Category: Jenayah

  • Tidak perlu pertikai isu saham Azam, boleh timbul subjudis

    Tidak perlu pertikai isu saham Azam, boleh timbul subjudis

    TIADA keperluan lagi bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengingatkan bahawa sebarang ulasan mengenai kes tersebut akan menimbulkan subjudis.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) memutuskan bahawa tiada kes berhubung isu ini, manakala Azam telah disoal siasat oleh tiga jawatankuasa SPRM.

    Mereka termasuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan.

    “Tiada keperluan lagi isu pemilikan saham (Azam) ini dipertikaikan. Beliau juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya dan kes sedang dalam peringkat mahkamah. Sebarang ulasan kes ini juga akan menimbulkan subjudis.

    “Kerajaan tidak melindungi atau mengambil tindakan terhadap orang-orang yang tertentu hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak. Sesiapa sahaja bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan dan mahkamahlah yang akan menentukan sama ada orang itu bersalah atau tidak.

    “Sehubungan itu, semua pihak perlu menerima keputusan SC yang menjelaskan tidak ada kes terhadap (Azam) berhubung akaun dagangan miliknya dan keputusan hasil siasatan SC perlu menjadi panduan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.

    Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong), yang bertanya berapa agensi yang terlibat menyiasat Azam dan status siasatannya.

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat pemilikan saham Azam, walaupun SC memutuskan ia tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM itu melanggar undang-undang.

    Azam didakwa membeli jutaan saham dan waran dalam syarikat senaraian awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti oleh penjawat awam.

    Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang sebelum ini berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa adiknya, Nasir, menggunakan akaunnya untuk membeli saham yang kemudiannya dipindahkan ke akaun Nasir.

    Pada 18 Januari, SC berkata, ia tidak dapat membuktikan sebarang pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham dalam akaun dagangan Azam.

    Seksyen 25(4) SICDA memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.

    SC berkata, selepas menyelesaikan inkuirinya dan berdasarkan keterangan yang dikumpul, ia tidak dapat memastikan secara konklusif bahawa berlaku pelanggaran bawah SICDA.

    Azam kemudian berkata, SC telah membersihkan namanya daripada salah laku, dan beliau berikrar untuk terus memimpin agensi itu memerangi rasuah.

  • APMM gagalkan cubaan seludup masuk ganja bernilai lebih RM2.2 juta

    APMM gagalkan cubaan seludup masuk ganja bernilai lebih RM2.2 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 446 ketulan dadah jenis ganja mampat seberat 446 kilogram dianggarkan bernilai RM2.2 juta di dua lokasi berasingan menerusi rondaan Op Aman di perairan Perlis, semalam.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis Kapten Maritim Saliza Ahmad berkata kesemua dadah itu dirampas di kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis pada 10.33 pagi dan 2.2 batu nautika barat Kuala Perlis pada 11.15 pagi.

    “Rampasan dibuat selepas anggota APMM yang melakukan rondaan menjumpai beberapa bungkusan plastik hitam terapung yang mencurigakan di perairan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini.

    Saliza berkata hasil pemeriksaan terhadap plastik hitam berkenaan menemukan 18 bungkusan guni plastik berwarna putih mengandungi ketulan ganja mampat berkenaan yang dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand.

    Beliau berkata dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran negeri ini, Kedah dan Pulau Pinang.

    “Ini merupakan rampasan terbesar Zon Maritim Kuala Perlis setakat ini bagi tahun ini dan lokasi penemuan juga tidak jauh dari sempadan perairan Thailand,” katanya dan menambah dadah dirampas dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Saliza berkata modus operandi sindiket pengedaran dadah dari negara jiran itu adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut berkuasa tinggi dan sindiket itu juga dipercayai didalangi nelayan negara jiran serta tempatan yang membuat pertukaran ganja dengan daun ketum.

    “Mereka (nelayan Thailand) dipercayai membawa masuk dadah dari sana ke perairan negara dan akan membawa pulang daun ketum ke negara mereka.

    “Sindiket ini akan membuang ganja ke laut sekiranya menyedari kehadiran pihak berkuasa dan meloloskan diri ke Thailand,” katanya.

    Beliau berkata APMM akan memperhebat pemantauan di sempadan perairan negara dan orang ramai diminta memberi kerjasama melaporkan sebarang kes penyeludupan bagi membolehkan tindakan diambil segera.- BERNAMA

  • Kes rasuah projek MRT:SPRM siasat 5 individu

    Kes rasuah projek MRT:SPRM siasat 5 individu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima termasuk dua bekas pengarah termasuk seorang bergelar Datuk dan tiga pengarah syarikat kejuruteraan membabitkan kes rasuah bagi projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) bernilai lebih RM650 juta.

    Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan tiga daripada individu itu termasuk wanita yang berusia 43 hingga 52 tahun ditahan reman enam hari bermula hari ini hingga 27 Mac.

    Bagaimanapun, dua lelaki berusia 54 dan 63 tahun yang juga bekas pengarah syarikat tidak direman atas faktor kesihatan, tetapi diperintah hadir ke pejabat SPRM setiap hari.

    Harian Metro melaporkan, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Dua bekas pengarah itu dipercayai menerima rasuah RM27 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan lain sebagai balasan melantik syarikat itu sebagai perunding bagi projek MRT pada 2017.

  • Enam laporan polis sabit video Kak Long 7E hina OKU

    Enam laporan polis sabit video Kak Long 7E hina OKU

    SEBANYAK enam laporan diterima oleh pihak polis berhubung tindakan Wan Noor Baizura atau dikenali sebagai Kak Long 7E, yang dikatakan menghina golongan orang kurang upaya (OKU) yang tular dalam media sosial sejak minggu lalu.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keenam-enam laporan dibuat oleh mereka yang tidak puas hati, khususnya golongan OKU yang terkesan dan rasa terhina ekoran perlakuan wanita terbabit mengajuk pergerakan dan mimik muka golongan itu.

    Katanya, enam laporan itu masing-masing satu diterima polis Terengganu, Johor, Perak, dan Kuala Lumpur, manakala dua lagi diterima polis Selangor.

    Menurut beliau, polis Terengganu akan memanggil wanita terbabit untuk merakam percakapan berhubung kes itu.

    “Susulan daripada laporan yang dibuat Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Terengganu, Khamis lalu, kita akan memanggil wanita terbabit untuk mengambil rakaman percakapan di IPD Dungun dalam masa terdekat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perjumpaan Ketua Polis Terengganu Bersama Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu, hari ini.

    Rohaimi berkata, kes itu dirujuk kepada polis Selangor memandangkan pihak berkenaan memulakan siasatan selepas menerima laporan dairpada seorang individu golongan OKU fizikal.

    Individu berusia 42 tahun dari Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor itu terus membuat laporan polis selepas tidak puas hati dan berasa terhina ekoran tindakan wanita terbabit.

    “Kita menyerahkan siasatan Wan Noor Baizura kepada polis Selangor dan kita sedia memberi bantuan termasuk akan mengambil rakaman percakapan wanita terbabit,” katanya.

  • Kanak-kanak tahun satu cedera diserang kera

    Kanak-kanak tahun satu cedera diserang kera

    SEORANG kanak-kanak Tahun Satu terpaksa melupakan hasratnya untuk memulakan sesi persekolahan baharu, selepas cedera akibat diserang seekor kera di Kampung Baru Kuala Abang di Dungun, pada Ahad lepas.

    Akibat serangan itu Muhammad Umar Ziyad Zaharudin, 7, terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman selepas mengalami kecederaan di bahagian betis kiri dan tangan kanan.

    Ibunya Suzilawati Ismail, 39, berkata, anak bongsunya daripada dua beradik itu jelas sangat terkilan apabila kini terlantar di hospital menerima rawatan, sedangkan pada mulanya dia nampak cukup riang dan teruja untuk hadir hari pertama di Sekolah Kebangsaan Kuala Abang.

    “Doktor maklumkan anak saya mungkin tidak dapat berjalan dalam tempoh sebulan kerana kecederaan teruk di kakinya. Sepanjang tempoh itu, dia mungkin akan menjalani pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sahaja.

    “Meskipun agak trauma dan sedih, namun saya bersyukur kerana Muhammad Umar Ziyad semakin pulih serta ceria hari ini, dan jika tiada sebarang halangan, dia akan dibenarkan pulang ke rumah pada petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
     
    Dalam kejadian pada 6.55 petang Ahad lepas, Suzilawati berkata, beliau bersama dua anaknya berada di rumah kakaknya yang terletak bersebelahan di kampung berkenaan.

    “Muhammad Umar Ziyad pulang dahulu ke rumah, saya dan anak sulung masih berada di beranda rumah kakak, tiba-tiba terdengar dia menjerit meminta tolong di halaman rumah saya.

    “Nasib baik suami memang ada di rumah dan segera menyelamatkan dia. Kaki dan tangannya berlumuran darah dan koyakan pada kaki memang besar,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun. 

    Suzilawati berkata, disebabkan luka anaknya yang serius, dia terpaksa dihantar ke Hospital Kemaman untuk menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan semula kulitnya yang koyak.  – Bernama

  • Polis panggil 10 pemandu kereta mewah halang lalu lintas

    Polis panggil 10 pemandu kereta mewah halang lalu lintas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 10 individu yang juga pemandu kereta mewah akan dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung insiden konvoi yang menghalang laluan di susur keluar Sedenak, Kulai, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis akan membuka tiga kertas siasatan iaitu membabitkan kesalahan merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu.

    “Saya telah arahkan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow melakukan siasatan terperinci,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan awal mendapati punca insiden terbabit disebabkan wanita yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipercayai panik sebelum berlaku perlanggaran.

    Malah, kata beliau, wanita berusia 28 tahun itu turut dipukul pemandu kenderaan mewah ketika berada di Kilometer 34 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, pada pukul 6.10 petang.

    Terdahulu, pemandu wanita berkenaan yang ditahan pada pukul 1 pagi semalam kini direman selama tiga hari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

    Baru-baru ini, tular dalam media sosial satu video berdurasi 1 minit 14 saat yang menunjukkan sebuah Ford Ranger dipandu secara merbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah kenderaan daripada kumpulan konvoi kereta mewah.

    Pemandu Ford Ranger itu dipercayai cuba memotong konvoi secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah Lamborghini ketika cuba memasuki lorong kiri.

    Disebabkan pelanggaran itu, peserta konvoi berkenaan tidak berpuas hati dan menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya sebelum berlaku selisih faham antara mereka.

  • Dua calon SPM antara ditahan tunggang motosikal secara bahaya

    Dua calon SPM antara ditahan tunggang motosikal secara bahaya

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PADAH melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, dua daripada tiga remaja yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan polis, semalam.

    Mereka yang berusia 17 tahun bersama seorang lagi penunggang motosikal berumur 22 tahun terdahulu diekori Skuad 42 Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, skuad tersebut mengekori penunggang motosikal itu di Lebuhraya Linkedua dan di Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru sebelum menahan ketiga-tiga mereka.

    “Anggota polis melakukan risikan dan bertindak mengekori sekumpulan remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan zig zag di lokasi tersebut.

    “Tindakan remaja terbabit amat berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan telah dibawa ke IPD Iskandar Puteri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 manakala tidak lebih daripada RM15,000.

    “Selain itu, suspek juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun daripada tarikh sabitan,” ujarnya.

    Dzulkhairi turut mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan penting bagi memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam perkara yang mengundang bahaya kepada diri dan orang lain.

  • PGA rampas arak, rokok berjumlah RM421,769

    PGA rampas arak, rokok berjumlah RM421,769

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas rokok dan arak seludup berjumlah RM421,769 selepas melakukan serbuan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru semalam.

    Menerusi serbuan pukul 4 petang itu, PGA merampas 20 kotak rokok, 1,548 botol arak dan sebuah Toyota Hiace yang dipercayai menjadi kenderaan pengangkutan barang tidak bercukai berkenaan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai di sekitar Johor Bahru.

    “Modus operandi sindiket menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan stok rokok atau arak tiada cukai. Aktiviti difahamkan sudah beroperasi lebih kurang lima bulan.

    “Rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Along curi data peribadi menerusi aplikasi

    Along curi data peribadi menerusi aplikasi

    SINDIKET along kini dikesan semakin berbahaya apabila mereka mampu mencuri data diperlukan daripada telefon bimbit peminjam mereka menerusi satu aplikasi.

    Mereka mampu mendapatkan data seperti nombor telefon ahli keluarga, majikan, rakan sekerja serta gambar dan video mangsa sebelum peminjam itu dimalukan jika dia gagal atau terlewat membayar pinjaman.

    Caranya, sindiket akan menyebar atau tularkan butiran pinjaman mangsa kepada ahli keluarga, kenalan, majikan dan jiran melalui WhatsApp.

    Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Aduan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Raden Sallehuddin Raden Shamsuddin berkata, aplikasi itu kini menjadi ‘senjata’ baharu untuk menyedut data milik peminjam yang digunakan bagi mengugut mereka sekiranya gagal melunaskan bayaran.

    “Sebelum ini proses pinjaman along menggunakan kaedah lama iaitu dengan mengisi borang dan butiran diperlukan.

    “Kini along akan mengarahkan mereka yang membuat pinjaman dengan mengisi melalui aplikasi berkenaan dengan alasan lebih mudah.

    “Tanpa pengguna sedari, segala data dan butiran peribadi mereka yang terdapat di dalam telefon pintar akan dicuri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, MCCA menerima lebih 1,000 laporan berkaitan isu pinjaman melalui aplikasi pemberi pinjaman tidak berlesen ini melalui pelbagai platform aduan.

    “Antara implikasi buruk siber terhadap pengguna melalui aplikasi ini adalah kecurian maklumat peribadi seperti senarai kenalan di dalam simpanan memori telefon pintar serta kecurian data peribadi lain seperti gambar dan video pengguna.

    “Kami mendapati rata-rata pengguna menghadapi tekanan ugutan jenayah siber seperti buli siber dan tindakan untuk memalukan mangsa di tempat kerja serta kejiranan,” katanya yang memaklumkan pihaknya mengesan ratusan aplikasi berkaitan dengan aktiviti along.

    Katanya, kebanyakan aplikasi itu tidak memiliki lesen pengoperasian yang sah seperti diwartakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi.

    Menurutnya, cara itu memberikan kesan buruk kepada pengguna yang berisiko terdedah dengan modus operandi along.

    Bercerita lanjut, Raden Sallehuddin berkata, berdasarkan laporan diterima, aplikasi ini dibangunkan pembangun aplikasi dan digunakan untuk aktiviti salah daripada segi undang-undang.

    “Di sini wujud kebocoran data peribadi juga. Jadi MCCA berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

    Beliau berkata, bukan sahaja aktiviti ceti haram, aplikasi seperti ini juga digunakan agensi pengiklanan untuk mencari pelanggan.

    “Sebab itu pengguna siber perlu lebih berwaspada dengan dunia teknologi tanpa sempadan. Perlu ada silibus awal untuk mendidik pengguna di negara ini. Ia boleh dijadikan persiapan awal,” katanya.

  • Dua ditahan gara-gara tunjuk aksi hisap dadah di Facebook

    Dua ditahan gara-gara tunjuk aksi hisap dadah di Facebook

    SEORANG lelaki dan wanita ditahan polis selepas aksi menagih dadah yang dimuat naik dalam Facebook dikesan pihak berkuasa, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Sanah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan kepada rakaman video tular itu, polis menahan seorang wanita dikenali dengan nama ‘Momoi’.

    Beliau berkata, hasil siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lelaki iaitu pemilik akaun Facebook bernama ‘Jordan Hassan’ yang memuat naik rakaman berkenaan.

    “Kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan dijalankan di rumah di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu dan di hadapan bangunan SAFMA, di Sabah.

    “Suspek lelaki itu mengaku akaun Facebook bernama ‘Jordan Hassan’ adalah miliknya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Mohd. Zaidi berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun jika disabitkan kesalahan.

    Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut sebelum pendakwaan dijalankan.

    “Kerjasama orang ramai dalam membasmi jenayah adalah sangat membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan laman sosial,” katanya.