Category: Jenayah

  • Penyanyi nasyid ditahan disyaki terlibat kes berkaitan dadah

    Penyanyi nasyid ditahan disyaki terlibat kes berkaitan dadah

    SEORANG penyanyi nasyid ditahan kerana disyaki terlibat kes berkaitan dadah di sebuah kondominium di Kota Damansara, Kuala Lumpur, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

    “Saya sahkan suspek ditahan dan polis akan membuat sidang media dalam tempoh terdekat mengenai perincian lanjut penahanan itu,” katanya hari ini. – Bernama

  • Rasuah institusi automotif: 9 individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan

    Rasuah institusi automotif: 9 individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan

    SEMBILAN  individu termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek bernilai RM85 juta membabitkan institusi automotif negara.

    Menurut sumber SPRM, mereka yang berusia antara 34 dan 58 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam terdiri daripada empat pemilik syarikat, dan masing-masing seorang penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif serta ketua pegawai operasi.

    Dua daripada individu terbabit disyaki telah meminta dan menerima rasuah lebih RM14.9 juta daripada tiga individu yang ditahan sebagai balasan membantu syarikat mendapatkan geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 dan 2020, kata sumber itu.

    Kesemua individu terbabit kini direman antara tiga dan enam hari bermula hari ini, setelah perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) (A) Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Mangsa kes pukul di Manjung ‘hilang’

    [VIDEO] Mangsa kes pukul di Manjung ‘hilang’

    POLIS meminta penunggang basikal yang dipukul menggunakan batang besi oleh seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Manjung-Segari, Manjung seperti dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini, tampil membuat laporan untuk tindakan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, pihaknya telah memperoleh perintah untuk siasat (OTI) daripada timbalan pendakwa raya hari ini bagi meneruskan siasatan, namun ia tidak dapat dilengkapkan berikutan mangsa dipercayai lelaki warga asing itu, tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

    “Suspek telah mengaku (ketika soal siasat) namun mangsa tidak tampil, jadi bagaimana kami hendak tahu kecederaan dialami dan sebagainya.

    “Siasatan mungkin akan tertangguh, jadi kami minta mangsa supaya tampil membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh, hari ini.

    https://twitter.com/i/status/1505325786093744128
    Kredit: Twitter Dzulfadzli Mohamad

    Beliau berkata, setakat ini polis telah menjalankan siasatan dengan memanggil suspek berusia 34 tahun itu, selain mengambil keterangan saksi kejadian termasuk rakannya yang merupakan pemilik kereta yang digunakan ketika kejadian.

    Katanya, orang awam di tempat kejadian yang menyaksikan insiden itu, turut diminta memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan termasuk bagi mengenal pasti identiti mangsa.

    Pada Selasa lepas, polis merekodkan keterangan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dan mendapati punca kejadian adalah salah faham antara kedua-duanya hingga suspek bertindak memukul mangsa kerana mendakwa mangsa telah memaki hamun serta mencabarnya.

    Tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki menaiki kereta Proton Wira berwarna biru memberhentikan kenderaannya lalu memukul seorang lelaki yang sedang menunggang basikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya AEON Mall Seri Manjung. – BERNAMA

  • Gadis lemas di air terjun Gunung Ledang

    Gadis lemas di air terjun Gunung Ledang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG gadis yang sedang beriadah di Air Terjun Gunung Ledang, Jalan Sagil-Jementah di Tangkak ditemukan lemas pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Nurul Syafiqa Mokhtar, 21, disahkan meninggal dunia ketika ditemukan pihak bomba kira-kira sejam kemudian.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan I Hairulnizam Ridhuan berkata, hasil maklumat daripada saksi awam memaklumkan mangsa dipercayai lemas ketika mandi di air terjun berkenaan.

    “Anggota bomba telah mendaki ke lokasi yang dilaporkan. Hasil pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ menemukan mangsa pada pukul 11.38 pagi.

    Mangsa, Nurul Syafiqa Mokhtar, 21, disahkan meninggal dunia ketika ditemukan pihak bomba

    “Pemeriksaan pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa turun ke kaki gunung untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

    Menurut beliau, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Operasi tamat pada pukul 12.54 tengahari.

  • KDNKA rampas barang seludup RM10.6 juta

    KDNKA rampas barang seludup RM10.6 juta

    JABATAN Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman merampas RM10.6 juta menerusi Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah (OBK) pada 26 Februari sehingga 22 Mac lalu.

    Pengarah KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, rampasan tersebut melibatkan lapan siri serbuan membabitkan operasi sindiket penyeludupan kontraban, hidupan liar dan penyelewengan barangan kawalan.

    “Dalam operasi pertama pada 26 Februari polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Klang dan merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta.

    “Serbuan kedua pada 8 Mac lalu menerusi Op Kontraban berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Kajang, Selangor dan menahan lelaki tempatan selain merampas 183,160 batang rokok bernilai RM383,265,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Menurutnya, operasi ketiga dijalankan pada 9 Mac menerusi operasi bersepadu bersama Jabatan Perhilitan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas tiga ekor haiwan marmoset di Subang Jaya, Selangor dengan nilai rampasan berjumlah RM60,000.

    “Hasil operasi berkenaan membawa kepada serbuan di kedai milik suspek sekali gus merampas 70 burung pelbagai jenis dan warna dengan jumlah rampasan sebanyak RM260,000.

    “Susulan serbuan dan operasi ketiga membawa kepada satu lagi serbuan berasingan pada tarikh yang sama di Seri Kembangan dan menahan seorang wanita warga tempatan,” katanya.

    Menurutnya, serbuan kelima dijalankan pada 16 Mac menerusi Op Kontraban di mana sindiket menjual minuman keras bebas cukai berjaya ditumpaskan di Kepong, Kuala Lumpur.

    “Serbuan ini berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka. Turut dirampas adalah minuman keras jenis bir sebanyak 10,973.6 liter dan minuman keras jenis liquor sebanyak 1,306.88 liter bernilai RM465,845.74, selain itu turut dirampas sebuah kenderaan dan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM736,658.99.

    “Sementara itu, serbuan keenam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Puchong, Selangor pada 17 Mac lalu dan merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya.

    Katanya, serbuan ketujuh yang dijalankan pada 18 Mac turut berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Temerloh, Pahang membabitkan nilai rampasan RM1 juta.

    “Sementara serbuan terakhir dijalankan pada 22 Mac lalu menerusi Operasi Penyelewengan barangan kawalan di Semporna, Sabah polis menumpaskan sindiket penyeludupan petrol membabitkan rampasan RM5.5 juta selain menahan tujuh lelaki tempatan.

    “Berdasarkan statistik keberhasilan berjaya melaksanakan 16 serbuan dan menahan seramai 26 individu,” katanya.

  • Polis nafi terlibat kes pukul penunggang motosikal

    Polis nafi terlibat kes pukul penunggang motosikal

    POLIS Pahang menafikan rakaman video memaparkan kejadian sekumpulan individu memukul seorang penunggang motosikal yang tular dalam Facebook dan TikTok sejak beberapa hari lalu, dilakukan anggota mereka sebagaimana didakwa.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu menjelaskan, perbuatan tersebut sebenarnya dilakukan orang awam dan tiada mana-mana anggota polis terlibat.

    “Kumpulan itu sebenarnya cuba membantu polis menahan lelaki tersebut kerana telah melanggar seorang anggota polis trafik yang bertugas dalam sekatan jalan Ops Motosikal di lokasi itu pada hari kejadian, malam Ahad lalu.

    “Kejadian itu berlaku ketika pihak polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sedang menjalankan operasi motosikal di Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan.

    “Lokasi tersebut dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan ‘mat rempit’ melakukan aksi menunggang secara bahaya dan menduga kelajuan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Mohd. Zahari berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, seorang penunggang telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga

    melanggar salah seorang anggota trafik yang bertugas.

    “Ekoran kejadian, beberapa orang awam yang berada di lokasi operasi bertindak memukul penunggang tersebut ketika cuba membantu polis menahannya.

    “Bagaimanapun anggota polis yang dilanggar dan penunggang tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Beliau berkata, susulan video berdurasi 33 saat yang tular itu, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan menyalahkan pihak polis dengan gambaran yang kurang tepat.

    Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran video tersebut.

    “Penunggang terbabit telah diambil tindakan saman atas kesalahan meggunakan motosikal tanpa cermin sisi, ubah suai struktur kenderaan dan tiada nombor pendaftaran.

    “Dalam operasi sama, sebanyak 34 motosikal telah ditahan dan 74 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

    Wan Mohd. Zahari mengingatkan orang ramai khususnya penunggang motosikal supaya tidak terlibat dengan aktiviti ‘mat rempit’ kerana perbuatan itu akan membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan yang lain.

    “Amaran turut diberikan kepada penyebar berita palsu kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

    “Jika sabit kesalahan, pihak terlibat berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambah beliau, pihak terlibat juga boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

  • Ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan mangsa godam scammer

    Ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan mangsa godam scammer

    POLIS mengesan akaun aplikasi WhatsApp dan Telegram milik ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan dan golongan kenamaan antara digodam sindiket penipuan yang menyamar sebagai rakan untuk meminjam wang.

    Mendedahkan perkara tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket terbabit akan menggodam aplikasi telefon pintar milik mangsa sebelum mengambil alih akaun tersebut untuk menghubungi rakan mangsa bagi tujuan mendapatkan wang.

    Beliau berkata, mangsa diarahkan untuk menghantar mesej kata laluan sekali guna (OTP) dan kata laluan aplikasi kepada sindiket bagi membolehkan mereka dapat mengambil alih aplikasi itu dengan mudah.

    “Sindiket akan menghantar mesej kepada setiap senarai kenalan dalam telefon bimbit mangsa untuk meminjam wang.

    “Mangsa tidak sedar dia menjadi mangsa godam sehinggalah rakan yang menerima mesej memaklumkan ada individu menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mohd Kamarudin berkata, susulan modus operandi itu, pihaknya menerima 1,710 laporan membabitkan kerugian RM11.47 juta sejak 2020 sehingga Februari lepas.

    Beliau berkata, pengguna telefon pintar dinasihatkan untuk berhati-hati apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali meminta kata laluan yang dihantar ke nombor telefon pengguna.

    Sementara itu, JSJK Bukit Aman menerusi pasukan CCID Scam Response Center akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menangani jenayah penipuan dalam talian dengan lebih pantas.

    Mohd Kamarudin berkata, kerjasama tersebut dapat membantu mempercepatkan tindakan susulan ke atas mangsa penipuan terutamanya mengesan ‘money trail’ kerana proses sindiket mengeluarkan duit begitu pantas dari akaun mangsa ke akaun lain.

    “Proses kerjasama serta mengeratkan lagi sistem sedia ada itu sedang berlangsung dan kami menjangka kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan CCID Scam Response Center pada Jun ini,” katanya.

    Beliau berkata, sejak penubuhan CCID Scam Response Center pada Februari tahun lepas, 2,399 panggilan diterima dengan 1,530 panggilan atau 63.4 peratus adalah tentang pertanyaan berkaitan modus operandi jenayah macau scam, love scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long serta 869 panggilan berkaitan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya.

    Katanya, CCID Scam Response Center merupakan sebuah pusat panggilan yang ditubuhkan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat untuk berkomunikasi secara langsung dengan JSJK, dan beroperasi bermula 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

    Beliau berkata, melalui penugasan di CCID Scam Response Center, seramai 969 individu berjaya mengelak daripada menjadi mangsa jenayah komersial.

    “Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika menjadi mangsa penipuan atau menerima panggilan yang mencurigakan supaya JSJK dapat membantu kepada proses seterusnya,” katanya.

    Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – BERNAMA

  • Polis marin rampas peralatan vape lebih RM500,000

    Polis marin rampas peralatan vape lebih RM500,000

    PELBAGAI peralatan rokok elektronik e-rokok atau vape yang dianggarkan bernilai RM519,300 dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan semalam.

    Rampasan itu dilakukan pada pukul 5 petang di sebuah kedai kosong di Kampung Simpangan, dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum diseludup ke Thailand, lapor Harian Metro.

    Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, dalam penugasan Op Landai/Op Kontraban, anggotanya ada menerima aduan sebelum menjalankan pemantauan di lokasi tersebut.

    Katanya, apabila sampai di premis tersebut, didapati pintunya tidak berkunci dan tiada penghuni sebelum anggota terbabit masuk bagi menjalankan pemeriksaan.

    “Hasil pemeriksaan menemui sejumlah pod vape, katrij serta cecair untuk kegunaan rokok elektronik itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM519,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Norzaid, pihaknya menunggu hampir satu jam, namun tiada sesiapa tampil untuk mengaku sebagai pemilik peralatan vape yang dirampas itu.

    Beliau berkata, kesemua barang rampasan telah dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

    Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

    “Kami percaya semua barangan rampasan ini akan diseludup ke Thailand dan premis itu dijadikan sebagai stor simpanan sementara atau transit,” jelasnya lagi.

  • JKDM Sarawak rampas rokok seludup RM2.1 juta pada 2021

    JKDM Sarawak rampas rokok seludup RM2.1 juta pada 2021

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sarawak merampas 30 juta batang rokok bernilai kira-kira RM2.1 juta sepanjang 2021.

    Menurut Pegawai Menjalankan Tugas-tugas Pengarah JKDM Negeri Sarawak, Mohd. Nazdri Ariffin, rampasan tersebut melibatkan anggaran cukai RM16.8 juta.

    Beliau memberitahu, kes terbaharu melibatkan rampasan kira-kira 7.9 juta batang rokok putih bernilai RM1.4 juta dengan anggaran cukai kira-kira RM5.3 juta di Pelabuhan Bintulu.

    “Rokok tersebut dirampas selepas pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kapal asing membawa sebuah kontena yang dipercayai mengandungi barang belum lulus kastam iaitu rokok putih pada 14 Mac.

    “Operasi dilakukan berdasarkan hasil maklumat yang diperolehi daripada anggota risikan dan kontena tersebut telah tiba di Pelabuhan Bintulu dari China melalui `transhipment’ dari negara Vietnam,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Modus operandi kes terbabit adalah menyeludup masuk barangan belum lulus kastam dengan membuat pengikraran palsu melalui Daftar Muatan Pemindahan dari Pelabuhan Ho Chi Minh Vietnam ke Pelabuhan Bintulu Sarawak.

    Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua rokok tersebut belum lulus kastam kerana tidak mempunyai setem cukai kastam serta dokumen yang sah.

    “Kesemua barangan tersebut telah dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

  • Beli peralatan senjata melalui kurier terbongkar

    Beli peralatan senjata melalui kurier terbongkar

    TAKTIK seorang lelaki tempatan yang dipercayai membeli peralatan senjata dari luar negara melalui khidmat penghantaran secara kurier di rumahnya di Jalan Sebiew, Bintulu terbongkar pada 10 Mac lalu.

    Ini susulan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas lima unit peralatan senjata daripada lelaki berkenaan.

    Pengarah Kastam Sarawak, Mohd. Nadzri Ariffin dalam kenyataannya hari ini berkata, hasil maklumat serta risikan dijalankan, sepasukan anggota penguatkuasaan JKDM Bintulu dan Kuching melakukan tangkapan pada pukul 10.20 pagi.

    “Semasa tangkapan dilakukan, lelaki berkenaan sudah menuntut sebuah bungkusan disyaki mengandungi peralatan senjata yang dihantar dari luar negara,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan lima unit peralatan senjata berupa dua unit Hatsan Airtact Synthetic Stock, seunit BSA Contender Riflescope Hunting Optics Sight, seunit Airsoft High Pressure Indicator Ds Tm dan seunit Scope Extend Mount (ohhunt).

    Katanya, kesemua komponen senjata yang dirampas itu bernilai RM5,125.43.

    “Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan bagi membekalkan peralatan senjata ini dan mengelak dihidu pihak penguatkuasa ialah mengimport senjata dari luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier tanpa pengikraran serta permit yang sah,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukan denda tidak kurang dari 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai jumlah duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih besar ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.