Category: Jenayah

  • Tular pukul di luar pusat hiburan, polis tahan 7 suspek

    Tular pukul di luar pusat hiburan, polis tahan 7 suspek

    ENAM lelaki dan seorang wanita ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian memukul seorang lelaki di luar kawasan sebuah pusat hiburan di Luyang Commercial Centre, Kota Kinabalu seperti yang tular di media sosial, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 5 petang kelmarin.

    Katanya, mangsa lelaki membuat laporan polis mendakwa dipukul dan diugut oleh beberapa individu tidak dikenali.

    “Mangsa dipanggil keluar dari sebuah pusat hiburan oleh seorang wanita dan lelaki tidak dikenali.

    “Ketika berada di luar, mangsa mendakwa ditolak dan ditumbuk di muka serta ditendang di perut beberapa kali oleh suspek yang tidak dikenali hingga mengalami pendarahan di hidung dan kepala,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek kemudian menarik mangsa dan membawanya ke dalam kereta untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sebelum merampas semua telefon bimbit mangsa hingga rosak.

    “Dalam perjalanan ke IPD Kota Kinabalu, seorang daripada suspek mengeluarkan cota besi dan mengugut mangsa.

    “Tiga suspek didakwa menumbuk dan menendang mangsa berkali-kali manakala seorang suspek turut mengugut hingga mangsa ketakutan,” katanya.

    Ujarnya, selepas membuat laporan polis, mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    Menurutnya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    “Punca kejadian belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Remaja tipu diculik, tuntut keluarga bayar wang tebusan RM100,000

    Remaja tipu diculik, tuntut keluarga bayar wang tebusan RM100,000

    REKA cerita dirinya diculik dengan menaip sendiri mesej meminta wang tebusan RM100,000 daripada keluarganya.

    Itu helah dilakukan remaja perempuan yang enggan dikongkong dan mahu hidup bebas sehingga sanggup menipu ahli keluarga, kononnya dia menjadi mangsa culik.

    Dalam kejadian 1.30 tengah hari semalam, remaja berusia 19 tahun itu pada mulanya keluar bersama keluarganya di pusat beli-belah di Ampang sebelum memberitahu mahu ke tandas.

    Menurut sumber, bagaimanapun selepas dua jam menunggu, remaja itu tidak kelihatan menyebabkan bapanya mencari di seluruh pusat beli-belah itu namun tidak menemuinya.

    “Tidak lama kemudian mereka menerima mesej WhatsApp daripada telefon bimbit anaknya meminta supaya menyerahkan wang tunai RM100,000 jika mahu anaknya selamat.

    “Ibu bapanya yang bimbang dengan keselamatan remaja itu kemudian tampil membuat laporan polis,” kata sumber menurut Harian Metro.

    Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati ia bukanlah kejadian culik sebaliknya mangsa menghilang diri ketika ke tandas, sebelum tinggal di rumah kawan lelakinya di Shah Alam.

    Polis kemudian menahan remaja perempuan itu pada 10 malam 1 Jun untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu dan suspek direman dua hari bermula hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan 182 Kanun Keseksaan.

  • Tiga sekawan ditangkap selepas samun penjual telefon guna pistol tiruan

    Tiga sekawan ditangkap selepas samun penjual telefon guna pistol tiruan

    TIGA sekawan diberkas polis dalam dua serbuan berasingan di Hulu Langat dan Skudai selepas menyamun seorang penjual telefon terpakai di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada mangsa berusia 25 tahun pada pukul 4.45 pagi kelmarin.

    “Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

    Sepucuk pistol tiruan yang dirampas selepas polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam kegiatan samun bersenjata ketika Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Noor Delhan berkata, dua suspek ditahan di kawasan Hulu Langat, Selangor dan salah seorang lagi di Skudai, Johor.

    Ujarnya, mangsa berurusan dengan suspek menerusi platform media sosial bagi pembelian Samsung Galaxy S22 dan iPhone 12 Pro Max.

    Mereka kemudian mengadakan pertemuan pada malam 30 Mei di Kampung Baru sebelum meminta mangsa menyerahkan telefon untuk dilihat terlebih dahulu.

    “Mangsa kemudian meminta bayaran seperti dijanjikan berjumlah hampir RM6,000.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya menunjukkan fotofit suspek yang terlibat dalam kegiatan samun bersenjata ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Namun, suspek bertindak mengacukan pistol tiruan ke arah mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

    “Turut dirampas dua pasang kasut, dua helai seluar jeans, sehelai baju-T, serangkai kunci serta sebuah motosikal Yamaha 135 LC,” ujarnya.

    Semakan terhadap suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan kesalahan dadah.

    “Dua suspek bekerja sebagai penghantar makanan dan pekerja restoran makanan segera manakala seorang lagi penganggur,” katanya, lapor Utusan TV.

    Kesemua suspek direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

  • Jho Low di Macau: GSS terkejut SPRM buat dakwaan sepihak

    Jho Low di Macau: GSS terkejut SPRM buat dakwaan sepihak

    PIHAK berkuasa keselamatan Macau menyelar kenyataan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikeluarkan secara unilateral apabila mendakwa ahli perniagaan dalam buruan polis, Low Taek Jho atau Jho Low, bersembunyi di rantau itu.

    Menurut Pejabat Setiausaha Keselamatan (GSS) Macau berkata, pihkanya terkejut dengan dakwaan agensi penguat kuasa antirasuah itu mengenai keberadaan Jho Low.

    “Sekiranya laporan itu benar, agensi penguat kuasa undang-undang yang berkaitan di negara itu memilih untuk tidak mengesahkan keadaan dan mendapatkan bantuan melalui saluran (yang betul) bagi kerjasama polis antarabangsa atau bantuan undang-undang bagi hal jenayah.

    “Sebaliknya, mereka mengeluarkan maklumat yang tidak disahkan secara unilateral.

    “Tindakan sedemikian benar-benar melanggar peraturan dan norma kerjasama polis antarabangsa dan bantuan undang-undang mengenai perkara jenayah.

    “Pihak berkuasa keselamatan (kami) amat terperanjat dan terkejut,” menurut GSS dalam kenyataan hari ini.

    Agensi itu mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi mereka menjawab laporan Al Jazeera bahawa SPRM percaya Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

    Laporkan agensi berita berpangkalan di Doha itu disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa beberapa negara terbabit di Macau.

    Setiausaha Keselamatan Wong Sio Chak, turut menafikan dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika itu bahawa Low bersembunyi di Macau.

    Mengulas lanjut, GSS berkata, mereka tetap dengan pendirian dibuat pada 2020 iaitu menafikan Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

    GSS menegaskan polis Macau dilarang undang-undang daripada mendedahkan sebarang maklumat kepada orang ramai berhubung penglibatan individu tertentu dalam kes itu.

    “Ini adalah pematuhan yang perlu kepada status Macau sebagai bandar antarabangsa dan masyarakat yang dikawal oleh kedaulatan undang-undang.

    “Penting untuk ditekankan bahawa polis Macau sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur dengan tegas semasa terlibat dalam kerjasama polis dengan semua negara dan wilayah mengikut amalan antarabangsa yang berkaitan,” kata kenyataan itu lagi.

    Jho Low adalah dalang di sebalik skandal bernilai berbilion-bilion 1MDB dan telah didakwa tanpa kehadirannya di mahkamah AS dan Malaysia.

    Di sebalik statusnya sebagai orang buruan, dia kini masih belum dapat ditahan.

  • Timbalan Menteri Sarawak diserang 4 individu berhampiran rumahnya

    Timbalan Menteri Sarawak diserang 4 individu berhampiran rumahnya

    PESURUHJAYA Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, siasatan sedang dilakukan terhadap dakwaan seorang timbalan menteri Sarawak diserang empat individu berhampiran rumahnya di Tabuan Jaya pada 30 Mei lalu.

    Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.06 malam itu, mangsa yang merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendakwa melihat empat suspek dipercayai warga tempatan dalam keadaan mencurigakan serta menegur mereka.

    “Salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati dengan teguran telah cuba menyerang dan mengasari beliau sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian belakang badan,” katanya pada satu kenyataan, hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, katanya.

    Sambil menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi, Mohd. Azman menyeru mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat Rathna Borhan di talian 019 817 6267.

    Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang timbalan menteri mendapatkan rawatan hospital bagi mengubati kecederaannya sebelum membuat laporan polis.

  • Cuba rasuah polis RM60,000: Lelaki direman enam hari

    Cuba rasuah polis RM60,000: Lelaki direman enam hari

    SEORANG lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan atas dakwaan cuba menawarkan wang rasuah berjumlah RM60,000 kepada seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP.

    Rasuah itu adalah bagi melepaskan dirinya yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penipuan.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, bermula hari ini hingga 7 Jun.

    Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini ketika hadir memberi keterangan pada 10.40 malam tadi.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

    Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. 

  • Gelandangan melecur dibakar lelaki mabuk

    Gelandangan melecur dibakar lelaki mabuk

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG gelandangan warga emas melecur di punggung dan kakinya dipercayai akibat dibakar seorang lelaki mabuk di kaki lima kedai dekat Taman Kampian di Sungai Petani, Kedah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.24 malam ketika gelandangan tersebut yang berusia 62 tahun sedang tidur.

    “Ketika nyenyak tidur, mangsa kemudiannya tersedar yang tilamnya telah terbakar. Dia bagaimanapun tidak nampak siapa yang melakukan perbuatan itu.

    “Akibat kejadian itu mangsa melecur di bahagian punggung dan kaki. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

    Tambahnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati, seorang lelaki yang menaiki motosikal telah berhenti di tepi bangunan tersebut dan berjalan dalam keadaan terhoyong-hayang hingga terjatuh disyaki mabuk.

    Suspek kelihatan membakar tilam di kaki lima bangunan dan melarikan diri menaiki motosikal

    “Di belakang motosikal itu juga terdapat satu tong. Suspek dilihat kemudiannya bangun dan menuju ke lokasi tempat mangsa sedang tidur.

    “Rakaman CCTV itu tidak memaparkan perlakuan suspek terhadap mangsa namun lelaki tersebut kelihatan membakar tilam di kaki lima bangunan dan melarikan diri menaiki motosikal,” katanya.

    Sementara itu katanya, mangsa bersama pemilik kedai tersebut menafikan mereka memiliki musuh atau pernah bergaduh dengan sesiapa.

    “Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Ibu gagal bayar hutang RM100,000, kereta dipandu anak dilarikan 3 lelaki

    Ibu gagal bayar hutang RM100,000, kereta dipandu anak dilarikan 3 lelaki

    KEJADIAN seorang lelaki yang ditarik keluar dan keretanya dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang, Mak Mandin, Pulau Pinang kira-kira pukul 7.45 pagi kelmarin disebabkan ibu mangsa gagal membayar hutang berjumlah RM100,000.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 27 sehingga 49 tahun semalam.

    Menurut beliau, kesemua suspek ditahan di tiga lokasi berbeza iaitu di Kuala Kangsar, Perak dan di Seberang Jaya serta Butterworth, Pulau Pinang.

    Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati ibu mangsa yang berusia 57 tahun telah membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 daripada seorang lelaki pada tahun 2020.

    “Melalui perjanjian bertulis, ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta berkenaan sekiranya gagal membayar pinjaman terbabit.

    “Memandangkan ibu mangsa gagal membayar pinjaman itu, lelaki (pemiutang) terbabit mengupah tiga lelaki untuk merampas kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Video kejadian kereta itu dirampas berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan seorang pemandu Perodua Axia ditarik keluar dua lelaki sebelum kenderaannya dilarikan di persimpangan lampu isyarat turut tular di media sosial.

    Menurut Mohd. Asri, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan sekiranya sabit kesalahan.

    Tambah beliau, polis kini juga masih dalam usaha mengesan suspek yang masih bebas dalam kes tersebut.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak terus menularkan video kejadian berkenaan dan orang awam juga boleh merujuk kepada pihak yang berkenaan untuk pengesahan maklumat supaya maklumat yang betul boleh diperolehi.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU ditalian 04-5759122,” katanya.

  • Remaja 13 tahun pandu kereta tanpa lesen ditahan

    Remaja 13 tahun pandu kereta tanpa lesen ditahan

    SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas videonya memandu sebuah kereta sejauh kira-kira empat kilometer tanpa lesen di Jalan Rozhan, Machang Bubok, Pulau Pinang tular di media sosial semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, turut ditahan ialah ibu remaja terbabit yang berusia lewat 40-an serta rakannya bagi membantu siasatan.

    Terdahulu, ujar beliau, polis mengesan satu video berdurasi 32 saat yang memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta bewarna hitam bersama rakannya ditahan orang awam yang dimuat naik dan tular di media sosial.

    Susulan penularan video terbabit, katanya, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek bersama ibunya di hadapan flat Taman Machang Bubok malam tadi.

    “Rakannya berusia 13 tahun yang juga penumpang kenderaan ketika kejadian turut ditahan dan kita masih mengesan rakan-rakan suspek yang lain.

    “Kita turut menyita kenderaan milik ibu suspek yang digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, suspek dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala ibunya disaman mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

    “Kita berharap ibu bapa dan masyarakat akan lebih prihatin dalam memantau anak-anak.

    “Jangan benarkan mereka memandu atau menunggang tanpa lesen kerana ia membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

  • Geng Mizan aktif pecah rumah, premis diberkas polis 

    Geng Mizan aktif pecah rumah, premis diberkas polis 

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    POLIS membongkar kegiatan sekumpulan individu dikenali sebagai ‘Geng Mizan’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan premis di Kedah sejak enam bulan lalu dengan tertengkapnya enam lelaki dan seorang wanita, baru-baru ini. 

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan bermula 20 Mei lalu. 

    Katanya, tindakan tidak hanya berakhir di situ kerana polis kini masih berusaha memburu tiga lagi individu yang dipercayai menjadi dalang utama kumpulan berkenaan. 

    “Antara lokasi yang dipecah masuk termasuklah istana hinggap kerabat diraja di Taman Tunku Sarina, Jitra. Tidak hanya melakukan pecah rumah dan premis di Kedah, kumpulan ini juga dikehendaki kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan sama di Pulau Pinang dan Perak. 

    “Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 52 tahun. Enam lelaki tersebut dipercayai merupakan anggota kumpulan berkenaan manakala wanita tersebut adalah teman wanita salah seorang daripada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini. 

    Tambahnya, kumpulan itu menjalankan kegiatan cukup licik dengan menyasarkan rumah atau premis kosong dan biasanya akan menjalankan kegiatan pada waktu malam termasuk menggunakan lori. 

    “Enam lelaki yang ditahan itu kesemuanya didapati positif methamphetamine manakala wanita tersebut negatif dadah. Antara barangan yangdirampas termasuklah dua paket plastik berisi ketulan jernih kristal disyaki methamphetamine serta sebuah kereta jenis Proton Perdana yang disyaki digunakan dalam beberapa siri jenayah dilakukan mereka. 

    “Selain itu, semakan mendapati keenam-enam lelaki yang ditahan memiliki beberapa rekod lampau membabitkan kes jenayah, pecah rumah dan dadah. Salah seorang daripada mereka didapati memiliki hingga 13 rekod lampau sebelum ini,” katanya. 

    Beliau berkata, dua daripada tiga individu yang masih bebas dikenali sebagai Harmizan Kassim, 43, yang beralamat di Bandar Puteri Jaya Sungai Petani serta Mohd Sazali Saidin atau turut dikenali sebagai ‘Ayie’, berasal dari Padang Benggali Telok Air Tawar, Pulau Pinang. 

    “Seorang lagi individu masih dikenal pasti dan pihak kami yakin dapat memberkas mereka dalam masa terdekat. Mereka bertigad dipercayai merupakan dalang utama kumpulan tersebut dan mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai mereka diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis. 

    “Ketika ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, (Akta 574) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234). Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan didenda,” katanya.