Category: Jenayah

  • PGA Sibu rampas mercun, bunga api RM150,000

    PGA Sibu rampas mercun, bunga api RM150,000

    CAWANGAN Risik Batalion 10 Pasukan Gerakan Am Sibu merampas 357 kotak pelbagai jenama mercun dan bunga api dalam serbuan ke sebuah premis di Lorong Ding Lik Kong 31A4, Sibu pada 11.45 pagi semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 10 Superintendan Mohammad Hafiz Kadir berkata, barangan kontraban bernilai keseluruhan RM150,500 itu telah dibawa dari Bintulu dengan menggunakan jalan darat dan dipercayai untuk dijual di sekitar Sibu dan daerah berdekatan sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai yang akan datang.

    “Seorang lelaki warga tempatan yang berada di lokasi serbuan ditahan untuk siasatan,” katanya dalam dalam sidang akhbar di Sibu hari ini.

    Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM 10,000.00 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak Januari hingga bulan lepas, Batalion 10 PGA Sibu telah menahan seramai 13 suspek dan berjaya merampas pelbagai barangan termasuk rokok dan minuman keras jenis bir tanpa cukai, kayu balak dan minyak diesel bersubsidi dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM3.3 juta.

    Mohammad Hafiz menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban di pasaran melalui talian hotline 084-211411 pejabat Risik Batalion 10 PGA Sibu. – Bernama

  • Sindiket dadah terbesar tumpas dengan Kematian Pendi Buaya, Nuar Taman

    Sindiket dadah terbesar tumpas dengan Kematian Pendi Buaya, Nuar Taman

    POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu susulan kematian dua suspek dalam kejadian tembak- menembak di Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu, Selasa lalu.

    Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dua penjenayah terbabit dikenali sebagai Pendi Buaya berusia 25 tahun berasal dari Kuala Terengganu manakala seorang lagi digelar Nuar Taman, 29, dari Marang.

    Selain itu katanya, polis turut merampas dua pucuk pistol, peluru, 20 peket dadah jenis syabu seberat lebih 1,000 gram (g) dan 14 botol kecil heroin seberat lebih 67 gram di dalam kereta suspek.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek mempunyai 11 dan lapan rekod jenayah lampau serta aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah di sebahagian besar Terengganu iaitu Marang, Hulu Terengganu, Besut dan kawasan felda sejak 10 tahun lalu.

    “Suspek turut menjalankan kegiatan pengedaran dadah di beberapa negeri lain antaranya Selangor,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Terengganu dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Terengganu hari ini, lapor Sinar Harian.

    Datuk Rohaimi Md. Isa

    Menurut Rohaimi, kedua-dua penjenayah terbabit merupakan suspek utama bagi kes tembak seorang lelaki di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu pada 5 Mac lalu.

    Katanya, hasil siasatan mendapati punca kematian lelaki berkenaan juga berkaitan urusan dadah.

    Selasa lalu, dua penjenayah ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis yang berlaku pada pukul 11.30 pagi.

    Kejadian itu berlaku ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu dan Bukit Aman melakukan rondaan Op Kesan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic yang memandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu.

  • Penyelam hilang: Tekong bot positif dadah

    Penyelam hilang: Tekong bot positif dadah

    TEKONG bot yang membawa empat penyelam warga asing yang dilaporkan hilang ketika selaman di Pulau Tokong Sanggol disahkan positif dadah.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu pada mulanya dipanggil untuk memberi keterangan.

    Bagaimanapun, ujian air kencing menunjukkan individu itu positif dadah jenis methamphetamine.

    “Kami sudah buat ujian saringan air kencing dan didapati dia positif dadah. Dia akan ditahan sehingga siasatan selesai,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di Mersing, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, individu itu yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Mersing, kira-kira pukul 11.30 malam tadi, disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

    Ketika ditanya sama ada terdapat unsur kecuaian dalam kes kehilangan penyelam warga asing itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya kini sedang meneliti semua aspek.

    “Kami akan menyiasat dari segi kelengkapan peralatan menyelam mereka dan juga tempat pusat selam skuba dan sebagainya. Kami akan siasat dan pasukan forensik akan sampai untuk membuat siasatan. Kalau ada sesuatu yang berlaku, kalau ada salah laku dan sebagainya pun, kami akan buat siasatan juga,” kata Kamarul Zaman.

    Turut hadir, Ketua Staf Am 21 Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing Adi Ridzwan Abdullah dan Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum itu meninjau PHC bagi mengetahui status situasi terkini Op Carilamat empat penyelam warga asing itu.

    Pada operasi itu, seramai 90 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk 30 penyelam berserta 18 bot dan dua helikopter telah digerakkan.

    Pencarian yang masuk hari kedua, meliputi kawasan seluas 107 batu nautika radius.

    Pada kejadian tengah hari semalam, mangsa terdiri daripada Kristine Grodem, 35, yang merupakan jurulatih selam warganegara Norway; Alexia Alexandra, 18, (Perancis); Adrian Peter, 46, (British) dan anaknya, Nathen Renze, 14, (Belanda) didapati hilang ketika membuat latihan selaman di pulau berkenaan, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing. – Bernama

  • Tujuh pelajar sekolah gaduh akibat ejek-mengejek

    Tujuh pelajar sekolah gaduh akibat ejek-mengejek

    TUJUH pelajar lelaki terbabit dalam pergaduhan kerana dikatakan mengejek rakan sekolahnya di Sepang, semalam.

    Kejadian pada 10.30 pagi di sebuah sekolah menengah di Sungai Pelek, Selangor itu membabitkan pelajar semasa sesi persekolahan pagi.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pada 11.05 pagi, anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) sekolah itu menerima panggilan dari pengetua sekolah memaklumkan kejadian.

    Menurutnya, dua anggota PPS datang berjumpa pengetua sekolah bersama beberapa orang guru sebelum memberi nasihat dan amaran keras kepada pelajar terbabit.

    Katanya, hasil siasatan anggota PPS bersama guru sekolah itu mendapati pergaduhan berpunca daripada ejek-mengejek seorang pelajar tingkatan empat kepada seorang pelajar tingkatan tiga ketika waktu rehat.

    Menurutnya, pada masa sama, terdapat sekumpulan pelajar membuat provokasi antara satu sama lain namun berjaya disuraikan oleh guru yang berada di lokasi itu.

    Tambah beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan membabitkan pelajar terbabit dan semua pelajar mengakui kesalahan dan tiada laporan polis dibuat.

    “Pada akhir pertemuan ke semua pelajar terbabit pergaduhan berdamai dan berjanji tidak akan mengulangi perkara itu.

    “Pengetua dan pihak sekolah juga tidak membuat apa-apa laporan polis memandangkan kejadian itu tidak membabitkan kecederaan dan akan mengambil tindakan disiplin ke atas semua pelajar yang terbabit,” katanya.

  • PGA rampas mercun, bunga api bernilai RM254,616

    PGA rampas mercun, bunga api bernilai RM254,616

    KEGIATAN penyeludupan mercun dan bunga api semakin berleluasa di mana semalam pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan seorang lelaki dan merampas mercun serta bunga api yang bernilai RM254,616 di Kampung Cabang 3, Bukit Kechil, Gunong, Bachok, Kelantan.

    Rampsan dibuat melalui serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 7 PGA pada pukul 12.30 tengah hari.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azahari Nusi, suspek lelaki berusia 33 tahun tersebut mengaku sebagai penyewa premis perniagaan yang diserbu itu.

    Menurut beliau, bertindak atas maklumat penyeludupan mercun, pasukan PGA membuat pemerhatian terhadap premis perniagaan yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan mercun di lokasi berkenaan.

    Katanya, ketika pemerhatian dijalankan, PGA berjaya menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang mengaku sebagai penyewa premis tersebut.

    “Pemeriksaan lanjut di dalam premis terbabit, kita menjumpai 81 kotak dan 21 guni berisi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM254,616,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Azahari berkata, siasatan awal PGA mendapati mercun berkenaan akan dipasarkan ke Johor dengan proses penghantaran menggunakan lori.

    Ujarnya, mercun itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran Thailand melalui pangkalan haram dan diangkut dalam kuantiti yang kecil dengan menggunakan kereta bagi memudahkan pergerakan serta mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.

    “Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Bachok untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” jelas beliau.

  • ‘Bang Chik’ ditahan terlibat 23 kes pecah tabung surau, masjid di Melaka

    ‘Bang Chik’ ditahan terlibat 23 kes pecah tabung surau, masjid di Melaka

    SEORANG lelaki dikenali sebagai ‘Bang Chik’ ditahan dipercayai terlibat dalam 23 kes jenayah pecah tabung surau dan masjid di sekitar Melaka sejak Januari lepas melibatkan kerugian RM5,650. 

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pantai Puteri, Melaka, dalam Op Tabung kira-kira 12.15 pagi pada 1 April lepas. 

    Beliau berkata, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku melakukan jenayah pecah tabung masjid dan surau di negeri berkenaan melibatkan 16 kes di Melaka Tengah,  Alor Gajah (enam kes) dan Jasin (satu kes). 

    “Beliau melakukan jenayah berkenaan seorang diri antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi dan turut mengaku terlibat dalam jenayah pecah tabung di beberapa masjid dan surau di Negeri Sembilan. 

    “Modus operandi kes ini ialah suspek masuk ke dalam masjid atau surau yang kebanyakannya tidak berkunci sebelum bertindak memecahkan mangga tabung yang diikat pada tiang di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek yang tidak bekerja itu menggunakan duit hasil jenayah untuk perbelanjaan harian, membaiki motosikal dan membeli dadah.

    Katanya suspek yang ditahan reman sehingga hari ini, turut mempunyai 19 rekod  lampau terdiri dari 13 rekod jenayah dan enam rekod dadah.

    Zainol berkata kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan denda. 

    Dalam pada itu, beliau berkata jenayah pecah tabung masjid dan surau meningkat  sebanyak 24 kes kepada 41 kes dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 17 kes dalam tempoh sama tahun lepas. 

    “Peningkatan kes berkenaan menunjukkan trend yang membimbangkan bagi jenayah pecah tabung masjid dan surau di Melaka.


    “Justeru  ‘task force’ Op Tabung telah ditubuhkan bagi mengesan suspek terlibat sekali gus  membanteras jenayah berkenaan daripada terus meningkat,” katanya. – Bernama

  • Juragan hilang, 2 awak-awak selamat, bot karam di perairan Pulau Kapas

    Juragan hilang, 2 awak-awak selamat, bot karam di perairan Pulau Kapas

    SEORANG nelayan, iaitu juragan bot hilang manakala dua yang lain (awak-awak) terselamat apabila bot mereka karam di perairan Pulau Kapas dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli, mangsa yang hilang merupakan tekong (juragan) bot, Wan Mustapha Ayob, 62.

    Menurut beliau, bot nelayan tempatan kelas B dengan nombor pendaftaran TRF 1027 dilaporkan karam pada kedudukan lapan batu nautika dari Pulau Kapas.

    Katanya, kejadian berlaku ketika tiga lelaki berusia antara 48 hingga 62 tahun itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di lokasi berkenaan.

    “Berdasarkan maklumat awal, dua mangsa kecuali tekong sempat diselamatkan kerana memakai jaket keselamatan,” katanya dalam kenyataan, pada hari ini.

    Muhammad Suffi berkata, KM REDANG diatur gerak sejurus Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat.

    Ujarnya, usaha mengesan dan mencari mangsa yang disyaki hilang diteruskan hari ini dengan bantuan nelayan tempatan.

    Justeru katanya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat kecemasan dan salah laku di talian MERS 999 atau 09-6223657 (Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu).

  • PGA tahan empat PATI warga Thailand

    PGA tahan empat PATI warga Thailand

    HASRAT empat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Thailand yang cuba pulang ke negara asal tidak kesampaian apabila ditahan pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah, semalam.

    Anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dan PGA8 yang sedang bertugas mengesan pergerakan mereka pukul 9.14 pagi sebelum menahan semua suspek dalam sebuah Proton Exora kerana sebelum itu dilihat keadaan mencurigakan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota membuat pemeriksaan ke atas pemandu yang juga lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang membawa empat wanita dipercayai PATI warga Thailand berusia 29 sehingga 38 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut pada penumpang mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai cuba masuk ke negara asal melalui pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.

    “Hasil siasatan, kesemua PATI itu dibawa dari Pulau Pinang dan Selangor. Mereka membayar wang yang agak tinggi kepada pemandu yang juga bertindak sebagai ‘transporter’.

    “Lelaki serta empat Pati berkenaan ditahan manakala kereta dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Azhari berkata, turut dirampas ialah enam telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM4,643.

    “Kesemua suspek turut menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan anggota serta pegawai.

    “PGA terus mengetatkan kawalan di sempadan melalui Op Wawasan Kelantan terutama bagi mengekang kemasukan Pati melalui jalan sungai di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

  • Jurujual diperdaya Macau Scam menyamar ‘pegawai LHDN’

    Jurujual diperdaya Macau Scam menyamar ‘pegawai LHDN’

    SEORANG jurujual lelaki mengalami kerugian sebanyak RM15,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada Isnin lalu.

    Sebelum itu mangsa yang berusia 30 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Steven bertugas sebagai pegawai LHDN.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, Steven kemudian memberitahu bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM52,000 iaitu cukai syarikat.

    “Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut. Lelaki itu memberitahu berkemungkinan maklumat pengadu telah disalah guna oleh individu dan menasihati lelaki berkenaan untuk membuat laporan polis.

    “Panggilan telefon mangsa kemudian telah disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan mangsa telah bercakap dengan seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan bagi membuat semakan dan siasatan.

    “Hasil semakan dibuat, ‘sarjan’ berkenaan memberitahu mangsa bahawa telah terlibat pengubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, sekali lagi talian telefon mangsa telah disambung kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

    Pegawai polis itu katanya, kemudian memberitahu bahawa kes jenayah melibatkan mangsa adalah kesalahan besar.

    “Jika ingin mendapatkan bantuan, mangsa perlu berhubung dengan pegawai polis berpangkat Datuk.

    “Datuk tersebut memberikan mangsa pilihan sama ada waran tangkap dikeluarkan atau beliau membuat semakan akaun kerana mangsa dikatakan telah terima wang rasuah dan wang hasil kegiatan jenayah,” katanya.

    Menurutnya, mangsa yang bersetuju membuat semakan akaun kemudian diminta memuat naik aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat semakan, namun dia tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mempunyai kemudahan perbankan internet.

    “Pegawai polis tersebut meminta mangsa pergi ke bank terdekat untuk memohon perbankan internet.

    “Mangsa telah pergi ke Public Bank, Tanah Merah dan telah membuat perbankan internet. Selepas itu, mangsa telah mengisi semula maklumat akaun bank dan perbankan internet sebagaimana mana diminta oleh Datuk tersebut,” katanya.

    Mohd. Wazir berkata, mangsa telah diberitahu supaya menunggu selama 15 minit dan pegawai terbabit akan menghubunginya semula.

    “Mangsa yang berasa curiga dan membuat semakan akaun dapati wang telah berkurangan sebanyak RM15,000.

    “Selepas itu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanah Merah selepas menyedari dia telah ditipu,” katanya.

  • Buruh maut ditikam, suspek ditahan di Pulau Pinang

    Buruh maut ditikam, suspek ditahan di Pulau Pinang

    SEORANG buruh warga Rohingya ditemukan maut dengan kesan tikaman di perut dipercayai dibunuh rakan serumahnya di sebuah rumah di Jalan Bukit Tembok, Seremban, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki berusia 19 tahun itu kira-kira pukul 10 pagi daripada orang awam.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dikatakan menumpang di rumah berkenaan bersama rakan senegaranya yang berusia 40 tahun itu sejak seminggu lepas.

    “Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di laluan menuju dapur rumah itu. Mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia dalam tempoh lima hingga enam jam sebelum itu dan dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam namun belum dipastikan berapa tikaman dan di mana senjata itu berada.

    “Polis juga dimaklumkan suspek yang juga buruh menyewa di rumah berkenaan sejak setahun lepas. Malam tadi, jiran ada dengar pergaduhan berlaku selain majikan suspek ada datang mencarinya di rumah selepas dia tidak hadir ke tempat kerja pagi tadi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Nanda berkata tiada pengesahan sama ada terdapat barang mangsa yang hilang setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Beliau berkata suspek yang melarikan diri sejurus kejadian itu bagaimanapun berjaya diberkas kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi di sebuah kedai pakaian di Jalan Aston, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dipercayai bersembunyi di lokasi terbabit selepas menyedari dirinya diburu.

    Menurut Nanda, suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan mendatangkan kecederaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk proses dokumentasi sebelum dibawa balik ke Seremban untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya.