Category: Jenayah

  • Tular Lelaki OKU curi pakaian dalam pelajar wanita ditahan

    Tular Lelaki OKU curi pakaian dalam pelajar wanita ditahan

    SIKAP pelik seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang mencuri pakaian dalam pelajar wanita di sebuah universiti awam di Kuala Nerus, Terengganu terbongkar setelah kegiatannya itu disedari pelajar universiti berkenaan.

    Perbuatan suspek berusia 37 tahun itu diketahui selepas beberapa pelajar perempuan ternampak lelaki itu berlegar-legar di sekitar asrama tersebut sebelum menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 7 petang hari yang sama di lokasi terbabit.

    “Suspek yang juga OKU pendengaran telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

    “Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing suspek juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan masing-masing kerana mencuri dan menceroboh.

    Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi lapan saat yang memaparkan seorang lelaki berlegar di kawasan ampaian asrama wanita di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kuala Nerus.

  • Kertas siasatan ADUN positif dadah perlu tindakan susulan

    Kertas siasatan ADUN positif dadah perlu tindakan susulan

    KERTAS siasatan berhubung penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak, kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai pada 13 Jan lepas, telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, hari ini.

    Namun Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata kertas siasatan itu, telah dikembalikan kepada polis dengan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh pihaknya.

    Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan tindakan atau maklumat yang perlu dikemas kini, seperti di minta oleh Pengarah Pendakwaan Negeri.

    “Hari ini polis telah serahkan kertas siasatan kes itu dan ia turut ditaklimatkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, atas permintaan beliau (Pengarah Pendakwaan Negeri) kertas siasatan tersebut dikembalikan dengan beberapa tindakan untuk diambil oleh pihak polis.

    “Polis akan lengkapkan tindakan yang diminta itu, dan kita jangka kertas siasatan tersebut akan diserahkan kembali dalam tempoh dua minggu lagi.

    “Kami juga masih menunggu laporan patologi berhubung sampel air kencing ADUN berusia 54 tahun berkenaan, bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai itu, seramai 48 individu ditahan, dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala, 12 lagi berkaitan kes jenayah.

    Mereka yang ditahan kerana positif dadah termasuk ADUN tersebut, dan dua anggota polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak dan Pulau Pinang.

    ADUN Pasir Bedamar Terence Naidu yang ditahan itu, kemudiannya mendakwa ujian kedua air kencing yang dilakukan di sebuah klinik swasta – Klinik 02 di Pulau Pinang didapati negatif, dan meminta polis menjalankan siasatan segera. – Bernama

  • Lebih RM133,000 rokok seludup, minuman keras tidak bercukai dirampas

    Lebih RM133,000 rokok seludup, minuman keras tidak bercukai dirampas

    POLIS Marin Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenama rokok seludup dan minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM133,000 dalam serbuan di Bukit Mertajam semalam.

    Dalam operasi khas sempena Tahun Baharu Cina oleh Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Batu Uban itu, seorang lelaki warga Bangladesh turut ditahan bagi membantu siasatan.

    Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menjumpai sebanyak 11 peti rokok dan 17 peti minuman keras yang disyaki tidak bercukai.

    Hasil pemeriksaan lanjut katanya, peti-peti rokok itu didapati mengandungi sebanyak 590 karton atau 216,800 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM123,490.

    “Turut dirampas ialah pelbagai jenama minuman keras sebanyak 143.4 liter bernilai RM9,970 dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM133,460,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Shamsol, suspek dan kesemua barang rampasan itu kemudian diserahkan kepada ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) untuk tindakan lanjut.

    Jelasnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967m

    “Kejayaan ini adalah sebahagian daripada  beberapa siri tangkapan di bawah Op Khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang dijalankan pasukan Polis Marin Wilayah 1 sejak dilaksanakan bermula Jumaat lalu,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi-operasi yang sama pada masa depan dalam mengekang aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok dan minuman keras tanpa cukai yang merugikan kerajaan.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian 04-6558222,” katanya.

  • Op Tapis Khas: Dadah bernilai lebih RM3.5 juta dirampas dalam tempoh tiga hari

    Op Tapis Khas: Dadah bernilai lebih RM3.5 juta dirampas dalam tempoh tiga hari

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas sejumlah 212.6 kilogram (kg) dan 1,199.2 liter pelbagai jenis dadah dianggar bernilai lebih RM3.5 juta, selepas menahan 5,200 orang menerusi Op Tapis Khas di seluruh negara dari 21 hingga 23 Jan.

    Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan dalam operasi bersama polis kontinjen negeri-negeri itu, terdiri daripada 4,987 lelaki dan 213 wanita berumur lingkungan 13 hingga 60 tahun.

    “Dalam operasi selama tiga hari itu, polis dalam masa sama berhasil menahan 942 tokan dadah yang turut melibatkan remaja bawah umur. Seramai 129 suspek merupakan warga asing. Operasi sama itu turut menggempur 367 sarang penagih,” katanya pada sidang media JSJN di Bukit Aman, hari ini.

    Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 39C, 12(2), dan 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    Ayob Khan berkata polis turut merampas satu senjata api ‘Revolver’ dalam operasi di Perak, selain senapang buatan sendiri masing-masing di Sarawak dan Negeri Sembilan, berserta beberapa butir peluru. 

    Turut disita wang tunai berjumlah RM333,766; barang kemas bernilai RM41,540; 34 kenderaan bernilai RM1.58 juta; dan 69 motosikal bernilai RM391,700.

    Ayob berkata operasi itu akan diteruskan di semua kontinjen, di samping Program Jihad Dadah dalam usaha membanteras ancaman dadah dalam kalangan masyarakat.

    — BERNAMA 

  • Op Tapis: 157 individu termasuk 30 pengedar dadah ditahan di Melaka

    Op Tapis: 157 individu termasuk 30 pengedar dadah ditahan di Melaka

    SEBANYAK 157 individu termasuk 30 pengedar dadah ditahan dan pelbagai dadah bernilai RM60,600 dirampas dalam Op Tapis Khas dijalankan di sekitar Melaka selama tiga hari bermula 21 Jan lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Zulkiflee Rashid berkata daripada 30 pengedar dadah, 17 daripadanya ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 13 lagi ditahan di bawah Seksyen 3 (1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    Beliau berkata dadah yang dirampas meliputi 1,168.38 gram (g) heroin, syabu (188.64 g), ganja (129.45 g), ketamin (4 g) dan air ketum (4.5 liter).

    “Kesemua pengedar dadah berkenaan berusia 19 hingga 64 tahun itu ditahan di sekitar Melaka termasuk di dua pot dadah iaitu di Pot Krubong di Melaka Tangah dan dan Pot Apache di Alor Gajah.

    “Seorang pengedar dadah yang ditahan di Pot Apache datang dari Lembah Klang untuk mengedar dadah dan merekrut penagih dadah di Alor Gajah untuk dijadikan ‘balaci’ (budak suruhan) bagi membantunya mengedar dadah di pot tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

    Beliau berkata daripada 157 individu yang ditahan, 73 penagih dan pengedar dadah termasuk seorang wanita ditahan di kedua-dua pot berkenaan yang merupakan sarang penagihan dan pengedaran dadah yang popular dalam kalangan mereka.

    Katanya wang tunai berjumlah RM10,000 dipercayai hasil aktiviti pengedaran dada, tujuh kereta dan 13 motosikal bernilai RM269,500 dirampas dan disita sepanjang tiga hari operasi berkenaan dijalankan.

    Zulkiflee berkata op berkenaan bukan sahaja bertujuan membersih dan menutup pot penagihan dan pengedaran dadah, malah bagi mengekang aktiviti tersebut di negeri ini.

    “Operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan orang ramai terutama generasi muda diingatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti penagihan serta pengedaran dadah yang boleh memusnahkan masa depan mereka,” katanya.

    — BERNAMA

  • Polis tahan lelaki, rampas 180 mesin bitcoin

    Polis tahan lelaki, rampas 180 mesin bitcoin

    SEORANG lelaki ditahan kerana terlibat dalam kegiatan perlombongan Bitcoin dan merampas 180 mesin di sebuah premis di Persiaran Putra, Langkawi, semalam.

    Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan suspek warga tempatan berusia 28 tahun itu di Taman Simfoni pukul 12.05 tengah malam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya dibantu lelaki terbabit membuka pintu di sebuah premis sebelum menemui peralatan disyaki digunakan untuk perlombongan mata wang digital bitcoin.

    “Polis turut menemui bukti berlaku penyambungan elektrik secara haram dalam premis terbabit sehingga menyebabkan kerugian pada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Serbuan dan pemeriksaan turut disertai kakitangan Teknikal TNB.

    “Antara barangan rampasan termasuk mesin bitcoin sebanyak 180 unit, modem wifi (tiga), penyambung internet (lapan) dan router (satu),” katanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan.

  • Warga Bangladesh didenda RM10,000, rasuah pegawai polis

    Warga Bangladesh didenda RM10,000, rasuah pegawai polis

    SEORANG lelaki warga Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh, hari ini kerana memberi rasuah RM150 kepada seorang inspektor polis, tahun lalu.

    Hakim M. Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Hossain Md Shakib mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberi suatu suapan wang tunai RM150 kepada seorang inspektor polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, lapor ASTRO AWANI.

     Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh dan dua rakannya atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan pas lawatan kerja yang telah tamat tempoh, di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan sebelum jalan keluar Plaza Tol Sungkai, sekitar pukul 2.50 petang, 10 Mac 2021.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda di samping wang rasuah RM150 dilucuthakkan di bawah seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009 kepada kerajaan Malaysia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Polis cari dua lelaki bantu siasatan kes tetak dua beranak

    Polis cari dua lelaki bantu siasatan kes tetak dua beranak

    POLIS sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes tetak dua beranak menggunakan parang di Taman Jimah Jaya Site C, Chuah, Port Dickson pada 16 Januari lepas.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham Mohamed berkata, individu berkenaan ialah V Vithyathran, 32, yang beralamat di Taman Springhill, Rantau dan B Selvam, 21, dari Taman Jaya Lukut, Port Dickson.

    Beliau berkata polis telah menahan enam lelaki dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun antara pukul 4.40 pagi 16 Januari 9.30 malam 18 Januari lepas di sekitar Lukut dan Port Dickson yang disyaki turut terlibat dengan kes itu dan merampas dua motosikal dan sebilah parang yang disyaki digunakan untuk mencederakan mangsa.

    “Semakan rekod lampau dapati lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang positif ganja dan ketika kejadian mereka berada dalam keadaan pengaruh alkohol.

    Kesemua mereka telah direman selama lapan hari sehingga semalam. Arahan pertuduhan juga dikeluarkan terhadap dua daripada mereka dan seorang masih bebas manakala empat yang lain dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3.43 pagi pada 16 Januari lepas, seorang lelaki berusia 46 tahun dan anak lelakinya, 16, dilaporkan cedera parah di bahagian badan dan tangan akibat diserang sekumpulan lelaki bermotosikal.

    Aidi Sham berkata mereka juga merosakkan kenderaan milik keluarga mangsa dengan memecahkan cermin kereta dan tingkap sebelum melarikan diri. – Bernama

  • Premis keluarkan produk kesihatan, ubatan tradisional guna logol halal tidak sah diserbu

    Premis keluarkan produk kesihatan, ubatan tradisional guna logol halal tidak sah diserbu

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merampas pelbagai bahan yang digunakan untuk menghasilkan barangan kesihatan serta ubatan tradisional yang menggunakan logo halal tidak diperakukan.

    Rampasan bernilai kira-kira RM54,000 itu dilakukan susulan serbuan ke atas sebuah premis yang mengeluarkan produk tersebut di Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan hasil aduan daripada orang ramai itu berjaya merampas sebanyak 4,392 unit minyak bijan; 3,192 unit minyak biji sawi; 7,968 unit air ros; 2,580 unit air lemuju (air tonik atau herba) dan 5,916 unit kapur.

    “Secara keseluruhan, jumlah sitaan atau rampasan barangan itu dianggarkan bernilai RM54,402.90,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Ridzuan, kes itu disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk kategori bukan pertubuhan atau perbadanan.

    Serbuan ke atas sebuah premis yang mengeluarkan produk tersebut di Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Katanya, kesalahan kedua dan seterusnya bagi kategori yang sama boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertubuhan atau perbadanan pula tambah beliau, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM 500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

    “Sehubungan itu, kita mengingatkan para peniaga supaya lebih beretika serta tidak menggunakan penandaan halal yang tidak diperakui oleh pihak berkuasa.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka jika didapati bersalah menggunakan logo halal tanpa kebenaran,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai melaporkan kesalahan tersebut dengan menghubungi bilik gerakan PPDNHEP Pulau Pinang di talian 04-3840245 atau melalui portal e-aduan atau melalui aplikasi Whatsapp di nombor 019-2794317.

  • Himpunan haram: Adam Adli, 7 individu lain dipanggil

    Himpunan haram: Adam Adli, 7 individu lain dipanggil

    SERAMAI lapan individu hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini bagi memberi keterangan berhubung penglibatan ceramah berkait himpunan #TangkapAzamBaki, pada Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua mereka antara dipanggil bagi membantu siasatan susulan program ceramah yang diadakan sehari sebelum himpunan terbabit dianjurkan pada Sabtu.

    “Polis menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika dihubungi.

    Amihizam berkata, sehubungan itu akan ada beberapa lagi individu lain dipanggil selepas ini untuk membantu siasatan.

    Antara yang hadir pada petang ini termasuk aktivis Adam Adli Abdul Halim; Ketua Pemuda DAP Howard Lee dan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dr Thanussha Francis Xavier.

    Selain itu, turut hadir Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Zubair Rahim dan Pengarah Strategik Pemuda Amanah, Asmaalif Abdul Adam.

    Terdahulu, kesemua yang hadir memberi keterangan pada 2.10 petang dengan diwakili peguam masing-masing serta dilihat meninggalkan IPD berkenaan pada 4.15 petang.

    Sabtu lalu, media melaporkan polis memeriksa butiran diri kira-kira 40 individu termasuk 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki anjuran Pemuda Amanah Nasional di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, di sini.

    Hasil siasatan awal polis mendapati kesemua individu terbabit diipercayai berhimpun kira-kira 9 malam pada Jumaat bagi mengajak orang ramai untuk turut hadir pada perhimpunan berkenaan yang dijadualkan diadakan berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar. – BERNAMA