Category: Jenayah

  • Saksi di Singapura setuju beri keterangan siasatan kes suami Zeti

    Saksi di Singapura setuju beri keterangan siasatan kes suami Zeti

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan beberapa  saksi di Singapura sudah bersetuju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr. Tawfiq Ayman.

    Ia susulan dakwaan Dr. Tawfiq menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sepasukan pegawai penyiasat akan ke negara terbabit pada 29 hingga 31 Mac ini.

    “Siasatan di negara terbabit adalah bagi mendapatkan keterangan dan juga dokumen yang diperlukan. InsyaAllah dengan dapatnya keterangan dan dokumen kita boleh teruskan dan rujuk semula kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya.

    “Kita ada saksi-saksi di sana membabitkan perbankan, jadi saksi dari pihak bank itu bersetuju untuk memberi kerjasama,” katanya pada sidang media, di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mohd. Kamarudin berkata, mungkin terdapat beberapa tambahan keterangan saksi lain bergantung kepada keadaan.

    Terdahulu, Tawfiq yang juga suami kepada Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

    Beliau menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.

    Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Leissner yang juga bekas Pengerusi Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahan syarikat perbankan itu, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.

    Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.

    Siasatan ke atas Tawfiq itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dengan kenyataan suami dan seorang anak Zeti itu dirakam pada April tahun lalu.

  • Polis Perak tumpaskan sindiket dadah RM4.5 juta

    Polis Perak tumpaskan sindiket dadah RM4.5 juta

    SATU sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan merampas 124 kilogram (kg) bahan terlarang itu bernilai RM4.5 juta dalam lapan serbuan berasingan sekitar Ipoh dan Batu Gajah, Isnin lalu.

    Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Perak melakukan serbuan antara pukul 11.10 pagi hingga 5.30 petang di premis sekitar Simpang Pulai, Meru Raya, Jelapang dan Batu Gajah.

    Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lapan individu berusia 32 hingga 37 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun 2021. Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk bekalan dadah dari negeri pantai timur untuk dijual di pasaran sekitar Perak.

    “JSJN berjaya merampas 123.8kg syabu, heroin (0.1kg) dan ketamin seberat 0.15kg,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh, hari ini.

    Menurutnya, jumlah dadah dirampas itu boleh dibekalkan kepada lebih 620,000 penagih.

    “Saringan awal terhadap lapan suspek terbabit mendapati kesemuanya negatif dadah namun siasatan lanjut menemukan lima daripadanya mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

    “Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Menurut Mior Faridalathrash, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset berjumlah RM212,712.

    “Aset tersebut adalah wang tunai RM42,300, tiga utas barang kemas bernilai RM145,500 dan lima kenderaan antaranya Volkswagen Polo, Toyota Camry dan motosikal Honda EX5.

    “Polis akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya.

  • Guru rugi hampir RM10,000 digertak terbabit penggubahan wang haram

    Guru rugi hampir RM10,000 digertak terbabit penggubahan wang haram

    SEORANG guru kerugian RM9,900 selepas didakwa terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram, apabila menyerahkan nama dan kata laluan perbankan Internet miliknya kepada pihak ketiga di Sabah.

    Kejadian berlaku pada 1 Mac lalu apabila lelaki berusia 52 tahun itu yang berada di tempat kerjanya di Pitas dekat Kota Marudu, Sabah menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwanya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Lelaki itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat.

    Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa kemudiannya diminta menghubungi satu lagi nombor telefon yang kemudiannya mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

    Menurutnya, individu yang mendakwa kononnya pegawai polis itu memaklumkan nama mangsa terbabit dalam satu kegiatan penggubahan wang haram.

    “Mangsa kemudiannya diminta untuk memberikan maklumat akaun peribadi miliknya.

    “Oleh kerana berasa takut dan panik, mangsa mengikut arahan yang diberikan sehingga mangsa memberikan maklumat nama serta kata laluan akaun bank miliknya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, pada 21 Mac lalu mangsa membuat semakan dalam talian akaun miliknya dan mendapati terdapat transaksi dilakukan daripada akaunnya kepada akaun milik individu yang tidak dikenali.

    “Menyedari ditipu, mangsa tampil buat laporan polis di atas kehilangan wang dalam akaun miliknya pada 22 Mac lalu.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Pengurus bank rugi RM605,000 diperdaya ‘Suraya Sani’

    Pengurus bank rugi RM605,000 diperdaya ‘Suraya Sani’

    SEORANG pengurus bank di Kuala Lumpur membuat laporan polis di sini semalam, selepas mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM605,000 akibat menjadi mangsa Macau Scam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 53 tahun itu mendakwa ia bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita bernama “Suraya Sani” kononnya dari Ibu pejabat Etiqa di Seremban kira-kira 5 petang Jan lalu.

    Beliau berkata, “Suraya” mendakwa ada individu menggunakan nama pengurus bank berkenaan untuk menuntut pampasan dan panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lelaki mengaku sebagai “Sarjan Hairul Mohd Musa” dari Balai Polis Pudu.

    Dalam kenyataan hari ini, Aibee berkata, pengurus bank itu ditunjukkan dokumen kononnya waran tangkap dan bagi menyelesaikan “masalah” itu, wanita berkenaan diminta memindahkan wangnya dari akaun ASNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing berjumlah RM425,000 dan RM180,000 ke akaun Bank Islamnya.

    Menurutnya, wanita itu juga diarahkan tidak memeriksa akaun Bank Islam miliknya itu kononnya untuk tujuan siasatan polis, namun apabila dia mulai curiga, selepas diperiksa wanita itu mendapati wang dalam akaun Bank Islam itu telah lesap, lalu dia terus membuat laporan polis semalam.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – BERNAMA

  • Op Benteng:Enam PATI dicekup

    Op Benteng:Enam PATI dicekup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ENAM pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dalam satu serbuan di Kampung Punggai, Kota Tinggi, hari ini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, kesemua PATI itu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 32 hingga 48 tahun.

    “Pada pukul 7 pagi, Tim Peronda telah mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di kampung tersebut. Kemudian pada pukul 7.30 pagi tim Tim Quick Reaction Force (QRF) ke lokasi kejadian dan berjaya menahan enam PATI.

    “Kesemua enam PATI berkenaan telah dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk proses pemeriksaan dan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semua PATI berkenaan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada pukul 1.30 petang.

    Menurutnya, ujian Covid-19 dilakukan ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada pukul 9.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif.

    Katanya, laporan kemudian dibuat di Balai Polis Bayu Damai dekat sini pada pukul 10.30 pagi.

    Mereka ujarnya, diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada pukul 1.30 petang.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM2,044 melibatkan wang tunai RM235, matawang Rupiah Indonesia IDR 2,424,109 (RM789), enam buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM605, barang kemas bernilai RM400 dan barangan peribadi bernilai RM15.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • Wanita warga Jepun ditahan buat laporan palsu dirogol bergilir-gilir 5  lelaki Afrika

    Wanita warga Jepun ditahan buat laporan palsu dirogol bergilir-gilir 5  lelaki Afrika

    SEORANG wanita Jepun ditahan kerana dipercayai membuat laporan polis palsu kononnya disamun dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki Afrika di tepi Jalan SP 5/4, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan awal bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan memberitahu, berdasarkan laporan yang diterima 1 Februari lalu, wanita berusia 20 tahun itu mendakwa kumpulan lelaki Afrika itu melarikan barang miliknya selepas merogolnya.

    Katanya, polis kemudian menjalankan siasatan namun mendapati laporan perubatan dikemukakan doktor menunjukkan tiada sebarang kesan rogol pada tubuhnya.

    “Ini menimbulkan rasa curiga terhadap laporan yang dibuatnya. Apabila pengadu dibawa ke lokasi kejadian, dia juga gagal menunjukkan bagaimana dan tempat kejadian sebenar berlaku.

    “Malah dia juga gagal mengecam wajah lima suspek warga Afrika yang dikatakan melakukan samun dan merogolnya,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut Anbalagan memberitahu, polis kemudian melakukan siasatan lajut dan mendapati dakwaan itu palsu.

    Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan motif wanita itu membuat laporan palsu tersebut.

    Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan jika disabit bersalah wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Suspek katanya, akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis.

    Tegas beliau, polis memandang serius perkara itu dan memberi amaran mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang membuat laporan palsu.

  • Peralatan elektronik berkaitan hiburan RM140,000 dirampas

    Peralatan elektronik berkaitan hiburan RM140,000 dirampas

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merampas pelbagai peralatan elektronik berkaitan hiburan dalam dua serbuan berasingan sempena Operasi Hak Cipta di sekitar Bukit Mertajam kira-kira pukul 4 petang semalam.

    Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selepas menerima aduan daripada wakil pemilik hak cipta.

    Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua premis di Jalan Perusahaan Juru Autocity dan Jalan Icon City itu mendapati terdapat set karaoke yang mengandungi salinan langgaran yang digunakan bagi tujuan perniagaan di premis itu.

    “Dalam serbuan itu, kita menyita masing-masing dua unit set karaoke; amplifier dan televisyen, empat unit speaker serta enam unit mikrofon yang dianggarkan bernilai kira-kira RM140,000 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    peralatan hiburan
    Penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang menanggalkan peralatan berkaitan hiburan dalam Operasi Hak Cipta di Bukit Mertajam, petang semalam.

    Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama.

    Jelasnya, bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh didenda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu tegas beliau, PPDNHEP mengingatkan mana-mana pihak yang menggunakan karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan supaya memohon kelulusan daripada pemilik karya hak cipta.

    “Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas atas pelanggaran yang berlaku,” katanya.

  • Wanita maut akibat ditetak suami sendiri

    Wanita maut akibat ditetak suami sendiri

    SEORANG wanita maut selepas dipercayai dibunuh oleh suaminya di bilik sewa pasangan itu di bangunan Segama di Kota Kinabalu semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu menghubungi talian MERS999 pada jam 11.47 malam.

    Beliau berkata, suspek memaklumkan telah menetak isterinya dengan menggunakan senjata tajam sehingga tidak sedarkan diri dan mahu menyerah diri.

    “Motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu dan berlaku pertengkaran sebelum suspek menyerang isterinya yang berusia 23 tahun,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa telah diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth bagi proses calitan COVID-19 dan bedah siasat.

    Beliau berkata suspek, yang juga merupakan pemegang pas IMM13 dan bekerja sebagai buruh binaan, akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Pemandu Preve selamba berlagak ‘polis’ redah kesesakan

    Pemandu Preve selamba berlagak ‘polis’ redah kesesakan

    SEORANG pemandu kereta jenis Proton Preve dikesan meredah kesesakan jalan raya menggunakan lampu mata arah dan siren di Jalan Lapangan Terbang Subang, baru-baru ini.

    Sehubungan itu, polis melancarkan gerakan mengesan dan memburu pemandu Proton Preve terbabit.

    Memetik laporan SatuBerita, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, satu laporan polis telah dibuat kira-kira pukul 3 petang pada Selasa.

    “Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 23 Februari lalu kira-kira pukul 6.30 petang. Kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan dan kecederaan kepada pengguna jalan raya.

    “Kita telah mengenal pasti pemilik kenderaan tersebut dan telah merakam percakapan namun siasatan masih dijalankan kerana kenderaan tersebut telah dijual dan dipandu oleh individu lain ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

    Mengulas lanjut, pihaknya sedang mengenal pasti individu yang memandu kenderaan tersebut ketika kejadian dan siasatan dijalankan di bawah Kaedah 94 Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 serta Rule 24(ii) 170/59.

    “Pihak polis juga ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian.

    “Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan video atau gambar yang boleh menimbulkan keresahan awam,” jelasnya.

    Terdahulu, tular dalam media sosial sebuah video berdurasi 13 saat yang memaparkan tindakan seorang pemandu meredah kesesakan jalan raya menggunakan lampu mata arah dan siren.

  • 8 remaja kantoi tuang sabun basuh dalam kolam hiasan

    8 remaja kantoi tuang sabun basuh dalam kolam hiasan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN sekumpulan remaja lelaki termasuk tiga pelajar sekolah menengah menuang cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di hadapan pusat beli-belah Kluang Parade, di Kluang membawa padah apabila aksi mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV), pada Ahad lalu.

    Akibatnya, kesemua remaja terbabit yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu ditahan polis kira-kira pukul 9.30 malam tadi setelah mereka menyerah diri di Balai Polis Sri Lalang, Kluang.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mereka ditahan susulan kes khianat terhadap kolam hiasan tersebut yang dipercayai akibat terpengaruh dengan aksi di aplikasi Tik Tok.

    “Semalam kira-kira pukul 4 petang, pihak polis telah terkesan satu rakaman video tular berdurasi 55 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

    “Video itu jelas memaparkan tingkah laku sekumpulan penunggang motosikal membuat khianat terhadap harta dengan menuang dua tong cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di Kluang Parade.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 5.30 pagi, Ahad lalu dan susulan rakaman video tersebut, pihak polis telah mengenal pasti dan membuat tangkapan ke atas lapan lelaki yang disyaki terlibat untuk siasatan selanjutnya,” katanya, hari ini.

    Hang Seng berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta dan ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek pula adalah negatif.

    “Pihak polis mengingatkan bahwa perbuatan vandalisme atau gejala laku musnah iaitu tabiat membinasakan harta benda awam atau harta benda orang lain boleh diambil tindakan undang-undang.

    “Mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya lagi.