Category: Jenayah

  • Polis berkas enam penyamun kilang

    Polis berkas enam penyamun kilang

    POLIS menahan enam lelaki tempatan dalam serbuan di kawasan Senai, Ulu Tiram dan Johor Bahru, semalam, susulan kes samun sebuah kilang di Jalan Seelong, Senai Jaya, Kulai pada 6 Mac lalu.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian samun tersebut berlaku pada pukul 5.11 pagi.

    “Pengadu yang juga pekerja warga asing kilang terbabit didatangi empat lelaki bersenjatakan besi panjang. Mangsa dipukul dan mengalami kecederaan dibahagian bahu sebelah kiri.

    “Dalam kejadian samun terbabit, dua bag masing-masing seberat satu tan berisi gangsa dan tembaga milik kilang serta telefon bimbit pengadu diambil suspek.

    “Semalam, sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah IPD Kulai bersama D9 serta D4 Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor membuat serbuan dibeberapa lokasi sekitar Senai, Ulu Tiram dan Johor Bahru, berjaya menahan 6 lelaki tempatan berusia 17 hingga 48 tahun,” katanya menerusi kenyatan, hari ini.

    Menurut Tok, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati lima daripada suspek mempunyai kes berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

    “Dalam serbuan itu kita turut merampas peti besi, dua parang, kuku kambing, lapan telefon bimbit dan lori.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 5 April depan,” katanya.

  • 60,000kg tepung gandum mahu diseludup ke Thailand dirampas

    60,000kg tepung gandum mahu diseludup ke Thailand dirampas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah Cawangan Kubang Pasu merampas 60,000 kilogram (kg) tepung gandum dianggarkan bernilai RM132,000, dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, semalam.

    Serbuan pada pukul 11 pagi itu selepas gudang berkenaan disyaki menyimpan barangan kawalan itu tanpa lesen dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berkenaan, lapor Berita Harian.

    Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak berkata, serbuan itu susulan hasil risikan selama tiga hari yang diketuai oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah Cawangan Kubang Pasu, K. Muniandy.

    “Hasil siasatan mendapati gudang itu dipercayai dijadikan tempat transit sebelum tepung gandum berkenaan disyaki diseludup ke Thailand.

    “Kilang pengeluar tepung gandum terbabit dipercayai terletak di Ipoh, Perak.

    “Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan dia dibebaskan selepas keterangan diambil,” katanya pada sidang media di stor KPDNHEP di Tunjang, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk mendapatkan dokumen berkaitan daripada pemilik gudang itu untuk tindakan seterusnya.

    “Setakat ini, bekalan tepung gandum dalam pasaran adalah mencukupi. Namun kita bimbang jika langkah segera tidak diambil, berkemungkinan bekalan tepung gandum yang juga antara barangan kawalan, akan terjejas dalam pasaran

    “Permintaan tepung gandum dijangka meningkat dalam fasa peralihan ke endemik di mana banyak perniagaan sudah mula atau kembali beroperasi.

    “Kita akan menjalankan pemeriksaan lebih ketat bagi memastikan bekalan seperti tepung, gula dan minyak masak sentiasa ada dalam pasaran,” katanya.

    Rae Morn turut memaklumkan, harga subsidi bagi satu kilogram tepung gandum ialah RM1.35, manakala harga bukan subsidi pula RM2.20 sekilogram

    Justeru, beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat sama ada tepung gandum dirampas itu adalah tepung subsidi ataupun tidak.

    “Gudang itu tidak mempunyai sebarang rekod serbuan. Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan status gudang itu, manakala tepung gandum terbabit dipercayai dikilangkan di Ipoh, Perak,” katanya.

    Rae Morn berkata, pihaknya antara lain akan memeriksa rekod transaksi perniagaan terbabit sama ada ia untuk kegunaan tempatan atau aktiviti lain.

    “Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Dalam pada itu, Rae Morn memaklumkan setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan berkaitan kekurangan bekalan minyak masak di Kedah.

    Beliau berkata, seramai 172 penguat kuasa di Kedah akan melakukan pemeriksaan setiap hari, termasuk pegawai pemantau harga, ketika Ramadan ini.

  • Berhati-hati dengan tawaran pakej haji 2022 – Tabung Haji

    Berhati-hati dengan tawaran pakej haji 2022 – Tabung Haji

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menasihati orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pakej haji oleh segelintir agensi pelancongan bagi musim haji 2022.

    Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketika ini kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji bagi musim haji 2022 daripada kerajaan Arab Saudi.

    “Pihak kami dan kedutaan Arab Saudi mendapati ada segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan untuk mengiklankan pakej-pakej haji mahupun badal haji yang amat meragukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu Syed Saleh turut mengingatkan, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

    Beliau berkata pada awal Mac, TH telah melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji tahun ini sebagai langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

    “Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya.

    Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03- 6207 1919. – Bernama

  • Penunggang, pembonceng maut langgar treler tepi jalan

    Penunggang, pembonceng maut langgar treler tepi jalan

    Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Batu 3, Jalan Gambang, Kuantan pukul 4.30 pagi tadi.

    Nahas tersebut mengakibatkan Mohamad Izhar Iskandar Mohamad Pazelong, 18, dan pembonceng, Wan Ezremy Shaqir Wan Erman Shafri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, pemandu treler, Mook Peng Cheong, 44, tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke bandar Kuantan.

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar treler yang berhenti di bahu jalan arah bertentangan.

    “Akibat kejadian, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Mohd. Zahari berkata, kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

    “Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

  • Kaki ponteng puasa di Pulau Pinang boleh didenda RM1,000, penjara 6 bulan

    Kaki ponteng puasa di Pulau Pinang boleh didenda RM1,000, penjara 6 bulan

    KAKI ponteng puasa di Pulau Pinang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

    Bagi kesalahan kedua atau berikutnya pula, umat Islam yang ditangkap kerana sengaja tidak berpuasa itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman yang menjelaskan, tidakan penguatkuasaan tersebut bersandarkan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

    Jelas beliau, sepanjang Ramadan tahun ini juga, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan menjalankan pemantauan di kira-kira 120 lokasi panas yang dipercayai menjadi tumpuan individu ponteng puasa.

    “Pemantauan itu akan dijalankan menerusi operasi bersepadu bulan Ramadan 2022/ 1433H dan dibantu oleh agensi-agensi seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP.

    “Operasi itu turut memberi tumpuan kepada aspek kebersihan premis serta pengendalian makanan, pematuhan terhadap syarat-syarat permohonan lesen dan lain-lain yang berkaitan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, operasi bersepadu bulan Ramadan itu merupakan manifestasi kesungguhan pentadbiran Islam di Pulau Pinang untuk mengajak umat Islam sama-sama memuliakan bulan suci yang dijangka disambut Ahad ini.

    Ujarnya, operasi bersepadu itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam melalui ‘Kempen Hormati Ramadan’ di Pulau Pinang.

    Di samping itu juga katanya, operasi tersebut bertujuan membanteras tindakan tidak menghormati bulan Ramadan seperti sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syarie.

    “Semoga dengan operasi bersepadu ini mampu menimbulkan kesedaran buat umat Islam negeri ini untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini adalah Ramadan yang terbaik bagi kita semua,” katanya.

  • Sanggup terima upah RM50 bawa masuk PATI

    Sanggup terima upah RM50 bawa masuk PATI

    HANYA kerana upah RM50, tiga lelaki termasuk seorang lelaki yang menghampiri usia warga emas sanggup bersekongkol dengan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Bagaimanapun cubaan pertama kali lelaki berusia 58 tahun itu tidak berhasil apabila diberkas sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Banting – Sepang, Morib, Kuala Langat, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, menerusi Ops Nyah 1 pada pukul 6 pagi itu turut menahan dua warga asing berusia 42 dan 52 tahun.

    Katanya, siasatan mendapati tiga suspek yang baru pertama kali terlibat dengan sindiket ini berperanan sebagai tekong darat atau transporter bagi menghantar PATI ke lokasi yang ditetapkan dengan upah RM50 bagi setiap PATI yang dibawa.

    “Suspek juga dipercayai melakukan kerja (transporter) itu secara sambilan.

    “Operasi bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ini kemudian berjaya menemui 13 PATI berusia 25 hingga 53 terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita yang sedang menyorok di kawasan semak di lokasi terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, kesemua PATI itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan didapati masuk ke negara ini melalui jalan laut.

    Menurutnya, soal siasat PATI terbabit membayar RM3,000 hingga RM4,500 setiap seorang kepada ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia.

    “PATI ini kemudian akan diambil oleh tekong darat terbabit dan dipercayai akan dihantar ke Desa Petaling, Kuala Lumpur,” katanya.

    Pihaknya telah merampas dua buah kenderaan dan tiga telefon bimbit untuk tindakan lanjut.

    Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

    Justeru, masyarakat diseru agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

  • Jijik! Tikus, lipas, anjing berkeliaran dalam kilang pau dan dimsum

    Jijik! Tikus, lipas, anjing berkeliaran dalam kilang pau dan dimsum

    SEBUAH kilang memproses pau dan dimsum di Medan Melor Selatan, di Butterworth diarah tutup selama dua minggu berikutan keadaan premis yang kotor dan menjijikkan, termasuklah terdapat najis tikus di ruang pemprosesan makanan dan stor.

    Selain penemuan najis tikus, pihak berkuasa turut menemui tikus dan lipas di situ, malah pemiliknya juga membiarkan tiga ekor anjing berkeliaran dalam kawasan pemprosesan makanan tersebut.

    Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid, berkata, pihaknya menjalankan serbuan menerusi Ops Tegar bermula pukul 10 pagi hari ini, hasil risikan dan intipan sejak sebulan lepas dan mendapati rumah teres setingkat yang dijadikan kilang itu, tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

    Katanya, notis penutupan selama 14 hari itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, dikeluarkan bagi membolehkan pengusaha premis melakukan kerja-kerja pembersihan.

    “Pemeriksaan juga mendapati kilang tersebut beroperasi tanpa lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), malah pemiliknya turut membiarkan tiga ekor anjing berkeliaran di kawasan pemprosesan makanan sedangkan tiada haiwan peliharaan dibenarkan berada di situ.

    “Selain itu, kilang tersebut juga berada dalam keadaan kotor dan premis tersebut yang beroperasi sejak 10 tahun lepas, pernah diserbu pada tahun 2019 kerana kesalahan yang sama namun sehingga kini masih tidak mengikut peraturan serta menjaga kebersihan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu, hari ini.

    Mohd Wazir berkata, semasa serbuan dijalankan terdapat dua pekerja warga asing di kilang yang mengedarkan produk pau dan dimsum sekitar Butterworth itu.

    Katanya kilang tersebut turut dikenakan tiga kompaun oleh pihaknya dan masing-masing satu kompaun daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melibatkan nilai keseluruhan RM5,300.

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah kilang memproses bebola ikan di Raja Uda, di sini dan mendapati pemilik kilang gagal mematuhi program keselamatan makanan iaitu antaranya pekerja tidak memakai sarung tangan, ketika mengendalikan proses pembuatan makanan.

    “Kilang itu mempunyai sijil program keselamatan makanan namun pemeriksaan kami mendapati pekerja-pekerjanya tidak mengikut dari segi peraturan dan kebersihan ditetapkan dan saya minta pegawai teknologi makanan dapat membuat pemantauan secara berkala, bagi memastikan semua pengilang makanan mematuhinya,” katanya.

    Menurutnya dalam pemeriksaan di situ, pihaknya mengeluarkan dua kompaun dan empat notis yang kesemuanya bernilai RM2,900, antara kesalahan produk tidak mempunyai label serta kesalahan meletakkan produk makanan di atas lantai.

    Operasi kira-kira tiga jam itu turut disertai penguat kuasa dari MBSP dan KPNDHEP Pulau Pinang. – BERNAMA

  • 2 anggota polis ditahan, disyaki terima rasuah RM300

    2 anggota polis ditahan, disyaki terima rasuah RM300

    DUA anggota polis ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM300 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh pada 20 Mac lepas.

    Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkata, kedua-dua mereka berpangkat koperal dan koperal sokongan berumur 45 dan 38 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani pada 6.15 petang semalam.

    “Anggota polis itu dikatakan telah meminta sebanyak RM1,500 daripada seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh di tepi Jalan Persiaran Amanjaya 2 berdekatan dengan Kolej Vokasional Sungai Petani 1.

    “Individu itu dikatakan telah menyerahkan RM300 kepada anggota polis tersebut dan dia diminta untuk membayar baki selebihnya apabila dihubungi oleh anggota polis tersebut,” katanya di Sungai Petani hari ini.

    Sementara itu, kedua-dua mereka yang merupakan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Kuala Muda direman selama tujuh hari bermula hari ini.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Sungai Petani Nadhirah Abdul Rahim.

    Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – BERNAMA

  • Tindakan disiplin anggota polis tolak laporan kes keganasan rumah tangga

    Tindakan disiplin anggota polis tolak laporan kes keganasan rumah tangga

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas jika benar terdapat sebarang perlanggaran dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga berhubung dakwaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Isnin lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, PDRM juga mengambil perhatian serius terhadap dakwaan keengganan anggota polis menerima laporan kes keganasan rumah tangga.

    “Sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 berkuat kuasa pada 1 jun 1996, PDRM telah mengeluarkan beberapa arahan pentadbiran berhubung pengendalian penyiasatan kes-kes keganasan rumah tangga untuk dipatuhi di semua peringkat.

    “Ini termasuklah arahan tindakan tatatertib ke atas anggota yang enggan menerima laporan polis kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata, PDRM memohon KPWKM dan mana-mana pihak terkesan berhubung isu dibangkitkan untuk tampil serta memberi maklumat lebih terperinci supaya siasatan dalaman dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil ke atas anggota terlibat jika perkara itu benar berlaku.

    Pada Isnin lepas, KPWKM memaklumkan sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata, pihaknya menasihatkan mangsa untuk segera ke hospital dan mendapatkan laporan perubatan.

    Beliau juga dilaporkan berkata, laporan daripada hospital dapat diguna pakai supaya pihak polis tidak boleh menidakkan laporan yang mereka buat. – BERNAMA

  • Prasarana siasat insiden kakitangan didakwa pukul pencuri

    Prasarana siasat insiden kakitangan didakwa pukul pencuri

    SIASATAN dalaman sedang dilakukan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhubung video tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam syarikat itu memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka semalam.

    Memetik laporan Malaysiakini, Prasarana dalam kenyataan media memaklumkan pihaknya masih mengenal pasti tarikh, masa dan lokasi kejadian.

    “Kami memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai dalam video berkenaan.

    “Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.

    “Bagaimanapun, tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana. Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” jelas Prasarana dalam kenyataan media tersebut.

    Klip video pendek kejadian itu mula tular di media sosial petang semalam, menunjukkan dua lelaki – salah seorangnya memakai seragam polis bantuan yang tertera logo Prasana- memarahi seorang individu kerana didakwa mencuri dua cawan mi segera di sebuah kedai serbaneka.

    Dalam rakaman itu, salah seorang lelaki berpakaian seragam merah bertulisan “www.myrapid.com.my” turut meminta individu tersebut membayar dua cawan mi segera itu sebelum memukulnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan berkata, pihak polis telah mula mengesan individu yang terlibat selepas klip video itu tular di media sosial semalam.

    Katanya, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada empat saksi setakat ini dan memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    “Pihak polis memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang,” katanya.