Category: Jenayah

  • 7 premis perjudian kena potong bekalan elektrik

    7 premis perjudian kena potong bekalan elektrik

    POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elektrik membabitkan tujuh premis perniagaan yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian di sekitar daerah Kuantan, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, tindakan drastik itu dilakukan selepas risikan dijalankan mendapati beberapa premis dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi secara dalam talian.

    Katanya, Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menjalankan operasi itu bagi membanteras kegiatan perjudian di sekitar daerah ini., lapor Berita Harian.

    Menurut beliau, kegiatan tersebut berselindung di sebalik kedai perniagaan runcit dan kolam memancing udang.

    Ujarnya, bagi membanteras aktiviti perjudian di daerah ini, tujuh premis diambil tindakan mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

    “Dalam kes ini, polis memohon tindakan pemotongan elektrik terhadap premis dijadikan tempat penjualan nombor loteri awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi dalam talian,” katanya selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis perniagaan di Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

    Menurut beliau, sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, lima lelaki termasuk seorang warga asing berumur antara 20 hingga 30 tahun ditahan kerana kesalahan mengikut Seksyen 4A (a) ARJT 1953 dan Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953.

    Beliau berkata, berdasarkan siasatan, dianggarkan RM200 hingga RM500 jualan loteri awam dikutip sehari manakala judi dalam talian pula antara RM500 hingga RM1,000 sehari.

    “Antara rampasan dilakukan ialah 22 komputer riba, lapan unit telefon bimbit, satu tablet, 14 kerusi, 16 meja, tiga sofa dan wang tunai.

    “Golongan sasaran adalah penduduk setempat dan warga asing,” jelasnya.

  • Penasihat kanan syarikat direman bantu kes rasuah projek bernilai RM132 juta

    Penasihat kanan syarikat direman bantu kes rasuah projek bernilai RM132 juta

    SEORANG penasihat kanan sebuah syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek bernilai RM132 juta membabitkan institusi automotif negara.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memberi suapan berjumlah RM5 juta sebagai balasan bagi syarikat di bawah kawalannya mendapat geran projek. 

    “Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya bermula hari ini hingga Jumaat manakala reman terhadap seorang suspek bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes rasuah projek bernilai RM85 juta membabitkan institusi automotif negara turut dilanjutkan empat hari bermula esok hingga Sabtu,” kata sumber itu.

    Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.

    Beliau berkata suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Pada 24 Mac lepas, SPRM dilaporkan menahan sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek bernilai RM85 juta membabitkan institusi automotif negara.

  • Penjawat awam trauma diugut ceti haram

    Penjawat awam trauma diugut ceti haram

    SEORANG kakitangan kerajaan dan keluarganya trauma dan hidup tidak tenteram kerana sering diugut akan dicederakan hanya kerana gagal membayar pinjaman RM2,000 yang dibuat secara dalam talian daripada ah long,

    Tidak tahan dengan ugutan yang diterima melalui panggilan telefon itu, mangsa akhirnya membuat aduan kepada polis pada 18 Mac lalu dan mengaku gagal membuat bayaran balik disebabkan dikenakan kadar bunga pinjaman terlalu tinggi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata pihaknya menjalankan siasatan bagi mengesan pelakunya berikutan aduan dibuat mangsa,

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Wangsa Maju menyerbu sebuah premis perniagaan di Bandar Bukit Jalil, semalam.

    “Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang, polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 25 tahun yang berperanan sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Menerusi serbuan itu juga, katanya, polis merampas 13 telefon bimbit serta sembilan kad bank yang digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket ah long.

    “Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu di sekitar ibu negara. Empat ahli sindiket yang ditahan bekerja dengan tawaran gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

    “Mereka direman hingga 31 Mac ini untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang kerana menjalankan aktiviti pinjaman tanpa lesen dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ancaman atau ugutan jenayah,” katanya.

  • Adik jumpa mayat abang terbaring di tepi sungai

    Adik jumpa mayat abang terbaring di tepi sungai

    MISTERI kehilangan seorang pemuda yang tidak pulang ke rumah akhirnya terjawab setelah dia ditemukan mati di tepi sungai di Kampung Tanjung Pagar, Dungun, semalam.

    Mayat Mohd Shafeqal Mohd. Fadli, 31, yang tinggal di kawasan Perumahan Bukit Tebuk ditemukan adiknya pada pukul 12 tengahari.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar dari rumah pada pukul 12 tengahari, 26 Mac lalu.

    Katanya, selepas tidak pulang sepanjang hari itu, adik mangsa yang berusia 25 tahun itu dikatakan bertindak mencari mangsa.

    “Adik mangsa telah menjumpai motosikal milik abangnya berada di tepi sungai berkenaan, namun gagal menemui mangsa.

    “Lalu, keluarga mangsa terus menyambung pencarian dan sekali lagi pergi ke sungai tersebut dua hari selepas itu sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring,” katanya.

    Baharudin berkata, berdasarkan siasatan polis percaya mangsa lemas ketika mandi di kawasan tepi sungai tersebut.

    “Mungkin pada hari pertama pencarian, ahli keluarganya gagal menemui mangsa disebabkan air sungai ketika itu pasang besar.

    “Polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian dan siasatan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudianya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.

  • Suspek samun warga emas ditahan

    Suspek samun warga emas ditahan

    POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai melakukan samun bersenjata ke atas seorang wanita warga emas berusia 77 tahun di Kampung Konggo, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek pertama, yang juga seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan sehari selepas kejadian, pukul 12.15 pagi.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek pertama, membawa penahanan suspek kedua iaitu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, pada pukul 11 pagi semalam.

    “Kedua-dua suspek ditahan di rumah masing-masing, yang terletak di sekitar Lembah Klang. Semakan mendapati kedua-dua suspek, masing-masing mempunyai 18 rekod jenayah lampau.

    “Menerusi tangkapan ke atas suspek kedua, kita merampas barangan yang dipercayai digunakan semasa melakukan samun serta wang tunai RM5,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek pertama kini direman enam hari bermula 27 Mac hingga 1 April ini, manakala suspek kedua direman tujuh hari bermula hari ini hingga 4 April.

    Muhammad Idzam berkata, berikutan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes samun dengan dua kes berlaku di daerah Cheras dan empat lagi kes di daerah Dang Wangi.

    Dalam kejadian samun Sabtu lalu, seorang wanita warga emas berusia 77 tahun kerugian kira-kira RM25,000 selepas penyamun bersenjatakan parang melarikan dua rantai leher serta dua gelang tangan yang dipakai mangsa.

    Kejadian pukul 9 pagi itu berlaku di hadapan rumah anak mangsa ketika mangsa bersama-sama seorang anak perempuannya mahu keluar makan.

    Selain merentap rantai leher dipakai mangsa, suspek juga memotong rantai tangan dipakai mangsa dengan menggunakan gunting pemotong sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

    Kejadian itu berjaya dirakam orang awam yang kemudian menularkannya di media sosial.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama. 

  • APMM lupus 330,000 batang rokok seludup bernilai lebih RM219,000

    APMM lupus 330,000 batang rokok seludup bernilai lebih RM219,000

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan sebanyak 330,000 batang rokok seludup dengan nilai duti eksais berjumlah RM132,000 hari ini.

    Bahan tembakau yang diisi dalam 16,500 kotak rokok seberat 330 kilogram dengan anggaran nilai kasar keseluruhan sebanyak lebih RM219,000 itu dirampas di kawasan pantai Pulau Karah berhampiran Pulau Bidong, Kuala Nerus pada Ogos tahun lalu, lapor Harian Metro.

    Menurut Pengarah APMM Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli, proses melupuskan barangan tidak bercukai itu dilakukan dengan kaedah menghancurkan setiap batang rokok dengan menggunakan mesin pengisar.

    Menurut beliau, sisa pelupusan akan dibuang di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Kampung Sungai Ikan di Kuala Nerus dengan disaksikan pegawai penyaksi pelupusan.

    Beliau berkata, proses pelupusan dilakukan di pekarangan Pejabat APMM Kuala Terengganu selama tiga jam bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari ini.

    Katanya, rampasan rokok berkenaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan berikutan penemuan longgokan kotak rokok yang dipercayai diseludup di atas pasir di kawasan pantai pulau berkenaan kira-kira 1.5 batu nautika dari Pulau Bidong.

  • Pegawai JPJ, isteri antara tiga direman terima sogokan

    Pegawai JPJ, isteri antara tiga direman terima sogokan

    SEORANG pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, isterinya dan seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima sogokan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Perintah reman pegawai JPJ dan isterinya yang masing-masing berusia 38 tahun serta seorang lagi lelaki, 28, dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Syed Farid Syed Ali pada Selasa.

    Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim, Sinar Harian melaporkan hari ini.

    Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan dalam Ops Kargo dilakukan Pusat Operasi Perisikan (POP) Zon Tengah, Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM pada 22 Mac lalu.

    Difahamkan, pegawai JPJ berkenaan disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM300 hingga RM2,500 sebulan daripada pemilik syarikat dan individu melalui orang tengah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Isteri pegawai JPJ terbabit serta lelaki berusia 28 tahun itu pula disyaki turut terlibat.

    Perbuatan itu dilakukan pada tahun 2016 hingga tahun 2021 dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Empat termasuk dua beradik ditahan edar dadah

    Empat termasuk dua beradik ditahan edar dadah

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan empat lelaki termasuk dua beradik kerana terlibat mengedar dadah, menerusi empat serbuan sekitar daerah ini pada 24 Mac lalu.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua suspek berumur antara 32 dan 42 tahun itu ditahan bermula pukul 5 petang hingga 11.30 malam pada 24 Mac lalu.

    “Tangakap bermula dengan penahanan seorang lelaki berumur 32 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Mahkota, Kuantan.

    “Disusuli penahanan tiga lelaki lain, masing-masing ditahan di sebuah rumah di taman sama, parkir tol Plaza Gambang dan tepi jalan hadapan perhentian bas simpang Lepar Hilir, Gambang, Kuantan.

    “Dengan penahanan empat lelaki itu, polis merampas dadah berjumlah RM76,164 iaitu 2,274.25 gram heroin bernilai RM30,474 dan 1,269.15 gram bernilai RM45,690.

    “Nilai sitaan harta pula berjumlah RM559,928 iaitu wang tunai RM91,250, tiga kereta dan lapan motosikal (RM440,100), 19 jam tangan (RM16,500) dan barang kemas (RM12,078),” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan itu, beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah RM636,092.

    Antara barang yang disita berjumlah RM559,928 iaitu wang tunai RM91,250, tiga kereta dan lapan motosikal (RM440,100), 19 jam tangan (RM16,500) dan barang kemas (RM12,078). – Foto Facebook Polis Pahang

    Katanya, empat suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 26 Mac lalu hingga 1 April ini.

    Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 398B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    “Berdasarkan siasatan, sindiket ini dipercayai memperolehi bekalan dadah heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda di sekitar Kuantan.

    “Dengan penahanan ini, polis Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda sekitar Kuantan yang didalangi oleh warga tempatan.

    “Rampasan 2,274.25 gram heroin itu boleh dibekalkan kepada 4,548 penagih dadah dan dadah jenis syabu seberat 1,269.15 gram boleh dibekal 2,538 penagih, masing-masing penggunaan dalam sehari,” katanya.

  • Mayat tanpa seluar dalam longkang sebelah sekolah

    Mayat tanpa seluar dalam longkang sebelah sekolah

    BAU busuk dari sebuah longkang membawa kepada penemuan satu mayat dalam keadaan tidak berseluar dan tanpa identiti di tepi jalan besar Jalan Tok Ungku sebelah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mewah, Rahang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mayat berkenaan dijumpai oleh seorang individu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di wisma Nadaraja pada pukul 7.12 malam.

    “Pada mulanya saksi terhidu bau busuk dari arah longkang dan menjumpai mayat lelaki sebelum menghubungi 999 untuk bantuan.

    “Mayat itu ditemui di dalam longkang yang berkeluasan dua kaki lebar dengan kedalaman lebih kurang empat kaki dalam keadaan memakai baju berkolar dan vest bertulisan ‘security’ di belakang.

    “Bagaimanapun mangsa didapati tidak memakai seluar serta tidak berselipar atau kasut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nanda berkata, tiada sebarang dokumen diri ditemui pada mayat tersebut dan di sekitar tempat kejadian malah Unit K9 cuba mengesan bahan bukti tetapi tidak menjumpai apa-apa.

    “Hasil siasatan awal pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan tidak dapat memastikan punca kematian lelaki itu kerana keadaannya yang telah membengkak dan berulat.

    “Lelaki ini dianggarkan telah meninggal dunia lebih kurang empat hari dan tidak dapat dipastikan sebarang unsur jenayah yang boleh mengaitkan dengan kematiannya.

    “Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kematian akan diperolehi sehingga bedah siasat dari forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada hari ini,” katanya.

  • Tidak cukup belanja punca anggota tentera samun wanita

    Tidak cukup belanja punca anggota tentera samun wanita

    POLIS menahan seorang anggota tentera selepas menyamun seorang wanita di hadapan sebuah farmasi di Kota Sentosa, Kuching, 12 Mac lalu.
    Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 21 tahun berjaya ditahan polis pukul 4.10 petang semalam.

    Menurutnya, suspek yang berasal dari Melaka itu dilaporkan melakukan jenayah berkenaan pada 4.12 petang, 12 Mac lalu.

    “Suspek mendakwa terdesak kerana tidak mempunyai wang hingga nekad untuk menyamun mangsa. Menerusi laporan mangsa berusia 38 tahun itu, wanita berkenaan mendakwa ketika dia masuk ke keretanya, seorang lelaki tidak dikenali meluru masuk melalui pintu belakang kenderaannya.

    “Suspek kemudian memaut leher menggunakan kedua-dua lengannya. Mangsa juga mendakwa berasa seperti ada benda tajam yang disyaki pisau lipat diletakkan di lehernya.

    “Mangsa menggigit lengan suspek lalu menekan hon kereta namun suspek sempat mengambil wang tunai RM26 dari beg tangan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mangsa yang tidak mengalami kecederaan kemudian tampil membuat laporan polis mengenai insiden menimpanya itu.

    “Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah itu di kawasan berkenaan.

    “Suspek mendakwa dia melakukan kegiatan samun itu akibat terdesak kerana duit perbelanjaan tidak mencukupi,” katanya.

    Pihaknya turut merampas sebilah pisau pemotong kertas yang dipercayai digunakan untuk menyamun.

    Abang Zainal berkata, suspek yang masih bujang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan permohonan reman akan dilakukan dalam masa terdekat selepas keputusan saringan air kencing diperoleh.