covid-19.

    “Sebanyak 95 peratus mereka yang positif disebabkan jangkitan daripada komuniti, sementara lima peratus adalah dari tempat mereka berkhidmat.

    “Kes ini sama ada mereka berkontak rapat daripada rakan, ataupun daripada mangsa,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2022, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, dua pegawai yang meninggal dunia dikesan jangkitan daripada komuniti dan mempunyai masalah kesihatan yang kronik.

    Berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan 2022 pula, beliau berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari tahun lalu telah memberi harapan dan perlindungan kepada daya tahan jangkitan dalam anggota bomba menjalankan tugas.

    Sehingga 31 Disember 2021 katanya, sejumlah 99 peratus warga jabatan ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

    “Digalakkan juga warga untuk mendapatkan dos penggalak agar kita boleh dilindungi daripada varian baharu yang difahamkan tular dengan pantas,” katanya.

    Beliau berkata, warga JBPM yang masih belum menerima suntikan vaksin telah dikenalpasti sebagai mereka yang tidak layak untuk menerima dos suntikan.

    Situasi itu jelasnya kerana faktor masalah kesihatan, dan kesemua individu tersebut akan terus dipantau dengan rapi.

    “Saya mengambil peluang untuk menasihatkan semua warga JBPM untuk mengambil langkah yang proaktif dalam memastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat dibendung dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

    “Ia sejajar dengan arahan pihak kerajaan semasa menjalankan operasi,” katanya.