TIADA keperluan lagi bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengingatkan bahawa sebarang ulasan mengenai kes tersebut akan menimbulkan subjudis.

Memetik laporan FMT, beliau berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) memutuskan bahawa tiada kes berhubung isu ini, manakala Azam telah disoal siasat oleh tiga jawatankuasa SPRM.

Mereka termasuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan.

“Tiada keperluan lagi isu pemilikan saham (Azam) ini dipertikaikan. Beliau juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya dan kes sedang dalam peringkat mahkamah. Sebarang ulasan kes ini juga akan menimbulkan subjudis.

“Kerajaan tidak melindungi atau mengambil tindakan terhadap orang-orang yang tertentu hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak. Sesiapa sahaja bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan dan mahkamahlah yang akan menentukan sama ada orang itu bersalah atau tidak.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu menerima keputusan SC yang menjelaskan tidak ada kes terhadap (Azam) berhubung akaun dagangan miliknya dan keputusan hasil siasatan SC perlu menjadi panduan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong), yang bertanya berapa agensi yang terlibat menyiasat Azam dan status siasatannya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat pemilikan saham Azam, walaupun SC memutuskan ia tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM itu melanggar undang-undang.

Azam didakwa membeli jutaan saham dan waran dalam syarikat senaraian awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti oleh penjawat awam.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang sebelum ini berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa adiknya, Nasir, menggunakan akaunnya untuk membeli saham yang kemudiannya dipindahkan ke akaun Nasir.

Pada 18 Januari, SC berkata, ia tidak dapat membuktikan sebarang pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham dalam akaun dagangan Azam.

Seksyen 25(4) SICDA memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.

SC berkata, selepas menyelesaikan inkuirinya dan berdasarkan keterangan yang dikumpul, ia tidak dapat memastikan secara konklusif bahawa berlaku pelanggaran bawah SICDA.

Azam kemudian berkata, SC telah membersihkan namanya daripada salah laku, dan beliau berikrar untuk terus memimpin agensi itu memerangi rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here