Category: Jenayah

  • 50 PATI diberkas di Pantai Bagan Pasir

    50 PATI diberkas di Pantai Bagan Pasir

    SERAMAI 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 4 Semenyih di pesisir Pantai Bagan Pasir, Kuala Selangor, tengah malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua mereka membabitkan lelaki, wanita dan remaja berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun dicekup ketika rondaan pukul 12.10 tengah malam.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru sahaja memasuki negara ini melalui laluan jalan laut dengan menggunakan bot.

    “Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

    “Katanya, mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus.

    “Kami meminta masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Gaduh libatkan penarik kereta, 5 lagi ditahan

    Gaduh libatkan penarik kereta, 5 lagi ditahan

    LIMA lagi lelaki ditahan susulan insiden pergaduhan berpunca daripada salah faham berhubung urusan menarik kereta yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang kelmarin.

    Jumlah itu menjadikan keseluruhan yang ditahan setakat ini ialah seramai 10 orang selepas lima lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan kejadian itu.

    Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 21 hingga 54 tahun.

    Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, dua daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis mankala lapan lagi masih direman selama lima hari sehingga 31 Januari ini.

    “Suspek yang masih ditahan reman berada di Lokap Berpusat Bayan Baru untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mereka merupakan antara kira-kira 20 individu yang dikesan terlibat dalam insiden itu yang berlaku di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown, kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

    Insiden itu yang berjaya dirakam orang awam dan turut tular di dalam media sosial Facebook menunjukkan kira-kira 20 lelaki bergaduh sesama sendiri sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya lain.

    Kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit kemalangan di laluan menghala pusat bandar.

    Hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya berkenaan.

    Pihak polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi kaledar dan pengunci motosikal dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh dengan senjata).

  • Polis tahan dua lelaki gaduh di Station 18 

    Polis tahan dua lelaki gaduh di Station 18 

    POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan yang dikatakan berlaku di Station 18, Ipoh, Perak yang tular di media sosial pada Khamis.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain kedua-dua lelaki berusia 27 tahun itu, polis juga sedang mengesan suspek yang lain bagi membantu siasatan.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh serta khianat.

    “Hasil semakan mendapati pihak polis telah pun menerima laporan mengenai kes berkenaan pada 27 Januari, lebih kurang pukul 11.51 malam berkaitan satu kejadian rusuhan di hadapan sebuah restoran di kawasan Station 18, Ipoh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kejadian melibatkan seorang mangsa lelaki yang memandu sebuah kereta dan telah dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

    Menurutnya, berikutan daripada tuduhan tersebut, berlaku kejadian kejar-mengejar di antara mangsa dan suspek sehingga kenderaan yang dipandu mangsa melanggar sebuah kereta lain.

    Ia kemudiannya membawa kepada rusuhan dalam kalangan sekumpulan remaja yang dipercayai pekerja perkhidmatan penghantaran makanan.

    Kata Mior Faridalathrash, kenderaan mangsa telah dirosakkan dengan menggunakan kerusi plastik, batu serta kon plastik.

    “Siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan salah faham dan tuduhan kecurian telefon bimbit oleh mangsa tidak dapat dibuktikan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil memberi keterangan dalam usaha untuk mengesan suspek lain yang terlibat.

  • Imigresen tahan lima warga asing disyaki tawar khidmat seks

    Imigresen tahan lima warga asing disyaki tawar khidmat seks

    LIMA warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran dalam Ops Gegar di sebuah premis di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

    Turut ditahan, empat warga tempatan yang dipercayai pelanggan serta pekerja premis berkenaan.

    Pengarah JIMNW, Kennith Tan Ai Kiang, berkata mereka yang ditahan berusia antara 28 sehingga 41 tahun membabitkan rakyat Thailand.

    “Seramai 22 anggota dan pegawai membuat pemeriksaan terhadap bilik premis berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati seramai lima warga asing disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah.

    “Turut ditahan empat rakyat tempatan yang mengaku sebagai pelanggan termasuk bekerja di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati premis berkenaan menyediakan pakej khidmat seks bagi tempoh 30 minit sehingga 12 jam dengan kadar bayaran antara RM168 sehingga RM670.

    “Semua urusan tempahan dilakukan hanya melalui aplikasi Wechat, Whatsapp dan Telegram,” katanya.

    Kennith berkata, operasi dilakukan berdasarkan maklumat awam serta hasil risikan jabatan.

    Beliau berkata, pihaknya turut menjumpai sejumlah kondom, cecair pelincir serta sejumlah wang dipercayai hasil daripada kegiatan terbabit.

    Katanya, mereka kemudian dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas dan permit yang diberikan berpandukan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia selepas pas atau permit tamat atau dibatalkan.

    “Selain itu, ada yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah,” katanya. 

  • Pengarah penguat kuasa direman 7 hari bantu siasatan kes rasuah bulanan

    Pengarah penguat kuasa direman 7 hari bantu siasatan kes rasuah bulanan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pengarah penguat kuasa agensi kawal selia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Siti Norhidaya Mohd. Noor di Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini.

    Sumber memaklumkan, pengarah tersebut yang merupakan seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan di Cyberjaya kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

    “Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah secara bulanan daripada seorang individu dengan menggunakan orang tengah.

    “Rasuah tersebut disyaki berlaku dari Julai 2019 hingga Mac 2021 sebagai dorongan untuk dia membantu pihak tertentu mendapatkan tender pengurusan pembersihan awam daripada syarikat pembersihan di Kedah,” katanya.

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, mengesahkan tangkapan dilakukan pihaknya namun enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan.

    “Setakat ini kami masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009,” katanya.

  • Pesara TUDM maut, kepala digilis lori dalam kemalangan

    Pesara TUDM maut, kepala digilis lori dalam kemalangan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pesara tentera udara maut setelah kepalanya digilis lori dalam kemalangan di Jalan Bukit Selambau menuju ke Jeniang, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, mangsa, Zakaria Ismail, 62, dari Kampung Bukit Kecil di Simpor dekat Sungai Petani, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berlaku ketika hujan di kawasan simpang tiga berhampiran selekoh yang gelap, tanpa ada lampu jalan.

    “Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah Teloi, keluar daripada simpang lalu terlanggar bahagian belakang sebuah lagi motosikal ditunggang remaja berusia 19 tahun.

    “Akibat kejadian itu, mangsa tiba-tiba jatuh ke jalan sebelum digilis sebuah lori dari arah Bukit Selambau menuju ke Jeniang yang tidak sempat mengelak,” katanya ketika dihubungi.

    Akibat kejadian itu katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan serius di kepala.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Pengedar rokok seludup ditahan, sembunyi rokok dalam rumah

    Pengedar rokok seludup ditahan, sembunyi rokok dalam rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Sebuah rumah di Jalan Abad, Kampung Ungku Mohsin Kampung Baru, Bayu Damai, Johor Bahru kelihatan tiada bezanya berbanding kediaman penduduk yang lain.

    Namun, di sebalik ketenangan suasana kampung, penduduk setempat gempar apabila rumah tersebut diserbu Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam semalam.

    Hasilnya, maka terbongkarlah kegiatan haram satu sindiket yang menjadikan rumah tersebut sebagai tempat penyimpanan rokok seludup sebelum dipasarkan di negeri ini.

    Pegawai Pemerintahnya, Superitendan Dimin Awang berkata, penahanan suspek berusia 39 tahun itu turut membawa kepada penemuan dan rampasan 2,620 karton rokok disyaki tidak bercukai dianggarkan bernilai RM257,344.

    “Suspek ditahan ketika sedang memandu keluar dari rumah tersebut menaiki kereta jenis Toyota Avanza yang mana hasil pemeriksaan dilakukan pada kenderaan itu telah menemui 15 kotak besar mengandungi mercun.

    Antara rokok yang dirampas di rumah berkenaan di Kampung Ungku Mohsin Kampung Baru, Bayu Damai, Johor Bahru

    “Pemeriksaan lanjut dilakukan kemudiannya menemui sejumlah lagi barangan larangan berupa rokok tidak bercukai yang disembunyikan suspek dalam rumah berkenaan.

    “Anggaran nilai rokok dirampas adalah sebanyak RM 257,344 dengan nilai cukai dilarikan bernilai RM 408,752 selain jumlah anggaran nilai rampasan mercun bernilai RM12,400,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dimin berkata, siasatan awal mendapati bekalan rokok tidak bercukai itu dipercayai untuk dijual di kedai-kedai runcit sekitar kawasan berkenaan.

    “Kita percaya penahanan suspek dan kesemua bekalan yang dirampas ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Johor Bahru.

    “Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya.

  • Wan Azizah dipanggil ke Bukit Aman, petang ini

    Wan Azizah dipanggil ke Bukit Aman, petang ini

    POLIS akan memanggil Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi membantu siasatan penerbitan buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, Ahli Parlimen Pandan itu akan dipanggil ke Bukit Aman pada jam 3 petang hari ini.

    “Benar (Wan Azizah dipanggil Bukit Aman) dan ini adalah prosedur biasa dalam sesuatu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan Tommy dalam bukunya itu, mengadakan mesyuarat pertama di ibu negara, pada 23 Disember lalu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik berkata, pasukan khas itu ditubuhkan bagi membuat awal berhubung beberapa dakwaan yang ditulis dalam buku itu termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.

    Tommy menerbitkan buku berkenaan pada awal tahun tahun lalu, namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan serta fitnah.

    Berikutan itu, polis menerima lebih 100 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku berkenaan.

  • Warga emas diperdaya ‘pegawai Telekom, polis’ RM1 juta

    Warga emas diperdaya ‘pegawai Telekom, polis’ RM1 juta

    SEORANG warga wanita warga emas diperdaya RM1 juta lebur selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia.

    Pihak polis menerima laporan daripada mangsa berusia 67 tahun semalam mengenai penyamaran pegawai syarikat telekomunikasi terbabit.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, suri rumah terbabit menerima panggilan itu pada 15 Januari lalu.

    “Suspek mendakwa maklumat peribadinya digunakan oleh pihak lain untuk pendaftaran talian dengan syarikat berkenaan dan mempunyai tunggakan baki bayaran.

    “Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan bahawa namanya terbabit dalam jenayah narkotik dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, kemudiannya dinasihatkan untuk membuat transaksi pemindahan wang berjumlah RM1 juta ke tujuh akaun yang diberikan bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Mahidisham berkata, mangsa cuba untuk menghubungi semula ‘pegawai polis’ terbabit selepas memindahkan wang itu namun gagal.

    Katanya, wang tersebut adalah hasil wang simpanan hasil sewa rumah miliknya.

    “Berasakan tertipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • ‘Burung’ mengintai dari celah seluar

    ‘Burung’ mengintai dari celah seluar

    LELAKI warga asing bertindak menunjukkan kemaluannya kepada pekerja wanita ketika membuat bayaran di kaunter sebuah kedai serbaneka di Manjung, 10 Januari lalu.

    Perbuatan lelaki berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan video berdurasi 39 saat itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

    Video berkenaan merakam lelaki itu membuat pembayaran barang dibelinya sambil menunjukkan kemaluannya terkeluar dari seluar yang terbuka.

    Difahamkan, mangsa kemudiannya mengadu kepada majikannya sebelum membuat laporan polis.

    Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa berusia 23 tahun, lima hari kemudiannya.

    Menurutnya, suspek dipercayai mempunyai niat menunjukkan kemaluannya kerana ketika masuk ke kedai serbaneka berkenaan dengan keadaan zip seluar dikatakan tertutup tetapi apabila mahu keluar zipnya terbuka.

    “Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sudah memanggil mangsa untuk temubual dan kita menjalankan siasatan kes ini,” katanya ketika ditemui pada operasi memotong bekalan elektrik di lima premis sekitar Manjung, hari ini.

    Menurutnya, maklumat awal mendapati suspek dipercayai warga asing dan pihaknya kini sedang mengesannya.

    “Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.