Category: Jenayah

  • Lelaki juling cabul pembantu peribadi di parkir diburu

    Lelaki juling cabul pembantu peribadi di parkir diburu

    SEORANG lelaki yang disyaki terlibat dalam kes cabul seorang pembantu peribadi di kawasan parkir sebuah bangunan di Cyberjaya, Sepang, Selasa lalu kini diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 2 petang semnasa mangsa, 27, mendakwa seorang lelaki telah datang untuk membantunya menyimpan barang dalam kereta.

    “Suspek memberi alasan mahu membantu kerana dia mahukan troli yang ada pada mangsa.

    “Bagaimanapun wanita itu memberitahu, dia tidak perlukan pertolongan, namun lelaki itu tetap mengambil barang dan memasukkan ke dalam kereta mangsa.

    “Tiba-tiba lelaki tersebut telah menyentuh dan meramas punggung mangsa kemudian melarikan diri,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata, ketika kejadian lelaki itu berpakaian hitam, menyandang beg silang hitam, memakai pelitup muka, rambut dan kulit warna gelap.

    “Mangsa hanya nampak lelaki itu matanya juling. Wanita itu juga tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut sebelum ini,” katanya.

  • Youtuber, tiga rakan ditahan bantu siasatan kes bunuh teman wanita

    Youtuber, tiga rakan ditahan bantu siasatan kes bunuh teman wanita

    POLIS menahan seorang Youtuber dan tiga rakannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian teman wanita Youtuber itu, cedera parah dipukul sebelum meninggal dunia, dalam kejadian di Teluk Kumbar di sini Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata empat lelaki berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan sekitar Teluk Kumbar dua hari lepas dan semalam bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

    “Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP), di sini pada 10.39 malam Sabtu memaklumkan seorang wanita berusia 20 tahun dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

    “Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya mangsa yang juga seorang Youtuber meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan di HPP dan susulan itu polis menahan empat lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

    Kamarul Rizal berkata empat lelaki itu direman sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.

    Terdahulu media melaporkan, wanita itu mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul teman lelakinya sebelum mangsa meninggal dunia dan kejadian tersebut berlaku selepas pasangan kekasih tersebut bertengkar disyaki bermotifkan cemburu.

    Mangsa dan teman lelakinya menumpang di rumah sewa rakan mereka sejak tiba di negeri ini 27 Mac lepas untuk video laman YouTube mereka. Difahamkan wanita itu berasal dari Melaka.

    Pergaduhan membabitkan pasangan itu dipercayai bermula dengan pertengkaran sebelum teman lelakinya dikatakan memukul mangsa dengan objek tumpul sehingga tidak sedarkan diri dan wanita tersebut dikejarkan ke HBP namun dirujuk ke HPP untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia.

    — BERNAMA

  • Polis sahkan rangka manusia ditemukan di Australia adalah warga Malaysia

    Polis sahkan rangka manusia ditemukan di Australia adalah warga Malaysia

    RANGKA manusia yang ditemukan dekat Bathurst, New South Wales, Australia pada Ahad lepas disahkan sebagai warga Malaysia yang dipercayai dibunuh lebih daripada setahun lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata hasil semakan mendapati mangsa merupakan lelaki berusia 25 tahun dari Sarawak, yang memasuki Australia pada Nov 2016 menggunakan visa pelancong.

    Beliau berkata lelaki itu dipercayai ditawarkan menjadi pekerja ladang oleh satu sindiket warga asing yang disyaki terlibat dengan dadah.

    “Siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa Australia dan sebarang perkembangan siasatan akan dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    PDRM turut menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelak timbul sebarang kekeliruan kepada masyarakat berhubung kes itu.

    Sebelum ini, media Australia melaporkan mayat seorang lelaki yang dikenali sebagai “Jacky” Kai Wong Chong ditemukan pada pukul 3.30 petang 3 April lepad dan polis negara itu percaya lelaki itu dibunuh antara 25 Dis 2020 dan 8 Jan 2021.

    — BERNAMA

  • Anggota tentera maut ditikam isteri ketika bertengkar

    Anggota tentera maut ditikam isteri ketika bertengkar

    TINDAKAN menggertak suami ketika bertengkar bertukar tragedi apabila pisau yang digunakan terkena bahagian paha mangsa sehingga membawa kepada pendarahan sebelum meninggal dunia.

    Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata dalam kejadian sekitar jam 10.30 malam Isnin itu, mangsa yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Penrisen, Kota Sarawak dipercayai telah bertengkar dengan isterinya.

    Akibat pergaduhan tersebut pisau pemotong sayur yang digunakan suspek menggertak suaminya telah tertikam pada paha mangsa.

      “Susulan itu, berlaku pendarahan yang banyak sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun mangsa yang berusia 28 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas kehilangan banyak darah dipercayai akibat kesan luka tikaman.

    Berikutan kejadian itu, pihak polis bertindak menahan suspek berusia 24 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk proses permohonan reman dan turut dirampas sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian suspek semasa insiden berdarah itu.

    Pasangan itu dilaporkan mempunyai seorang anak.

  • Dua suspek dadah terbunuh berbalas tembakan dengan polis

    Dua suspek dadah terbunuh berbalas tembakan dengan polis

    DUA lelaki yang disyaki terlibat dalam kes dadah dan jenayah, terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku, Kuala Terengganu pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam insiden kira-kira 11.30 pagi tadi, kedua-dua lelaki itu yang menaiki kereta Honda Civic kuning, melarikan diri ketika ditahan pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan JSJ Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan Ops Kesan.

    “Apabila pihak polis meminta suspek memberhentikan kenderaan, suspek telah melarikan diri dengan kenderaan tersebut. Apabila sampai di satu kawasan daripada Wakaf Beruas ke Persimpangan Tok Ku, polis berjaya menghalang mereka dan secara tiba-tiba, salah seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Wan Rukman berkata, susulan itu pihaknya terpaksa membalas tembakan ke arah kedua-dua lelaki berkenaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran.

    Katanya, suspek yang melarikan diri itu berjaya dikepung, namun dia enggan menyerah diri menyebabkan polis mengambil tindakan memasuki rumah tersebut.

    “Semasa di dalam rumah, suspek telah melepaskan satu das tembakan. Nasib baik terkena penghadang atau shield yang dibawa polis dan di situlah berlaku satu lagi kejadian tembak-menembak antara polis dan suspek,” katanya.

    Wan Rukman berkata, lelaki itu terbunuh di dalam rumah tersebut manakala seorang lagi rakannya maut dalam kenderaan dinaikinya.

    Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan dan maklumat lanjut mengenai mereka masih disiasat.

    Katanya, tiada anggota polis mengalami kecederaan dalam insiden tersebut. – BERNAMA

  • Polis siasat laporan baharu gangguan seksual dikaitkan Ebit Lew

    Polis siasat laporan baharu gangguan seksual dikaitkan Ebit Lew

    POLIS sedang menyiapkan satu lagi kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah terkenal, Ebit Lew, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan berhubung laporan yang dibuat di Semenanjung, termasuk mengesan saksi berhubung dakwaan itu.

    “Belum pasti bila akan didakwa, masih disiapkan siasatan lagi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Pada 18 Feb lalu, Ebit, 37, mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 hingga 23 April ini untuk penyerahan dokumen dan perbicaraan pada Jun nanti. Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin.

    \Untuk rekod, Ebit berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

    Semua pertuduhan bagi kesalahan yang didakwa berlaku di Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 adalah terhadap seorang wanita Melayu.

  • PGA7 rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM30,000

    PGA7 rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM30,000

    SEBANYAK 40 bungkusan mercun pelbagai jenis dan 1,208 kotak bunga api bernilai RM35,692 dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Jalan Tunjong-Pasir Mas, Kelantan malam tadi.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, rampasan dibuat ketika anggota bertugas mengadakan rondaan sebelum terserempak sebuah kereta Perodua Kelisa dalam keadaan mencurigakan.

    Ekoran itu katanya, anggota bertindak menahan kereta berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa sebelum meminta dokumen pengenalan diri pemandu, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

    Ujarnya, hasil siasatan di dalam kenderaan, menemui beberapa karung guni dan juga kotak berisi mercun serta bunga api yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang dan but kereta terbabit, lapor Harian Metro.

    “Susulan penahanan itu, pada pukul 11 malam, anggota kemudian membuat pemeriksaan di kediaman suspek di Kampung Kenjing, Repek, lalu turut menemui lebihan mercun serta bunga api di dalam stor rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Azhari, suspek tersebut ditahan manakala kereta serta mercun dan bunga api dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut.

    Azhari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    Katanya, kesemua mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, Thailand, untuk dipasarkan di sekitar Pasir Mas atas faktor permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan.

    Menurut beliau, peningkatan kes penyeludupan berkaitan mercun dan bunga api sudah dijangka sepanjang Ramadan memandangkan ia mendapat banyak permintaan.

    Justeru, pihaknya mengambil langkah mempergiatkan lagi kawalan agar kegiatan berkenaan dapat dibanteras.

    “Penyeludup biasanya membawa masuk barangan ini menggunakan jalan sungai melalui pangkalan haram yang ada di sepanjang Sungai Golok, pada waktu tengah malam bagi memastikan aktiviti mereka tidak dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.

  • Sindiket seludup diesel bersubsidi tumpas

    Sindiket seludup diesel bersubsidi tumpas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS menumpaskan satu sindiket yang didapati giat melakukan penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang didapati bergiat aktif di sekitar bandar raya Johor Bahru setelah berjaya menahan lima suspek, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Dimin Awang berkata, suspek yang ditahan melibatkan tiga warganegara dan dua warga asing itu berusia antara 34 hingga 42 tahun.

    Kelima-lima suspek terbabit ditahan dalam serbuan yang dijalankan terhadap sebuah premis beralamat di No.11, Jalan Perak, Taman Wawasan, Kulai, pada pukul 2 petang, semalam.

    “Polis turut merampas pelbagai barangan antaranya beberapa tangki berisi minyak bersubsidi sebanyak 40,000 liter, dua buah lori dan lima unit pam dengan anggaran nilai RM300,300.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut,” katanya, di sini hari ini.

    Tambah Dimin, kes berkenaan disiasat mengikut seksyen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Tangkapan dan rampasan ini dipercayai berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang aktif di sekitar daerah Johor Bahru,” ujarnya.

    Dimin berkata, orang awam diminta untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan mereka.

    Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline Pejabat Risik/ Gerakan Batalion 5 PGA di nombor 07-7557280.

  • YouTuber ditahan kes teman wanita mati dipukul

    YouTuber ditahan kes teman wanita mati dipukul

    SEORANG pempengaruh atau YouTuber lelaki dari Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kematian teman wanitanya yang dilaporkan maut akibat dipukul.

    Suspek yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman sosial YouTube itu ditahan bersama tiga lagi rakannya yang kesemuanya berusia 20-an di daerah Barat Daya semalam dan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan keempat-empat suspek termasuk YouTuber berkenaan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP) mengenai seorang pesakit wanita yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal pada 2 April lalu.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa berusia 20 tahun itu mendapati kesan-kesan lebam lama dan baharu pada seluruh anggota badan wanita berkenaan.

    Jelasnya, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan disahkan meninggal dunia pada hari sama.

    “Bertindak atas maklumat itu, polis menahan kekasih wanita itu bersama tiga lagi rakannya yang dipercayai berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

    “Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan kekerasan atau objek tumpul. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif sebenar kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarul Rizal memberitahu, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

    Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah kediaman kenalan mereka di Teluk Kumbar Sabtu lalu dan pasangan kekasih berkenaan dikatakan berkenalan ketika masing-masing berada di sebuah sekolah pemulihan akhlak di Melaka.

  • Guru,jurukimia jadi mangsa ‘love scam’ rugi RM72,000

    Guru,jurukimia jadi mangsa ‘love scam’ rugi RM72,000

    SEORANG guru wanita terpaksa menanggung kerugian RM42,000 apabila terpedaya dengan jerat ‘love scam’ lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata mangsa berusia 27 tahun itu telah berhubung dengan suspek bernama Albert A Adams melalui aplikasi WhatsApp dan sepanjang perkenalan, suspek turut memberitahu ingin memberi hadiah barangan berjenama serta wang tunai.

    “Antara hadiah dijanjikan suspek sebagai tanda perkenalan ialah kasut jenama Dior, iPad Pro, kasut Adidas, barangan kemas, pakaian dan wang tunai AS$3,000 (RM12,631).

    “Pada 29 Mac lepas, suspek memberitahu bahawa barangan tersebut telah dihantar ke alamat mangsa dan wanita itu mengesahkan sememangnya ada barangan yang telah sampai di Kuala Lumpur melalui semakan laman sesawang ‘Fast Express Shipping’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sundra Rajan berkata bagaimanapun barangan itu telah ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana mempunyai wang tunai yang banyak dan tiada sijil pengesahan.

    Katanya, suspek telah meminta mangsa untuk membuat bayaran bagi melepaskan barangan itu dan mangsa yang percaya mengikut arahan suspek dengan membuat bayaran secara berperingkat bermula 30 Mac hingga 1 April lepas berjumlah RM42,000 atas pelbagai alasan.

    “Selepas pembayaran dibuat, suspek menjanjikan barangan itu akan sampai ke alamat rumah pengadu pada 1 April, namun sehingga kini barangan itu tidak diterima mangsa malah suspek masih memintanya membuat bayaran RM5,000 untuk kos penghantaran.

    “Bagaimanapun, mangsa tidak mengikut arahan itu kerana percaya dirinya telah diperdaya dan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 2 April,” katanya.

    Sementara itu dalam kes penipuan lain, Sundra Rajan berkata seorang jurukimia wanita berumur 37 tahun kerugian RM30,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar kononnya daripada pihak HSBC Bank.

    Beliau berkata mangsa dihubungi pada 1 April menerusi panggilan telefon memaklumkan dia mempunyai tunggakan ‘coin base’ berjumlah RM4,663 selain terdapat transaksi menggunakan namanya tetapi mangsa menafikan tidak pernah membuka akaun bank itu.

    “Mangsa telah disambungkan kepada Bank Negara Malaysia untuk tujuan kemas kini maklumat peribadi kemudian diminta membeli insurans perlindungan.

    “Panggilan seterusnya, mangsa disambungkan kepada pegawai polis dan memintanya menyerahkan maklumat akaun bank dan tanpa rasa curiga mangsa menyerahkan maklumat perbankannya termasuk nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC),” katanya.

    Beliau berkata selepas urusan itu, mangsa membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati terdapat pengeluaran wang berjumlah RM30,000 dan mangsa yang berasa diperdaya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 2 April. 

    Katanya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    — BERNAMA