Category: Jenayah

  • Warga emas ditemui mati dengan dua kesan tikaman

    Warga emas ditemui mati dengan dua kesan tikaman

    SEORANG warga Filipina ditemukan mati dengan dua kesan tikaman dalam kejadian di sebuah pondok berhampiran Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, Sandakan, hari ini.

    Lelaki warga emas berusia 69 tahun itu ditemui dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah oleh anaknya pada pukul 6 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 7.40 pagi dan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, terdapat mayat seorang lelaki terlantar dengan kesan tikaman di bahagian dada.

    “Kejadian disedari oleh anak lelakinya yang pergi ke pondok itu untuk berniaga dan sebaik tiba didapati mangsa telah mati dengan kesan darah di dada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa merupakan seorang peniaga sayur-sayuran dan sudah berkahwin serta mempunyai dua anak.

    “Mangsa kali terakhir ditemui masih hidup kira-kira pukul 5.30 petang semalam, di mana anak mangsa ada berjumpa serta berbual dengannya di hadapan gerai mereka.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil memberikan maklumat.

  • Bekas pengarah penguat kuasa direman kes rasuah RM3.1 juta

    Bekas pengarah penguat kuasa direman kes rasuah RM3.1 juta

    SEORANG bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan direman tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender kontrak kerja pembersihan bernilai RM3.1 juta.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut hari ini.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah pada jam 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Lelaki itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan sejak Julai 2019 sehingga Mac 2021 daripada syarikat kontraktor dalam membantu mendapatkan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

  • Polis tahan 73 individu, rampas dadah bernilai RM41,366

    Polis tahan 73 individu, rampas dadah bernilai RM41,366

    POLIS Melaka menahan 73 individu berumur antara 23 hingga 64 tahun dalam satu operasi selama tiga hari bagi membersih dan membanteras penyalahgunaan dadah di Melaka Tengah dan Alor Gajah.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Melaka Superintenda Zulkiflee Rashid berkata, operasi tiga hari itu dijalankan pada Jumaat lepas hingga semalam di Pot Krubong, Melaka Tengah dan Pot Apache, Alor Gajah yang disyaki menjadi tumpuan penagih dadah di kedua-dua daerah.

    “Dalam serbuan itu, sebanyak 953.03 gram (g) heroin, 73.3 g syabu dan 13.60 g ganja dirampas dianggarkan bernilai RM41,366.

    “Seramai enam pengedar dadah juga ditangkap dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zulkiflee berkata, JSJ Narkotik Melaka akan terus berusaha membersihkan sarang penagihan dadah di kedua-dua daerah tersebut walaupun masih ada penagih yang berdegil melepaskan gian di lokasi tersebut.- Bernama

  • PDRM siap siaga untuk PRN Johor – Timbalan Ketua Polis Negara

    PDRM siap siaga untuk PRN Johor – Timbalan Ketua Polis Negara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menggerakkan dan menambah anggota polis daripada negeri lain, dalam membantu kelancaran proses pilihan raya negeri berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya menyediakan keanggotaan mencukupi bagi tujuan itu, dan penyusunan gerak kerja berikutnya dilaksanakan oleh ketua polis negeri. 

    “Apabila dimaklumkan bubar sahaja (Dewan Undangan Negeri Johor), saya sendiri bercakap dengan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat mengenai persediaan, bukan sahaja dari sudut keanggotaan yang mencukupi.

    “Sekiranya keanggotaan di daerah atau kontinjen (masih) tidak mencukupi, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan turut membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 17 Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh, Selangor, hari ini. 

    Sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.  

    Sementara itu mengenai Op Selamat 17 Razarudin berkata polis mengadakannya kembali, selepas kira-kira dua tahun ia dihentikan berikutan pandemik COVID-19. 

    Beliau berkata operasi itu mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”, dan akan bermula pada 28 Jan hingga 6 Feb depan dengan dua objektif utama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya.

    Menurutnya selain operasi penguatkuasaan biasa, pihaknya pada masa sama akan mempraktikkan tindakan penguatkuasaan secara digitalisasi dengan menggunakan alat kamera pengesanan had laju ‘In CarRadar‘ di sepanjang laluan lebuh raya bagi memastikan pengguna mematuhi had kelajuan ditetapkan. 

    “Begitu juga dengan penggunaan alat Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik, termasuk kenderaan yang terlibat dalam kes jenayah seperti kenderaan curi mahupun klon,” katanya.- Bernama

  • SPRM tahan reman bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan

    SPRM tahan reman bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bekas pengarah penguatkuasa agensi kerajaan direman selama tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender kontrak kerja-kerja pembersihan bernilai RM3.1 juta di utara tanah air.

    Perintah reman sehingga 30 Januari itu dikeluarkan oleh Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan pagi ini.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira pada jam 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Sumber memaklumkan, tertuduh dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan dari Julai 2019 sehingga Mac 2021 daripada syarikat kontraktor dalam membantu mendapatkan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman berkenaan.

  • Salah guna kuasa, pengurus pemasaran ditahan SPRM

    Salah guna kuasa, pengurus pemasaran ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengurus pemasaran bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa membabitkan penyelewengan bayaran hasil buah tandan segar sawit berjumlah lebih RM85,000.

    Suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pukul 12.30 tengahari tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2018 hingga 2019, suspek yang bertugas sebagai pengurus pemasaran telah menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng wang bayaran bagi hasil jualan buah tandan segar sawit tersebut untuk kepentingan dirinya sendiri.

    Azmi Alias

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

  • Polis tahan suami isteri dalang edar dadah

    Polis tahan suami isteri dalang edar dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sepasang suami isteri antara tiga individu yang ditahan dalam dua siri tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Rabu lalu, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak beberapa bulan lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari, sebanyak lebih tujuh kilogram dadah jenis heroin dan syabu dirampas daripada mereka yang ditahan.

    Katanya, tangkapan pertama dibuat terhadap seorang individu berusia 22 tahun di bawah rumah flat dekat Mergong, Alor Setar.

    “Pemeriksaan terhadapnya menemukan plastik dalam beg silang yang berisi lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 56.3 gram.

    “Lanjutan daripada tangkapan pertama, siri tangkapan kedua dilakukan melibatkan pasangan suami isteri tersebut yang sedang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di tepi Jalan Sungai Petani, Simpang Empat dekat Alor Setar. Pemeriksaan dijalankan kemudiannya menemukan dadah jenis heroin seberat 338.4 gram dalam beg pinggang dipakai oleh si suami,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

    Tidak berakhir di situ katanya, polis kemudiannya menyerbu ke sebuah rumah di Kampung Radek, Sik kira-kira pukul 7.15 malam hari sama.

    “Dalam bilik rumah tersebut, polis menemukan satu beg galas berwarna kelabu berisi dadah jenis syabu seberat 5.5kg dan lima peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat kira-kira 1.6kg.

    “Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM224,852 dan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 62,000 penagih,” katanya.

    Menurutnya, pihak polis turut menyita sebuah motosikal 125Z bernilai RM8,000 serta wang tunai RM835.

    “Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut antara enam hingga lapan bulan lalu. Kesemua mereka direman hingga 26 Januari depan dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

  • Enam lelaki Rohingya pukul suspek samun diburu polis

    Enam lelaki Rohingya pukul suspek samun diburu polis

    SERAMAI enam lelaki berketurunan Rohingya kini diburu polis selepas memukul seorang lelaki yang juga suspek kes samun dalam kejadian Kampung Pauh Badang, Kota Bharu, Selasa lalu.

    Pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada Jumaat lalu mendakwa anaknya berusia 30 tahun dipukul sekumpulan lelaki sebelum ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, ibu mangsa menyedari kejadian apabila melawat anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas direman selama tujuh hari bermula 19 sehingga 25 Januari ini untuk membantu siasatan.

    “Berdasarkan laporan, mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki Rohingya di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan kemudian mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

    Shafien berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang menjejaki kumpulan lelaki Rohingya berkenaan.

    Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menyerahkan suspek jenayah yang ditangkap kepada polis tanpa melakukan sebarang tindakan yang mendahului pihak berkuasa.

  • Jurujual kereta maut dirempuh lori

    Jurujual kereta maut dirempuh lori

    SEORANG jurujual kereta meninggal dunia akibat dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di KM 34 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu, berhampiran Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi.

    Dalam kejadian jam 7.45 malam, mangsa, Mohd. Rozimi Daud, 40 meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala.

    Sementara itu, rakannya, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 45, mengalami cedera ringan di bahagian pinggang.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, mangsa dan rakannya menaiki kereta jenis Proton Preve manakala lori dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dan rakan berusia 21 tahun.

    Katanya, sebelum kejadian mangsa dan rakannya dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

    “Sampai di lokasi kemalangan, tiba-tiba sebuah lori datang dari arah bertentangan, gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan kereta mangsa dan bertembung,” katanya hari ini.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kecuaian pemandu lori yang masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

    Katanya, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori didapati negatif .

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis,Pasir Puteh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Terdahulu, Rozimi yang bekerja sebagai jurujual kereta di Kota Bharu sempat memuat naik gambar menikmati teh tarik buih di Facebook pada jam 10 pagi, kira-kira sembilan jam sebelum kejadian.

    Gambar terakhir itu kini dibanjiri komen dan ucapan takziah daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan kenalan arwah yang meninggalkan seorang isteri dan enam anak yang masih kecil.

    Menerusi perkongsian Ashraf Proton di Facebook, dia menyatakan bahawa arwah selamat dikebumikan pada pukul 7:30 pagi tadi.

  • Penunggang motosikal wanita maut digilis lori

    Penunggang motosikal wanita maut digilis lori

    SEORANG wanita maut selepas digilis lori dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 57, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, Tapah, pada pukul 7.50 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian tersebut, M. Sarasa, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan menuju ke Ipoh.

    “Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh di atas jalan.

    “Sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 67 tahun dari arah sama tiba-tiba menggilis mangsa. Mangsa yang parah maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.