WANG simpanan seorang jururawat berjumlah RM50,000 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian itu berlaku pukul 3.30 petang selepas mangsa berusia 44 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu mengaku kakitangan LHDN ketika berada di pekan Beaufort.

“Individu itu memaklumkan kononnya nama mangsa didaftarkan atas nama sebuah syarikat dan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,800 yang tidak berbayar.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada dua suspek kononnya pegawai polis di Unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

“Kedua-dua ‘pegawai polis’ menyatakan kepada mangsa waran tangkap sudah dikeluarkan untuk tindakan lanjut. Oleh kerana panik, mangsa memberikan butiran akaun bank dan kata laluan dua akaun miliknya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, kira-kira pukul 9 malam tadi, mangsa membuat semakan kedua-dua akaun bank miliknya dan mendapati wang berjumlah RM50,000 telah dipindahkan.

“Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis pada 10.26 malam tadi. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihati supaya lebih berhati-hati dan tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak mereka dikenali.

“Ini terutamanya daripada mereka yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis atau lain-lain jawatan dan seterusnya meminta butiran akaun bank dan kata laluan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here