Category: Jenayah

  • Kapal tangki dari Panama ditahan bersauh secara haram

    Kapal tangki dari Panama ditahan bersauh secara haram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WALAUPUN setiap minggu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor melakukan tangkapan terhadap kapal dagang asing yang mencoroboh perairan Johor timur di sini, tindakan itu seakan tidak memberi kesan.

    Terbaharu Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki dari Panama yang disyaki bersauh secara haram pada kedudukan 11.6 batu nautika timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki sepanjang 243 meter itu telah ditahan pada pukul 1 petang bersama-sama kru warga asing.

    “Kapal tangki itu dikendalikan 24 kru termasuk nakhoda, terdiri dari warga Ukraine, India dan Rusia berumur di antara 21 tahun hingga 49 tahun, serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Anggota maritim melakukan pemerisaan ke atas kapal tangki sepanjang 243 meter itu yang ditahan pada pukul 1 petang bersama-sama kru warga asing

    “Nakhoda didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan turut memberikan alasan menunggu arahan perlayaran seterusnya dari pihak syarikat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

    Beliau menasihatkan syarikat perkapalan agar mengambil serius mengenai prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di mana-mana perairan di Malaysia.

  • Kereta bawa 38 tong petrol seludup kemalangan

    Kereta bawa 38 tong petrol seludup kemalangan

    CUBAAN sebuah kereta membawa 38 tong berisi minyak petrol seludup tidak berjaya apabila hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di hadapan sebuah pasar raya di Tendong, Pasir Mas, semalam.

    Kereta jenis Proton Wira Aeroback itu dipercayai turut melanggar seorang lelaki yang ditemui terbaring di lokasi kejadian.

    Pihak polis dimaklumkan kejadian itu sekitar pukul 11.10 pagi dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terus digerakkan ke lokasi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, anggota bertugas yang tiba di lokasi pada pukul 11.20 pagi telah membuat pemeriksaan dan mendapati kereta itu terbabas.

    “Pemeriksaan di tempat kejadian turut mendapati seorang lelaki ditemukan terbaring disyaki dilanggar kenderaan tersebut.

    Katanya, anggota bertugas kemudian memeriksa kereta itu dan menjumpai 38 tong plastik berisi cecair disyaki petrol.

    “Polis tidak menolak kemungkinan bahan api itu mahu diseludup ke negara jiran. Hasil maklumat daripada orang ramai, suspek dipercayai melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Perodua Myvi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

  • Suami isteri hilang 3 hari ditemui di tanah perkuburan

    Suami isteri hilang 3 hari ditemui di tanah perkuburan

    SEPASANG auami isteri yang dilaporkan hilang selepas meninjau tanah di Kampung Ulu Binsulok, Membakut, Beaufort, Sabtu lalu, ditemukan selamat, pada pukul 7.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, Amir Hamjah Abdul Kahfi, 43, dan isterinya, Rita Hijiyah Mohd Syuaib, 43, ditemui orang awam di kawasan tanah perkuburan Kampung Pimping dalam keadaan selamat.

    “Jarak mangsa ditemui kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Yusoff Zaki berkata, pasangan terbabit dipercayai tersesat ketika meninjau kawasan tanah yang hendak dibeli di Kampung Ulu Binsulok.

    “Mereka kemudian dihantar ke Pondok Polis Komuniti (PPK) Binsulok untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Semalam, pasangan terbabit dilaporkan hilang apabila tidak kembali ke rumah selepas keluar dari rumah mereka di Kampung Sabok Baru, Kinarut, 9 pagi, Sabtu lalu.

  • 98 peratus kebakaran tapak sampah Pulau Burung berjaya dipadamkan

    98 peratus kebakaran tapak sampah Pulau Burung berjaya dipadamkan

    SEBANYAK 98 peratus dari keseluruhan 11.3 hektar kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terbakar hampir tiga minggu lalu berjaya dipadamkan sehingga kini.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejayaan operasi pemadaman itu adalah hasil usaha sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

    Tambahnya, berdasarkan perkembangan semasa dan untuk memastikan sumber yang ada diuruskan secara optimum, gerak kerja pengurusan bencana akan diteruskan dan diselaraskan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

    Jelasnya, gerak kerja agensi-agensi di lapangan juga masih diteruskan sehingga pengurusan bencana itu selesai.

    Ujarnya, jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JAS) Pulau Pinang juga akan meneruskan kerja-kerja pemantauan kualiti udara sehingga berpuas hati bacaan kualiti udara yang stabil diperolehi.

    Kejayaan operasi pemadaman itu adalah hasil usaha sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan pelbagai agensi

    “Justeru, Pusat Media Bencana Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berpusat di Dewan Serbaguna Jawi akan ditutup mulai 3 Februari 2022 (Khamis).

    “Namun, sekiranya terdapat perkembangan terkini pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (JPBD) SPS akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu tambah kenyataan itu, penduduk di sekitar daerah SPS terus dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.

    Sekiranya bergejala seperti sesak nafas dan tidak sihat katanya, mereka dinasihatkan terus mendapatkan rawatan di klinik-klinik dan hospital berhampiran.

    Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu mula dikesan petang 12 Januari lalu sehingga mengeluarkan asap tebal dan hitam.

    Bencana itu juga menyebabkan 400 penduduk daripada kira-kira 90 buah keluarga yang tinggal di dua kawasan berhampiran tapak tersebut diarahkan berpindah dengan sebahagiannya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

  • Polis buru suspek tumbuk isteri

    Polis buru suspek tumbuk isteri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis sedang memburu seorang lelaki berusia 33 tahun selepas disyaki menyakiti isterinya dengan menumbuk belakang dan menarik rambut wanita itu di Tasik Bandar Darulaman pada Sabtu lalu.

    Video berdurasi 25 saat mengenai pergaduhan pasangan itu tular di Facebook sejak kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas wanita itu tidak mahu kembali bersama suspek selepas mereka tinggal berasingan sejak 8 November lalu selain dalam proses bercerai.

    “Semasa kejadian pada jam 7.30 petang Sabtu lalu, wanita yang berusia 22 tahun itu pergi ke kawasan tasik untuk mengambil anak perempuannya berusia enam tahun yang dijaga sementara oleh suspek.

    “Bagaimanapun suspek dipercayai memukul mangsa menyebabkan dia menjerit meminta tolong sebelum orang awam datang membantu dengan menghalang suspek daripada memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

    Rodzi berkata, suspek kemudian berhenti memukul mangsa dan melarikan diri apabila orang ramai menggertak akan membuat laporan polis.

    Katanya, susulan kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di belakang pasar Changlun dekat sini kira-kira pukul 1 pagi kelmarin, namun premis itu berkunci serta tidak berpenghuni.

    “Tindakan mengesan suspek masih giat dijalankan sehingga kini.

    “Semakan rekod mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pukul iaitu mendatangkan kecederaan,” tambah beliau.

    Beliau berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

    Katanya, pihak polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil untuk membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di sekitar daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di nombor 04-9172222.

  • Kilang berasakan makanan didenda RM10,000 sebabkan fenomena sungai berwarna putih

    Kilang berasakan makanan didenda RM10,000 sebabkan fenomena sungai berwarna putih

    SEBUAH kilang berasaskan makanan di Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang dikompaun sebanyak RM10,000 semalam selepas didapati mencemarkan parit awam sehingga menyebabkan berlakunya fenomena air sungai berwarna putih.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang terbabit disiasat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung keadaan sungai terbabit.

    Jelasnya, sekumpulan pegawai kemudiannya menjalankan siasatan bagi menjejak punca pencemaran tersebut menggunakan dron di sekitar kawasan yang disyaki terlibat.

    Siasatan mendapati kilang itu gagal mengendalikan sistem pengolahan efluen perindustrian dengan baik sehingga mencemarkan parit awam

    “Siasatan mendapati kilang itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009 kerana gagal mengendalikan sistem pengolahan efluen perindustrian dengan baik sehingga mencemarkan parit awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Sharifah Zakiah, kilang itu juga didapati gagal mematuhi pengurusan buangan terjadual di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) (BT) 2005.

    Sehubungan itu tambahnya, pihaknya telah mengarahkan pemilik premis mengambil tindakan serta-merta memberhentikan sebarang pelepasan efluen tanpa dirawat dan menutup semua pintasan yang dipasang secara haram di dalam premis kilang untuk mengalirkan air sisa tanpa rawatan terus ke parit awam.

    Kilang terbabit disiasat selepas pihak JAS menerima aduan daripada orang awam berhubung keadaan sungai terbabit

    “Pihak kilang juga diarah menaik taraf sistem pengolahan efluen sedia ada dan buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan berkaitan di bawah Peraturan Buangan Terjadual 2005,” katanya.

    Tambah beliau, JAS Pulau Pinang berterima kasih kepada orang awam yang membuat aduan dan membekalkan maklumat yang tepat dan cepat bagi memudahkan tindakan diambil pihaknya.

  • Wanita kena ‘scam’ bayar lebih RM100,000 beli 3 komputer riba

    Wanita kena ‘scam’ bayar lebih RM100,000 beli 3 komputer riba

    HASRAT  seorang wanita mahu membeli tiga komputer riba bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia turut mendakwa kerugian RM109,200 yang dibayar kepada penjual melalui urusan secara dalam talian.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa telah berurusan dengan seorang lelaki menerusi nombor talian WhatsApp selepas melihat iklan penjualan barangan itu di laman sosial Instagram pada pertengahan Jan lepas.

    “Mangsa tertarik untuk mendapatkan komputer riba itu dan telah memasukkan wang deposit sebagai tanda persetujuan sebelum diarahkan untuk memindahkan lebih banyak wang secara dalam talian ke lima akaun berbeza yang diberikan suspek atas pelbagai alasan.

    “Antara alasan yang digunakan ialah kos penghantaran, urusan mengaktifkan kad jaminan, cukai kastam dan untuk melayakkan mangsa menyertai cabutan bertuah yang akhirnya tanpa sedar, mangsa telah membuat bayaran sebanyak 15 kali sehingga berjumlah RM109,200,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan.

    Wazir berkata, mangsa mula berasa curiga kerana belum menerima komputer riba itu selepas hampir dua minggu berurusan, selain tindakan suspek yang semakin kerap menghubunginya bagi meminta lebih banyak wang sejak beberapa hari lepas.

    Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Polis lumpuh sindiket guna lori tiga tan simpan, edar dadah

    Polis lumpuh sindiket guna lori tiga tan simpan, edar dadah

    POLIS melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah lori tiga tan sebagai tempat penyimpanan dan merampas syabu seberat 141 kilogram (kg) dianggar bernilai kira-kira RM5.08 juta pada 27 Jan lepas.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata rampasan itu susulan penahanan seorang lelaki warga Singapura disyaki dalang selain seorang wanita warga Vietnam dan empat lelaki tempatan dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang. 

    Beliau berkata penahanan kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 42 tahun membawa kepada penemuan lori terbabit yang diletakkan di sebuah kawasan perumahan di Selangor. 

    “Sindiket berkenaan didapati bergerak aktif sejak sebulan lepas dengan modus operandi mereka berhubung sesama sendiri dan menjadikan tiga hotel berasingan sekitar ibu kota sebagai tempat persembunyian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.

    Mengulas lanjut, Yahaya berkata kedua-dua warga asing didapati  memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial selain dibantu empat warga tempatan dalam sindiket itu.

    Beliau berkata polis turut menemukan 0.7 gram dadah jenis heroin dan empat pil erimin 5 dalam serbuan terbabit. 

    Katanya siasatan lanjut mendapati selain dijadikan tempat menyimpan dadah, lori itu digerakkan bagi tujuan pengedaran dadah kepada pembekal lain di sekitar Lembah Klang. 

    Yahaya berkata polis masih mengesan penglibatan pihak yang menyediakan perkhidmatan lori terbabit kepada sindiket. 

    “Kesemua tangkapan yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari dan disiasat di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    — BERNAMA

  • 3,245 mesin bitcoin bernilai RM3.2 juta dirampas di Kedah

    3,245 mesin bitcoin bernilai RM3.2 juta dirampas di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEHINGGA semalam, Polis Kedah telah merampas sebanyak 3,245 mesin bitcoin dianggarkan bernilai kira-kira RM3.2 juta, menerusi pelaksanaan Ops Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bitcoin bermula 19 Januari lalu.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, rampasan itu dibuat menerusi 44 serbuan yang dilaksanakan di beberapa daerah dalam Kedah, melibatkan penahanan tujuh individu berusia antara 35 hingga 45 tahun.  

    “Mereka ini kebiasaannya menjadikan kawasan-kawasan perumahan yang tidak ramai penghuni sebagai kawasan sasaran. Golongan tersebut akan mengupah individu yang mahir untuk membuat penyambungan haram untuk kegunaan mesin-mesin bitcoin tersebut.

    “Tindakan sedemikian merupakan satu kesalahan kerana mereka ini mencuri arus elektrik. Perbuatan itu juga mampu menyebabkan kerosakan terhadap peralatan TNB sekali gus menyusahkan orang ramai,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

    Beliau bagaimanapun menjelaskan kegiatan melombong bitcoin tidak salah dari sudut undang-undang sebaliknya tindakan mencuri arus elektrik itu yang sebenarnya dianggap sebagai perlakuan jenayah.

    “Harga semasa bagi seunit mesin perlombongan ini adalah antara RM1,000 hingga RM1,500. Dianggarkan setiap satu unit mesin tersebut menggunakan tenaga elektrik berjumlah antara RM400 hingga RM500 sebulan dengan pengaktifan selama 24 jam.

    “Kita masih menyiasat sama ada ketujuh-tujuh individu yang ditahan itu datang dari kumpulan yang sama. Rampasan tersebut dilakukan di beberapa daerah dalam negeri ini antaranya Sungai Petani, Kota Setar dan Langkawi,” katanya.

    Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.  

    Dalam pada itu katanya, sejak pelancaran Op Letrik TNB Bitcoin pada 2020 di seluruh negara, Polis Kedah telah melakukan sebanyak 85 serbuan dan merampas sebanyak 5,948 mesin bitcoin.

    “Kami menyeru orang ramai supaya sama-sama mencegah dan membanteras kegiatan ini secara total. Tindakan ini merupakan satu jenayah terancang yang akan menyebabkan gangguan semasa kepada bekalan elektrik setempat selain mendatangkan kerugian besar kepada TNB,” katanya.

  • SPRM siasat pegawai kerajaan, 1MDB, disogok bekas pegawai Goldman Sachs

    SPRM siasat pegawai kerajaan, 1MDB, disogok bekas pegawai Goldman Sachs

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa saksi berhubung siasatannya ke atas pegawai kerajaan dan 1MDB yang didakwa menerima sogokan daripada Goldman Sachs.

    Menurut sumber, SPRM juga dalam proses mendapatkan dokumen berkaitan daripada agensi penguatkuasaan antarabangsa yang terlibat.

    “Kes (ini) masih lagi di peringkat siasatan,” kata sumber itu kepada portal FMT.

    Siasatan itu adalah susulan pengakuan bekas pegawai Goldman Sachs Tim Leissner pada 2018 bahawa beliau telah merasuah pegawai kerajaan dan 1MDB.

    Leissner mengaku bersalah di mahkamah New York atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah bagi peranannya dalam penyelewengan sebahagian besar daripada dana sebanyak AS$6.5 bilion yang diperoleh untuk 1MDB.

    Bagaimanapun, senarai nama individu yang didakwa menerima sogokan itu tidak didedahkan.

    Goldman Sachs kemudiannya bersetuju membayar AS$3.9 bilion (RM16.4 bilion) kepada Malaysia dalam perjanjian penyelesaian kerana peranannya dalam skandal itu.

    Oktober lalu, bekas perdana menteri Najib Razak membuat laporan kepada SPRM bagi membolehkan pihak berkuasa menyoal Leissner atau memohon untuk beliau diekstradisi ke Malaysia.

    Najib turut menggesa pihak berkuasa negara ini supaya mendapatkan senarai nama mereka yang disogok oleh Leissner.

    Sumber itu berkata, SPRM masih menjalankan siasatan berhubung individu yang menerima sogokan daripada skandal 1MDB tetapi belum di bawa ke muka pengadilan.