Category: Jenayah

  • SPRM beku 192 akaun bank bernilai RM39 juta termasuk milik bekas menteri kanan

    SPRM beku 192 akaun bank bernilai RM39 juta termasuk milik bekas menteri kanan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku 192 akaun bank bernilai RM39 juta termasuk milik bekas menteri kanan dan dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri.

    Tindakan dibuat bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), susulan dakwaan penyelewengan dana negara berjumlah anggaran RM2.3 bilion.

    SPRM dalam kenyataannya, berkata dana berjumlah melebihi RM39 juta itu membabitkan 192 akaun terdiri daripada 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

    “SPRM kini sedang giat memperoleh maklumat dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana negara berjumlah anggaran RM2.3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    SPRM berkata, pihak juga menggeledah kediaman bekas menteri kanan dan dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri itu.

    Katanya, dua ahli perniagaan itu juga sudah dirakamkan percakapan.

    “SPRM merakam pernyataan dua individu bergelar Tan Sri berkenaan, selain menggeledah kediaman serta premis-premis berkaitan membabitkan bekas menteri kanan dan ahli perniagaan berkenaan, kelmarin.

    “Kesemua mereka juga sudah diserahkan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bagi tindakan-tindakan itu dan susulan itu beberapa dokumen berkaitan kes yang diperoleh,” katanya.

  • Cuba eksport heroin dengan isytihar produk minuman suplemen

    Cuba eksport heroin dengan isytihar produk minuman suplemen

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah disyaki jenis heroin yang disorok di dalam bekas serbuk minuman suplemen bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, dadah itu dijumpai hasil pemeriksaan ke atas satu kotak bungkusan daripada sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran (kurier) di Kompleks Kargo Udara Kedua, Batu Maung, kira-kira pukul 3.36 petang, Selasa lalu.

    Jelasnya, dadah itu dijumpai disorok di dalam tiga daripada enam bekas serbuk minuman suplemen itu yang cuba dieksport ke luar negara.

    “Anggaran berat keseluruhan serbuk warna putih yang disyaki heroin itu adalah 1.412 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan RM132,375.

    “Berdasarkan hasil risikan dan maklumat, bungkusan itu dipercayai cuba dikirimkan oleh seorang individu ke salah sebuah negara di kepulauan Oceania,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Hamisan, sindiket berkenaan turut mengikrar bahan terlarang itu sebagai sebahagian daripada produk suplemen dalam Borang Kastam 2 (K2) untuk dieksport.

    Jelasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan rotan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

    “Kita telah mengenal pasti identiti pengirim bungkusan tersebut yang dipercayai rakyat tempatan, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • JKDM Pulau Pinang rampas arak, gaharu cuba elak cukai

    JKDM Pulau Pinang rampas arak, gaharu cuba elak cukai

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas minuman keras pelbagai jenama dan beberapa bungkusan plastik berisi kepingan kayu spesis gaharu atau ‘agarwood’ dalam dua pemeriksaan berasingan bulan lalu.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, dalam pemeriksaan pada 8 Mei lalu, kira-kira pukul 10.05 malam, sepasukan anggota kastam dari Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) melakukan pemeriksaan terhadap bagasi milik seorang penumpang warga asing di Balai Ketibaan Antarabangsa lapangan terbang itu.

    Katanya, dalam pemeriksaan itu, sebanyak tiga bungkusan plastik seberat 12.08 kg berisi kepingan kayu spesis gaharu disyaki tidak berkastam bernilai RM33,930 dengan cukai sebanyak RM1,696.50 telah dirampas.

    Jelas beliau, siasatan mendapati, kepingan kayu itu dibawa masuk dari negara jiran bagi tujuan ibadat.

    “Ketika ini, siasatan telah selesai dan penumpang terbabit telah dikompaun serta diarahkan membayar cukai terlibat manakala barang dagangan dirampas dan dilucut hak untuk pelupusan,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menuruut Hamisan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tak berkastam (larangan) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 (mana lebih besar) atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, menurut Hamisan, dalam pemeriksaan pada 29 Mei pula, sebanyak 4,008 botol minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM423,367.50 dengan cukai sebanyak RM694,211.37 turut dirampas.

    Jelasnya, rampasan dilakukan pasukan Kastam Unit Marin Pulau Pinang di sebuah rumah di George Town yang mana dua suspek lelaki tempatan masing-masing berusia 40 dan 70 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

    “Siasatan awal mendapati, rumah tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan minuman-minuman keras yang disyaki tidak berkastam sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import.

    Tambahnya, selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 kerana cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais.

    Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat kastam terdekat.

  • Angkara cemburu: Lelaki warga India tikam teman wanita 18 kali sampai mati

    Angkara cemburu: Lelaki warga India tikam teman wanita 18 kali sampai mati

    GARA-gara cemburu, seorang lelaki warga India tergamak menikam teman wanitanya sehingga 18 kali menggunakan pisang pemotong buah di sebuah kondominium di Kelana Jaya di Petaling Jaya Jumaat lepas.

    Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata semuanya terbongkar selepas suspek yang berusia 30 tahun ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan setelah menceroboh landasan dipercayai untuk membunuh diri, sehari selepas kejadian.

    Beliau berkata suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 petang hingga 6 petang, 2 Jun lalu.

    Menurut Fakhrudin, suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

    “Susulan itu, sepasukan polis telah ke lokasi seterusnya menemukan enam warga asing termasuk seorang wanita selain seorang lelaki tempatan di dalam unit kondominium terbabit,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya,hari ini, lapor Bernama.

    Fakhrudin berkata suspek kemudian menunjukkan bilik mangsa sebelum polis kemudian menemukan seorang wanita dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa selain menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan untuk membunuh.

    Katanya, mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai suami serta anak di India datang ke Malaysia bersama suspek kira-kira tiga bulan lepas menggunakan pas lawatan sosial.

    Mangsa bekerja sebagai pendandan rambut di Kota Damansara manakala suspek sebagai pelayan restoran di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara.

    Beliau berkata suspek bersama tujuh lagi penghuni kondominium berkenaan direman selama tujuh hari sejak 4 Jun lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

  • Dakwaan rasuah libat OCPD: dua Inspektor, seorang koperal pula ditahan

    Dakwaan rasuah libat OCPD: dua Inspektor, seorang koperal pula ditahan

    SURUHNJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan dua pegawai dan seorang anggota polis bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah melibatkan seorang Ketua Polis Daerah (OCPD) di negeri ini.

    SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, inspektor berusia 37 dan 38 tahun serta koperal, 43, itu ditahan bersama seorang lagi lelaki warga tempatan, 37, selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di Kuantan hari ini, lapor BERNAMA.

    Pada Selasa lalu, SPRM menahan ketua polis daerah itu bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah secara bulanan antara RM20,000 hingga RM50,000 yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta sejak tahun 2017 hingga 2022.

    Suapan itu didakwa bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut sekitar daerah berkenaan daripada aktiviti penguatkuasaan yang boleh mengganggu perniagaan mereka.

    Pada kenyataan sama, SPRM juga memaklumkan penahanan dua anggota penguatkuasa imigresen berusia 41 dan 49 tahun untuk membantu siasatan dakwaan menerima rasuah daripada pemilik pusat urut bagi mempercepatkan proses pembaharuan permit kerja warga asing.

    Siasatan dijalankan di bawah seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.

  • Wanita hamil 9 bulan, rakan ditahan larikan gelang emas

    Wanita hamil 9 bulan, rakan ditahan larikan gelang emas

    SEORANG wanita yang sarat hamil sembilan bulan antara dua yang ditahan polis tidak sampai 24 jam selepas melarikan dua utas gelang tangan emas bernilai RM45,000 dari sebuah kedai emas, dekat Arau semalam.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek ditahan berusia 29 tahun dan bekerja sebagai peniaga berasal dari Beseri, Padang Besar.

    “Wanita tersebut ditahan bersama rakannya, 36, dari Simpang Empat, Kangar yang bertugas sebagai pembantu kantin bersama barang kemas.

    “Polis menerima laporan daripada jurujual di sebuah kedai emas di Arau pada pukul 5.25 petang memaklumkan didatangi seorang perempuan yang ingin membeli barang kemas dan mengambil dua utas gelang tangan emas pada pukul 4.20 petang.

    “Wanita tersebut bertindak mengambil dan membelek selama 10 minit sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama rakannya yang menunggu di hadapan kedai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Mohsin berkata, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis berjaya menemui kesan cap jari suspek di lokasi kejadian dan terus memburu mereka.

    Jelasnya, suspek berjaya ditahan di sekitar daerah itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam laporan dibuat.

    “Polis turut menemukan semula dua utas gelang bernilai RM45,000 berada pada salah seorang suspek dan mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Arau Perlis untuk siasatan lanjut,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula Khamis sehingga 10 Jun bagi membantu siasatan.

  • Remaja dibogelkan, dibelasah kerana mahu berhenti sebagai operator

    Remaja dibogelkan, dibelasah kerana mahu berhenti sebagai operator

    SEORANG remaja dipaksa berbogel sebelum dirakam gambar, dibelasah dengan kayu dan tali serta barang peribadi disamun.

    Mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 15 tahun diperlakukan demikian selepas nekad untuk berhenti bekerja sebagai operator sindiket penipuan atas talian, akhir bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan laporan, mangsa menyatakan dia bukan saja dicederakan malah diaibkan serta diperas ugut oleh ‘bosnya’ kerana mahu berhenti bekerja dengan sindiket terbabit.

    Jelasnya, kejadian tersebut dilakukan di sebuah kondominium di Melaka, pada 28 Mei lalu, kira-kira 8 malam.

    “Mangsa membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga dan sepasukan anggota Cawangan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan lima suspek.

    “Suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia 15 hingga 23 tahun di sebuah rumah di Taman Jati, Hang Tuah Jaya, di Melaka pada 31 Mei lalu, pukul 3.45 petang,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, menerusi serbuan itu polis merampas barang kes disyaki senjata digunakan untuk mencederakan dan barang milik mangsa.

    Jelasnya, siasatan lanjut mendapati kumpulan ini menjalankan aktiviti penipuan atas talian pinjaman wang tidak wujud sejak tahun lalu dengan mensasarkan kepada individu yang mempunyai akaun media sosial di serata dunia khususnya warga tempatan.

    “Kumpulan ini menyasarkan jumlah kutipan minimum aktiviti pinjaman tidak wujud sehingga RM20,000 sehari dengan menggunakan apa jua kaedah aplikasi komunikasi telefon seperti WhatsApp dan Telegram,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, lima individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) iaitu mencederakan mangsa dalam tindakan samun yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

    Christopher berkata, susulan penahanan lima individu terbabit, satu operasi pencegahan dilaksanakan dan berjaya menahan 11 individu berusia 18 hingga 22 tahun disyaki menjalankan aktiviti penipuan pinjaman wang tidak wujud di sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Cheng Perdana.

    Menurutnya, seorang lelaki dalang kegiatan penipuan berusia 25 tahun turut diberkas kerana cuba merasuah pegawai kanan polis sebanyak RM60,000 bagi melepaskan semua 11 individu terbabit.

    “Semua 11 individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 KK iaitu kesalahan menipu bagi memperoleh harta orang lain dan boleh dihukum penjara maksimum sehingga 10 tahun serta sebat dan denda.

    “Lelaki yang cuba memberi suapan kepada polis disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

    Christopher berkata, berdasarkan statistik tahun lalu hingga pertengahan 2023, sebanyak 208 laporan polis dibuat ke atas syarikat yang disyaki digunakan sindiket terbabit untuk memperdayakan mangsa yang ingin membuat pinjaman wang.

  • Lelaki terlibat pergaduhan, cederakan anggota polis ditahan

    Lelaki terlibat pergaduhan, cederakan anggota polis ditahan

    SEORANG lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Lebuh Chulia, George Town, Pulau Pinang malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, suspek turut mencederakan anggota polis selain mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota tersebut ketika hendak ditahan.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek juga dipercayai menumbuk muka dan kereta milik orang awam.

    “Pihak polis yang tiba di tempat kejadian telah menangkap suspek, namun semasa tangkapan dilakukan, suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular di media sosial video yang berdurasi tujuh saat memaparkan seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk yang bertindak menumbuk muka dan kereta orang awam di kawasan itu.

    Menurut Soffian, berlaku pergelutan semasa tangkapan dibuat sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan luka di tangan.

    Jelasnya, suspek yang tidak bekerja dan berasal dari George Town itu mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.

    Ujarnya, hasil ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah dan dia direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dari menjalankan kewajipan.

    “Pihak polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

    “Kami juga menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan rakaman video berkenaan kejadian tersebut di mana-mana laman media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

  • Bekas pemain bola sepak kebangsaan belasah awek ditahan

    Bekas pemain bola sepak kebangsaan belasah awek ditahan

    BEKAS pemain bola sepak kebangsaan ditahan kerana mencederakan teman wanitanya dalam kejadian di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pukul 6 petang.

    “Dalam perselisihan faham antara mangsa dan teman lelakinya menyebabkan kecederaan di bahagian badan mangsa.

    “Suspek juga merosakkan telefon bimbit mangsa.

    “Hasil maklumat dan risikan dijalankan berjaya menahan suspek dalam satu serbuan di sebuah hotel di sekitar Petaling Jaya untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu media melaporkan seorang bekas pemain kebangsaan dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka baru-baru ini.

    Menurut sumber, pemain terbabit yang masih aktif beraksi bersama sebuah pasukan terkemuka itu dikatakan sering melakukan perbuatan terbabit sehingga menyebabkan kekasihnya yang juga seorang doktor bertindak mendedahkan perkara itu kepada umum.

    Perbuatan terbabit menyebabkan wanita berkenaan mengalami lebam di tangan dan beberapa kesan calar sebelum mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta.

    Mengulas lanjut, Fakhrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan.

    Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 037966222, katanya.

  • Sindiket jual bayi: JPN sahkan dua pegawai ditahan SPRM

    Sindiket jual bayi: JPN sahkan dua pegawai ditahan SPRM

    JABATAN  Pendaftaran Negara (JPN) hari ini mengesahkan bahawa dua pegawai jabatan itu, merupakan antara beberapa individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Lembah Klang semalam, kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi.

    Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Zamri Misman dalam kenyataan hari ini berkata dua pegawai JPN yang ditahan SPRM itu, disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid.

    Beliau berkata ia hasil kerjasama strategik antara JPN dan SPRM, dengan JPN berkongsikan hasil risikan dalaman yang telah dilakukan kepada SPRM, yang membawa kepada penahanan pegawai terbabit.

    “Jabatan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM, bagi melengkapkan siasatan,” katanya dan menambah JPN sama kali tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kakitangan, yang terlibat dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah.

    Media melaporkan SPRM menahan beberapa individu termasuk doktor pakar dan pegawai JPN, kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi, dengan mereka itu disyaki bersubahat menyediakan dokumen palsu, bagi membolehkan beratus bayi tak sah taraf atau bayi pendatang haram, didaftarkan di JPN.

    Zamri menegaskan bahawa JPN tidak akan melindungi mana-mana kakitangan, yang didapati terlibat dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara, dan tindakan dan hukuman yang setimpal akan dikenakan, sekiranya pegawai yang ditangkap dibuktikan bersalah.

    Beliau berkata JPN sentiasa serius dan komited, memastikan tiada pelanggaran integriti seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen pengenalan diri secara berterusan, serta pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan.

    “Malah siasatan peringkat dalaman secara berkala dan kerjasama berterusan dengan agensi penguat kuasa lain, juga merupakan usaha tidak berbelah bahagi jabatan ini, memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.