Category: Jenayah

  • Kes kehilangan Eric kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh

    Kes kehilangan Eric kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh

    POLIS kini mengklasifikasikan kes kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie, sebagai kes bunuh.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata berdasarkan siasatan terkini, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berbanding sebelum ini iaitu ia disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    “Dua suspek iaitu pasangan penjaga yang telah ditangkap akan terus direman untuk siasatan lanjut.

    “Usaha pencarian kini diperluas dengan bantuan pasukan Marin Wilayah 5 Kuching serta bantuan jabatan bomba serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan sungai Muara Tebas dan kawasan sekitar,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuching, malam tadi.

    Sebelum ini, Eric telah dilaporkan hilang dari sebuah rumah di kawasan perumahan Bintawa, Kuching, pada 7 Mac lepas.

    Sementara itu, Ashmon menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.- Bernama

  • Kes tipu dalam talian akibatkan kerugian lebih RM1.6 bilion

    Kes tipu dalam talian akibatkan kerugian lebih RM1.6 bilion

    SEBANYAK 51,631 kes membabitkan jenayah dalam talian direkodkan bagi tempoh 2019 sehingga 2021 dengan kerugian bernilai lebih RM1.6 bilion.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, pembelian dalam talian merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 18,857 kes, diikuti pinjaman tidak wujud dengan 15,546 kes.

    “Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memerangi sindiket penipuan termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.

    “Pihak berkuasa turut meningkatkan pengoperasian dan tangkapan seterus menjalankan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit dalam penipuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperincikan statistik kes penipuan pembelian dalam talian bagi tempoh 2019 hingga 2021.

  • Polis tahan lelaki pukul anak tiri selepas video tular 

    Polis tahan lelaki pukul anak tiri selepas video tular 

    POLIS menahan seorang lelaki selepas video menunjukkan dia mendera seorang kanak-kanak secara fizikal, sementara seorang wanita cuba melindungi kanak-kanak itu tersebar luas dalam media sosial.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Siti Kamsiah Hassan berkata, lelaki itu adalah bapa tiri kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terbabit.

    “Mangsa ditampar dan tangannya dipegang suspek yang merupakan bapa tiri mangsa.

    “Ibu mangsa baru sebulan berkahwin dengan suspek. Suspek telah ditahan dan direman,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.

    Tambahnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Video berdurasi 2 minit 50 saat itu memaparkan suspek memegang kedua-dua tangan mangsa yang sedang menangis dan menamparnya.

    Video itu kelihatan dirakam tanpa pengetahuan lelaki itu menerusi satu sudut dari sisi sofa di tempat kejadian.

    Lelaki itu kelihatan memarahi kanak-kanak sebelum dia secara tiba-tiba menamparnya sehingga rebah.

    Seorang wanita kemudian segera meluru untuk membantu kanak-kanak itu tetapi dia ditolak oleh lelaki itu.

    Dia kemudian merayu lelaki itu supaya berhenti memukul kanak-kanak itu.

    Suspek turut dilihat memulas lengan kanak-kanak dan wanita itu sekali lagi mendekati dan menarik mangsa bagi menjauhkannya dari suspek.

    Dia kemudian berlari ke sebuah bilik dengan membawa kanak-kanak itu sambil diekori suspek.

    Kelibat mereka hilang daripada rakaman tetapi suara wanita itu boleh didengar menjerit ketika budak lelaki itu menangis, disusuli dengan bunyi dentuman.

    Lelaki itu didengari menjerit perkataan sama secara berulang kali kepada kepada wanita berkenaan, namun pergerakan mereka tidak terakam.

    Lelaki itu kemudian dilihat menolak wanita dan kanak-kanak itu ke sofa sebelum dia cuba memukul kanak-kanak itu yang berada dalam dakapan wanita itu.

    Wanita kemudian menjerit ke arahnya dan cuba melindungi kanak-kanak itu.

    Setakat ini, maklumat lokasi kejadian itu tidak didedahkan.

  • Mayat wanita rentung disahkan mangsa bunuh

    Mayat wanita rentung disahkan mangsa bunuh

    MAYAT yang ditemui rentung dalam kebakaran bengkel di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur semalam, disahkan sebagai mangsa bunuh.

    Mayat wanita itu ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, yang memadamkan kebakaran bengkel pertanian kemahiran hidup itu selepas menerima laporan kejadian pada jam 6.04 petang.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata polis menerima maklumat berkaitan kejadian pada pukul 6.18 petang.

    “Sepasukan anggota dari Balai Polis Salak Selatan ke tempat kejadian dan kebakaran sudah dipadamkan bomba.

    “Pihak bomba turut menemui mayat dalam keadaan rentung seluruh badan yang kemudian dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, pasukan forensik polis turut menjalankan siasatan di lokasi dan dan hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 25 tahun dan bekerja sebagai penyelia di kedai buku sekolah terbabit.

    “Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana kejadian tanpa bukti yang sahih.

    Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau balai polis berdekatan.

  • Pesalah rasuah perlu dihukum lebih berat

    Pesalah rasuah perlu dihukum lebih berat

    KERAJAAN digesa supaya lebih serius menangani isu rasuah dan salah guna kuasa di negara ini sama ada di peringkat sektor awam atau swasta.

    Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, langkah itu penting bagi memastikan sesiapa yang terlibat dengan rasuah perlu dihukum dengan sewajarnya termasuk individu yang mempunyai jawatan penting seperti pemimpin politik ataupun pegawai tinggi.

    “Jangan membiarkan ikan jerung terlepas dan ikan bilis sahaja yang terkena.

    “Dalam soal ini sesiapa pun yang terlibat dengan rasuah harus diberi hukuman sewajarnya. Ini termasuk orang yang mempunyai jawatan tinggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Khalid, desakan hidup menjadi punca seseorang individu itu sanggup mengambil risiko terjebak dengan rasuah.

    “Bagi mereka yang berada di peringkat bawahan dalam skala sosial, mungkin mereka benar-benar memerlukan wang tambahan.

    “Berbeza pula dengan golongan kaya, mereka tamak tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada. Mereka juga mahukan kuasa dan nama, jadi sanggup terjebak dengan rasuah demi mencapai segala cita-cita mereka,” katanya.

    Sebelum ini, Khalid turut menyertai misi pelancaran Ejen Meow #Rasuah Busters, anjuran pasukan Rasuah Busters yang dianggotai lebih daripada 500 rakan gabungan seluruh negara sebagai satu lagi usaha meningkatkan kesedaran agar masyarakat bertindak menolak rasuah.

    Katanya, semua pihak perlu menolak kepimpinan rasuah yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik dan juga ketirisan dalam sistem tadbir urus.

    “Pada masa sama, ia juga dapat menyumbang kepada pemulihan negara ke arah sistem demokrasi yang berpaksikan kuasa rakyat,” katanya.

  • Ibu tunggal hilang sejak 8 Mac

    Ibu tunggal hilang sejak 8 Mac

    SEORANG ibu tunggal dilaporkan hilang selepas menghantar ibunya ke sebuah klinik swasta di Bandar Kemaman, di Terengganu sejak 8 Mac lalu.

    Adik tirinya, Che Ku Noraini Che Ku Mohd Arifin, 37, berkata, pada 8 Mac lalu, dia bersama Zaizura Mat Hussin, 45, menghantar ibu, Hamimah Latif, 67, ke klinik untuk rawatan dialisis kira-kira pukul 11 pagi.

    “Ketika di klinik, kakak menemani ibu sementara saya menunggu di dalam kereta. Tidak lama selepas itu kakak hantar mesej meminta saya pulang ke rumah terlebih dulu.

    “Dia juga memaklumkan mahu keluar selepas selesai menghantar ibu,” katanya memetik laporan Harian Metro, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lalang, Binjai, di Kemaman.

    Katanya, pada pukul 3.30 petang, dia pergi semula ke klinik dan mendapati hanya ibunya berada di klinik itu.

    “Saya beberapa kali menghubungi telefon kakak namun tidak aktif sehingga ke hari ini.

    “Saya dan keluarga buntu terutamanya ibu yang bimbangkan keselamatan kakak. Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sentiasa ceria,” katanya.

    Cik Ku Noraini berkata, Zaizura sebelum ini tinggal di Pasir Putih, Kelantan dan selepas suaminya meninggal dunia dua tahun lalu, dia pulang ke Kemaman untuk menjaga ibu.

    “Empat anak kakak berusia antara 14 hingga 22 tahun tidak ikut ke Kemaman dan kakak berhajat pulang ke Kelantan bertemu dengan anak-anaknya.

    “Kakak sehingga kini gagal dihubungi dan saya membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Chukai, pada 9 Mac.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi saya di talian 016-5090689 atau menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

  • Suspek tembak pengawal keselamatan guna pistol polis mati dibunuh

    Suspek tembak pengawal keselamatan guna pistol polis mati dibunuh

    PENJENAYAH yang disyaki merompak dan menembak mati pengawal keselamatan di depan sebuah bank di Puchong Prima semalam dipercayai menggunakan senjata yang dicuri daripada anggota polis yang dibunuh lebih empat tahun lalu.

    Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam hari ini.

    Memetik laporan BH, beliau memberitahu, pistol jenis Walther P99 itu dipercayai dirampas daripada Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang ditembak mati di Pondok Polis Komuniti Pinggiran USJ pada 31 Ogos 2017.

    “Siasatan mendapati pistol berkenaan dirampas daripada anggota kita yang meninggal dunia selepas diserang ketika bertugas.

    “Dengan tertangkapnya suspek warga tempatan berusia 38 tahun itu, kita dapat merampas kembali pistol berkenaan.

    “Kita percaya suspek terbabit dalam enam kes samun bersenjata api yang masih dalam siasatan dan dia dipercayai bergerak secara solo,” katanya.

    Valentino ditemukan meninggal dunia oleh anggota Unit Peronda MPV yang pulang daripada rondaan pada jam 3.25 pagi dengan kesan tembakan pada badan di pondok polis terbabit.

    Arjunaidi berkata, suspek dipercayai melepaskan tiga das tembakan dan mengenai dua pengawal syarikat keselamatan yang memindahkan wang berjumlah lebih RM1 juta dari bank berkenaan ke van keselamatan.

    Katanya, satu das tembakan mengenai belakang seorang pengawal keselamatan yang maut dalam kejadian itu.

    “Dua das tembakan lagi dilepaskan yang mana satu das mengenai tulang rusuk seorang lagi pengawal keselamatan, yang kini mendapat rawatan di Hospital Serdang.

    “Suspek melarikan wang dianggar berjumlah RM500,000 dan ketika ditahan di hadapan sebuah bank di Seksyen 20, polis merampas wang tunai RM350,000, sepucuk pistol, 10 butir peluru dan dua kelopak peluru,” jelasnya.

    Tambah beliau, suspek kini direman seminggu bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971.

  • Suspek tembak pengawal depan bank direman 7 hari

    Suspek tembak pengawal depan bank direman 7 hari

    SUSPEK yang menembak mati seorang pengawal keselamatan dan mencederakan seorang lagi dalam kes rompakan bank di Puchong Prima, dekat ibu negara semalam, kini direman selama tujuh hari.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman ketika dihubungi Bernama pada Sabtu berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

    Semalam, susulan kejadian pada pukul 5.50 petang, Abd Khalid dilaporkan berkata polis menahan seorang suspek berumur 38 tahun di tempat awam sekitar Seksyen 24, Shah Alam pada pukul 7 malam bersama karung berisi wang tunai. – Bernama

  • Abang sanggup bunuh adik kembar enggan kongsi syabu

    Abang sanggup bunuh adik kembar enggan kongsi syabu

    DISEBABKAN berebut dan enggan berkongsi dadah, seorang lelaki tergamak membunuh adik kembarnya di kediaman mereka di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat semalam.

    Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 petang selepas dua beradik kembar itu bertengkar sesama mereka kerana dadah jenis syabu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, pertengkaran itu telah membawa kepada pergaduhan sebelum salah seorang daripada mereka iaitu abang telah menikam adik kembarnya di bahagian dada menggunakan sebilah pisau.

    “Majikan mangsa yang tiba ke rumah terbabit selepas dihubungi mangsa mendapati adik mangsa berada dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

    “Mangsa yang ketika itu masih bernyawa telah dikejarkan ke Hospital Banting sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian telah menemui senjata yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

    Katanya, suspek kemudian telah ditahan polis pada pukul 10.45 malam pada hari kejadian di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selepas dibawa oleh majikan mangsa.

    “Siasatan mendapati dua beradik kembar itu adalah pekerja kebun sayur di mana mangsa memiliki rekod lampau bersabit satu kes jenayah dan 10 kes dadah manakala abangnya (suspek) mempunyai 12 rekod kes dadah.

    “Suspek yang positif dadah jenis ganja dan syabu itu telah direman tujuh hari sehingga 18 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 12 wanita antara 18 suspek sindiket along haram

    12 wanita antara 18 suspek sindiket along haram

    POLIS Selangor menahan 18 individu warga tempatan termasuk 12 wanita disyaki terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen dalam serbuan di sebuah premis di Kajang, Khamis lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, ACP Azman Ali berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menyerbu sebuah premis di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua, Kajang pada 10.20 pagi dan bertindak menahan kesemua individu yang berumur lingkungan 18 hingga 52 tahun itu.

    Azman berkata, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas.

    “Hasil pemeriksaan, pihak kami turut merampas dokumen dan barangan antaranya komputer; fail mengandungi dokumen peminjam; kad ATM pelbagai bank dan wang tunai berjumlah RM21,598,” katanya dalam kenyataan.

    Azman berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA