Category: Jenayah

  • Tiga ‘Geng Kitty’ edar dadah ditahan polis

    Tiga ‘Geng Kitty’ edar dadah ditahan polis

    KEGIATAN pengedaran dadah didalangi ‘Geng Kitty’ lumpuh selepas polis menahan tiga anggota kumpulan itu termasuk seorang wanita di Batu 3, Paya Pulai, Temerloh, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Azmi Awang Lah berkata, suspek berkenaan berusia 23 hingga 39 tahun itu ditahan pada pukul 10.20 malam.

    “Polis turut menemui dan merampas dadah dianggarkan bernilai lebih RM18,000 dalam kereta yang dinaiki mereka.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek, polis menemui tiga bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 1,552.43 gram dan erimin 5 (16.43 gram).

    “Hasil siasatan mendapati, seorang suspek berperanan sebagai pengedar manakala dua lagi sebagai pemandu dan penyimpan bekalan dadah.

    “Sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan dadah heroin dan erimin 5 daripada pembekal di Puchong, Selangor untuk diedarkan kepada penagih sekitar Temerloh,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azmi berkata, dadah heroin yang dirampas dipercayai mampu untuk dibekalkan kepada 3,105 penagih sehari mengambil kira penggunaan harian 0.5 gram.

    “Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati semuanya positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkait dadah.

    “Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 April ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

  • Pegawai bank rugi lebih RM200,000 terpedaya pinjaman tak wujud

    Pegawai bank rugi lebih RM200,000 terpedaya pinjaman tak wujud

    GARA-gara hendak membuat pinjaman peribadi sebanyak RM80,000, seorang pegawai bank kerugian RM234,000 selepas terpedaya dengan penipuan pinjaman tidak wujud di laman sesawang.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Mohamad Musa Marsidi, berkata mangsa berusia 54 tahun membuat laporan pada 1 April lalu selepas menyedari ditipu.

    Beliau berkata, sebelum itu, mangsa berurusan untuk membuat pinjaman sebanyak RM80,000 dengan mengisi borang di laman sesawang daripada syarikat dikatakan menawarkan kadar faedah rendah.

    “Mangsa kemudian dihubungi pekerja syarikat pinjaman wang berkenaan dan memintanya untuk membuat bayaran bagi memproses pinjaman itu.

    “Semasa proses kelulusan, mangsa diminta membuat pembayaran dengan memindahkan wang secara berperingkat ke sembilan akaun sejak 28 Feb sehingga akhir Mac lalu berjumlah RM243,000,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Musa turut mengingatkan orang ramai tidak percaya dengan iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah rendah dan proses permohonan pantas tanpa syarat ketat untuk mengelak menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman tidak wujud.

    Beliau turut menyarankan orang ramai menghubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03 26101559 dan 03 26101599 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Infoline di CCID Scam Response Center di talian 03 2610 1559/1599 atau balai polis berdekatan jika mendapati sebarang jenayah atau aktiviti mencurig

  • Pencuri jatuh dari bumbung diberkas polis

    Pencuri jatuh dari bumbung diberkas polis

    SEORANG lelaki yang melakukan jenayah pecah rumah membawa padah apabila terjatuh dari bumbung rumah dalam kejadian di Taman MDK 2, Keningau, pukul 9 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, lelaki berusia 30-an terbabit turut berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis.

    “Sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dikerah ke lokasi sebaik menerima laporan berkaitan kejadian itu.

    “Hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek mendapati tidak ada kecederaan yang serius. Bagaimanapun, polis menemui barang curi milik tuan rumah yang dipecah masuknya.

    “Saringan air kencing juga dijalankan dan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya lagi, hasil pemeriksaan rekod lampau didapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan kes pecah rumah.

    “Suspek direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sebelum itu, satu video berdurasi 21 saat berkaitan kejadian itu turut tular dalam media sosial memaparkan seorang lelaki jatuh dari bumbung rumah di kawasan perumahan.

  • 40 kompaun peniaga jual ayam mahal di Johor Bahru

    40 kompaun peniaga jual ayam mahal di Johor Bahru

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 40 kompaun terhadap peniaga dan pemborong ayam dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor setakat pagi ini kerana didapati menjual makanan segar itu melebihi harga ditetapkan.

    Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro, kompaun terbabit dikenakan hasil pemantauan berterusan yang dijalankan seramai 200 pegawai penguatkuasa sempena pelaksanaan Op Pantau kali ini.

    “Sehingga pagi tadi, 40 kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga di sekitar Johor Bahru kerana menjual ayam lebih mahal daripada harga yang ditetapkan kerajaan.

    “Justeru, KPDNHEP menasihatkan peniaga dan pengusaha supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan berniaga secara beretika. Mereka perlu letak tanda harga dan tidak menaikan harga secara mendadak,” katanya.

    Kelmarin, harga ayam segar di Johor Bahru melambung kepada RM10 sekilogram berbanding harga siling yang ditetapkan pada RM8.90 sehingga berlaku kenaikan sebanyak RM1.10.

    Peniaga di sebuah pasar basah di Pandan, di sini memberi alasan mereka terpaksa berbuat demikian bagi menampung kos yang dikenakan pembekal sebanyak RM1 sebagai caj penghantaran bagi setiap ekor ayam yang dibekal.

    Rata-rata peniaga mendakwa mereka akan terus mencatatkan kerugian sekiranya tidak menaikan harga tersebut.

    Sementara itu, Mohd. Hairul Anuar memaklumkan, KPDNHEP Johor akan terus melakukan pemantauan secara berkala terutama sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

    Tambah beliau, pemeriksaan terhadap barangan keperluan asas lain didapati mencukupi sepanjang tempoh ini.

  • Perompak pecah masuk rumah ketika waktu sahur

    Perompak pecah masuk rumah ketika waktu sahur

    SEORANG penyelia kurier cedera akibat bergelut dengan seorang perompak bersenjatakan pisau yang memecah masuk rumahnya pada waktu sahur di Kampung Laut Tiga, Palekbang, Tumpat, Kelantan kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri, kejadian berlaku pada pukul 4.45 pagi ketika mangsa berusia 50 tahun, bangun dari tidur untuk bersahur.

    Katanya, ketika itu mangsa terserempak dengan seorang lelaki memakai topeng serta memegang sebilah pisau di ruang tamu rumahnya dan lelaki tersebut menyuruh mangsa membuka pintu untuk dia keluar.

    “Semasa mangsa menghampiri, suspek mengacukan pisau menyebabkan mangsa mengambil sebuah kerusi kayu untuk mempertahankan diri dan memukul suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Mohd Azmir, ekoran berlaku pergelutan itu suspek melarikan diri dengan keluar melalui pintu belakang.

    “Pemeriksaan polis mendapati ada kesan umpil di belakang rumah.

    “Mangsa pula mengalami kecederaan pada jari tangan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kelaboran. Mangsa terpaksa menerima 10 jahitan di tiga jari tangan kiri dipercayai terkena pisau,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kemudian datang ke balai membuat laporan polis.

    “Siasatan awal mendapati tidak ada kerugian barangan berharga. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak,” jelas beliau.

  • Lelaki tahan sakit dipukul, dirotan berkali-kali

    Lelaki tahan sakit dipukul, dirotan berkali-kali

    SEORANG lelaki menanggung kesakitan apabila dipukul bertubi-tubi dengan tangan dan senjata dipercayai rotan dalam kejadian di sebuah rumah di Nibong Tebal, Pulau Pinang Ahad lalu.

    Video itu turut tular di media sosial sejak semalam yang memperlihatkan mangsa yang memakai kemeja-T berwarna hijau dipukul beberapa lelaki di ruang tamu.

    Rakaman berdurasi 26 dan 44 saat yang dimuat naik di laman sosial Facebook itu memaparkan mangsa turut dimarahi beberapa pelaku dalam bahasa Tamil sambil mangsa dilihat merayu-rayu.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima dua laporan polis selain satu laporan pengadu bagi menarik balik laporan berkenaan.

    Bagaimanapun jelas beliau, tiada laporan diterima daripada mangsa setakat ini.

    Rakaman berdurasi 26 dan 44 saat yang dimuat naik dalam Facebook itu memaparkan mangsa turut dimarahi beberapa pelaku dalam bahasa Tamil sambil mangsa dilihat merayu-rayu

    Ujarnya, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu berpunca akibat salah faham dan perasaan cemburu dalam kalangan mereka yang terlibat.

    “Mangsa dipukul dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan lengan kanan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, susulan itu polis telah menahan beberapa suspek yang terlibat dalam kejadian itu bagi siasatan lanjut dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan kes ini juga telah lengkap dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” jelasnya.

    Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan video itu atau membuat spekulasi.

  • Kawalan sempadan diteruskan walaupun Op Benteng tamat Jun ini

    Kawalan sempadan diteruskan walaupun Op Benteng tamat Jun ini

    PENUGASAN kawalan keselamatan sempadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diteruskan seperti biasa walaupun Operasi Benteng (Op Benteng) bakal ditamatkan Jun depan.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, penugasan PDRM tetap sama terutamanya Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai tonggak utama dalam menjalankan kawalan keselamatan sempadan.

    Beliau berkata, sebelum adanya Op Benteng, penugasan itu memang dilaksanakan dan apabila Op Benteng ditubuhkan, PDRM banyak bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain.

    “Fokus utama kami adalah untuk kawal keselamatan sempadan dan kami kekalkan, PDRM ada buat penambahan (unit) seperti Unit Berkuda dan dron serta rondaan (melalui Pasukan Gerakan Udara – PGU) di udara dipertingkatkan, termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

    “PGA juga mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan sempena persiapan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Hazani berkata, PDRM masih bekerjasama dengan agensi keselamatan lain cuma ia bukan atas nama Op Benteng tetapi operasi bersepadu misalnya dengan Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

    Katanya, operasi bersepadu tetap diteruskan selain operasi khas melalui perisikan khas oleh polis, tentera atau agensi lain.

    Mengulas mengenai kawalan keselamatan sempadan negara pada masa kini, Hazani berkata, situasi semasa keselamatan di sempadan negara ketika ini terkawal.

    Pada Januari lepas, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan pengoperasian Op Benteng di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini.

    Beliau dilaporkan berkata, segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya. – Bernama

  • SPRM siasat isu penjualan tanah lapangan terbang

    SPRM siasat isu penjualan tanah lapangan terbang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Pengarah SPRM negeri Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Asmuni Awi semalam.

    “Penyiasatan dimulakan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

    “SPRM akan memanggil beberapa individu yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu yang dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM Meru Raya bagi membantu siasatan penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta.

    Semalam, empat bekas Exco Kerajaan Negeri Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuk Asmuni meminta SPRM melakukan siasatan terperinci kerana mendakwa ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.

    Khamis lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

    Sebelum ini, ADUN Aulong, Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan. – Bernama
     

  • Isteri anggota tentera tikam suami direman 5 hari

    Isteri anggota tentera tikam suami direman 5 hari

    SEORANG isteri yang merupakan Suspek kes tikam anggota tentera di Kem Penrissen, Kota Sentosa, Kota Samarahan, malam kelmarin, direman lima hari sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, permohonan reman dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Sataia Kombi di Mahkamah Kota Samarahan pada jam 9 pagi.

    “Mahkamah membenarkan permohonan itu untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Dalam kejadian itu, seorang anggota tentera maut selepas kehilangan banyak darah akibat kecederaan di paha kiri dipercayai ditikam oleh isterinya.

    Kejadian itu berpunca daripada tindakan isterinya menggertak mangsa menggunakan pisau pemotong sayur sehingga tertikam pada anggota badan mangsa.

    Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

    Difahamkan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun yang kini dijaga keluarga suspek.

    Sudirman berkata, ketika kejadian suspek berada dalam keadaan normal.

  • JPNP kesan lima kes ceroboh hutan simpan dikesan

    JPNP kesan lima kes ceroboh hutan simpan dikesan

    JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan lima kes pencerobohan hutan simpan melibatkan empat daerah di negeri ini bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

    Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, daripada jumlah itu, dua kes ceroboh hutan dikesan hutan simpan di Temerloh.

    Menurutnya, tiga lagi kes melibatkan kawasan hutan simpan di Rompin, Cameron Highlands dan Jerantut.

    “Kita juga merampas tiga unit jentolak dan sebuah motosikal yang digunakan individu terbabit untuk sampai ke kawasan hutan.

    “Pencerobohan ini diketahui hasil rondaan daripada Unit Penguat kuasa JPNP Pahang Barat dan Timur dibantu Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD),” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Jelasnya, sebuah kilang papan yang beroperasi secara haram di Kampung Pulau Santap, Janda Baik, Bentong juga telah disita pada Mac lalu.

    “Kilang terbabit dipercayai menghasilkan kayu bergergaji bersaiz kecil dan sederhana berdasarkan penggunaan mesin bersaiz kecil,” katanya.

    Justeru, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti rondaan di kawasan panas selain turut menggunakan satelit untuk mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di Pahang.

    “Pemantauan kegiatan menceroboh hutan simpan tetap terus dilakukan sepanjang Ramadan.

    “Tidak ada istilah rehat buat anggota penguat kuasa dalam memastikan kesalahan hutan tidak berlaku,” ujarnya.