Category: Jenayah

  • Lelaki bertuala ditemui mati di tepi jalan raya

    Lelaki bertuala ditemui mati di tepi jalan raya

    MAYAT lelaki yang hanya mengenakan tuala ditemukan dipercayai digilis kenderaan di Kilometer 19, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa dipercayai digilis kenderaan berat dan mayatnya ditemui orang awam
    dengan kesan kecederaan parah.

    “Keputusan bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik mendapati, tiada kesan tusukan senjata ke badan mangsa sekali gus menafikan terdapat unsur jenayah dalam kes ini.

    “Hasil bedah siasat juga mendapati, punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah akibat dilanggar,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurut beliau, tiada dokumen pengenalan diri ditemui selain tiada laporan polis diterima membabitkan kehilangan mangsa.

    “Kami masih mengenal-pasti identiti mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Polis tahan Fahmi Reza, dipercayai satira hina institusi raja

    Polis tahan Fahmi Reza, dipercayai satira hina institusi raja

    POLIS menahan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza dan melakukan soal siasat berkenaan lakaran satira yang dipercayai menghina institusi diraja.

    Perkara itu dimaklumkan beliau dalam satu ciapan di Twitter miliknya hari ini.

    Katanya, kertas siasatan tersebut akan dibuka di bawah Akta Hasutan dan perkara tersebut diketahui apabila beliau mendapat satu panggilan telefon dari pejabat polis Bukit Aman.

    “Aku dah terima panggilan telefon dari polis Bukit Aman. Tak sampai 15 jam, polis dah buka kertas siasatan bawah #AktaHasutan dan #AktaSakitHati kerana grafik satira #beruk yang aku post malam tadi.

    “Polis minta datang balai untuk disoal siasat petang ini juga. Kita jumpa kejap lagi PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Semalam, Fahmi sekali lagi hangat diperkatakan di media sosial apabila melakar satira yang dipercayai bertujuan menghina institusi diraja.

    Hantaran itu telah mencetus pelbagai persepsi terutama pengguna media sosial.

    Majoriti netizen di ruangan komen meluahkan rasa marah dengan menganggap bahawa perkara tersebut keterlaluan.

  • Penjaga spa mengaku tidak bersalah abai, buang mayat bayi

    Penjaga spa mengaku tidak bersalah abai, buang mayat bayi

    SEORANG penjaga spa mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan hari ini atas dua pertuduhan, membabitkan pengabaian kanak-kanak di bawah peliharaannya dan menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan membuang mayat seorang bayi pada minggu lepas. 

    Chong Kim Fui, 43, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Chong Yi Sing (tidak daftar kelahiran), telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara memberi minum susu dan membiarkannya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu sesak nafas. 

    Kim Fui membuat pengakuan itu, sebaik pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa dalam Bahasa Mandarin terhadapnya di hadapan Hakim Noridah Adam di Mahkamah Sesyen Klang.

    Kim Fui didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium, Jalan Batu Tiga Lama, Klang pada 6 April 2022, jam lebih kurang 3 petang hingga 8 malam.

    Dia dituduh di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh di hukum di bawah Seksyen 31 (1) Akta yang samam dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Abd Raoff mencadangkan kepada mahkamah untuk menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjaminm dan tertuduh diminta untuk tidak menganggu saksi kes itu.

    Kim Fui yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon agar jumlah itu dikurangkan memandangkan dia hanya mempunyai pendapatan sekitar RM2,000 ke RM3,000 sebulan.

    Hakim Noridah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi-saksi lain. Kes akan disebut semula 30 Mei nanti.

    Manakala di Mahkamah Majistret Klang, Kim Fui membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat seorang bayi pada Khamis lepas, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha.

    Mengikut pertuduhan, Kim Fui didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan membuang mayat seorang bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita warga asing, yang mana bayi itu telah mati selepas dilahirkan.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 7 April 2022 di tempat pembuangan sampah di kondominium, Jalan Batu Tiga Lama, Klang pada jam 4 pagi. 

    Kim Fui ituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang mana boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi (repeat Nuruljannah) mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh melaporkan diri ke balai polis berhampiran.

    Peguam Lau Yih Ying yang mewakili tertuduh, meminta agar wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dan memohon sebulan sekali untuk anak guamnya melaporkan diri di balai polis sekiranya ada keperluan. 

    Mahkamah menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran. Kes di sebut semula pada 30 Mei nanti.

    Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan seorang wanita warga asing dan teman lelakinya pada Khamis, susulan penemuan mayat bayi lelaki yang dianggarkan berusia empat bulan di tempat pembuangan sampah, di sebuah kondominium di Klang.– Bernama

  • Lebih 3 tan gelatin lembu dari China dirampas

    Lebih 3 tan gelatin lembu dari China dirampas

    LEBIH tiga tan atau 3,000 kilogram (kg) gelatin lembu dari Shandong, China yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang.

    Rampasan barang dagangan bernilai kira-kira RM40,322 itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin Maqis Pulau Pinang di Terminal Kargo Zon Bebas Butterworth (BWCT) di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth.

    Maqis Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, produk yang dimuatkan di dalam kontena atau kargo itu dirampas kerana disyaki dibawa masuk tanpa menggunakan permit import Maqis yang sah.

    Sehubungan itu katanya, kesemua dagangan tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].

    “Sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambah kenyataan itu, Maqis Pulau Pinang sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara ini bagi memastikan keluaran pertanian tersebut sama ada komoditi pertanian, ikan dan haiwan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

    Katanya, ini bagi menjamin keselamatan makanan serta bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat.

  • Polis sahkan OKT mati mengejut dalam lokap di Kajang

    Polis sahkan OKT mati mengejut dalam lokap di Kajang

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan, mati mengejut dalam tahanan di lokap Balai Polis Kajang, Selangor, semalam.

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata lelaki berusia 45 tahun itu, telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Beliau berkata, Orang Kena Tahan (OKT) itu tiada penjamin, dan ditumpangkan di Lokap Balai Polis Kajang sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang, Kuala Lumpur, bagi tahanan reman.

    “(Namun) Pada 13 April (semalam) jam 10.32 pagi, anggota bertugas lokap dimaklumkan OKT disyaki sawan dan telah menghubungi pihak hospital. Pihak hospital telah hadir jam 10.45 pagi bagi membuat pemeriksaan, dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Semasa dalam perjalanan ke hospital, penolong pegawai perubatan mengesahkan OKT telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau juga memaklumkan, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut. – Bernama

  • Kontraktor wanita rugi hampir RM300,000 diperdaya ‘pegawai insurans’

    Kontraktor wanita rugi hampir RM300,000 diperdaya ‘pegawai insurans’

    SEORANG kontraktor wanita dari Beaufort kerugian RM294,118 selepas terpedaya dengan panggilan telefon yang menggunakan taktik ‘Macau Scam’, lima bulan lalu.

    Mangsa yang juga warga emas menyedari ditipu apabila cuba membuat pengeluaran dari bank akaun miliknya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, berdasarkan laporan, mangsa, 60, mendakwa menerima panggilan daripada orang tidak dikenali pada 12 November lalu.

    Katanya, pemanggil berkenaan mengaku sebagai pegawai insurans dan mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans sebanyak RM75,000 yang mencurigakan.

    “Panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu nama mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

    “Untuk ‘membersihkan’ nama, mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baharu kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Yusoff Zaki berkata, mangsa turut diminta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan selain diarahkan supaya memberikan nombor akaun, nombor PIN dan kata laluan bank milik mangsa.

    Katanya, mangsa turut diberi peringatan supaya tidak mengemas kini akaun milik mangsa serta tidak berhubung dengan orang lain kononnya bagi tujuan supaya tidak mengganggu siasatan polis.

    “Bagaimanapun, selepas lima bulan, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila mendapati wang miliknya lesap ketika cuba membuat pengeluaran wang dari akaun bank, semalam.

    “Mangsa terus membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Upah RM800 seludup masuk mercun, seluar jeans

    Upah RM800 seludup masuk mercun, seluar jeans

    SEORANG lelaki mengaku menerima upah sebanyak RM800 bagi penghantaran sejumlah 264 kotak mercun dan 425 helai seluar jeans bernilai RM52,500, dari pangkalan haram di Pasir Mas ke Kota Bharu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, perkara itu didedahkan suspek ketika soal siasat selepas ditahan di Sekatan Pintas Serongga dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

    Beliau berkata, sebelum itu suspek berusia 30 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra dalam keadaan mencurigakan itu ditahan pada pukul 4.45 petang.

    “Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas MPV itu telah menjumpai mercun sebanyak 264 kotak dan 425 helai seluar jeans.

    “Semua barangan seludup itu telah disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan bonet belakang kenderaan tersebut.

    “Hasil siasatan awal mendapati suspek menerima upah sebanyak RM800 bagi satu trip penghantaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, kesemua barangan tersebut dipercayai di seludup dari Thailand melalui pangkalan haram untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu.

    “Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM69,500.

    “Kesemua rampasan termasuk suspek telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut. Kes disisat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini,” katanya.

  • Dua ahli PSM ditahan disyaki ganggu ketenteraman awam

    Dua ahli PSM ditahan disyaki ganggu ketenteraman awam

    POLIS menahan dua lelaki dipercayai ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) kerana mengganggu ketenteraman awam dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di sebuah lot tanah persendirian di Chepor, Chemor, Ipoh, hari ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan bahawa terdapat sekumpulan lelaki menghalang dan mengganggu kerja-kerja pembersihan tanah serta mengancam keselamatan pekerja pemilik tanah berhampiran Taman Chepor Impian itu pada pukul 8.35 pagi.

    “Pasukan polis telah dihantar ke lokasi berkenaan dan kumpulan lelaki itu gagal membuktikan hak pemilikan ke atas tanah tersebut dan pegawai polis bertugas menasihatkan mereka supaya bersurai bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini sedangkan mereka juga telah melakukan kesalahan pencerobohan.

    “Setelah mendengar nasihat pihak polis, kebanyakan orang awam yang berkumpul di sana akur dan bersurai lalu beredar dari tempat kejadian namun dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai ahli PSM itu enggan bekerjasama dan tidak mahu beredar dari tempat kejadian malah melakukan provokasi kepada pegawai polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan dengan itu, beliau berkata, pihak polis terpaksa menjalankan tangkapan ke atas kedua-dua individu berkenaan di bawah Seksyen 186 dan 447 Kanun Keseksaan setelah memberi amaran sebanyak tiga kali bagi mengelakkan mereka terus menghasut orang ramai mengganggu ketenteraman awam dan pencerobohan.

    Terdahulu, laman Twitter rasmi PSM hari ini memuat naik gambar di lokasi kejadian dan memaklumkan aktivis parti itu ditahan polis apabila sedang mempertahankan tanah pertanian petani di Chepor Impian dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. – Bernama

  • Pengarah syarikat, ketua pegawai pentadbiran ditahan guna butiran palsu tuntut RM176,800

    Pengarah syarikat, ketua pegawai pentadbiran ditahan guna butiran palsu tuntut RM176,800

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menggunakan butiran palsu bagi membuat tuntutan berjumlah RM176,800 pada 2020 dan 2021.

    Sumber memaklumkan, lelaki tersebut yang merupakan pengarah syarikat pertanian berusia 32 tahun ditahan pukul 11.18 pagi di Pejabat SPRM Kedah manakala wanita tersebut yang merupakan Ketua Pegawai Pentadbiran syarikat sama, ditahan kira-kira pukul 11.07 pagi di lokasi sama.

    “Kedua-dua mereka diyaki mengemukakan laporan mengandungi butiran palsu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkaitan senarai peserta Program Mobiliti Tenaga Kerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan tidak menepati syarat dalam perjanjian ditandatangani.

    “Kedua-dua mereka disyaki telah memalsukan butiran peserta program bagi tujuan tuntutan bernilai RM176,800,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua individu tersebut akan dirakam kenyataan mereka sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

    “Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Lelaki samun bank, hadapi pertuduhan bunuh anggota polis

    Lelaki samun bank, hadapi pertuduhan bunuh anggota polis

    SEORANG lelaki yang terbabit kes rompakan dan menembak mati pengawal van keselamatan di sebuah bank di Subang Jaya bulan lepas, kini turut menghadapi pertuduhan membunuh seorang anggota polis.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata tangkapan lelaki berusia 38 tahun itu berjaya merungkaikan kes pembunuhan anggota polis yang sedang bertugas di balai polis Pinggiran USJ, Subang Jaya pada 2017.

    “Kehilangan pistol milik anggota itu juga terjawab dengan rampasan sepucuk pistol semiautomatik jenama Walther P99 daripada tertuduh dan siasatan mendedahkan pistol yang sama digunakan dalam kes rompakan bank yang melibatkan tertuduh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abd Jalil berkata lelaki itu berdepan tujuh pertuduhan iaitu menembak mati pengawal keselamatan, cubaan membunuh, dua pertuduhan memiliki senjata api dan tiga pertuduhan samun bank bersenjata api sekitar Subang Jaya dan Shah Alam, Selangor.

    “Pertuduhan dibuat di Mahkamah Shah Alam hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, selain Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

    Katanya, bagi pertuduhan memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol semiautomatik jenama Walther P99, lelaki tersebut didakwa mengikut peruntukan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan.

    Bagi pertuduhan kedua memiliki senjata api, Abd Jalil berkata tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan. 

    Pada 11 Mac lepas, lelaki itu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian merompak dan menembak mati pengawal van keselamatan.

    — BERNAMA