Category: Jenayah

  • PPM rampas 360 liter petrol cuba diseludup

    PPM rampas 360 liter petrol cuba diseludup

    PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas 360 liter minyak petrol di percayai cuba diseludup keluar ke negara jiran di perairan Tampi-Tampi, Semporna, pada pukul 6.30 petang semalam.

    Sebum itu anggota PPM yang menjalankan tugas di sekitar perairan Semporna mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.

    Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pasukannya mengejar dan berjaya memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan.

    “Bagaimanapun, juragan bot berkenaan bertindak memecut laju ke kawasan cetek dan terjun laut melarikan diri ke kawasan paya bakau.

    “Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek menemukan 12 gelen berisi keseluruhan sebanyak 360 liter minyak petrol,” katanya memetik lapiran Utusan Borneo, hari ini.

    Katanya, kesemua minyak petrol itu dipercayai cuba diseludup keluar berdasarkan perjalanan bot tersebut menuju ke sempadan negara.

    “Kesemua minyak petrol berserta bot tersebut dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

    “Nilai rampasan minyak petrol termasuk bot dianggarkan berjumlah RM17,838 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

  • Guru kerugian RM254,600 diperdaya macau scam 

    Guru kerugian RM254,600 diperdaya macau scam 

    SEORANG guru menengah di Sipitang mengalami kerugian RM254,600 selepas terpedaya dengan penipuan membabitkan Macau Scam pada 14 Mac lalu.

    Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian terbabit berlaku selepas mangsa dihubungi suspek pada jam 2 petang.

    “Mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan.

    “Mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,500.90 dari sebuah syarikat yang didaftarkan menggunakan nama mangsa.

    “Mangsa turut dimaklumkan mengenai satu akaun bank berkaitan dana haram berjumlah RM312,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Justeru katanya, mangsa diminta menyerahkan maklumat bank bagi penyiasatan akaun bank dan dana  terbabit.

    Dalam tempoh bermula 14 hingga 26 Mac 2022 katanya, mangsa diarah memindahkan wang ke dalam enam akaun bank berbeza melibatkan lapan kali transaksi dengan jumlah yang berbeza.

    “Suspek turut meminta mangsa mengemukakan sebanyak empat kali sehari berserta gambar, resit transaksi, salinan dokumen pinjaman, dan maklumat berkaitan mangsa sebagai guru,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa mula menyedari terpedaya dengan penipuan berkenaan pada 30 Mac lepas sebelum membuat laporan polis kerana khuatir semua dokumen serta identitinya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

    Champin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan tipu.

    Pihaknya meminta semua warga Sipitang supaya tidak terpedaya dan melayan panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali dan menyamar sebagai pegawai LHDN atau polis mahkamah.

    Ujarnya, orang ramai diminta membuat semakan dan berhubung dengan pihak polis untuk kepastian dan butiran lanjut. 

    Sebelum ini terdapat dua kes penipuan Macau Scam yang melibatkan warga pendidik dan kesihatan dilaporkan di Sipitang.

  • 2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

    2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

    POLIS Pulau Pinang menyelamatkan dua wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, wanita berusia 27 dan 28 tahun berkenaan diselamatkan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) JSJ Kontijen Pulau Pinang.

    Dalam serbuan sama ujar beliau, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga serta ejen turut ditahan.

    “Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang.

    Menurut Rahimi, kedua-dua mangsa yang diselamatkan bersama suspek yang ditangkap telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk tindakan lanjut.

    Ujar beliau, kedua-dua suspek lelaki pula ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

    Jika disabitkan kesalahan ujar beliau, boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh didenda.

    “Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan ke atas orang dewasa atau kanak-kanak adalah satu kesalahan jenayah,” katanya.

  • Polis tahan guru wanita disyaki dera empat murid tadika

    Polis tahan guru wanita disyaki dera empat murid tadika

    POLIS menahan seorang guru wanita di Muar, awal pagi ini, yang disyaki mendera empat muridnya di sebuah tadika swasta baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Shahurinain Jais berkata wanita berusia lewat 50-an itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Muar kira-kira pukul 2 pagi tadi.

    Beliau berkata dua hari lepas salah seorang ibu kanak-kanak itu telah menerima rakaman video yang memaparkan kejadian anaknya didera oleh guru berkenaan.

    “Kejadian disyaki berlarutan sejak bulan November lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya wanita itu dipercayai bertindak kasar terhadap empat murid lelaki berusia lingkungan umur tiga hingga lima tahun, dan kesemua murid berkenaan telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk pemeriksaan perubatan.

    Shahurinain berkata wanita itu direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • 314 kes penipuan menyamar rakan media sosial libatkan kerugian lebih RM2 juta

    314 kes penipuan menyamar rakan media sosial libatkan kerugian lebih RM2 juta

    SEJUMLAH 314 kes penipuan dengan menyamar sebagai rakan/kenalan menerusi media sosial direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mac lepas melibatkan kerugian lebih RM2 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)  Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

    Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menggodam akaun media sosial seperti  WhatsApp, Telegram dan Facebook milik individu tertentu, kemudian menyamar sebagai pemilik akaun berkenaan.

    Penyamar itu kemudian menghubungi semua rakan pemilik asal akaun berkenaan untuk meminjam sejumlah wang.

    “Sejak awal tahun ini, sindiket terbabit didapati mula melakukan penggodaman ke atas akaun Telegram milik mangsa seterusnya menghubungi senarai rakan mangsa untuk meminjam wang.

    “Pemilik sebenar akaun Telegram hanya menyedari perkara itu apabila mereka tidak dapat mengakses ataupun menerima panggilan daripada kenalan yang bertanya mengenai kesahihan peminjaman wang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebagai langkah pencegahan, Mohd Kamarudin menasihati pengguna akaun Telegram untuk mengaktifkan penetapan pin keselamatan ‘two-step verification’ di akaun Telegram masing-masing.

    Katanya melalui tetapan itu, tahap keselamatan akaun Telegram akan dipertingkatkan sekali gus mengelakkan penjenayah mengaktifkan akaun tersebut melalui peranti lain.

    “Orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah percaya kepada mesej yang diterima daripada kenalan terutama apabila melibatkan pinjaman wang dan akaun bank yang digunakan milik individu lain,” tambahnya.

    Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101599.

    — BERNAMA

  • Pekerja Bangladesh maut ketika periksa mesin penampat kertas

    Pekerja Bangladesh maut ketika periksa mesin penampat kertas

    SEORANG pekerja maut ketika memeriksa pengoperasian mesin pemampat kertas, di sebuah kilang pengumpulan bahan kitar semula di Menglembu, di Ipoh, kira-kira 6.50 petang semalam.

    Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan berkata mangsa yang merupakan warganegara Bangladesh berumur 34 tahun, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah. 

    “Difahamkan mangsa memeriksa pengoperasian mesin pemampat kertas yang sedang beroperasi secara automatik. Mangsa telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran mesin pemampat tersebut dengan kecederaan parah pada belakang leher oleh rakan sekerjanya.

    “Susulan daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP mengeluarkan lima notis larangan kepada pihak majikan berkaitan pengoperasian mesin pemampat dan seterusnya mengarahkan supaya aktiviti kerja melibatkan mesin pemampat dihentikan serta-merta sehingga notis dipatuhi oleh pihak majikan

    “JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan tersebut turut menyebut, JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

    “Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” menurut kenyataan itu.

    — BERNAMA

  • Sindiket dadah antarabangsa kempunan, 21 kg syabu dirampas polis

    Sindiket dadah antarabangsa kempunan, 21 kg syabu dirampas polis

    SATU sindiket dadah antarabangsa di Pulau Pinang berputih mata apabila bekalan dadah berupa syabu seberat 21 kilogram (kg) bernilai RM756,720 yang dibawa menggunakan jalan laut dipercayai dari negara jiran berjaya dirampas polis.

    Bekalan dadah yang baru tiba itu berjaya dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Barat Daya dan pasukan Polis Marin Wilayah 1 yang melakukan serbuan di tepi pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar pukul 11 malam pada Isnin lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, bekalan dadah yang dimuatkan di dalam 20 bungkusan itu dijumpai disorokkan di dalam sebuah bot di kawasan tersebut dan polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun di atas bot berkenaan.

    Jelasnya, hasil serbuan itu membawa kepada penahanan suspek kedua yang merupakan warga asing berusia 44 tahun dan bekerja sebagai mekanik di kawasan sama pukul 1 pagi keesokan harinya.

    “Kedua-dua suspek itu dipercayai sudah terlibat dengan aktiviti mengedar dadah jenis syabu tersebut sejak awal tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas terbabit jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh seramai 105,100 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket itu merupakan antara dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang minggu ini membabitkan keseluruhan rampasan dadah sebanyak 184.7 kg bernilai RM1.2 juta.

    Sindiket dadah kedua jelasnya, berjaya ditumpaskan menerusi operasi terancang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah pada Rabu lalu.

    Ujar beliau, operasi itu melibatkan sembilan serbuan yang mana dadah jenis ganja seberat 163.65 kg bernilai RM409,125 berjaya dirampas daripada sindiket terbabit.

    “Dalam operasi itu, seramai sembilan individu masing-masing tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 25 hingga 55 tahun berjaya ditahan,” katanya.

    Katanya, empat suspek kemudian direman selama tujuh hari bermula 31 Mac hingga 6 April manakala lima lagi ditahan reman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

    Selain itu ujar beliau, polis turut menyita lapan kenderaan, empat barang kemas, tiga utas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM234,550 daripada sindiket terbabit.

  • Doktor swasta rugi RM700,000 jadi mangsa Macau Scam

    Doktor swasta rugi RM700,000 jadi mangsa Macau Scam

    SEORANG doktor swasta di Tawau mengalami kerugian RM747,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil sebuah kementerian dan pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki berusia 30 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 27 Jan menyatakan namanya digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain.

    “Berdasarkan keterangan, mangsa pada mulanya sangsi dengan panggilan telefon berkenaan, namun sindiket terbabit turut menyamar sebagai anggota polis.

    “Polis palsu ini kemudian meyakinkan kononnya mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram, selain kegiatan penyeludupan dadah dan selepas itu meminta mangsa memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian bagi tujuan semakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata akibat terpedaya dengan helah sindiket itu mangsa kemudian membuat 16 transaksi pemindahan wang kepada beberapa akaun milik penyamar antara Febuari hingga awal Mac lepas.

    “Mangsa yang menyedari dirinya tertipu kemudiannya membuat laporan polis pada 18 Mac dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Jasmin dalam pada itu menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ untuk memudahkan semakan terhadap nombor telefon atau nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan kewangan.

    “Dalam sistem negara ini sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi kerajaan lain dalam satu panggilan sama,” tegasnya.

    — BERNAMA

  • SPRM boleh sediakan platform ADUN, Exco Johor isytihar harta

    SPRM boleh sediakan platform ADUN, Exco Johor isytihar harta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyediakan platform kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu di negeri itu untuk mengisytihar harta.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, proses tersebut boleh mengguna pakai kaedah sama yang dilakukan ketika Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing sebelum ini.

    Beliau berkata, pihaknya bersedia melakukan proses itu pada bila-bila masa dan mencadangkan agar ia tidak dilakukan secara bersendirian supaya kaedahnya lebih sistematik dan teratur.

    “SPRM tiada masalah bagi mewujudkan platform berkenaan pada bila-bila masa kerana panduannya sudah ada.

    “Bagi mewujudkan platform untuk kegunaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sahaja, Speaker DUN perlu menghantar surat permohonan kepada SPRM terlebih dahulu bagi proses selanjutnya.

    “SPRM mencadangkan agar ia dipercepatkan seperti titah Tuanku Sultan Johor selain diwujudkan kod etika pengisytiharan harta seperti yang dilakukan di peringkat Parlimen dan anggota pentadbiran di peringkat Pusat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM siri 25 bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Padang Kawad, Kompleks SPRM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya calon-calon Exco Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

    “Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta SPRM,” titah Sultan Johor.

  • Kes Mara Corp akan dibawa ke mahkamah – Azam Baki

    Kes Mara Corp akan dibawa ke mahkamah – Azam Baki

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin tiga pegawai Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) yang terlibat dalam salah guna kuasa dan urus syarikat akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, keputusan mengenai pendakwaan tersebut melibatkan individu terbabit akan diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Kita telah melengkapkan siasatan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan salah urus Mara Corp dan telah kemukakan kepada AGC sebelum ini. Jadi, kita akan tunggu keputusannya tidak lama lagi.

    “Saya percaya keputusannya nanti akan berakhir dengan pertuduhan kepada pihak yang kita cadangkan. Mereka yang disyaki terbabit tiga orang, namun kita serahkan kepada AGC untuk memperhalusi lagi sama ada tiga dituduhkan atau sebahagian daripadanya,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khusus Asas Pegawai SPRM Siri 25 Bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Padang Kawad, Kompleks SPRM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini, lima pegawai kanan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dipanggil untuk dirakam keterangan dan seramai 17 individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

    SPRM sudah memanggil 14 saksi terdiri daripada empat ahli lembaga pengarah dan tujuh individu pengurusan Mara Corp, dua pegawai Mara serta seorang dari sebuah syarikat setiausaha korporat dan syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat (CoSec) kepada agensi itu.

    Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM akan melakukan siasatan forensik terhadap akaun syarikat didakwa terlibat kes rasuah projek bernilai RM85 juta yang membabitkan institut berkaitan automotif negara.

    “Semua yang ditahan (dalam kes ini) masih dalam siasatan kita, banyak perkara kita perlu lihat, terutama kita kena lihat wang-wang yang disalurkan kepada syarikat lapisan kedua. Ini memerlukan kita buat forensik akaun kepada syarikat berkenaan,” katanya.

    Azam berkata, kes tersebut disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan juga Akta Penggubahan Wang Haram.

    Seramai 10 individu telah ditahan membabitkan kes itu termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang wanita yang ditahan pada 23 Mac lalu.

    Dua daripada individu ditahan disyaki telah meminta dan menerima rasuah lebih RM14.9 juta daripada tiga individu yang ditahan sebagai balasan membantu syarikat mendapatkan geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 dan 2020.

    Sembilan individu termasuk Datuk itu pula telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung nilai projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif di negara ini.