Category: Jenayah

  • Polis bongkar bangunan pejabat dijadikan ‘mini kasino’

    Polis bongkar bangunan pejabat dijadikan ‘mini kasino’

    SINDIKET judi kini menggunakan modus operandi baharu apabila menyewa ruang pejabat di bangunan bertingkat untuk dijadikan ‘mini kasino’.

    Bagaimanapun taktik tersebut terbaru itu dibongkar Bukit Aman susulan operasi dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Subang Jaya, awal pagi kelmarin.

    Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sindiket berkenaan didapati menyewa ruangan terbabit dengan harga RM4,000 sebulan.

    Menurutnya, hasil siasatan awal, sindiket sudah membayar sewa selama setahun kepada pemiliknya untuk menduduki premis berkenaan.

    “Ini adalah modus operandi terbaharu sindiket perjudian yang kita berjaya bongkar. Kita tidak menolak kemungkinan ada lagi kumpulan lain menggunakan taktik sama bagi mengaburi mata polis.

    “Operasi mereka juga ketat kerana hanya individu tertentu dibenarkan masuk dan bermain di dalam premis itu namun kami berjaya membuat serbuan hasil penyamaran,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Noor berkata, dalam serbuan itu, seramai 16 kaki judi berusia 20 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita ditahan di lokasi terbabit.

    “Siasatan mendapati sindiket akan beroperasi selama 24 jam sehari namun hanya dibuka sekitar empat ke lima hari dalam seminggu.

    “Berdasarkan siasatan juga, sindiket ini mengaut keuntungan sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sehari,” katanya.

    Katanya, semua suspek yang ditahan kini reman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    “Pemilik premis dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan memeriksa perniagaan yang dijalankan penyewa bagi mengelakkan risiko didakwa kerana bersekongkol,” katanya.

  • Penunggang basikal warga emas maut dirempuh kereta terbabas

    Penunggang basikal warga emas maut dirempuh kereta terbabas

    GARA-GARA sebuah kereta terbabas, seorang penunggang basikal maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Benta-Jerantut, Lipis, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor, mangsa, Mohamad Awang, 66 dari Kampung Kemahang Benta meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis.

    Menurutnya, pemandu kereta, Mohd. Yunus Harun, 62 dari Kampung Jeransang, Benta tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun menunggang basikal dalam perjalanan dari arah Benta menghala ke Jerantut.

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu penoreh getah (Mohd. Yunus) dari arah Jerantut menghala ke Benta hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Azli, mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

    Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pukul 5.42 petang ketika menerima rawatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Rampas dadah pelbagai jenis RM4.6 juta, tahan 7 suspek

    Rampas dadah pelbagai jenis RM4.6 juta, tahan 7 suspek

    POLIS merampas 101.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 19 kg pil kuda serta empat liter ubat batuk bernilai RM4.6 juta dan menahan tujuh suspek dalam enam serbuan di Kelantan pada Jumaat dan Sabtu lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek berumur 25 hingga 46 tahun termasuk sepasang suami isteri itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

    Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup masuk bekalan dadah melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan, dan kegiatan mereka dipercayai mulai aktif sejak Dis lepas.

    “Saringan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek itu negatif dadah, namun seorang suspek didapati mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Kesemua mereka ditahan reman hingga 22 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Ketua JSJN Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar.

    Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 602,540 orang penagih dadah.

    “Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988 dan JSJN setakat ini telah menyita pelbagai aset sindiket ini yang dianggarkan bernilai RM538,943.50 termasuk 11 buah kenderaan, pelbagai barang kemas, jam tangan, telefon bimbit, beg berjenama dan wang tunai.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah berjumlah RM6,143,343.50 dan hasil operasi kali ini JSJN telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini untuk pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang dikesan dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya. – BERNAMA

  • Isu jual tanah lapangan terbang: SPRM rakam keterangan 10 saksi

    Isu jual tanah lapangan terbang: SPRM rakam keterangan 10 saksi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah merekodkan keterangan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, mereka terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan kerajaan negeri, bekas Exco kerajaan negeri serta pegawai Pejabat Tanah dan Galian.

    “Seorang Ahli Lembaga Pengarah PKNP merangkap bekas Penasihat Undang-Undang Negeri juga telah dirakam kenyataannya. SPRM hari ini akan merakam keterangan seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah PKNP yang turut hadir dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah berkaitan perbincangan penjualan tanah PKNP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya dijangka merakam kenyataan seorang lagi saksi penting dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian.

    Menurutnya, setakat ini tiada penahanan terhadap mana-mana individu yang dikatakan terlibat dengan kesalahan berkaitan penjualan tanah lapangan terbang itu dan siasatan masih menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan dan lain-lain kesalahan di bawah akta itu.

    Sebelum ini, Mohd Fauzi dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan susulan aduan rasmi diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Datuk Asmuni Awi pada 5 April lepas.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pula dilaporkan berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional, ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa. – BERNAMA

  • Indonesia tamat misi mencari penyelam remaja hilang

    Indonesia tamat misi mencari penyelam remaja hilang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SETELAH hampir dua minggu hilang dan tidak dapat dikesan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia, operasi mencari penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renze Chesters, 14, ditamatkan berkuat kuasa petang semalam.

    Nathan yang sebelum ini hilang bersama tiga penyelam Eropah lain termasuk bapanya, Adrian Peter Chesters, 46, dipercayai hanyut ke perairan Indonesia selepas beberapa hari berada di perairan Mersing.

    Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia yang mengambil alih tugas mencari berkenaan daripada pihak berkuasa memaklumkan, tiada sebarang petunjuk atau penemuan mangsa sepanjang tujuh hari operasi.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, Pusat Operasi Basarnas Tanjung Pinang mengumumkan penutupan operasi yang bermula pada 10 April lalu di sektor perairan Indonesia.

    “Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga memaklumkan kepada pihak kedutaan Britain dan Belanda mengenai laporan tamat Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Nathan sebelum ini disahkan sudah meninggal dunia oleh bapanya yang diselamatkan nelayan dipercayai akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan setelah beberapa hari berada di lautan.

    Empat penyelam tersebut sebelum ini hilang ketika menyelam bagi mendapatkan lesen Advance Open Water dan tidak timbul semula ke permukaan selepas satu jam melakukan aktiviti berkenaan berhampiran Pulau Tokong Sanggol pada 6 April lalu.

    Kawasan operasi mencari dan menyelamat remaja berkenaan yang hilang sehingga kini

    Bagaimanapun, jurulatih selam, Kristine Grodem, 35, warga Norway ditemukan kira-kira 30 batu nautika dari lokasi terakhir oleh bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, pada pukul 8.15 pagi keesokan harinya.

    Manakala, Adrian dan seorang lagi penyelam warga Perancis, Alexia Alexandra Mollina, 18, diselamatkan nelayan Indonesia yang sedang menangkap ikan berhampiran Pulau Bintan, Indonesia pada 9 April lalu.

    Sementara itu, Khairul Nizam berkata, Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa negara itu melibatkan sebuah kapal milik Tentera Nasional Indonesia, Badan Keamanan Laut Indonesia, Polis Perairan Indonesia dan sebuah kapal Basarnas.

    Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat sepanjang operasi tersebut.

    “Diharapkan kerjasama dalam kalangan jabatan dan agensi terlibat terus diperkukuh agar keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim di perairan negara kekal terjamin,” katanya.

  • Sindiket jual diesel subsidi untuk kapal terbongkar, lebih RM1 juta minyak dirampas

    Sindiket jual diesel subsidi untuk kapal terbongkar, lebih RM1 juta minyak dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan tiga lelaki dan merampas diesel bersubsidi bernilai lebih RM1 juta di Taman Kota Puteri, Masai, Pasir Gudang semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan pada 12 tengah hari di premis berkenaan selepas mendapat maklumat dan berdasarkan risikan.

    Beliau memberitahu, tiga suspek berkenaan terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia dalam lingkungan 36 hingga 40 tahun.

    PGA merampas 51 tong lutsinar kapasiti 1000 liter setiap tong; empat mesin pum eletrik; minyak diesel bersubsidi anggaran jumlah keseluruhan 43,000 liter; dua set hos getah lutsinar; tiga treler dan sebuah lori tiga tan.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dua mesin ‘flow meter’ mendapati jumlah diesel yang telah dipam ke dalam tangki telah melebihi 1 juta liter.

    “Siasatan awal yang dilakukan juga mendapati suspek telah menjual minyak diesel dengan harga RM3.85 per liter kepada pengguna kapal di sekitar Klang, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya merampas 51 tong lutsinar kapasiti 1000 liter setiap tong; empat mesin pum eletrik; minyak diesel bersubsidi anggaran jumlah keseluruhan 43,000 liter; dua set hos getah lutsinar; tiga treler dan sebuah lori tiga tan.

    Katanya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1,427,350 dan sindiket itu dipercayai sudah beroperasi sejak dua minggu lalu.

    Jelasnya, modus operandi mereka ialah mendapatkan bekalan dari stesen minyak sekitar Johor Bahru dengan membeli diesel secara pukal.

    “Mereka beli secara pukal dan mengikut had yang ada di stesyen minyak menggunakan lori tangki kecil lalu di kumpulkan di premis ini untuk proses penghantaran ke Klang mengggunkan lori tangki besar. Biasanya mereka telah berpakat dgn stesen-stesen minyak terpilih.

    Sindiket berkenaan membeli secara pukal dan mengikut had yang ada di stesyen minyak menggunakan lori tangki kecil lalu di kumpulkan di premis berkenaan

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar daerah Johor Bahru dan Klang, Selangor,” katanya.

    Beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

  • TLDM usir 21 bot nelayan asing ceroboh perairan negara

    TLDM usir 21 bot nelayan asing ceroboh perairan negara

    TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengekang cubaan pencerobohan 21 bot nelayan asing dari memasuki perairan negara berhampiran Pulau Perak, Lumut semalam.

    Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, kapal TLDM melakukan pengusiran selepas bot nelayan tersebut cuba mengaut hasil laut negara

    Menurut TLDM, kapal KD Jebat menerusi Op Benteng Laut menjalankan pemantauan di sekitar perairan selatan Pulau Perak pukul 4.30 petang.

    “Pesawat B200T (RMF 377) milik telah berjaya mengesan keberadaan 21 bot nelayan asing dinyatakan di dua posisi berbeza iaitu pada 36 batu nautika selatan Pulau Perak dan 40 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

    “Penyaluran maklumat pantas menerusi Maritime Component Commander (MCC) Barat kemudiannya telah mengatur gerak aset yang terhampir iaitu KD Jebat untuk ke lokasi pengesanan awal bot.

    “Sebaik tiba di posisi pengesanan, tindakan awal pengusiran dilakukan ke atas tiga bot nelayan asing sehingga kekal meninggalkan sempadan perairan negara.

    “Baki 18 lagi bot nelayang asing dilaporkan telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan negara,” menurut kenyataan tersebut, lapor Sinar Harian.

    Jelas kenyataan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

    “TLDM bersama agensi penguat kuasa yang lain sentiasa memperkasakan kesiagaan aset-aset Op Benteng Laut demi menjaga perairan dan kedaulatan negara,” katanya.

  • Dua lelaki cuba langgar polis, tembakan dilepaskan

    Dua lelaki cuba langgar polis, tembakan dilepaskan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS Kedah kini giat memburu dua lelaki yang melarikan diri daripada dikejar, dalam kejadian yang turut menyaksikan beberapa das tembakan dilepaskan di Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi semalam ketika tiga anggota dari Balai Polis Tikam Batu melaksanakan penugasan pemeriksaan mengejut di kawasan Permatang Merbau.

    Menurutnya, ketiga-tiga anggota itu kemudiannya mengarahkan sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki empat lelaki untuk berhenti.

    “Arahan tersebut bagaimanapun langsung tidak diendahkan dengan kenderaan terbabit hampir melanggar anggota polis terlibat.

    “Polis kemudiannya mengejar kenderaan tersebut yang dipandu secara merbahaya, hingga melanggar beberapa kenderaan awam di situ,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian itu bagi mengarahkan kenderaan tersebut berhenti demi keselamatan awam.

    “Mereka bagaimanapun dapat meloloskan diri dan seorang anggota polis cedera dalam kejadian itu,” katanya.

    Tambahnya, polis kemudiannya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 41 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    “Dalam masa sama, kami kini giat memburu dua lagi lelaki iaitu Muhammad Hakim Hakimi Abd Rahim, 19, atau lebih dikenali sebagai ‘Bob’ dan Muhammad Fakrul Aize Rofizan, 23, berhubung kejadian itu.

    “Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah diisytiharkan penjawat awam,” katanya.

  • Polis lepaskan 5 das tembak henti kereta dinaiki penjenayah

    Polis lepaskan 5 das tembak henti kereta dinaiki penjenayah

    POLIS  terpaksa melepaskan lima das tembakan ketika cuba menghentikan sebuah kereta dinaiki empat lelaki di kawasan Pasar Awam Tikam Batu, Sungai Petani hari ini.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila kereta jenis Proton Wira terbabit dipandu secara berbahaya sewaktu cuba meloloskan diri daripada polis ketika diminta berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, kereta dinaiki empat lelaki itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota yang melakukan pemeriksaan di Jalan Permatang Merbau, Sungai Petani.

    Bagaimanapun, katanya ketika diminta berhenti untuk tujuan pemeriksaan, pemandu kereta terbabit terus memecut menghala pasar awam berhampiran.

    Beliau berkata, suasana di pasar terbabit agak sibuk ketika itu dan suspek terpaksa berhenti akibat kesesakan jalan.

    “Ketika itu anggota polis cuba menghampiri dan merampas kunci kereta, namun berlaku pergelutan. Pergelutan menyebabkan seorang anggota polis mengalami luka di siku,” katanya lapor Berita Harian.

    Anuar berkata, anggota polis melepaskan lima das tembakan bagi menghalang suspek daripada melarikan diri, namun mereka tetap memecut kenderaan.

    “Setakat ini, kita masih mengesan semua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam keadaan kelam kabut untuk meloloskan diri itu, suspek turut merempuh beberapa kenderaan awam di kawasan terbabit.

  • Cemburu dipercayai punca lelaki warga Bangladesh dibunuh

    Cemburu dipercayai punca lelaki warga Bangladesh dibunuh

    MOTIF utama kes pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditemui mati di tepi Jalan Sepang Salak, Sepang, pagi semalam, dipercayai akibat cemburu dan dendam.

    Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berikutan itu polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia antara 24 hingga 50 tahun di sebuah rumah di Padang Jawa Shah Alam, hari ini.

    “Ketiga-tiga suspek ditahan pada pukul 1 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit. Penahanan dibuat susulan maklumat seorang individu di Shah Alam yang mendakwa mengenali mangsa.

    “Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggotanya pergi ke Taman Sri Muda, Shah Alam untuk bertemu dengan individu terbabit, iaitu seorang remaja warga asing berusia 16 tahun.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang mempunyai tiga anak dan juga isteri kepada seorang warga asing.

    “Pada 2020, suami wanita itu pulang ke negara asal lebih kurang setahun dan kembali semula ke Malaysia pada Ogos tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Wan Kamarul berkata, suami wanita itu mendapat tahu isterinya berkawan dengan mangsa menyebabkannya marah dan menceraikan isterinya.

    Katanya, sepupu mangsa juga mendakwa sebelum ini lelaki itu turut memarahinya kerana mangsa rapat dengan bekas isterinya.

    Ketika tangkapan katanya, polis turut merampas tiga telefon bimbit dan siasatan juga mendapati salah seorang daripada mereka tidak ada dokumen pengenalan diri.

    Semalam, media melaporkan penemuan mayat lelaki dipercayai dibunuh dalam keadaan terbaring dengan luka pada perut serta tangannya berikat kabel wayar di tepi Jalan Sepang-Salak.