Category: Jenayah

  • Jururawat kerugian RM50,000 diperdaya ‘kakitangan LHDN, polis’

    Jururawat kerugian RM50,000 diperdaya ‘kakitangan LHDN, polis’

    WANG simpanan seorang jururawat berjumlah RM50,000 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis, semalam.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian itu berlaku pukul 3.30 petang selepas mangsa berusia 44 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu mengaku kakitangan LHDN ketika berada di pekan Beaufort.

    “Individu itu memaklumkan kononnya nama mangsa didaftarkan atas nama sebuah syarikat dan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,800 yang tidak berbayar.

    “Panggilan itu kemudian disambungkan kepada dua suspek kononnya pegawai polis di Unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

    “Kedua-dua ‘pegawai polis’ menyatakan kepada mangsa waran tangkap sudah dikeluarkan untuk tindakan lanjut. Oleh kerana panik, mangsa memberikan butiran akaun bank dan kata laluan dua akaun miliknya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Yusoff Zaki berkata, kira-kira pukul 9 malam tadi, mangsa membuat semakan kedua-dua akaun bank miliknya dan mendapati wang berjumlah RM50,000 telah dipindahkan.

    “Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis pada 10.26 malam tadi. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihati supaya lebih berhati-hati dan tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak mereka dikenali.

    “Ini terutamanya daripada mereka yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis atau lain-lain jawatan dan seterusnya meminta butiran akaun bank dan kata laluan,” katanya.

  • [VIDEO] 15 lelaki bersenjata kayu besbol rompak kedai komputer

    [VIDEO] 15 lelaki bersenjata kayu besbol rompak kedai komputer

    POLIS sedang mengesan 15 lelaki dipercayai memecah masuk sebuah premis menjual perkakasan komputer dan melarikan barangan berjumlah RM70,000 di Bandar Damai Perdana, Cheras, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian pada 6 pagi itu, pengawal keselamatan premis yang terletak di tingkat satu lot kedai komputer itu turut diserang suspek dengan menggunakan kayu besbol.

    “Kami menerima laporan mengenai kejadian daripada lelaki berkenaan (pengawal keselamatan) pada 9.35 pagi hari sama.

    “Menurut pengadu (pengawal keselamatan) kenderaannya turut dirosakkan oleh suspek ketika dia cuba menghalang mereka daripada melarikan diri selepas mencuri barangan daripada premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kredit video: Saluran YouTube Sukasuka Saja explore

    (Klik capaian untuk menonton video kejadian rompakan: https://fb.watch/c106pLyvaV/)

    Mohd Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpulan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis atau Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985 730 bagi membantu siasatan,” katanya.

    Sebelum ini tular dua video menerusi laman sosial menunjukkan sekumpulan lelaki yang menaiki beberapa kenderaan memecah masuk sebuah premis. – BERNAMA

    (Klik capaian untuk menonton video kejadian rompakan: https://fb.watch/c0-W9KnTBy/)

  • PGA berkas dua tekong, 14 PATI sembunyi dalam semak

    PGA berkas dua tekong, 14 PATI sembunyi dalam semak

    BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menahan dua tekong darat dan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas dikesan bersembunyi dalam semak berhampiran Jalan Banting-Sepang, Morib, semalam.

    PGA dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memberkas mereka menerusi rondaan yang dijalankan pukul 12.30 tengah hari.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supritenden Rizal Mohamed berkata, kedua suspek bertindak sebagai tekong darat itu diberkas dalam dua buah kenderaan.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati kedua suspek berumur 28 dan 38 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

    “Siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada penemuan 11 PATI lelaki berumur antara 23 hingga 41 tahun dan tiga PATI wanita berumur antara 23 hingga 55 tahun dalam kawasan semak berhampiran,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, kesemua PATI yang diberkas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

    “Kesemua PATI ini dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan berjumlah RM44,100 melibatkan dua buah kenderaan dan dua buah telefon bimbit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Banting untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Ahmad Said nafi jual tanah di Pulau Redang kepada Vincent Tan

    Ahmad Said nafi jual tanah di Pulau Redang kepada Vincent Tan

    BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau menyerahkan tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada jutawan, Tan Sri Vincent Tan.

    Sambil menafikan tuduhan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, beliau tidak pernah berjumpa dengan jutawan tersebut.

    “Tidak benar, itu adalah fitnah,” ujarnya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman, hari ini.

    Menurut Ahmad, sepanjang menjadi Menteri Besar, beliau tidak pernah menyerahkan mana-mana tanah milik kerajaan negeri kepada Vincent Tan seperti dakwaan seorang individu menggunakan nama Razak Bidin di laman sosial Facebook (FB).

    Ahmad berkata, beliau telah membuat carian dengan Pejabat Tanah Daerah dan mendapati tidak ada pun tanah kerajaan yang diserahkan kepada jutawan berkenaan, melainkan jika dia membeli tanah di Pulau Redang dan disenaraikan nama kepada orang perseorangan.

    “Saya pun tak tahu tujuan individu itu berbuat demikian (tuduhan). Sama ada atas dasar politik atau sebaliknya, saya tidak tahu. Bagaimanapun saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit dalam tempoh terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhububgan UMNO Terengganu berkata, beliau juga sudah berbincang dengan peguam dan akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu yang membuat tuduhan berkenaan.

    Terdahulu, Ahmad dalam hantaran di FB beliau pada Khamis lalu, memberi tempoh 14 hari kepada pemilik akaun Facebook berkenaan untuk memohon maaf dan memadam hantaran mengenai dakwaan terbabit yang disifatkannya sebagai fitnah dan tidak benar sama sekali.

    “Saya memberi tempoh sehingga 14 hari untuk penama memohon maaf dan seterusnya memadam ‘posting’ berkenaan. Selepas tempoh 14 hari, tamat tindakan undang-undang akan diambil kerana memfitnah.

    “Saya meminta kepada pihak berkenaan, usahlah mereka cerita seperti ini dengan membuat tuduhan yang tidak betul semata-mata mahu mencari publisiti memandangkan PRU-15 yang semakin hampir.

    “Berpolitiklah secara matang dan rasional tanpa rekaan cerita fitnah yang tidak benar,” ujar beliau.

  • ‘Kantoi’ sorok jeruk dalam longkang dekat loji kumbahan

    ‘Kantoi’ sorok jeruk dalam longkang dekat loji kumbahan

    CUBAAN sekumpulan penjaja jeruk sanggup menyimpan dan menyorok produk berkenaan dalam longkang dan berhampiran kawasan loji kumbahan bagi mengelak dikenakan tindakan pihak berkuasa tidak berhasil.

    Perbuatan tersebut terbongkar apabila pihaknya mengadakan Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada pukul 2.30 petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor (KJSPT), Superintendan M. Kumarasan berkata, operasi itu susulan aduan yang diterima oleh masyarakat yang semakin berleluasa di sekitar kawasan Johor Bahru.

    Menurutnya, operasi yang diketuai PT Penguatkuasa JSPT Johor, Asisten Superintendan Mohd. Zainudin Abu Bakar bersama lima anggota polis adalah operasi berkala yang dijalankan dalam menangani isu penjaja jalanan.

    “Berdasarkan statistik dan data yang diperoleh, sebanyak 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan di dalam negeri Johor dan tumpuan utama adalah di persimpangan lampu isyarat di laluan utama.

    “Hasil operasi yang mendapati bungkusan makanan pencuci mulut itu disorok di lokasi yang tidak sepatutnya iaitu di dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi mengelak tindakan diambil oleh pihak penguatkuasa.

    “Ia adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan memandang remeh berkaitan isu kebersihan makanan dan risiko penyakit bahaya disebarkan sekiranya ia tercemar.

    “Sikap individu yang mencari jalan mudah dengan meraih simpati pengguna jalan raya dengan menggajikan pekerja asing bagi menjaja buah jeruk berkenaan tanpa mengira risiko dan bahaya kepada penjaja dan pengguna jalan raya yang lain terutama boleh mengundang kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kumarasan berkata, aktiviti menjaja di jalan awam adalah kesalahan yang menyalahi peraturan dan undang-undang.

    “Mana-mana individu yang menjalankan urusan jual beli di jalan awam iaitu menjual dan membeli boleh diambil tindakan mengikut kaedah 10A (1) & kaedah 10A (2) LN 166/59 dan boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

    “Malah di bawah undang-undang kecil PBT, ia juga perbuatan melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan kompaun dan sita semua barang-barang yang dijaja.

    “Kami mengingatkan supaya aktiviti menjaja di jalan awam ini perlu dihentikan bagi memastikan tidak berlakunya perkara yang tidak diingini khususnya kemalangan maut dan secara tidak langsung mengganggu kelancaran aliran trafik di lampu isyarat.

    “Selain itu, persepsi dan rasa simpati terhadap golongan ini perlu difikirkan kerana ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang dengan mengupah warga asing tanpa mempedulikan aspek kebersihan terhadap makanan bagi mengaut keuntungan dengan mudah dan cepat,” katanya.

  • Polis rampas ganja RM3.33 juta, tahan 4 lelaki

    Polis rampas ganja RM3.33 juta, tahan 4 lelaki

    POLIS menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis ganja seberat 1.33 tan bernilai kira-kira RM3.33 juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Selangor, Khamis lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang berusia 23 hingga 46 tahun itu ditahan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Selangor sekitar 4.40 petang dan 11 malam di dua lokasi di Subang Jaya manakala masing-masing satu lokasi di Rawang dan Semenyih.

    “Hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja gred dua di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

    “Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 2,576,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

    Ayob Khan berkata, modus operandi digunakan sindiket itu adalah membawa masuk bekalan dadah dari Thailand melalui laluan tikus untuk dipasarkan di sekitar Selangor dan Johor.

    “Siasatan mendapati, sindiket pengedaran dadah ini dipercayai mula aktif sejak pertengahan Januari tahun ini,” katanya dengan menambah kesemua lelaki itu terdiri daripada dua penganggur, ahli perniagaan dan penghantar barang.

    Beliau berkata, seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan semakan rekod jenayah lampau turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    “Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan polis menyita pelbagai aset sindiket termasuk empat kenderaan dan wang tunai dianggar bernilai RM331,900. Ini menjadikan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM3.7 juta,” katanya.

    Ayob Khan berkata, kesemua mereka direman tujuh hari hingga 31 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan JSJN sedang berusaha mengesan saki baki sindiket termasuk dalang.

    Sementara itu, mengulas mengenai tangkapan beberapa penjawat awam yang disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, Ayob Khan berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Kementeran Dalam Negeri (KDN) berkenaan tindakan terhadap mereka yang diberkas pada 6 Mac lepas.

    Beliau berkata, lapan penjawat awam itu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    “Kita akan siapkan fail kes untuk dihantar ke KDN dan ada tiga kemungkinan sama ada mereka ini akan dikenakan perintah tahanan, sekatan atau dibebaskan. Bagi pihak polis, kita puas hati dengan maklumat yang ada berkenaan penglibatan mereka dengan sindiket ini,” katanya.

    Pada 15 Mac lepas, Ayob Khan dalam satu sidang media di Bukit Aman berkata pihaknya telah menahan 10 penjawat awam termasuk seorang nelayan disyaki terlibat pengedaran syabu yang dianggar bernilai RM193,590. – BERNAMA

  • 2 lelaki samun barang kemas RM25,000 warga emas

    2 lelaki samun barang kemas RM25,000 warga emas

    SEORANG  wanita warga emas berputih mata apabila disamun di hadapan rumah anaknya di Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, kira-kira 9 pagi hari ini.

    Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata warga emas berusia 77 tahun itu disamun dua lelaki warga tempatan bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.

    Beliau berkata kejadian samun yang sempat dirakam orang awam dan tular dalam media sosial itu menunjukkan suspek menarik dua utas rantai leher dan memotong dua utas gelang tangan mangsa dengan menggunakan gunting pemotong sebelum melarikan diri menaiki motosikal bernombor pendaftaran palsu.

    “Mangsa mengalami kecederaan luka di tangan dan jumlah kerugian dianggarkan RM25,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Muhammad Idzam berkata polis sedang mengesan dua suspek terbabit dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menerusi talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

    — BERNAMA

  • Kerani rugi RM26,348 diperdaya pekerjaan tidak wujud

    Kerani rugi RM26,348 diperdaya pekerjaan tidak wujud

    SEORANG wanita berusia 22 tahun yang merupakan kerani di sebuah kedai motosikal di Temerloh menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud sehingga mengalami kerugian sebanyak RM26,384.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa dikatakan berminat dengan tawaran kerja itu selepas menghubungi seorang wanita dikenali Jeny.

    “Mangsa berjaya menyiapkan tugasan pertama serta memperolehi keuntungan RM9 daripada modal pembelian perabot sebanyak RM90.

    “Mangsa telah membuat lima transaksi sebanyak RM26,348 ke dalam akaun bank berbeza yang diberikan suspek kerana teruja untuk mendapatkan komisen lebih,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima pulangan wang dan komisen yang dijanjikan.

    Jelasnya, susulan itu mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda.

    “Sehubungan itu, usaha mengesan suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Polis siasat sumber benih pokok ganja penyanyi nasyid

    Polis siasat sumber benih pokok ganja penyanyi nasyid

    POLIS akan melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui sumber benih atau anak pokok ganja yang ditanam di kediaman seorang bekas penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal di Kota Damansara, Petaling Jaya.

    Soal siasat masih dijalankan sama ada suspek memperolehnya daripada medium dalam talian atau pun pembelian menerusi individu tertentu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kes itu masih lagi dalam siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

    “Setakat ini siasatan memfokuskan terhadap tangkapan terlebih dahulu dan tidak melibatkan individu lain.

    “Kita juga akan meneliti lebih lanjut untuk mengetahui sama ada suspek mendapatkan benih ganja itu daripada pembelian online atau individu lain,” katanya memetik Sinar Harian, hari ini.

    Serbuan polis semalam bertindak menahan suspek, 47, bersama-sama 17 pasu pokok ganja, yang dipercayai ditanamnya sejak dua bulan lalu.

    Selain itu, polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

    Mohamad Fakhrudin dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).

    Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.

    Suspek kini direman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Nelayan putus jari tarik pukat

    Nelayan putus jari tarik pukat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nelayan putus jarinya ketika menarik pukat di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada pagi ini.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kejadian itu dilaporkan pada pukul 9.20 pagi.

    “Nelayan tempatan memaklumkan rakan mereka terputus jari akibat tersepit pada mesin penarik pukat dan bot nelayan itu dilaporkan tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan.

    “Mangsa, Azmi Arifin, 46, putus satu jari akibat tersepit ketika melakukan kerja menarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jari Azmi putus akibat tersepit ketika melakukan kerja menarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar

    Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) segera mengkoordinasikan bantuan dengan menghubungi komuniti maritim berdekatan untuk mengambil mangsa di lokasi.

    “Mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada 1.45 tengah hari dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk menerima rawatan awal seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.