PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas sebanyak 531 karton rokok dan 688 liter arak tidak bercukai yang disembunyikan seorang peniaga di sebuah stor dan semak di belakang rumahnya di Pantai Acheh, Pulau Pinang semalam.

Rampasan yang dianggarkan bernilai RM152,717 itu dibuat sekumpulan anggota Unit Risikan Marin Wilayah Satu Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang yang mana seorang lelaki berusia 60 tahun turut ditahan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, lelaki tempatan itu disyaki bertindak sebagai pembekal rokok dan arak tidak bercukai kepada kedai-kedai runcit berhampiran.

Ketika serbuan dijalankan jelasnya, suspek yang bergerak bersendirian dalam menjalankan kegiatan itu berada di rumah berkenaan dan sedang memasak.

“Setelah diperiksa, kita menjumpai arak dan rokok yang disembunyikan di dua lokasi iaitu di dalam stor serta di dalam semak di belakang rumah suspek.

Arak dan rokok yang disembunyikan di dua lokasi iaitu dalam stor serta dalam semak di belakang rumah suspek.

“Kesemua rokok dan arak yang disembunyikan itu hanya ditutup menggunakan kanvas bagi mengelak dilihat orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati bekalan yang dirampas itu dipercayai untuk dipasarkan ke kedai-kedai runcit di kawasan berdekatan.

Jelasnya, suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya turut negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here