Category: Jenayah

  • Duit peniaga lesap ditipu ‘Sarjan Siva’, ‘pegawai LHDN’

    Duit peniaga lesap ditipu ‘Sarjan Siva’, ‘pegawai LHDN’

    GARA-GARA terpedaya dengan ugutan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang peniaga lelaki di Kuantan, Pahang kelmarin mengalami kerugian RM45,400.60.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian berlaku apabila peniaga berusia 32 tahun itu menerima panggilan individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM52,978, lapor Berita Harian.

    Pada mulanya kata beliau, mangsa cuba menafikan dakwaan tersebut, sebelum mangsa disambung pula dengan individu yang menyamar sebagai ‘Sarjan Siva’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.

    Menurut beliau, susulan itu mangsa diminta pula mengisi maklumat akaun bank yang disediakan suspek.

    Beliau berkata, semalam mangsa terkejut apabila menyedari wang sebanyak RM45,400.60 dalam akaun banknya telah lesap.

    Menurut Mohd Wazir, mangsa ke bank untuk membuat semakan dan terbukti berlaku pindahan wang ke akaun individu bernama Ridzuan Ramdan.

    Tambah beliau, mangsa yang mengesyaki tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan”, katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

  • Ustaz disyaki liwat pelajar di sebuah pusat tahfiz ditahan

    Ustaz disyaki liwat pelajar di sebuah pusat tahfiz ditahan

    SEORANG ustaz ditahan di sebuah pusat tahfiz di Kemaman kerana disyaki meliwat pelajar lelakinya yang berusia 14 tahun awal bulan ini.

    Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, perbuatan tidak bermoral suspek terbongkar selepas mangsa yang trauma tampil membuat laporan di Balai Polis Chukai.

    “Selain mangsa, suspek berusia 23 tahun dipercayai turut mencabul beberapa pelajar lain di asrama pusat tahfiz berkenaan dan mereka sudah membuat laporan polis,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Hanyan, pihak pengurusan pusat tahfiz yang mendapat tahu perbuatan suspek telah menamatkan perkhidmatannya dan lelaki berkenaan bertindak melarikan diri ke Pekan, Pahang.

    Bagaimanapun kata beliau, polis berjaya mengesan suspek dan dia ditahan di Pekan, Pahang pada pukul 11 malam tadi dan kini ditahan reman selama seminggu.

    “Suspek direman bermula Selasa hingga 15 Februari nanti untuk melengkapkan proses siasatan berhubung kejadian liwat dan cabul yang dilakukan terhadap semua mangsa.

    “Kita meminta kerjasama ibu bapa pelajar untuk tampil membuat laporan polis sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini,” katanya.

    Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Hanyan turut mengingatkan pengusaha pusat tahfiz agar tidak menyembunyikan sebarang bentuk kes jenayah di tempat mereka kerana perbuatan tersebut menyalahi undang-undang.

  • Polis buru dua penjenayah letup mesin ATM

    Polis buru dua penjenayah letup mesin ATM

    DUA penjenayah meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum melarikan sejumlah wang tunai di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru, Klang, Selangor, awal pagi tadi.

    Kejadian itu disedari pekerja kedai serbaneka berkenaan ketika mahu membuka kedai kira-kira pukul 8 pagi selepas mendapati pintu kaca kedai pecah selain pintu pada mesin ATM telah terbuka.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 3 hingga 4 pagi.

    Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu dipercayai dilakukan oleh dua individu yang memecah masuk kedai serbaneka melalui pintu hadapan.

    “Kedua-dua suspek kemudiannya meletupkan mesin ATM di dalam kedai serbaneka berkenaan sebelum melarikan sejumlah wang.

    “Jumlah wang yang dilarikan masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Katanya, pihak polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

  • Bayi baru lahir maut dengan kesan tikam di dada

    Bayi baru lahir maut dengan kesan tikam di dada

    SEORANG bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di dada, dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam, di sebuah rumah di Felcra Seri Bandi, Chukai di Kemaman, Terengganu pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10 pagi tadi berhubung kejadian itu.

    Katanya bayi itu dilahirkan oleh seorang remaja berusia 15 tahun di rumahnya, dipercayai dengan bantuan seorang rakan, yang kemudiannya bergegas untuk memaklumkan kelahiran bayi itu kepada klinik berdekatan, meninggalkan remaja itu dengan bayinya.

    “Namun apabila petugas klinik sampai di rumah remaja itu, mereka ternampak bayi itu mengalami pendarahan dengan kesan kecederaan di dada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata bayi itu kemudiannya dibawa ke klinik yang terletak kurang 100 meter dari rumah berkenaan dan diberikan bantuan kecemasan, namun disahkan telah meninggal dunia.

    “Siasatan awal polis di rumah remaja itu menemukan beberapa peralatan tajam dengan kesan darah. Ketika kejadian, ibu kepada remaja itu tiada di rumah kerana bekerja di Chukai,” katanya.

    Hanyan berkata remaja berkenaan juga sudah tidak bersekolah dan dikatakan hanya tinggal bersama ibunya di rumah itu selepas bapanya meninggal dunia.

    Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat, manakala remaja berkenaan turut mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • 39 bot penumpang ditahan atas pelbagai kesalahan

    39 bot penumpang ditahan atas pelbagai kesalahan

    SEBANYAK 39 buah bot penumpang di sekitar perairan Pulau Langkawi, Kedah; Perak; Pulau Pinang dan Selangor ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya beroperasi dengan lesen yang tidak sah; tidak mempunyai sijil kompentensi (C.O.C); tidak memiliki insurans dan beberapa kesalahan lain.

    Kesemua bot itu ditahan dalam operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu sempena Tahun Baharu Cina bermula 21 Januari sehingga di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Komander Pasukan Marin Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, kesemua bot penumpang itu kemudian telah diserahkan kepada Jabatan Laut untuk tindakan selanjutnya

    Menurut beliau, dalam operasi itu juga pihaknya turut melakukan pemeriksaan dan menahan sebanyak 52 buah bot pukat tunda yang beroperasi di kawasan perairan  sama.

    “Kesemua bot itu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    “Kesalahan-kesalahan tersebut adalah seperti menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan, menggunakan bot ikan tanpa permit yang sah atau lesen orang lain.

    “Selain itu, terdapat bot dikesan menjalankan aktiviti penundaan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Shamsol, kesemua rampasan dan tahanan bot itu turut diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya.

  • Pasangan suami isteri antara 3 individu ditahan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah

    Pasangan suami isteri antara 3 individu ditahan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah

    SEPASANG suami isteri antara tiga individu warga tempatan yang ditahan polis Pulau Pinang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan di sekitar Air Itam, Ahad lalu.

    Dalam operasi bermula kira-kira pukul 9 malam itu, polis turut merampas dadah iaitu masing-masing ganja seberat 22 kilogram (kg) bernilai RM55,697.50 dan syabu seberat 61.50 gram (RM6,150) dengan nilai keseluruhan RM61,847.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sindiket itu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki tempatan di sebuah rumah flat di Air Itam dan menjumpai empat ketul ganja serta pelbagai peralatan untuk membungkus dadah.

    Ujar beliau, kedua-dua suspek berusia 38 dan 40 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah berkenaan di unit kediaman berkenaan yang disewa oleh abang salah seorang suspek.

    Jelasnya, serbuan itu kemudian membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Proton Waja yang diparkir di kawasan flat berkenaan yang mana polis menjumpai 18 bungkusan ganja yang disimpan di dalam kereta tersebut.

    “Polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah flat berhampiran yang merupakan rumah  suspek pertama dan merampas sejumlah dadah jenis ganja dan methamphetamine serta peralatan menghisap dadah.

    “Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek.

    “Siasatan awal bagaimanapun mendapati wanita berkenaan tidak mengetahui mengenai aktiviti suaminya bersama rakannya itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Timur Laut hari ini.

    Menurut Soffian, suspek berusia 38 tahun merupakan penganggur dan mempunyai empat rekod jenayah lampau manakala rakannya yang bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai tujuh rekod lampau dengan kedua-duanya positif dadah.

    Tambahnya, polis kini juga sedang mengesan abang kepada salah suspek yang ditahan kerana dipercayai merupakan dalang utama sindiket pengedaran dadah tersebut.

    Selain itu katanya, dalam operasi sama polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios; motosikal KTN Duke dan Yamaha LC135 dengan nilai keseluruhan dadah dan sitaan sebanyak RM151,047.

    “Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan kesemua suspek direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Langgar SOP Covid-19; Polis Timur Laut keluar 49 kompaun bernilai RM49,000

    Langgar SOP Covid-19; Polis Timur Laut keluar 49 kompaun bernilai RM49,000

    POLIS daerah Timur Laut, Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 49 kompaun berjumlah RM49,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19 sepanjang Januari lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 27 kompaun membabitkan mereka yang tidak mengamalkan penjarakan sosial; gagal mengimbas daftar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (1) dan melakukan aktiviti terlarang (4).

    Kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 167 premis-premis perniagaan, lokasi pelancongan dan sebagainya hasil kerjasama antara dengan Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan lain

    “Daripada pemantauan kita, orang ramai didapati mula berasa selesa dengan situasi pandemik Covid-19 apabila kes positif menunjukkan penurunan sebelum ini.

    “Jadi, kebanyakan daripada mereka semakin leka dan mengabaikan SOP pencegahan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

    Sehubungan itu, Soffian mengingatkan orang ramai yang mana polis tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati melanggar SOP.

    Dalam masa sama, beliau juga menasihatkan para peniaga supaya turut memainkan peranan dengan mengehadkan jumlah pelanggan ke premis masing-masing supaya tidak terlalu ramai.

    “Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelak berada di kawasan-kawasan yang sesak dan sentiasa patuh dengan SOP dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian Covid-19 terutama membabitkan varian Omicron,” katanya.

  • Dua penjawat awam direman 4 hari kes rasuah

    Dua penjawat awam direman 4 hari kes rasuah

    DUA penjawat awam direman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor kerana disyaki meminta wang suapan RM20,000 sebagai balasan untuk menutup satu kes siasatan berkaitan dokumen palsu. 

    Majistret Sabreena Bakar @ Bahari membenarkan perintah reman sehingga Jumaat selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

    Memetik laporan Berita Harian, sumber memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki berusia 36 tahun dan 37 tahun itu dipercayai meminta wang daripada seorang lelaki atas dakwaan menggunakan dokumen palsu dalam perjanjian sewaan rumah membabitkan wang berjumlah RM4,000. 

    Sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan pada jam 4 petang dan 6 petang semalam di sekitar Gombak.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

  • Polis tahan lelaki warga asing seludup minuman keras

    Polis tahan lelaki warga asing seludup minuman keras

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat menjalankan penyeludupan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM28,116 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Kim Chuan, Pelabuhan Klang, Shah Alam, semalam.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed, semakan lanjut mendapati lelaki berusia 45 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

    “Hasil pemeriksaan lanjut di dalam dua kenderaan, kita menemui 172 kotak berisi minuman keras disyaki diseludup, kita turut merampas telefon bimbit suspek,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Rizal berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau memohon masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

  • Polis buru Sajat kes penipuan tukar maklumat kad pengenalan

    Polis buru Sajat kes penipuan tukar maklumat kad pengenalan

    POLIS sekali lagi memburu usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, Sajat yang juga saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 22 Februari.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya sedang mengesan Muhammad Sajjad yang beralamat terakhir di Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya bagi menghadiri perbicaraan kes terbabit.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mastura Abdul Basher di talian 0182053955,” memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir pada sebutan semula kesnya tanpa sebab pada 23 Februari tahun lalu.

    Sajat turut dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

    Sajat kemudian menghilang dan dikesan melarikan diri ke Thailand, namun pada 8 September lalu, dia ditahan pihak imigresen negara itu kerana memiliki pasport tidak sah.

    Ketika ditahan, Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.