Category: Jenayah

  • 531 karton rokok, 688 liter arak tidak bercukai dirampas

    531 karton rokok, 688 liter arak tidak bercukai dirampas

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas sebanyak 531 karton rokok dan 688 liter arak tidak bercukai yang disembunyikan seorang peniaga di sebuah stor dan semak di belakang rumahnya di Pantai Acheh, Pulau Pinang semalam.

    Rampasan yang dianggarkan bernilai RM152,717 itu dibuat sekumpulan anggota Unit Risikan Marin Wilayah Satu Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang yang mana seorang lelaki berusia 60 tahun turut ditahan.

    Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, lelaki tempatan itu disyaki bertindak sebagai pembekal rokok dan arak tidak bercukai kepada kedai-kedai runcit berhampiran.

    Ketika serbuan dijalankan jelasnya, suspek yang bergerak bersendirian dalam menjalankan kegiatan itu berada di rumah berkenaan dan sedang memasak.

    “Setelah diperiksa, kita menjumpai arak dan rokok yang disembunyikan di dua lokasi iaitu di dalam stor serta di dalam semak di belakang rumah suspek.

    Arak dan rokok yang disembunyikan di dua lokasi iaitu dalam stor serta dalam semak di belakang rumah suspek.

    “Kesemua rokok dan arak yang disembunyikan itu hanya ditutup menggunakan kanvas bagi mengelak dilihat orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati bekalan yang dirampas itu dipercayai untuk dipasarkan ke kedai-kedai runcit di kawasan berdekatan.

    Jelasnya, suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya turut negatif dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Lelaki alami halusinasi cuba terjun dari IPD Kuala Muda

    Lelaki alami halusinasi cuba terjun dari IPD Kuala Muda

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KECEKAPAN pihak bomba bersama polis berjaya memujuk seorang lelaki yang mengalami halusinasi, untuk membatalkan hasratnya terjun dari bumbung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah petang tadi.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman, lelaki berusia 47 tahun itu pada mulanya datang ke IPD tersebut bagi membuat laporan polis kononnya dia diekori seseorang.

    Begitu pun katanya, lelaki itu yang bekerja sebagai pengutip tin, kemudiannya dipercayai menaiki tangga bahagian tengah bangunan untuk ke bumbung bangunan IPD berkenaan di tingkat empat.

    “Pintu besi yang menutupi laluan tangga penghubung bumbung tidak berkunci kerana terdapat kerja-kerja penyelenggaraan bumbung yang bocor.

    “Dia kemudiannya disedari berada di bumbung bangunan IPD Kuala Muda kira-kira pukul 4.45 petang dalam keadaan tidak berbaju. Justeru pihak bomba dan ambulans dihubungi bagi tujuan bantuan menyelamat,” katanya.

    Lelaki itu berjaya dipujuk untuk membatalkan hasrat tersebut dan dia terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

    Tambahnya, lelaki itu berjaya dipujuk untuk membatalkan hasrat tersebut dan dia terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

    “Setelah diselamatkan, lelaki itu mendakwa dia berada dalam keadaan halusinasi dan tertekan kerana dikejar seseorang menyebabkannya melarikan diri dengan menaiki tangga ke bumbung,” katanya.

    Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

    Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba 1, Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya turut menggunakan tali keselamatan dalam usaha memujuk mangsa bagi membatalkan hasrat membunuh diri itu.

    “Lelaki itu berjaya diturunkan kira-kira pukul 6.35 petang dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 6.52 petang,” katanya.

  • Lelaki pakai baju tidur wanita pecah masuk rumah

    Lelaki pakai baju tidur wanita pecah masuk rumah

    PERCUBAAN seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Ria Height Fasa 1B, Jalan Utara Baru, Tawau, hari ini, dengan memakai pakaian wanita gagal apabila berjaya dicekup orang awam.

    Kejadian pada pukul 8 pagi, suspek, 35, yang memakai baju tidur wanita, bertudung dan memakai pelitup muka cuba melarikan diri ketika keluar dari rumah yang dipecah masuknya.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pengadu seorang remaja perempuan berusia 18 tahun memaklumkan ketika tiba di rumahnya, dia mendapati sepasang selipar diletakkan di hadapan pintu rumahnya.

    “Remaja itu hairan dan mula mengesyaki rumahnya telah dipecah masuk. Dia juga mendapati jeriji dan pintu utama rumahnya ditutup tidak rapat.

    “Dia bertindak masuk semula ke dalam kenderaan dan tiba-tiba ternampak seorang lelaki berpakaian baju tidur wanita, memakai tudung dan pelitup muka keluar dari pintu hadapan rumah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, remaja itu kemudian menghubungi sepupunya yang tinggal di taman yang sama.

    “Dia melihat suspek terus berlari dan masuk ke dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di lorong hadapan rumah dan terus memecut secara mengundur.

    “Selepas kira-kira 30 minit kemudian, dia dimaklumkan oleh sepupunya bahawa suspek berjaya ditangkap di kawasan lorong utama taman berkenaan oleh orang awam,” katanya.

    Peter berkata, hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang hiasan wanita di dalam rumah berkenaan hilang disyaki dicuri suspek.

    “Jumlah kerugian kira-kira RM150 dan suspek sudah diserahkan kepada polis.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pegawai khidmat pelanggan, pereka bangunan diperdaya ‘pegawai LHDN, polis’

    Pegawai khidmat pelanggan, pereka bangunan diperdaya ‘pegawai LHDN, polis’

    SEORANG pegawai khidmat pelanggan dan pereka bangunan kerugian RM19,300.50 setelah menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pegawai polis pada Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, kedua-dua mangsa yang berumur 29 tahun dan 36 tahun telah menerima panggilan dari seorang ‘kakitangan LHDN’ pada mulanya.

    Katanya, ‘pegawai LHDN’ berkenaan mendakwa mangsa mempunyai masalah cukai yang tertunggak dan belum dijelaskan.

    “Panggilan mangsa kemudiannya telah disambungkan kepada pihak ‘polis’ dan menerusi panggilan tersebut dimaklumkan bahawa nama mangsa terlibat dalam kegiatan jenayah dadah.

    “Mangsa kemudiannya diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat akaun bank milik mangsa ke dalam aplikasi tersebut.

    “Selang beberapa minit, mangsa telah menerima notifikasi pesanan ringkas dan mendapati telah berlaku pengurangan wang dalam akaun mereka.

    “Jumlah wang berkurangan dalam akaun mereka melibatkan sebanyak RM5,600 dan RM13,700.50,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, menyedari bahawa diri mereka ditipu, kedua mangsa terus segera melaporkan kepada polis.

    Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian ini sedang dilakukan.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana telah membuat capaian tanpa kuasa yang sah terhadap akaun mangsa,” katanya.

  • Polis terima 6 laporan berhubung kenyataan Ramasamy

    Polis terima 6 laporan berhubung kenyataan Ramasamy

    POLIS menerima enam laporan berhubung kenyataan yang dimuat naik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy menerusi akaun Facebooknya, minggu lepas. 

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, hantaran bertarikh 13 Februari itu dikatakan bersifat provokatif dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenainya.

    “Hantaran itu dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak-anak Loh Siew Hong,” katanya dalam kenyataan beliau hari ini. 

    Beliau berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan Undang-Undang JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan golongan atau kaum.

    Selain itu, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 504 kanun sama kerana membuat kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. 

    Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan selain cakna dan prihatin tehadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

    “Orang ramai digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya. 

    Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam. 

    Isnin lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka iaitu Siew Hong selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. – Bernama 
     

  • Berus gigi, pemetik api, pisau cukur guna cap dagangan palsu dirampas

    Berus gigi, pemetik api, pisau cukur guna cap dagangan palsu dirampas

    SEBANYAK 2,765 unit pemetik api; 500 unit berus gigi dan 552 unit pisau cukur yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang semalam.

    Kesemua barangan bernilai kira-kira RM4,087.50 itu dirampas dalam dua serbuan berasingan di Georgetown dan Butterworth kira-kira pukul 11.30 pagi.

    Pengarah PPDNHEP, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan itu dilakukan di sebuah kedai runcit di Jalan Sungai Ujong dan sebuah premis borong di Taman Seri Murni.

    Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kedua-dua premis itu menemukan produk jualan tersebut yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu.

    “Sehubungan itu, kita menyita kesemua produk jualan tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Mohd. Ridzuan, kes itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama bagi bukan pertubuhan perbadanan.

    Pemeriksaan menemukan produk jualan tersebut yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu.

    Sementara itu katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM20,000 akan dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Jelasnya, bagi kesalahan melibatkan pertubuhan atau perbadanan, denda sehingga RM15,000 boleh dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar iaitu untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM30,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

    “Sehubungan itu, kita mengingatkan mana-mana individu yang cuba menjual barangan tiruan bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka.

    “Selain mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan.

    “Aduan-aduan tersebut boleh disalurkan menerusi Bilik Gerakan PPDNHEP Pulau Pinang di nombor 04-3840245, aplikasi WhatsApp (019-279 4317) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat cawangan (PPDNHEP) di seluruh negara,” katanya.

  • Suap pegawai, kakitangan KTMB RM2 juta: Pengarah syarikat direman 7 hari

    Suap pegawai, kakitangan KTMB RM2 juta: Pengarah syarikat direman 7 hari

    SEORANG pengarah syarikat direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memberi suapan sebanyak RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 2016 dan 2017.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur selepas permohonan reman itu dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

    Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 3.10 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

    Lelaki itu dipercayai memberi suapan kepada pegawai dan kakitangan KTMB sebagai dorongan membantu syarikatnya mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan kereta api serta pembangunan pelabuhan di Wilayah Songkhla, Thailand.

    Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap yang mengesahkan tangkapan itu, turut memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Bernama

  • 159 nelayan Vietnam ‘rompak’ hasil laut negara didenda RM38.25 juta

    159 nelayan Vietnam ‘rompak’ hasil laut negara didenda RM38.25 juta

    SEBANYAK 159 nelayan warga Vietnam yang bertindak menceroboh untuk ‘merompak’ hasil laut di perairan negara sejak Mac tahun lalu hingga awal Januari tahun ini didenda sebanyak RM38.25 juta.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, dalam tempoh berkenan sebanyak 14 bot yang ditahan menerusi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut turut dilucut hak.

    Menurut beliau, hukuman itu diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas semua nelayan asing berusia antara 18 hingga 60 tahun itu mengaku bersalah menceroboh perairan negara.

    Beliau berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari dan Haryati Abdullah bersama Seksyen Siasatan Maritim Negeri Terengganu telah berjaya membawa pendakwaan 15 kes tersebut dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

    Justeru katanya, hakim telah memerintahkan kesemua bot dan peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia dengan nilai rampasan sekitar RM20 juta.

    Muhammad Sufi dalam satu kenyataannya hari ini memberitahu, warga Vietnam tersebut juga bakal berhadapan hukuman penjara sehingga tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

    Semua nelayan asing berusia antara 18 hingga 60 tahun itu mengaku bersalah menceroboh perairan negara.

    Ujarnya, pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dalam perairan Malaysia dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan tentang nama, bendera, lokasi, jalan dan destinasi serta keadaan vesel tersebut memasuki perairan perikanan Malaysia.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan memandang serius penglibatan nelayan tempatan yang bersekongkol dan menjadi tali barut nelayan asing.

    “Oleh itu, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

    “Kita juga meminta kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” jelasnya.

  • Pengarah syarikat ditahan disyaki terlibat dalam kes rasuah RM2 juta

    Pengarah syarikat ditahan disyaki terlibat dalam kes rasuah RM2 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pengarah sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM2 juta.

    Menurut sumber, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan kira-kira pada pukul 3.10 petang tadi di pejabat SPRM Kuala Lumpur selepas hadir memberi keterangan.

    Difahamkan lelaki terbabit ditangkap selepas disyaki memberi suapan sebanyak RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai dorongan membantu syarikatnya bagi mendapat kerja-kerja pembinaan jalan keretapi dan pembangunan pelabuhan di wilayah Songkhla, Thailand.

    Suspek akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk mendapatkan permohonan reman.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

  • Polis berkas 9 ahli sindiket penipuan pelaburan dalam talian

    Polis berkas 9 ahli sindiket penipuan pelaburan dalam talian

    POLIS melakukan serbuan dan melumpuhkan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak sempat beroperasi sepenuhnya di sebuah kondominium mewah di Jalan U-Thant, Kuala Lumpur, semalam.

    Semasa diserbu pihak polis mendapati sindiket berkenaan sedang menyediakan keperluan teknikal, pekerja dan peralatan untuk menjalankan aktiviti jenayah itu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, sembilan individu termasuk dua wanita warga China berusia 22 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan pukul 4.30 petang.

    “Pihak polis merampas satu set komputer, 15 unit telefon pelbagai jenama, satu unit router dan satu modem yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan pelaburan yang menyasarkan warga luar negara.

    “Kesemua individu ditahan reman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Mahidisham menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti yang mencurigakan agar menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.