Category: Jenayah

  • Kanak-kanak sembilan tahun maut, 3 cedera dalam kemalangan

    Kanak-kanak sembilan tahun maut, 3 cedera dalam kemalangan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut, manakala ibu dan dua adik-beradiknya cedera selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 79 Jalan Gua Musang- Lojing, tengah hari semalam.

    Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa Tuan Nur Amani Tuan Khairul Azhar disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Pos Brooke, Gua Musang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku ketika ibu mangsa yang berusia 32 tahun memandu kereta Perodua Alza dari arah Tanah Rata, Cameron Highlands menghala ke Kengkong Pos Brooke.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu ibu mangsa terbabas ke dalam longkang menyebabkan mangsa tercampak keluar.

    Beliau berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan kepalanya di dalam longkang yang bertakung air dan kesemua mereka dibawa ke Klinik Pos Brooke untuk rawatan awal.

    “Ketika menerima rawatan, mangsa meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut Foo, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa memandu dalam keadaan mengantuk menyebabkan kenderaan itu terbabas.

    Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Berpura-pura jadi pelanggan sebelum larikan barang kemas

    Berpura-pura jadi pelanggan sebelum larikan barang kemas

    BERPURA-PURA menjadi pelanggan sebelum larikan barang kemas. Itu taktik digunakan seorang wanita sebelum melarikan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM10,000 di sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah, Kuala Pilah, semalam.

    Kejadian tersebut berlaku pukul 3.45 petang dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan visual muka suspek tular dalam Facebook.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan, Amran Mohd Ghani berkata, polis menerima maklumat kejadian pukul 8.18 malam daripada jurujual kedai berkenaan.

    “Difahamkan suspek yang berbadan gempal dan mempunyai kulit sawo matang berusia lingkungan usia 30 tahun telah melarikan seutas tangan emas berat 36.76 gram.

    “Berdasarkan rakaman CCTV, suspek telah dibantu seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX warna merah tanpa nombor pendaftaran untuk melarikan diri,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Berdasarkan rakaman CCTV, suspek telah dibantu seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX warna merah tanpa nombor pendaftaran untuk melarikan diri

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang memburu suspek.

    Sehubungan itu katanya, masyarakat yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), menerusi talian 06-4842999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Rokok seludup bernilai hampir setengah juta ringgit dirampas

    Rokok seludup bernilai hampir setengah juta ringgit dirampas

    MARKAS Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) merampas 3,420 karton rokok bernilai hampir setengah juta ringgit yang cuba dibawa masuk menerusi Op Benteng Bersama, di Kampung Sri Aman, Tawau, kelmarin.

    Sebelum itu sepasukan anggota Tim Quick Reaction Force (QRF) yang membuat tinjauan mengesan dua van berwarna putih yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan, kira-kira 9 malam.

    Menurut Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, pemeriksaan awal bagaimanapun mendapati kenderaan terbabit yang sarat dengan muatan rokok seludup dipercayai baru ditinggalkan di kawasan itu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    “Kita mengesyaki kedua-dua kenderaan ini digunakan bagi tujuan membawa dan mengangkut rokok seludup dari Indonesia untuk diedar dan dipasarkan di Tawau.

    “Selain itu, kita juga tidak menolak kemungkinan kegiatan ini turut didalangi warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Abdul Karim berkata, selain rokok seludup, pihaknya turut menyita dua van dianggarkan bernilai RM216,000 yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.

    “Semua barang rampas diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Polis buru ‘orang minyak’ tanpa seurat benang lakukan pecah rumah di Shah Alam

    Polis buru ‘orang minyak’ tanpa seurat benang lakukan pecah rumah di Shah Alam

    SEORANG  lelaki yang berkeliaran bogel bagai ‘orang minyak’ sebelum melakukan jenayah pecah rumah di Shah Alam pada Jumaat giat diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu berlaku di sebuah rumah di Seksyen 20 ketika mangsa seorang wanita sedang tidur bersama anak perempuannya di ruang tamu.

    Menurutnya, mangsa tersedar apabila terdapat cahaya silau mengenai mata mangsa yang sedang tidur menyebabkan mangsa terjaga dan sedar akan kehadiran suspek.

      “Jeritan mangsa menyebabkan suspek segera berlari keluar dari rumah tersebut.

    “Suami mangsa yang tersedar bergegas lari keluar dari dalam bilik tidur menuju kepada isterinya, namun mendapati suspek sudah tiada. Mangsa mengalami kerugian apabila kehilangan wang tunai RM1,600 hasil wang perniagaan dilarikan suspek,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Tambah Mohd Iqbal, pihaknya juga mengesan satu video yang tular memaparkan suspek yang memakai pelitup muka dan berbogel berkeliaran di kawasan perumahan Seksyen 19.

    Katanya, usaha untuk memburu suspek giat dijalankan.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mohd Shafarulrazi di talian 010-8889910 atau 03-55202222,” katanya.

    Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

  • Polis tahan lelaki bantu siasatan kes rogol remaja di Pulau Pinang 12 tahun lepas

    Polis tahan lelaki bantu siasatan kes rogol remaja di Pulau Pinang 12 tahun lepas

    POLIS menahan seorang lelaki semalam bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang, yang berlaku 12 tahun lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata suspek berumur 40 tahun itu ditahan pada 3.30 petang di sebuah ladang ternakan kambing di Balik Pulau.

    Beliau berkata berdasarkan data Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang diambil di lokasi kes rogol 12 tahun lepas, polis telah mengesan identiti suspek.

    “Sehubungan itu, satu operasi dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek dan suspek berjaya ditahan serta direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Pulau Pinang selama enam hari hingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

    “Polis tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehingga berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Abd Jalil berkata polis sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.

    — BERNAMA

  • Tiga individu termasuk wanita ditahan bantu siasatan cuba rempuh polis

    Tiga individu termasuk wanita ditahan bantu siasatan cuba rempuh polis

    POLIS menahan seorang lelaki warga asing serta seorang lelaki dan wanita tempatan selepas disyaki terlibat dalam insiden cubaan merempuh anggota polis di Sungai Long dekat Kajang, Selangor, Selasa lepas.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata ketiga-tiganya yang berusia antara 34 dan 38 tahun ditahan di Bandar Sungai Long kira-kira 12.30 tengah hari semalam hasil pemantauan dan pemeriksaan.

    Beliau berkata dalam kejadian 2.14 pagi itu, tiga anggota polis yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    “Polis kemudian cuba menghentikan kereta itu namun suspek memecut dan memandu secara melulu yang menyebabkan polis mengejar suspek sejauh tiga kilometer.

    “Ketika dikejar, suspek beberapa kali cuba menghimpit polis yang menaiki motosikal dan apabila tiba di sebatang jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak membuat pusingan U serta cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tindakan agresif suspek telah menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta tersebut namun suspek berjaya meloloskan diri.

    Mohd Zaid berkata selain penahanan ketiga-tiga individu itu, polis turut merampas sebuah Perodua Myvi yang mempunyai kesan tembakan disyaki terlibat dalam kes itu.

    Beliau berkata kesemuanya akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam bertugas dan Seksyen 307 kanun sama kerana cubaan bunuh selain polis sedang mengesan beberapa individu lain yang disyaki turut terlibat kes itu.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

    — BERNAMA

  • CEO antara lapan individu ditahan kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion

    CEO antara lapan individu ditahan kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion

    KETUA  Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat dan pemilik syarikat adalah antara lapan individu yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek-projek milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan nilai kontrak dianggarkan melebihi RM2.3 bilion.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka disyaki  terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek GLC berkenaan antara 2017 hingga 2021.

    Sumber itu berkata CEO itu bersama lima yang lain ditahan di ibu pejabat SPRM di sini manakala dua lagi termasuk seorang pemilik syarikat ditahan di SPRM Sarawak semalam, selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

    SPRM hari ini membuat permohonan reman terhadap enam individu di Mahkamah Majistret Putrajaya di Putrajaya dan dua individu di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

    CEO itu dan seorang lagi individu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini manakala empat lagi direman lima hari selepas permohonan reman itu dibenarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Sementara di Mahkamah Majistret Kuching, Majistret Zubaidah Sharkami membenarkan permohonan reman lima hari terhadap pemilik syarikat, dan reman dua hari terhadap seorang pengarah syarikat kejuruteraan.

    Susulan penahanan itu, sumber SPRM itu berkata 12 akaun syarikat dan individu dibekukan selain beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 kenderaan mewah, pelbagai mata wang tunai, jongkong emas, jam tangan mewah dan beg tangan mewah.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA

  • 15 PATI Rohingya berhimpit dalam Toyota Alphard

    15 PATI Rohingya berhimpit dalam Toyota Alphard

    TINDAKAN 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya termasuk dua wanita berhimpit dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard membawa padah, apabila mereka ditahan dalam operasi di pangkalan haram sekitar Bakong, Pasir Mas, Kelantan awal pagi tadi.

    Penahanan dibuat melalui serbuan dilakukan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas selepas menerima maklumat.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai sebagai ‘transporter’ yang mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap PATI.

    Katanya, sebelum ditahan, pihaknya membuat rondaan dan menahan Toyota Alphard berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

    “Ketika proses penahanan, kenderaan itu terbabas dan mengalami sedikit kerosakan dalam cubaan untuk melepaskan diri daripada ditahan.

    “Pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati 15 Pati warga Myanmar termasuk 13 lelaki berusia 14 hingga 43 tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan dan penumpang belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Azhari, hasil pemeriksaan terhadap penumpang mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Bakong.

    Menurutnya, kesemua Pati berkenaan dalam perjalanan ke Machang untuk bekerja dalam sektor pembinaan bangunan.

    Ujarnya, Toyota Alphard dan telefon bimbit masing-masing bernilai RM70,000 serta RM1,000 dirampas.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujar beliau.

  • Didakwa hina polis, pemilik Facebook ‘Ain Singa’ ditahan

    Didakwa hina polis, pemilik Facebook ‘Ain Singa’ ditahan

    GARA-GARA membuat hantaran berbaur hinaan melalui ruangan komen di Facebook terhadap seorang anggota polis trafik, seorang wanita yang dikenali sebagai Ain Singa ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad, wanita berusia 19 yang sudah berkahwin itu meninggalkan komen menghina melalui Facebook ‘Kuala Krai Kini’ selain memuat naik gambar seorang polis trafik sedang menjalankan tugas dengan kapsyen ‘Salam Jumaat.Duk memukat duit BKM ke tu? area wisma koya’.

    Menurut beliau, pemilik akaun Facebook itu dilihat sengaja melontarkan hinaan melalui ruangan komen dengan niat mencemarkan imej polis.

    Justeru katanya, selepas menerima satu laporan, polis bertindak menahan pemilik akaun Facebook Ain Singa itu untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.

    Suzaimi berkata, anggota polis trafik yang dimaksudkan ialah sebahagian daripada kekuatan penugasan Snap Check Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Krai yang sedang bertugas di Jalan Ah Sang, Kuala Krai pada 1 April lalu.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen dan maklumat salah, tidak beretika dan berhemah melalui aplikasi media sosial demi kesejahteraan semua pihak.

    “Orang ramai boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima atau mengesan sebarang kenyataan yang meragukan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Tiga anak lotong hampir jadi mangsa penyeludupan

    Tiga anak lotong hampir jadi mangsa penyeludupan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERMINTAAN tinggi terhadap anak lotong atau nama saintifiknya ‘Trachypithecus cristatus’ sebagai haiwan peliharaan mendorong sesetengah pihak cuba menyeludup haiwan itu walaupun ia salah di sisi undang-undang.

    Bagaimanapun, hasrat seorang lelaki yang dipercayai mahu menjual haiwan eksotik tersebut tidak berjaya apabila dia dicekup polis bersama-sama tiga ekor anak lotong berwarna emas di Jalan Dr. Ismail, Mersing, semalam.

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, sepasukan pegawai dan anggota pasukan itu bersama anggota Balai Polis Mersing menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam sebelum melakukan serbuan.

    “Hasil pemeriksaan telah menemukan tiga ekor anak lotong dalam sebuah sangkar plastik yang berada di bahagian belakang tempat duduk penumpang sebuah kereta.

    “Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun yang mengaku sebagai pemilik kereta berkenaan bagi membantu siasatan atas kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

    “Semua rampasan telah dibawa balik ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Muhd. Zailani, anggaran kasar nilai jualan seekor anak lotong boleh mencecah RM500 dan kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perhilitan Mersing untuk tindakan susulan.

    “Kita menyeru kerjasama orang ramai untuk terus menyalur sebarang maklumat kegiatan yang menyalahi undang-undang dalam membantu pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah.

    “PPM sentiasa bekerjasama dengan balai polis yang berhampiran bagi mengekang kegiatan ini. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 07-2372222,” katanya.