Category: Jenayah

  • Perhilitan Pahang, Perak kesan tapak kaki Pak Belang di Cameron Highland

    Perhilitan Pahang, Perak kesan tapak kaki Pak Belang di Cameron Highland

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERISAUAN penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Ubi, Cameron Highlands, Pahang mengenai kehadiran harimau belang di kampung tersebut, Khamis lalu, hampir menjadi kenyataan.

    Ini kerana, menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md. Yasin, hasil siasatan dijalankan, pihaknya berjaya menjumpai kesan tapak kaki harimau belang pada jarak satu kilometer (km) dari perkampungan berkenaan.

    Justeru katanya, kakitangan Perhilitan Pahang dan Perak kini sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya, lapor Sinar Harian.

    Menurut Rozidan, ia dilakukan bagi memastikan harimau belang itu kembali ke habitatnya disamping tidak mengancam penduduk di kampung tersebut.

    Sebelum ini tular rakaman video berdurasi 26 saat berhubung penemuan seekor harimau belang yang dikatakan dikesan di kawasan Cameron Highlands, Pahang, dua hari lalu.

    Ia merupakan video kedua tular selepas video pertama sekitar seminggu lalu di mana seekor harimau belang dikatakan berkeliaran di sekitar jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

    Difahamkan harimau belang berkenaan dipercayai dari hutan simpan berhampiran dan kemungkinan tersesat di kawasan berkenaan ekoran mengejar haiwan buruan.

  • Pelajar retak tempurung kepala dipukul senior kerana berebut gadis

    Pelajar retak tempurung kepala dipukul senior kerana berebut gadis

    HANYA kerana seorang gadis, seorang pelajar senior sanggup memukul kepala seorang pelajar lain dengan sebiji batu sehingga menyebabkan tempurung kepalanya retak.

    Dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Gua Musang, Kelantan itu, seorang pelajar lelaki dipukul pelajar senior sehingga retak tempurung kepala.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku pada 11.15 pagi Selasa lalu, di mana mangsa, seorang pelajar Tingkatan 4 sekolah itu didatangi lima pelajar tingkatan lima ketika berada di luar kelas.

    Katanya, mangsa terus dipukul oleh mereka pada bahagian badan beramai-ramai sebelum seorang suspek memukul kepala mangsa menggunakan batu sehingga menyebabkan bahagian kiri tempurung kepalanya retak.

    “Pergaduhan itu dileraikan oleh pengawas yang lalu di situ.

    “Selain cedera di kepala, mangsa turut bengkak di beberapa bahagian anggota badan seperti tangan kanan dan kiri, belakang badan dan lenguh di kaki,” katanya.

    Choon Foo berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan susulan.

    Beliau berkata, punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek kerana mereka meminati pelajar perempuan yang sama.

    “Semua pelajar senior yang didakwa memukul mangsa sudah diambil keterangan oleh polis dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya selain memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

  • Maritim rampas 1.2 tan daun ketum bernilai RM216,000

    Maritim rampas 1.2 tan daun ketum bernilai RM216,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup 1.2 tan daun ketum di muara Kuala Kedah semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan yang telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah .

    Katanya, sejurus menerima maklumat, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan kira-kira pukul 6 pagi.

    “Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri dengan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri.

    Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan 1.2 tan bernilai RM216,000

    “Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan 1.2 tan bernilai RM216,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noor Azreyanti berkata, harga pasaran semasa daun ketum di Thailand yang mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan RM30 sekilogram menjadikan barangan terlarang itu banyak diseludup ke negara jiran itu.

    Katanya, semua hasil rampasan beserta bot nelayan tempatan kelas A dan enjin dianggarkan bernilai RM276,000 telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

    Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

    Sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah sebelum berjaya ditahan

    Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

    Jelas beliau, Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

    Katanya, pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

  • Tular lelaki buat kecoh, mengamuk di lampu isyarat

    Tular lelaki buat kecoh, mengamuk di lampu isyarat

    PERSIMPANGAN lampu isyarat dekat Jalan Dato Muda Linggi, Seremban, kecoh apabila seorang lelaki menimbulkan kekecohan di atas jalan raya dengan mengamuk dan memaki pengguna jalan raya lain.

    Tindakan lelaki berkenaan dirakam seorang pengguna jalan raya dan tular dalam Facebook sejak dua hari lalu.

    Tanpa mengetahui punca kejadian tersebut, lelaki yang memandu kenderaan pelbagai (MPV) itu menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya.

    Berdasarkan video berdurasi 1 minit 31 saat itu, lelaki berkenaan dipercayai berhenti dan keluar dari kenderaan di kawasan lampu isyarat yang agak sesak.

    Dia kemudiannya bertindak seperti orang kurang siuman dengan memaki hamun beberapa pengguna jalan raya yang turut berhenti sementara menunggu lampu merah.

    Ekoran video yang tular itu, ramai yang tertanya-tanya mengenai tindakan lelaki dan ada yang mendakwa dia mungkin masalah mental.

    Turut terdengar dalam dirakam pengguna jalan raya lain itu dialog perakam bersama penumpangnya yang risau akan keselamatan lelaki itu sendiri yang berlegar-legar di atas jalan dan keselamatan pengguna jalan lain kerana dibimbangi mencederakan orang lain.

    Bagaimanapun, dia tidak mencederakan mana-mana individu atau merosakkan kenderaan sebelum beredar dengan kenderaan jenis Perodua Alza selepas lampu isyarat bertukar hijau.

    Video itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada warga net yang meninggalkan komen di Facebook.

  • SPRM siasat 5 pegawai Mara Corp berkait isu salah guna kuasa hari ini

    SPRM siasat 5 pegawai Mara Corp berkait isu salah guna kuasa hari ini

    LIMA pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasa, membabitkan anak syarikat agensi itu, Mara Corporation (Mara Corp) akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya, hari ini.

    Sumber SPRM berkata, kelima-lima individu berkenaan merupakan 17 individu yang telah dikenal pasti bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    “Selain lima orang pegawai Mara berkenaan, turut akan dipanggil untuk dirakam keterangan adalah empat lagi anggota lembaga pengarah Mara Corp, empat orang pegawai Mara, tiga pegawai bank dan seorang pegawai daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

    “Setakat hari ini, seramai 14 saksi telah dirakam keterangan mereka membabitkan seramai empat orang ahli lembaga pengarah Mara Corp, tujuh individu daripada pengurusan Mara Corp, dua orang pegawai Mara dan seorang kakitangan syarikat setiausaha korporat,” kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

    Sementara itu, sumber SPRM memberitahu, dalam serbuan SPRM ke ibu pejabat Mara dan Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas, SPRM telah merampas antaranya dokumen terdiri daripada kertas cadangan dan minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji serta dokumen membabitkan sumber manusia.

    Pada Ahad lepas, kelima-lima individu yang dikaitkan dengan salah laku berkenaan telah membuat laporan polis di ibu pejabat Polis Dang Wangi dan menafikan pembabitan mereka dalam isu berkenaan.

    Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu. – Bernama

  • Polis nafi insiden lelaki dibaham harimau di Simpang Pulai

    Polis nafi insiden lelaki dibaham harimau di Simpang Pulai

    POLIS Perak menafikan laporan berhubung dakwaan kononnya seorang lelaki telah dibaham harimau di Simpang Pulai di sini seperti yang tular di laman Facebook baru-baru ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata semakan dengan Ketua Polis Daerah Ipoh mendapati dakwaan itu tidak benar dan gambar yang tular juga merupakan gambar lama.

    “Saya ingin menafikan perkara ini tidak benar,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Beliau ditanya mengenai gambar tular di laman Facebook menerusi perkongsian oleh ‘Pembalak Kelate’ yang memaparkan satu rangka manusia telah ditemukan di Pos Raya, Jalan Simpang Pulai menuju Cameron Highlands.

    Justeru, Mior Faridalatrash berkata perbuatan yang menggusarkan orang ramai itu perlu dihentikan dan tindakan tegas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia akan diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab menyiarkannya. – Bernama

  • Sindiket dadah guna kurier tumpas

    Sindiket dadah guna kurier tumpas

    SATU sindiket penyeludupan dadah menggunakan khidmat syarikat penghantaran menerusi operasi khas di Jalan Tebrau dan sekitar bandar raya Johor Bahru tumpas dalam satu operasi , Sabtu lalu.

    Menerusi operasi itu, lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia 22 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi bermula pukul 3 petang itu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 17.70 kilogram (kg) dadah jenis magic mushroom dan 3.02kg serbuk ekstasi bernilai RM1.04 juta berjaya dirampas.

    “Modus operandi sindiket ini adalah menghantar dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran semenanjung, Sabah dan Sarawak.

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak November tahun lalu dan disyaki menerima bekalan dari negara luar.

    “Turut disita tiga buah kenderaan serta wang tunai RM21,850,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, hasil semakan mendapati lima suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala dua daripada mereka positif methamphetamine.

    Jelasnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Polis tumpaskan sindiket peras ugut guna video bogel

    Polis tumpaskan sindiket peras ugut guna video bogel

    POLIS menahan tiga wanita termasuk dua warga Indonesia dipercayai menjadi dalang sindiket pemerasan melalui panggilan video berunsur lucah menerusi enam serbuan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor pada 16 Januari lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, turut ditahan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia menerusi Op Bugil.

    “Modus operandi digunakan sindiket terbabit adalah dengan mengumpan mangsa kebiasaannya lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun untuk melakukan panggilan video menerusi aplikasi MiChat, WeChat dan juga Whatsapp.

    “Mangsa kemudian akan diperdaya untuk berbogel dan melakukan adengan-adengan lucah yang mana perbuatan itu dirakam ahli sindiket.

    “Sindiket berkenaan kemudiannya akan menggunakan rakaman tersebut untuk mengugut mangsa dengan wang ringgit dan jika tidak dibayar, rakaman berkenaan akan ditularkan di media sosial,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, hasil daripada tangkapan sindiket terbabit, polis berjaya menyelesaikan 25 kes berkaitan jenayah mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

    “Polis menerima sebanyak 368 aduan daripada mangsa melibatkan ugutan penyebaran video bogel dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM485,013 sejak Januari 2021 hingga kini.

  • Taktik baharu seludup PATI guna bas persiaran

    Taktik baharu seludup PATI guna bas persiaran

    TINDAKAN sindiket penyeludupan membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan bas persiaran bagi mengaburi mata pihak berkuasa menemui kegagalan apabila mereka dicekup pada tengah malam kelmarin.

    PATI berusia antara 15 hingga 30 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah malam oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) selepas bertindak mengejar mereka sejauh 30 kilometer, lapor Harian Metro.

    Turut ditahan ialah dua lelaki tempatan termasuk pemandu bas berusia 30-an yang dipercayai sebagai tekong darat.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib, pihaknya mula mengesan bas persiaran dan kereta jenis BMW yang disyaki tonto di Pohon Tanjung, Kelantan sebelum bertindak mengekori mereka.

    Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu bas dan kereta terbabit memecut dengan laju.

    Katanya, ketika tiba di Jalan Baroh Pial menghala Tanah Merah, kereta BMW itu berhenti dan apabila anggota keluar untuk pemeriksaan, pemandunya cuba melanggar anggota menyebabkan kita terpaksa melepaskan dua das tembakan.

    Namun ujarnya, pemandu kereta tersebut terus memecut sebelum kenderaannya terbabas dan dia melarikan diri, manakala bas yang dinaiki PATI berjaya dipintas di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah.

    “Hasil pemeriksaan di dalam bas mendapati terdapat 20 warga Myanmar termasuk seorang wanita. Kita turut menahan pemandu bas dan seorang lagi lelaki yang kedua-duanya dipercayai tekong,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Menurut Mannadzar, pihaknya percaya sindiket itu telah menyewa khas bas berkenaan untuk membawa semua PATI itu ke Kuala Lumpur di mana mereka masuk ke Malaysia dengan menggunakan pengkalan haram di Pohon Tanjung.

    “Taktik sindiket menggunakan bas persiaran dari pangkalan haram adalah modus operandi baharu bagi mengaburi pihak berkuasa, berbanding sebelum ini kebanyakan mereka menggunakan kenderaan biasa.

    “Kesemua Pati berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong terbabit disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

    Tambah beliau, bas persiaran yang dirampas itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.

  • Polis kesan lima kes sindiket godam akaun bank

    Polis kesan lima kes sindiket godam akaun bank

    SATU sindiket menggodam telefon pintar dengan menggunakan pautan fail ‘android package kit’ (APK) dikesan polis yang sehingga kini lima kes dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM58,844.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan pautan fail APK yang mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

    Menurut beliau, polis menerima tiga laporan di Johor, masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Sabah, lapor Sinar Harian.

    “Siasatan mendapati, sindiket menggunakan Facebook untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen bertujuan menjerat mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Kuala Lumpur, hari ini.

    Tambah beliau, mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut akan menghubungi sindiket melalui WhatsApp dan kemudian diberikan pautan fail APK sebelum diarah memuat turun aplikasi itu di telefon pintar.

    Mohd. Kamarudin memberitahu, setelah selesai dimuat turun, aplikasi itu akan menggantikan sistem mesej pesanan ringkas (SMS) sedia ada.

    “Mangsa akan diarahkan mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi tersebut.

    “Maklumat yang diperlukan untuk pendaftaran itu adalah nama, nombor kad pengenalan, emel, butiran kad kredit dan butiran perbankan dalam talian,” katanya.

    Menurutnya, setelah semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar,namun paparan ‘page error’ akan ditunjukkan kerana aplikasi itu tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.

    “Hakikatnya, pemasangan aplikasi dan proses ‘pendaftaran’ yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang kemudian akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa,” katanya.

    Kamarudin berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jangan memuat turun fail APK yang dihantar ke telefon pintar daripada individu yang tidak dikenali atau sumber tidak sah.

    “Tindakan memasang aplikasi SMS dari sumber yang mencurigakan perlu dielakkan.

    “Orang ramai boleh menghubungi CCID Response Center di talian 03-26101559/ 0326101599 untuk mendapatkan nasihat lanjut,” katanya.