Category: Jenayah

  • Tahanan lelaki meninggal dunia di Kuantan kerana Tibi – Bukit Aman

    Tahanan lelaki meninggal dunia di Kuantan kerana Tibi – Bukit Aman

    KEMATIAN seorang tahanan lelaki di Hospital Kuantan, Pahang semalam berpunca daripada penyakit Tuberkulosis (Tibi), kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

    Beliau berkata, ia berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan oleh bahagian forensik hospital berkenaan semalam.

    “Pada 25 Jan lepas, Orang Kena Tahan (OKT) lelaki berusia 38 tahun itu dihantar ke Lokap Berpusat Indera Mahkota Kuantan, Pahang untuk hadir ke perbicaraan pada hari ini mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Pada 28 Jan lepas OKT berkenaan yang mengadu sakit dada dibawa ke Hospital Kuantan untuk menerima rawatan dan pada semalam, pihak hospital memaklumkan OKT meninggal dunia dengan sebab kematian adalah akibat Tibi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azri berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan jabatan itu akan menyiasat kes kematian mengejut OKT berkenaan. – Bernama

  • Penganggur ditemukan mati dipercayai terlibat gaduh berkaitan dadah

    Penganggur ditemukan mati dipercayai terlibat gaduh berkaitan dadah

    SEORANG penganggur ditemukan mati, dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan berkaitan dadah, di hadapan sebuah rumah di Jalan Dato Onn, Mersing Kanan, awal pagi ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pergaduhan itu pada pukul 7.20 pagi yang membawa kepada penemuan mayat lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dalam keadaan terbaring di lokasi berkenaan, beberapa minit kemudian.

    “Berpandukan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berdekatan, kejadian berlaku antara 7.15 pagi hingga 7.21 pagi dan menurut dua saksi, mangsa diserang tiga lelaki bersenjatakan dipercayai sebatang rotan selain dipukul di tangan dan kaki.

    “Berdasarkan pemeriksaan awal polis bersama petugas kesihatan dari Hospital Mersing mendapati mangsa disahkan mati di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, Mersing, hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk proses bedah siasat.

    Shahurinain berkata, siasatan awal mendapati selepas mangsa dipukul, ketiga-tiga individu itu melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dan berdasarkan pemeriksaan awal terhadap mayat si mati mendapati ada kesan pukul di belakang leher dan kecederaan pada leher.

    Susulan itu, polis menahan dua buruh berumur 31 dan 32 tahun di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi kira-kira pukul 3.15 petang bagi membantu siasatan.

    Menurut beliau, kedua-dua lelaki tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah, manakala si mati mempunyai 11 rekod lampau iaitu lapan dadah dan tiga jenayah.

    “Si mati berasal dari Penyabong, baru sebulan bebas dari penjara atas kesalahan jenayah dan terima hukuman tiga bulan penjara. Setelah bebas, dipercayai tidak balik ke kediamannya kerana berdasarkan maklumat daripada keluarga, si mati mahu mencari kerja,” katanya.

    Shahurinain berkata dua lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi esok bagi mendapatkan permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Katanya, polis kini giat mencari dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut, boleh menghubungi balai polis berhampiran. – Bernama

  • Polis reman 3 PATI terlibat ajaran sesat ‘Wali Tujuh’

    Polis reman 3 PATI terlibat ajaran sesat ‘Wali Tujuh’

    POLIS menahan tiga lelaki selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan ajaran sesat dan ilmu kebal ‘Wali Tujuh’ di Ladang Bukit Kertam Kinabatangan ditahan reman 14 hari.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, kesemua mereka ditahan reman mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki keterangan diri yang sah.

    “Untuk makluman ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Akta Imigresen yang mana tempoh reman di antara 14 hari.

    “Kita akan bawa kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya bagi proses pendakwaan,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

    Semalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan tiga lelaki yang terbabit dengan ajaran itu di sebuah rumah pekerja ladang di Kinabatangan.

    Turut dirampas beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit iaitu pisau, senjata, pelbagai jenis tangkal.

  • Sindiket tawar lesen terbang menerusi media sosial

    Sindiket tawar lesen terbang menerusi media sosial

    SATU sindiket dikesan menawarkan lesen memandu tanpa perlu melalui ujian dan kelas memandu dengan membuat iklan dalam media sosial.

    Sindiket berkenaan menawarkan lesen memandu dengan harga bermula dari RM580 sehingga RM5,000 bagi mendapatkan lesen berkenaan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sehingga kini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung penipuan terbabit.

    “Tujuh laporan diterima di Pulau Pinang dan dua kes di Kelantan membabitkan kerugian keseluruhan bernilai RM17,080.

    “Siasatan mendapati sindiket menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri sebarang ujian,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada ketika melakukan urusan melalui internet atau laman sosial dengan menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon di Semak Mule.

    “Orang ramai juga perlu berhati-hati ketika melakukan transaksi ke akaun yang tidak dikenali.

    “Masyarakat juga diseru untuk mendapatkan lesen memandu melalui saluran yang betul. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Rebut pelanggan, dendam lama punca pergaduhan di Padang Kota Lama

    Rebut pelanggan, dendam lama punca pergaduhan di Padang Kota Lama

    KEJADIAN pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di Medan Selera Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin berpunca daripada perebutan pelanggan dan dendam lama antara dua pihak terbabit.

    Perkara itu disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut,  Superintenden V. Saravanan yang turut memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang juga pengadu berusia 36 tahun berhubung kejadian itu.

    Menurutnya, hasil semakan polis mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 11.40 malam kelmarin ekoran perselisihan faham antara pengadu serta lima lelaki tempatan sehingga mencetuskan pergaduhan.

    “Dua daripada lelaki tersebut merupakan adik pengadu manakala tiga lagi merupakan sepupu pengadu. Semasa pergaduhan, kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata.

    “Siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan adalah kerana berebut pelanggan dan terdapat dendam lama antara kedua-dua belah pihak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Awal hari ini, video pergaduhan berdurasi 44 saat itu tular di laman sosial media Facebook sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

    Saravanan berkata, akibat kejadian itu kesemua individu terbabit mengalami kecederaan ringan iaitu luka dan calar pada bahagian badan.

    Bagaimanapun tambahnya, kesemua yang terlibat telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

    Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang awam yang melihat kejadian tersebut supaya tampil ke IPD Timur Laut bagi membantu siasatan.

  • Kereta langgar pokok semasa seludup daun ketum

    Kereta langgar pokok semasa seludup daun ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    CUBAAN seorang penyeludup daun ketum melarikan diri daripada polis gagal apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pada kira-kira pukul 1.15 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) yang sedang melaksanakan operasi pelbagai di Kilometer 25 di Jalan Alor Setar- Bukit Kayu Hitam telah terserempak dengan sebuah kereta Wira Aeroback yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    “Kenderaan itu diarahkan berhenti namun suspek bertindak memecut laju kenderaan bagi mengelak ditahan.

    “Anggota trafik kemudiannya bertindak mengekori kereta suspek dan kenderaan itu terbabas melanggar sebatang pokok di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Lelaki yang ditahan polis kerana cuba menyeludup 35 bungkusan plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum dianggarkan seberat 350 kg di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis pagi tadi.

    Rodzi berkata, suspek berjaya ditahan dan dan pemeriksaan mendapati 35 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan 350 kg.

    Katanya, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    “Hasil saringan ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

  • Warga emas hilang 5 hari ditemukan dalam hutan

    Warga emas hilang 5 hari ditemukan dalam hutan

    KEHILANGAN seorang wanita warga emas yang hilang ketika mencari seekor lembu di ladang kelapa sawit di Kampung Sega Tengah, Rantau, Seremban sejak lima hari lalu, terjawab apabila ditemukan lemah di kawasan hutan di kampung berkenaan, hari ini.

    Wanita berusia 74 tahun itu ditemui pada pukul 11.40 pagi kira-kira dua kilometer dari kawasan kediamannya.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, Mohd. Izzuwan Abd. Rahim berkata, wanita berkenaan ditemui dalam keadaan lemah namun tidak mengalami kecederaan.

    “Kita memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) 9.15 tadi dengan melibatkan 80 petugas dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan bomba sendiri dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba serta polis.

    “Tapi selepas dua jam, pasukan SAR menemui mangsa dalam keadaan tidak bermaya di pokok kelapa sawit tumbang berhampiran hutan sejauh kira-kira dua kilometer dari pusat kawalan kami,” katanya dipetik daripada laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, wanita itu telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

    Mohd. Izzuwan berkata, ketika ditemui, wanita itu memberitahu sudah diberi makan oleh penduduk kampung.

    Sebelum ini media melaporkan wanita itu didapati tidak pulang ke rumah lebih 24 jam selepas keluar pada pagi 30 Januari lalu.

    Difahamkan, wanita masuk ke kawasan ladang sawit dekat Kampung Sega Tengah untuk mencari seekor lembu namun tidak pulang hingga keesokan harinya.

  • Tiga lelaki ditahan semasa punggah rokok seludup

    Tiga lelaki ditahan semasa punggah rokok seludup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki terkejut dan tidak sempat melarikan diri apabila diberkas semasa memunggah arak seludup dari sebuah kereta untuk disembunyikan dalam sebuah premis di Jalan Cyber 16, Taman Komersial Senai, Kulai semalam.

    Kedua-duanya tidak menyedari semasa diintip Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam ketika mengangkat kotak berisi arak seludup dari kereta Proton Saga BLM ke dalam premis itu pada pukul 11.30 pagi.

    Difahamkan bekalan minuman keras seludup tersebut baru sampai dan mahu disembunyikan sementara di premis berkenaan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya kemudian membuat serbuan dan berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 44 hingga 47 tahun di luar premis tersebut.

    “Hasil pemeriksaan dalam premis telah menjumpai sejumlah arak pelbagai jenama dipercayai tiada cukai kastam dan menahan seorang lagi lelaki dewasa warganegara asing berumur 36 tahun.

    “Lelaki berkenaan mengaku sebagai penjaga premis tersebut. Hasil serbuan telah berjaya merampas 28 karton arak seludup jenama Carlsberg Special Brew; Skol Super; Istar Extra Strong dan Tiger Beer.

    “Selain itu kita turut merampas tujuh kotak arak seludup jenama MC Dowells’s, Old Durbar dan V Original Vodka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai arak RM11,728 manakala anggaran nilai cukai arak RM27,199 manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah kereta dan tiga telefonb bimbit RM55,427.

    Seorang lelaki dewasa warganegara asing berumur 36 tahun ditahan dalam premis tersebut yang dijadikan tempat simpanan sementara arak seludup tersebut

    Jelasnya, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    Hasil siasatan katanya, mereka menjalankan aktiviti penjualan arak tidak bercukai dengan menjadikan premis tersebut sebagai tempat simpanan sementara arak seludup.

    Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran arak tidak bercukai di sekitar daerah ini dan Johor Bahru, katanya.

    “Pihak polis akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara tanpa mengenal erti kekurangan serta penat lelah demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya.

    Beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

  • JPNS tahan pemandu, sita lori balak

    JPNS tahan pemandu, sita lori balak

    SEBUAH lori yang membawa kayu balak di Jalan Bukit Fraser menghala Kuala Kubu Bharu, Kuala Kubu Bharu pada 20 Januari lalu.

    Lori itu ditahan sepasukan anggota Seksyen Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) pada pukul 3.30 petang.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abd. Majid, semakan mendapati lori itu beroperasi dengan memiliki Pas Pemindah meragukan dan dipercayai telah digunakan semula kerana telah tamat tempoh kuat kuasa 24 jam Pas Pemindah tersebut.

    “Selain itu, bilangan tual kayu balak yang dibawa lori tersebut juga tidak sama seperti bilangan yang ditetapkan dalam Pas Pemindah.

    “JPNS menyita sebuah lori balak dan menahan pemandunya dalam operasi di jalan Bukit Fraser menghala Kuala Kubu Bharu,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, pemandu lori warga tempatan telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.

    Katanya, tindakan sitaan telah diambil ke atas lori terbabit dan dibawa ke Pusat Penyimpanan Barang Kes Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

    “Kes telah disiasat di bawah peruntukan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985,” tegasnya.

  • Komando UTK digerak tangani ancaman Abu Sayyaf

    Komando UTK digerak tangani ancaman Abu Sayyaf

    TAHAP keselamatan di pantai timur Sabah akan dipertingkatkan termasuk menggerakkan satu pasukan komando Unit Tindakan Khas (UTK) bagi menangani isu berkaitan kumpulan Abu Sayyaf.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan itu bagi menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan berkenaan termasuk di sempadan Sabah-Kalimantan.

    “Walaupun lebih dua tahun tidak berlakunya kes-kes penculikan khususnya di pantai timur Sabah tetapi kawalan keselamatan tetap dilaksanakan.

    “Hal ini juga berikutan maklumat mengenai sub ketua kumpulan Abu Sayyaf yang juga pakar pembuat bom iaitu Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup, jadi kawalan akan diperketatkan dan pihak keselamatan akan sentiasa mendapatkan maklumat daripada Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM),” katanya kepada pemberita selepas Program ‘Tangan Bersalaman’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hazani berkata, status Mudzrimar yang dikehendaki di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta J2 WESTMINCOM kerana terbabit dalam beberapa siri pertempuran dan pertembungan dengan pasukan keselamatan Filipina sejak Julai 2021.

    Berdasarkan makkumat risikan, kali terakhir dia dilihat adalah pada 10 Jan lepas di sebuah kawasan di Sulu ketika keluar mengambil makanan.

    Sementara itu, mengulas mengenai kawalan sempadan darat di sempadan Malaysia-Thailand, Hazani berkata, Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di Kelantan pada Mac nanti.

    “Ketika ini, proses tinjauan sedang dilakukan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand bagi mengenal pasti bentuk muka bumi, kawasan rondaan serta kawasan sering berlakunya penyeludupan.

    “Kita juga sedang meninjau lokasi sesuai untuk menempatkan kuda-kuda ini sama ada di Pengkalan Kubor, Tumpat atau Rantau Panjang,” katanya.

    Beliau berkata dengan adanya bantuan daripada Unit Berkuda FRU itu ia mampu meningkatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok serta keberkesanan dalam menangani kes penyeludupan. – BERNAMA