Category: Jenayah

  • 3 nelayan dikhuatiri hilang di laut

    3 nelayan dikhuatiri hilang di laut

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan sebuah bot nelayan bersama tiga kru yang gagal dikesan dan dihubungi sejak lewat petang semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 7.50 malam semalam.

    Berikutan itu katanya, bot ronda KILAT 26 Maritim Pulau Pinang dengan dibantu bot PERKASA 1224 Zon Maritim Kuala Kedah telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT.

    Terdahulu jelas beliau, bot fiber bernombor pendaftaran PPS 5479 yang berpangkalan di Sungai Tembus, Penaga dilaporkan tidak pulang ke pangkalan malam semalam.

    “Hasil siasatan mendapati lokasi terakhir yang diberikan oleh tekong kepada pemilik bot adalah pada kedudukan kira- kira 17.5 batu nautika barat daya Mukah Head Pulau Pinang.

    “Sehingga kini, usaha pencarian masih diteruskan oleh aset Maritim Malaysia Pulau Pinang dan Zon Maritim Kuala Kedah serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Difahamkan, ketiga-tiga nelayan yang hilang terbabit dikenali sebagai Muhammad Firdaus Shamsudin, 34; Afzanizul Zakaria, 44, dan Rozidi Saad.

    Dalam pada itu, Abd. Razak menasihatkan orang ramai menyemak terlebih dahulu laporan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi sebelum menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut.

    Dalam masa sama kata beliau, mereka juga diingatkan menitikberatkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

    “Orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • Guru Besar didakwa beri kontrak alat bantu mengajar kepada isteri, adik lelaki

    Guru Besar didakwa beri kontrak alat bantu mengajar kepada isteri, adik lelaki

    SEORANG guru besar sekolah rendah di Kota Kinabalu, Sabah didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya memberi kontrak kepada isteri dan adik lelakinya membabitkan kelulusan tender pembelian alat bantu mengajar dan peralatan berjumlah RM36,466.15 pada 2017 hingga 2019.

    Hussin Amid, 53, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

    Dia didakwa menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan meluluskan tender pembelian kepada syarikat milik isterinya Ammy Emelia Jamal dan syarikat milik adiknya Ahamadi Amid yang dia mempunyai kepentingan.

    Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah rendah di sini antara 10 November 2017 dan 31 Oktober 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Hakim Abu Bakar Manat membenarkan Hussin diikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin selain dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu di sini setiap dua bulan sekali dan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapiee manakala tertuduh diwakili peguam Nabilah Nursahar.- Bernama

  • Kanak-kanak 11 tahun maut dicekik kerana duit RM4 

    Kanak-kanak 11 tahun maut dicekik kerana duit RM4 

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut disyaki akibat dicekik oleh pelajar senior di sebuah rumah anak asnaf dan anak yatim di dalam kejadian di Pahang, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek dilaporkan bertindak sedemikian selepas tidak berpuas hati dan mengesyaki mangsa telah mencuri duitnya sebanyak RM4.

    Katanya, suspek dilaporkan telah mencekik, menyepak dan menghempas mangsa ke atas lantai sehingga tidak sedarkan diri.

    Suspek berusia 16 tahun dikatakan telah menegur mangsa berhubung duit sebanyak RM4 yang dikatakan diambil oleh mangsa ketika mereka melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan surau.

    Namun, menurut Wan Mohd Zahari, mangsa dikatakan tidak mengendahkan teguran suspek sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati remaja itu.

    “Suspek telah mencekik dan menghempas mangsa ke lantai hingga mangsa tidak sedarkan diri, dan sejurus itu tiga pelajar lain telah mengusung mangsa ke rumah penyelia asrama.

    “Apabila warden (pengadu) menyedari mangsa masih bernyawa beliau bergegas membawa mangsa ke  Hospital Tengku Ampuan Afzan, (HTAA) untuk rawatan lanjut,” katanya, memetik laporan MalaysiaGazette ketika dihubungi, hari ini.

    Bagaimanapun, setiba di hospital pegawai perubatan HTAA yang bertugas ketika itu memaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

    Menurut Wan Mohd Zahari, mayat mangsa kini ditempatkan di Unit Forensik HTAA dan bedah siasat dijangka dijalankan selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

    Suspek menjalani perintah reman mulai semalam sehingga 27 Mac ini.

  • PGA rampas rokok, arak seludup bernilai hampir RM2 juta

    PGA rampas rokok, arak seludup bernilai hampir RM2 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas sebanyak 8,035 karton rokok tidak bercukai bernilai hampir RM2 juta dalam dua serbuan berasingan di Muar, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di rumah di Taman Sari Cempaka 7, Jalan Junid kira-kira pukul 4 petang.

    “Seorang lelaki berusia 39 tahun disyaki ahli sindiket penyeludupan ditahan bersama rampasan 4,985 karton rokok dan 11 kotak arak pelbagai jenama.

    Rampasan rokok dan arak seludup dilakukan PGA menerusi serbuan kedua di Taman Aman, Jalan Abdul Rahman, Muar

    “Soal siasat ke atas suspek membawa ke rumah kedua di Taman Aman, Jalan Abdul Rahman dan menemukan 3,050 karton rokok dan 53 kotak arak seludup pelbagai jenama. Semua rokok dan arak seludup itu bernilai RM1.81 juta.

    “Turut dirampas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 yang dipercayai dijadikan kenderaan untuk mengedar barangan berkenaan dan anggaran keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1,993,200,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok dan arak seludup ke kedai-kedai runcit yang tidak berlesen di sekitar kawasan Muar.

    Menurutnya, suspek ditahan dan semua barang salah itu dirampas serta disiasat mengikut Seksyen 135 (1)Akta Kastam 1967.

    Tangkapan dan rampasan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut, katanya.

    Turut dirampas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 yang dipercayai dijadikan kenderaan untuk mengedar rokok dan arak seludup

    “Tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Muar,” katanya.

    Katanya, pihak polis menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

  • Wanita pemandu pacuan empat roda ditahan

    Wanita pemandu pacuan empat roda ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita ditahan polis berhubung kes konvoi kereta mewah berhenti di Kilometer (KM) 34, Lebuh Raya Utara Selatan Arah Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, dekat Kulai, Jumaat lalu sehingga menghalang lalu lintas.

    Wanita berkenaan dipercayai pemandu kenderaan pacuan empat roda yang didakwa menjadi punca konvoi kereta mewah berkenaan berhenti di tengah lebuh raya.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, wanita berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi ini.

    “Polis telah mendapatkan perintah reman mahkamah selama tiga hari ke atas suspek sehingga 23 Mac ini.

    “Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kejadian berkenaan tular dalam laman sosial menerusi satu rakaman video yang memaparkan beberapa kenderaan mewah berhenti di laluan lebuh raya sehingga menghalang lalu lintas.

    Menurut Beng Yeow, kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada pukul 6.10 petang Jumaat lalu.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

    “Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian,” katanya.

  • 2 makmal dadah di Pulau Pinang dibongkar, dadah hampir RM500,000 dirampas

    2 makmal dadah di Pulau Pinang dibongkar, dadah hampir RM500,000 dirampas

    POLIS Pulau Pinang berjaya membongkar dua makmal dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM500,000 serta menahan tiga lelaki dalam serbuan pada 17 Mac lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di di sebuah rumah jenis dua tingkat di Seberang Jaya pukul 9 pagi yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin dan syabu.

    Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas sebanyak 36 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM381,160 dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.

    Dalam serbuan itu jelasnya, polis merampas sebanyak 42 bungkusan dadah heroin seberat 18,540 gram, dua ketulan heroin base (745 gram), satu bungkusan dadah syabu (895 gram) dan satu bungkusan kafein (16,275 gram).

    “Turut dirampas dalam serbuan itu adalah peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah heroin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Tambahnya, serbuan pertama itu membawa kepada operasi kedua pada hari sama yang mana seorang lelaki berusia 41 tahun disyaki ketua sindiket tersebut ditahan di sebuah rumah dua tingkat di Seberang Perai Tengah (SPT).

    Jelasnya, hasil risikian mendapati sindiket pengedaran dadah itu telah bergiat aktif sejak Julai tahun lalu untuk pasaran tempatan dan mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memprosesnya,” katanya.

    Tambah beliau, polis turut merampas sebanyak lima buah kenderaan bernilai RM259,500, barang kemas berjumlah RM2,340 dan menyita wang di dalam akaun bank sebanyak RM7,777 daripada sindiket berkenaan.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd. Shuhaily berkata, polis turut membongkar sebuah rumah flat di Jelutong yang dijadikan makmal mini memproses dadah dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

    Katanya, suspek menjadikan rumah yang disewa itu sebagai makmal memproses dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) sejak bulan lalu dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM110,385.

    “Dadah ini sering dicampurkan dalam minuman di kelab malam serta mendapat permintaan tinggi dalam kalangan mereka yang suka berhibur,” katanya.

    Ujar beliau, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman antara enam dan tujuh hari bermula 18 Mac lalu.

  • Wanita warga emas rugi hampir RM4 juta diperdaya lelaki Korea di Instagram

    Wanita warga emas rugi hampir RM4 juta diperdaya lelaki Korea di Instagram

    PADAH mempercayai lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Instagram, seorang wanita warga emas di daerah Timur Laut, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM3.9 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

    Lebih malang, wanita berusia 63 tahun itu menyerahkan wang peninggalan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan selepas termakan pujuk rayu suspek yang menyamar sebagai lelaki Korea kononnya mahu menjaganya sehingga ke akhir hayat.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, wanita itu juga diperdaya suspek yang dikenali hujung tahun lalu untuk menyertai projek perniagaan pelantar minyak.

    Malah ujar beliau, wanita itu turut diyakinkan oleh suspek yang sering menghantar gambar serta video kononnya sedang memandu kereta serta berada di tempat kerja.

    “Bagaimanapun, wanita itu akhirnya sedar ditipu selepas gambar wajah lelaki Korea itu didapati disunting daripada gambar milik individu lain.

    “Sehubungan itu, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis pada 17 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Polis sedang memburu seorang ‘lelaki Korea’ yang memperdaya seorang wanita warga emas di daerah Timur Laut, Pulau Pinang sebanyak RM3.9 juta

    Menurut beliau, mangsa yang turut berhubungan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp telah melakukan sebanyak184 kali transaksi pemindahan wang dalam pelbagai jumlah menggunakan 19 akaun bank kepada suspek.

    Katanya, wang yang dipindahkan pula berjumlah antara RM9,000 hingga RM50,000 bermula dari Disember tahun lalu hingga bulan ini.

    Jelas beliau, suspek meminta wang daripada mangsa secara berperingkat kerana dipercayai mahu mengelak daripada dikesan pihak bank.

    Ujarnya, polis kini sedang mengesan suspek dan percaya modus operandi sindiket seperti itu sering digunakan oleh lelaki warga Nigeria untuk memperdayakan wanita di media sosial.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan media sosial bagi mengelak terpedaya dan menjadi mangsa sindiket penipuan seperti ini,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Pemandu Toyota Hilux ditahan kes buli jalan raya

    Pemandu Toyota Hilux ditahan kes buli jalan raya

    POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux secara berbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan di Km138.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 11.30 pagi semalam ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bagi membantu siasatan kejadian.

    “Siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam Shafee dilapor berkata berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit 35 saat yang tular menerusi laman sosial, kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran PMX3338 tersebut telah melakukan buli jalan raya dengan menghimpit sebuah kenderaan yang tidak pasti nombor pendaftarannya sehingga hampir menyebabkan kemalangan.- Bernama

  • Empat maut termasuk seorang rentung dalam kemalangan dua kenderaan

    Empat maut termasuk seorang rentung dalam kemalangan dua kenderaan

    EMPAT individu maut termasuk seorang daripadanya rentung dalam satu nahas membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 58.2 Lebuhraya Utara Selatan, Pendang, awal pagi ini.

    Pihak bomba menerima panggilan melalui sistem MERS 999 pada pukul 2.22 pagi mengenai kebakaran kereta akibat kemalangan jalan raya.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, anggota dari balai berhampiran diarahkan segera ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

    “Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan sebuah kereta Nissan Almera yang terbakar 90 peratus.

    “Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.56 pagi dan terdapat seorang mangsa yang rentung dalam kenderaan terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, mangsa pertama iaitu pemandu Proton Wira berjaya dikeluarkan pada pukul 4.07 pagi dan disusuli mangsa kedua pada 4.28 pagi.

    “Mangsa ketiga berjaya dikeluarkan pada 5.43 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Katanya, berdasarkan penilaian awal, mangsa yang rentung dipercayai lelaki, namun identitinya belum dapat dikenal pasti setakat ini.

    “Tiga mangsa maut dalam Proton Wira terdiri daripada dua lelaki berusia 26 dan 49 tahun, manakala seorang lagi adalah wanita berusia 52 tahun. Operasi tamat sepenuhnya pada 6.05 pagi,” katanya.

  • 35 ekor kambing mati dalam kebakaran

    35 ekor kambing mati dalam kebakaran

    SEBANYAK 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang di Taman Temara, Pasir Putih di Ipoh, Perak mati akibat kebakaran tengah malam tadi.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Pegawai Bomba Kanan II, Rozaidee Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira 12.30 tengah malam.

    “Kebakaran membabitkan kandang kambing kelas C dan tiada individu terlibat. 

    “Terdapat 57 ekor kambing di dalam kandang itu dengan 35 daripadanya mati manakala bakinya berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kebakaran memusnahkan hampir 50 peratus kandang itu dan operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada 1.30 pagi.

    Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

    Sementara itu, penternak kambing berkenaan, Badrishah Zamzuri, 60, yang juga pesara polis berkata beliau menyedari kejadian tersebut pada 11.45 malam selepas dimaklumkan jiran sekitar lalu bergegas ke kandang berkenaan kira-kira 10 meter dari rumahnya.

    “Setiba di kandang, saya lihat lebih separuh ternakan saya mati. Kali terakhir saya menguruskan kambing ini adalah petang semalam dengan memberi makan dan kemudian memasang unggun api sekitar 7 malam,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

    Badrishah turut tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada unggun api yang dipasang di kandang terbabit kerana ternakan berkenaan memerlukan haba pada waktu malam.

    Anak lelaki Badrishah, Muhammad Irham Badrishah, 21, pula menyifatkan kejadian itu sebagai suratan takdir sejak menternak kambing lapan tahun lepas dengan permulaan 10 ekor kambing. – BERNAMA