Category: Jenayah

  • Juruteknik pendingin hawa mati akibat bergaduh

    Juruteknik pendingin hawa mati akibat bergaduh

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa ditemukan mati akibat bergaduh dengan beberapa kesan kecederaan pada badan di sebuah bangunan di Jalan Ampuan, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.54 malam itu, polis yang menerima maklumat melalui talian MERS 999 berkaitan pergaduhan itu bergegas ke tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, mangsa berusia 45 tahun dipercayai bergaduh dengan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang bekerja sebagai penjaga tokong.

    Katanya, motif kejadian dipercayai akibat dendam kerana mangsa dan suspek sebelum ini dipercayai pernah bergaduh.

    “Sebaik tiba, polis menemukan seorang lelaki terbaring dan berlumuran darah di mana mangsa disahkan telah meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan.

    “Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang warganegara tempatan yang disyaki terlibat untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hang Seng berkata, sebilah pisau yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu turut dirampas bagi membantu siasatan.

    “Selanjutnya pasukan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan bantuan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah mengambil beberapa sampel di tempat kejadian untuk siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek adalah negatif dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Tambah Hang Seng, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 07-7784222 atau 07-7784256.

  • 17 pokok disyaki pokok ganja ditemukan di rumah penyanyi,komposer

    17 pokok disyaki pokok ganja ditemukan di rumah penyanyi,komposer

    SEORANG penyanyi dan komposer yang diberkas di kediamannya dalam satu serbuan di sebuah kondominum semalam kerana disyaki menanam pokok ganja dan memproses ganja direman tujuh hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berumur 47 tahun yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah 10 tahun lepas itu direman bagi membantu siasatan di bawah  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama. 

    Beliau berkata ketika serbuan pada 5.30 petang semalam di kondominium di Kota Damanasara  berdasarkan maklumat dan risikan itu, polis menemukan 17 pokok dalam pasu di almari, di dapur dan di dalam sebuah bilik di rumah itu, dipercayai pokok ganja dianggarkan bernilai lebih kurang RM10,200.    

    “Selain itu, pasukan serbuan turut menemukan bekas plastik di atas kabinet dapur yang berisi dua plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan berat kira-kira 214 gram dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.

    Katanya, dalam serbuan itu turut disita sebuah kereta jenis Toyota Wish, satu alat sauna yang diubah suai sebagai rumah hijau buatan (artificial green house) dan wang tunai RM700, dan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM40,700.

    “Turut dirampas botol berisi cecair pemusnah serangga, alat pengukur (cecair) pemusnah serangga serta alat pengudaraan di rumah yang turut digunakan sebagai studio untuk menghasilkan lagu,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sumber suspek memperolehi ketulan ganja yang mampat itu dan sumber benih ganja yang ditanam namun percaya dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri lelaki itu.

    Katanya, ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis ganja.

    “Rumah tersebut adalah milik suspek sendiri dan kita juga percaya suspek belajar untuk memproses pokok ganja dan membina artificial green house itu melalui media sosial,” tambahnya.

    — BERNAMA

  • Polis tumpaskan Geng Naidu Damansara

    Polis tumpaskan Geng Naidu Damansara

    GENG Naidu Damansara yang sebelum ini aktif melakukan samun tumpas selepas polis menahan enam lelaki termasuk tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya, pada 3 Mac lalu.

    Pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang memaklumkan disamun dua lelaki ketika berada rumah sewanya di Sri Damansara pada 27 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dua suspek yang juga warga asing datang mengetuk pintu rumah dengan kuat dan mengarahkan mangsa membuka pintu kononnya untuk membuat pemeriksaan.

    “Semasa di dalam rumah, suspek mengambil pisau dari dapur dan mengacukannya kepada pengadu, manakala rakan suspek pula mengambil tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,050 milik penghuni rumah sebelum melarikan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, susulan laporan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Damansara yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 30 dan 41 tahun pada 3 Mac lalu.

    “Polis turut merampas tiga telefon bimbit dan satu parang disyaki digunakan pada kejadian samun berkenaan.

    “Hasil soal siasat terhadap dua suspek terbabit, kami menahan seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga asing dalam serbuan di sekitar daerah ini pada hari sama.

    “Pemeriksaan dilakukan dalam serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki hasil samun dan pecah rumah yang disimpan di dalam sebuah kereta diparkir di kawasan berhampiran,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, barangan elektrik, peralatan pertukangan dan sebuah Perodua Alza.

    “Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

    “Dengan tertangkapnya semua suspek berkenaan, kami yakin berjaya menyelesaikan 13 kes samun dan pecah rumah di daerah ini bagi tempoh Januari lalu hingga Mac ini,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397/457/379 Kanun Keseksaan selain Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

  • Enam PATI diberkas sembunyi dalam semak

    Enam PATI diberkas sembunyi dalam semak

    SERAMAI enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dalam satu serbuan di Tanjung Ayam, Kota Tinggi, hari ini

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, kesemua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 18 hingga 41 tahun.

    “Pada pukul 8.30 pagi, Tim Peronda telah mengesan mengesan longgokan pakaian yang basah di hutan sekitar Tanjung Ayam.

    “Kemudian pada 10.30 pagi tim Tim Quick Reaction Force (QRF) ke lokasi kejadian dan berjaya menahan enam PATI yang sedang berselindung di dalam semak.

    “Kesemua enam PATI berkenaan telah dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk proses pemeriksaan dan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 18 hingga 41 tahun

    Menurutnya, ujian Covid-19 dilakukan ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada pukul 11.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif.

    Katanya, laporan kemudian dibuat di Balai Polis Bayu Damai dekat sini pada pukul 12.55 tengah hari.

    Mereka ujarnya, diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada 3 petang.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM2,044 melibatkan wang tunai RM681, matawang Rupiah Indonesia IDR107,500 (RM31) dan sebuah telefon bimbit bernilai RM630.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • Sindiket didalangi warga asing guna gambar lelaki tampan perdaya mangsa

    Sindiket didalangi warga asing guna gambar lelaki tampan perdaya mangsa

    SATU sindiket penipuan Love Scam dan Parcel Scam yang didalangi warga asing dikesan menggunakan gambar lelaki tampan untuk memperdaya mangsa menerusi medai sosial.

    Bagaimanapun kelicikan sindiket itu tidak bertahan lama apabila polis memberkas enam anggotanya termasuk dua wanita warganegara Nigeria dalam dua serbuan berasingan di Melaka, Selasa lalu.

    Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kesemua suspek ditahan berusia antara 23 hingga 44 tahun dicekup dalam serbuan di Pangsapuri Taman Bukit Beruang Bestari dan sebuah rumah di Bukit Melaka.

    Menurutnya, mereka dipercayai menjalankan aktiviti penipuan sejak enam bulan lalu dan ketika serbuan dilakukan mereka sedang ‘menjerat’ mangsa yang dikenali di media sosial.

    Malah katanya, rampasan buku yang mengandung skrip perbualan, jelas menunjukkan mereka melakukan perbuatan itu dengan ‘memancing’ mangsa menggunakan gambar individu tampan.

    “Turut dirampas 12 telefon bimbit, lima modem wifi, enam buah komputer riba, dokumen yang disyaki palsu dan dua ‘pendrive’.

    “Semakan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati tiga daripada mereka termasuk dua wanita positif dadah jenis ganja,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, Melaka, hari ini.

    Mengulas lanjut, Razali berkata, pemeriksaan di kediaman itu turut menemui seketul ganja mampat seberat 600 gram selain satu peket ketamin (2.6 gram) dan satu peket ganja (34.73 gram) dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas RM5,000.

    Ujar beliau, siasatan lanjut mendapati dadah yang dirampas digunakan untuk kegunaan sendiri dan juga untuk diedarkan kepada pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) sekitar Ayer Keroh.

    “Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya, (ADB) 1952,” katanya.

  • Polis klasifikasi penemuan mayat wanita dalam gaung kes bunuh

    Polis klasifikasi penemuan mayat wanita dalam gaung kes bunuh

    POLIS mengklasifisasikan penemuan mayat seorang wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus Lama, Seremban pada Ahad lalu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, siasatan kes itu kini hampir selesai dan pihaknya telah pun mengenal pasti identiti mayat berkenaan susulan terdapat individu yang mengaku sebagai waris.

    “Polis telah pun menjejaki waris dan mangsa dikenal pasti sebagai rakyat tempatan dan berusia 29 tahun.

    “Kertas siasatan kes ini akan disiapkan tidak lama lagi kerana sedang menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

    “Ia disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu beliau ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Polis ke-215 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di Seremban.

    Beliau bagaimanapun enggan membuat kesimpulan awal motif kejadian kerana sedang menunggu keputusan DNA yang dijangka diperolehi dalam masa satu ke dua minggu.

    Mengulas lanjut, Nanda berkata, tiga suspek termasuk seorang wanita yang ditahan Selasa lalu bagi membantu siasatan merupakan warga tempatan dan juga rakan kepada mangsa.

    Selain itu katanya, ujian Covid-19 terhadap mayat berkenaan juga didapati positif.

    Media pada 20 Mac lalu melaporkan mayat seorang wanita dalam keadaan tertiarap ditemukan dalam gaung di jalan berkenaan.

    Mayat berkenaan ditemui pukul 10.50 pagi oleh seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging di lokasi ketika mahu mengambil gambar.

    Selai itu mayat wanita yang tidak dikenali identitinya memakai seluar dan baju berwarna hitam.

  • Warga emas, budak mangsa pemerasan sebar video bogel

    Warga emas, budak mangsa pemerasan sebar video bogel

    WARGA emas berusia 64 tahun serta kanak-kanak berusia 13 tahun merupakan antara mangsa pemerasan melibatkan penyebaran gambar bogel menerusi ‘online’ di Pulau Pinang.

    Kedua-dua kes itu merupakan antara 108 laporan kes pemerasan ‘online’ penyebaran gambar bogel yang diterima Polis Pulau Pinang sepanjang tahun 2020 hingga kini melibatkan kerugian mencecah RM589,685.

    Lebih mengejutkan, terdapat satu kes tahun lalu yang membawa kepada insiden bunuh diri kerana mangsa berasa takut video bogelnya tersebar kepada umum selepas diugut sindiket berkenaan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua mangsa kes jenayah itu membabitkan lelaki dengan seramai 39 individu ditahan manakala 15 kes berjaya diselesaikan.

    Bagaimanapun jelas beliau, kes pemerasan itu menunjukkan peningkatan ketara pada tahun lalu yang mana sebanyak 80 kes dicatatkan dengan kerugian RM404,335 berbanding tahun sebelumnya (2020) iaitu 17 kes dengan jumlah kerugian RM76,300.

    Daripada jumlah itu ujarnya, seramai 30 individu ditahan tahun lalu dengan lapan kes berjaya diselesaikan manakala lapan individu ditangkap dengan enam kes berjaya diselesaikan pada 2020.

    “Sementara itu, antara awal tahun ini hingga Februari lalu pula, terdapat 11 kes dilaporkan melibatkan kes sama membabitkan kerugian sebanyak RM109,050,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Polis ke-215 dan Soft Launching Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, jenayah pemerasan melibatkan gambar bogel itu disifatkan amat merbahaya sekali gus brharap ibu bapa khususnya dapat memantau penggunaan telefon pintar anak-anak mereka.

    Dalam masa sama ujarnya, polis turut mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial bagi mengelak menjadi mangsa jenayah pemerasan.

    Dalam perkembangan lain Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang menerima sebanyak 100 laporan samun palsu daripada keseluruhan 463 kes samun sepanjang tahun lalu.

    Jelasnya, laporan samun palsu itu termasuk daripada seorang remaja berusia 17 tahun yang mendakwa kononnya dia disamun dan dirogol yang sebenarnya telah hamil dan takut dimarahi oleh keluarganya.

    “Kita memandang serius dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu di negeri ini.

    “Laporan palsu sebegini membuang masa dan tenaga pihak polis dalam menjalankan siasatan dan mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Lelaki ditahan ugut, cederakan wanita semasa kemalangan

    Lelaki ditahan ugut, cederakan wanita semasa kemalangan

    BAHAGIAN siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita.

    Suspek, 30-an, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri semalam selepas menerima laporan polis daripada mangsa yang dibuat di Balai Polis Pusat Miri pukul 2.30 petang.

    Sebelum itu, suspek dan mangsa terbabit kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Emart Tudan pukul 10 malam Rabu.

    Suspek dikatakan meluahkan rasa tidak puas hati akibat kemalangan itu dan dipercayai telah menampar serta mengugut mangsa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

    “Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana menakutkan secara jenayah,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Dalam pada itu, Hakemal menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan segera membuat laporan polis sekiranya berlaku kejadian seperti ini.

  • JIM serbu ‘port’ warga Afrika, bertindak agresif semasa ditahan

    JIM serbu ‘port’ warga Afrika, bertindak agresif semasa ditahan

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 38 warga asing dari pelbagai negara dalam Op Selera di Taman Puchong Prima, Puchong, malam tadi.

    Serbuan tersebut dilakukan selepas penduduk tempatan bimbang dan rimas dengan kehadiran mereka yang sering mengganggu ketenteraman awam antaranya sering berkumpul dalam keadaan mabuk dan membuat bising di sebuah restoran di situ.

    Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kehadiran sekumpulan individu warga Afrika yang sering berkumpul di restoran berkenaan dua bulan lalu.

    “Hasil risikan dilakukan di lokasi terbabit, kami membuat serbuan Op Selera di restoran berkenaan pada jam 8.15 malam dan memeriksa 58 individu membabitkan 20 individu tempatan serta 20 warga asing.

    “Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 38 warga asing termasuk 25 warga Afrika. Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 warga Nigeria termasuk enam kanak-kanak serta seorang wanita warga Guinea.

    “Selain itu, kami turut menahan 13 wanita membabitkan 10 warga Thailand serta tiga warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun,” katanya memetik laporan Harian Metro, selepas sidang media di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

    Dalam serbuan itu, beberapa individu warga Afrika juga dilihat bertindak agresif, namun berjaya dikawal anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas.

    Khairul Dzaimee berkata, semakan dilakukan terhadap semua warga asing berkenaan tidak mempunyai pasport.

    “Berdasarkan aduan dibuat penduduk setempat, mereka ini (warga Afrika) selalu lepak di restoran berkenaan dan membuat bising serta mabuk selain memandu kenderaan secara melulu.

    “Malah, mereka juga dilihat memandu secara melulu dan berbahaya di sekitar kawasan terbabit hingga menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.

    “Perkara itu menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat sebelum mereka tampil membuat aduan kepada kami. Malah, premis itu juga pernah diserbu oleh kami sebelum ini,” katanya.

    Katanya, semua warga asing berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

  • ‘Timbalan Pendakwa Raya’ perdaya guru wanita RM277,000

    ‘Timbalan Pendakwa Raya’ perdaya guru wanita RM277,000

    SEORANG guru wanita kerugian RM277,000 apabila wang simpanan dalam akaun banknya lesap selepas terpedaya arahan ‘Timbalan Pendakwa Raya’ supaya menukar kad banknya dengan mendaftarkan atas nombor telefon orang lain.

    Mangsa, 55, mendakwa sebelum itu diarah berbuat demikian oleh seorang ‘Timbalan Pendakwa Raya’ bernama Mastura bagi tujuan siasatan selepas dikaitkan dengan kes menipu tuntutan insurans dan pengubahan wang haram.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa turut diarahkan menukar nombor pin kad bank baharunya menggunakan nombor hadapan kad pengenalannya.

    Mangsa juga katanya, diarah memindahkan semua wang dalam akaun bank lain ke akaun bank yang baharu dengan jumlah keseluruhan RM 277,128.

    “Malangnya wang itu kemudian dilesapkan dengan baki wang yang ditinggalkan hanya RM128.

    “Kes penipuan ke atas mangsa berlaku bermula dengan satu panggilan telefon yang diterima daripada seorang wanita mendakwa pegawai sebuah syarikat insurans dari Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, mangsa dimaklumkan telah membuat tiga kali tuntutan insurans di Hospital Columbia Asia Petaling Jaya sebanyak RM68,800, namun wanita berkenaan menafikannya.

    “Panggilan kemudian disambung ke Balai Polis Pudu dan mangsa diminta bercakap dengan seorang anggota polis bernama Sarjan Major (SM) Mohd. Sarif Samad.

    “Seterusnya panggilan disambung pula kepada seorang pegawai polis bernama Inspektor Azman untuk bantuan bagi menyelesaikan kes dihadapi,” katanya.

    Mohd. Wazir berkata, sebagaimana kes-kes penipuan yang dilaporkan sebelum ini, mangsa ‘ditakutkan’ kononnya turut terlibat dengan pengubahan wang haram dan satu waran tangkap telah dikeluarkan di atas namanya berdasarkan semakan dilakukan pegawai polis itu.

    “Panggilan seterusnya disambungkan kepada ‘Timbalan Pendakwa Raya’ bernama Mastura itu di mana arahan yang dikeluarkan telah berjaya memerangkap mangsa sehingga wanita itu menanggung kerugian RM227,000.

    “Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Raub pada Khamis kerana syak telah ditipu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.