Oleh RIZQI ZABIDI
POLIS membongkar kegiatan sekumpulan individu dikenali sebagai ‘Geng Mizan’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan premis di Kedah sejak enam bulan lalu dengan tertengkapnya enam lelaki dan seorang wanita, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan bermula 20 Mei lalu.
Katanya, tindakan tidak hanya berakhir di situ kerana polis kini masih berusaha memburu tiga lagi individu yang dipercayai menjadi dalang utama kumpulan berkenaan.
“Antara lokasi yang dipecah masuk termasuklah istana hinggap kerabat diraja di Taman Tunku Sarina, Jitra. Tidak hanya melakukan pecah rumah dan premis di Kedah, kumpulan ini juga dikehendaki kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan sama di Pulau Pinang dan Perak.
“Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 52 tahun. Enam lelaki tersebut dipercayai merupakan anggota kumpulan berkenaan manakala wanita tersebut adalah teman wanita salah seorang daripada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Tambahnya, kumpulan itu menjalankan kegiatan cukup licik dengan menyasarkan rumah atau premis kosong dan biasanya akan menjalankan kegiatan pada waktu malam termasuk menggunakan lori.
“Enam lelaki yang ditahan itu kesemuanya didapati positif methamphetamine manakala wanita tersebut negatif dadah. Antara barangan yangdirampas termasuklah dua paket plastik berisi ketulan jernih kristal disyaki methamphetamine serta sebuah kereta jenis Proton Perdana yang disyaki digunakan dalam beberapa siri jenayah dilakukan mereka.
“Selain itu, semakan mendapati keenam-enam lelaki yang ditahan memiliki beberapa rekod lampau membabitkan kes jenayah, pecah rumah dan dadah. Salah seorang daripada mereka didapati memiliki hingga 13 rekod lampau sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, dua daripada tiga individu yang masih bebas dikenali sebagai Harmizan Kassim, 43, yang beralamat di Bandar Puteri Jaya Sungai Petani serta Mohd Sazali Saidin atau turut dikenali sebagai ‘Ayie’, berasal dari Padang Benggali Telok Air Tawar, Pulau Pinang.
“Seorang lagi individu masih dikenal pasti dan pihak kami yakin dapat memberkas mereka dalam masa terdekat. Mereka bertigad dipercayai merupakan dalang utama kumpulan tersebut dan mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai mereka diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Ketika ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, (Akta 574) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234). Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan didenda,” katanya.