Category: Jenayah

  • 398 daripada 528 Rohingya lari dari depot ditahan semula

    398 daripada 528 Rohingya lari dari depot ditahan semula

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 398 daripada 528 etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen di Relau, Bandar Baharu semalam, sudah pun ditahan semula setakat pukul 5 pagi tadi.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 192 lelaki, 75 wanita, 63 kanak-kanak lelaki serta 60 kanak-kanak perempuan.

    “Setakat ini, dua individu disahkan cedera melibatkan seorang lelaki yang dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan seorang perempuan yang dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

    “Manakala baki mereka yang belum ditemui adalah seramai 130 orang terdiri daripada 99 lelaki dewasa, 21 perempuan dewasa, lima kanak-kanak perempuan dan lima kanak-kanak lelaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu katanya, kesemua yang ditahan tersebut kini dipindahkan ke beberapa depot lain dalam tempoh 24 jam bagi tujuan keselamatan.

    “Seramai 144 individu dipindahkan ke Depot Semenyih di Selangor, 100 ke depot Langkap di Perak dan 104 ke Depot Machap Umboo di Melaka.

    “Selain itu, seramai 100 lagi individu dipindahkan ke Depot Bukit Jalil dan jumlah keseluruhan yang dipindahkan adalah seramai 448 orang,” katanya.

  • Dua depot imigresen aktifkan sistem amaran elak kes tahanan lolos berulang

    Dua depot imigresen aktifkan sistem amaran elak kes tahanan lolos berulang

    DEPOT Tahanan Imigresen di Bidor, Perak dan Beranang, Selangor telah diaktifkan sistem amaran bagi memastikan kejadian tahanan meloloskan diri seperti yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, berulang.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata aspek keselamatan di kedua-dua depot berkenaan telah dipertingkatkan memandangkan pusat tahanan sementara itu asalnya merupakan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

    “Semua komandan telah berhubung dengan balai polis berdekatan dan telah mengaktifkan sistem amaran kerana tidak mahu kejadian itu memberi inspirasi kepada (tahanan di) depot yang lain,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

    Dalam kejadian awal pagi tadi, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang dan enam daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Jawi, Nibong Tebal.

    Khairul Dzaimee bagaimanapun menjelaskan bahawa depot tahanan Sungai Bakap itu digunakan jabatan berkenaan untuk menempatkan pelarian yang didapati positif COVID-19. 

    “(Seramai) 528 orang tahanan etnik Rohingya yang ditempatkan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap asalnya ditahan di perairan Langkawi pada 2019 yang kemudian ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi. Namun kem itu ditutup pada 2021 dan pelarian tersebut kemudian dipindahkan ke beberapa depot antaranya di Sungai Bakap,” katanya.

    Mengulas dakwaan kononnya berlaku kematian di depot tersebut sehingga memberi tekanan kepada tahanan, Khairul Dzaimee berkata hanya satu kes kematian kerana sakit biasa direkodkan namun, ia tiada kaitan dengan kejadian meloloskan diri berkenaan.

    Beliau berkata punca kejadian pada awal pagi itu, masih dalam siasatan.

    Dalam pada itu, beliau berkata usaha mengesan saki-baki warga asing yang meloloskan diri masih giat dijalankan pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam.

    Di IPOH, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata tiada sebarang tangkapan terhadap saki-baki tahanan etnik Rohingya yang telah melarikan diri itu di Perak, meskipun sebanyak 243 sekatan jalan raya (SJR) dijalankan di 54 lokasi berdekatan sempadan utara negeri ini.

    Ini termasuk di daerah Kerian, Selama dan Taiping iaitu kawasan yang berhampiran dengan Pulau Pinang dan Kedah.

    “Kita telah melaksanakan Ops Tutup sejak awal pagi tadi selepas kita menerima maklumat daripada kontinjen Pulau Pinang dan Kedah tentang pembolosan yang berlaku di depoh berkenaan.

    “Sehingga kini kita belum dapat mengesan apa-apa tetapi kita akan meneruskan Ops Tutup bagi membantu kontinjen berkenaan (Pulau Pinang dan Kedah) dalam mengesan pelarian Rohingya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemakaian dan Penyematan Pangkat kepada 303 Pegawai dan Anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kontinjen Perak di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh, hari ini.

    Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata pihaknya akan meminta bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) sekiranya perlu untuk membantu mengesan tahanan yang masih lagi bebas.

    “Tidak dinafikan pelarian Rohingya ini akan masuk ke kawasan perkampungan. Saya menyeru kepada pemimpin dan orang kampung jika nampak mereka, sila hubungi balai polis yang berhampiran untuk kita tahan mereka semula,” katanya – Bernama

  • Sedih tengok mayat PATI bergelimpangan atas lebuh raya

    Sedih tengok mayat PATI bergelimpangan atas lebuh raya

    “SEDIH melihat mayat termasuk dua kanak-kanak bergelimpangan atas lebuh raya,” kata seorang penduduk Kampung Sungai Kechil yang juga saksi kemalangan membabitkan tahanan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap di Relau, Bandar Baharu itu.

    Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Atan, 36, itu berkata, dia menyaksikan kejadian berkenaan ketika mahu menghantar anaknya ke sekolah pagi hari ini.

    Ketika itu terdapat enam mayat termasuk dua kanak-kanak bergelimpangan di lebuh raya itu.

    “Sedih sangat melihat kejadian itu terutamanya kanak-kanak tidak berdosa,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, seorang daripada penduduk kampung kemudiannya menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian terbabit.

    Dalam kejadian pada 4.30 pagi hari ini, seramai 528 daripada 663 tahanan di depot itu bertindak melarikan diri.

    Kemalangan itu dikatakan berlaku pada 6.50 pagi di Kilometer (KM) 165 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Nibong Tebal, apabila kumpulan terbabit dikatakan mahu menyeberangi lebuh raya terbabit.

    Mangsa membabitkan dua lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak maut di tempat kejadian.

    Ekoran insiden itu, tahanan lain yang menyaksikan kemalangan berkenaan tidak berani melintas, sebaliknya melarikan diri di tepi lebuh raya sebelum sekumpulan pemuda membantu menahan kesemua mereka di KM168.2 sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Atan berkata, penduduk kampung ketika ini turut berasa takut dan bimbang atas faktor keselamatan selepas mengetahui mengenai insiden pendatang asing tanpa izin (Pati) melarikan diri dari depot yang terletak dalam jarak kira-kira lima kilometer (km) dari kampung mereka.

    Menurutnya, beberapa tahanan yang melarikan diri itu didapati berlari masuk ke dalam kampung itu sebelum menuju ke lebuh raya berhampiran.

    “Sebelum itu, mereka (tahanan) ada yang meminta air kepada beberapa orang penduduk kampung ini kerana sangat dahaga.

    “Oleh itu, saya tidak fikir mereka yang masih bebas boleh pergi jauh dan mereka mungkin bersembunyi berhampiran kampung ini yang saya berharap mereka dapat ditahan segera supaya kampung ini kembali aman,” katanya.

  • Suspek kes tetak 4 ahli keluarga diberkas

    Suspek kes tetak 4 ahli keluarga diberkas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SELEPAS hampir seminggu melarikam diri, suspek kes menetak empat ahli keluarganya dengan sebilah parang ketika menunggu untuk berbuka puasa di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Khamis lalu berjaya diberkas polis hari ini.

    Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai menahan
    suspek pada pukul 11.50 pagi di Kulai.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata,
    suspek merupakan seorang lelaki Melayu berumur 38 tahun itu berjaya dikesan di Jalan Persiaran Indahpura 4, Kulai sebelum ditangkap.

    “Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dalam saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek akan direman di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 April di Mahkamah Majistret di sini.

    Menurutnya, reman itu ntuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat.

    Kejadian pada jam 7.11 malam Khamis itu berlaku ketika empat beranak tersebut menunggu waktu berbuka puasa sebelum suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk dan menetak menggunakan parang.

    Suspek yang berasal dari Felda Air Tawar 3 menetak isterinya berusia 30-an dan ibu mentua berusia 50-an serta dua adik iparnya masing-masing lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 30-an.

    Semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

    Bagaimanapun, dua anak suspek berusia lima dan dua bulan selamat dalam kejadian itu, motif serangan masih dalam siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat.

  • Lelaki lempar batu nisan dalam masjid diburu

    Lelaki lempar batu nisan dalam masjid diburu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ENTAH apa yang merasuk dirinya, seorang lelaki bersikap pelik apabila sanggup mencabut batu nisan di tanah perkuburan, sebelum melemparnya ke dalam sebuah masjid di Sungai Kob dekat Kulim, Kedah, awal pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh, kejadian itu disedari oleh seorang jemaah berusia 60-an, yang terkejut melihat batu nisan berkenaan berada di ruang saf depan Masjid Al-Ittihad sewaktu tiba bagi menunaikan solat subuh kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

    “Siasatan awal mendapati batu nisan itu dicabut dari tanah perkuburan yang terletak di sebelah masjid. Akibat kejadian itu, cermin depan masjid berkenaan turut pecah kerana batu nisan berkenaan dilempar melepasinya.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi tadi. Motif kejadian setakat ini masih disiasat,” katanya.

    Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki Melayu emakai jaket dan seluar jeans biru melakukan perbuatan itu

    Menurutnya, setakat ini pihak polis percaya bahawa kejadian ini tiada kaitan dengan isu agama.

    “Suspek dipercayai merupakan seorang lelaki Melayu yang memakai jaket dan seluar jeans biru ketika melakukan perbuatan itu. Usianya dianggarkan antara 30-an hingga 40-an.

    “Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat terhadap rumah ibadat,” katanya.

    Tambahnya, mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulim, ASP Asnizaf di talian 013-4358399.

  • Lelaki mabuk samun bersenjatakan gergaji ditahan

    Lelaki mabuk samun bersenjatakan gergaji ditahan

    POLIS sudah menahan lelaki dipercayai mabuk yang melakukan samun dengan menggunakan gergaji kecil terhadap pekerja kedai serbaneka di Taman Sentosa, Klang, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam, berdekatan Bandar Puteri.

    “Suspek berusia 45 tahun itu mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dia turut mengaku melakukan jenayah itu sendirian.

    “Difahamkan, suspek berjalan ke Bandar Puteri selepas menyamun dan menggunakan duit tersebut untuk membeli makanan dan arak,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 25 April untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

    Media semalam melaporkan remaja perempuan 19 tahun berdepan detik cemas apabila diacu dengan gergaji kecil oleh lelaki yang dalam keadaan mabuk ketika sedang bekerja di sebuah kedai serbaneka pada 12.08 tengah hari, Ahad lalu.

  • Dua penyelia ditahan SPRM buat tuntutan palsu lebih RM25,000

    Dua penyelia ditahan SPRM buat tuntutan palsu lebih RM25,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan dua penyelia sebuah persatuan sukarelawan beruniform kerana dipercayai mengemukakan tuntutan elaun penugasan palsu berjumlah lebih RM25,000.

    Suspek berusia 38 dan 56 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Seremban, Seremban pada pukul 2 petang ketika hadir memberikan keterangan.

    Harian Metro melaporkan, kedua-duanya direman sehingga 26 April ini bagi membantu siasatan.

    Permohonan reman terhadap kedua-dua lelaki dibuat Pegawai Pendakwa Mohd Khairi Abdul Karim di hadapan Majistret Intan Syafinaz Ros’lin di Mahkamah Khas Trafik Seremban, hari ini.

    Menurut sumber, tuntutan palsu itu membabitkan tuntutan penugasan di sebuah pusat pendidikan di Bandar Baru Enstek, Nilai, sedangkan kedua-duanya tidak hadir bertugas ketika itu.

    Kesalahan dilakukan daripada Mei hingga November 2021.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Dua sindiket tumpas, 258 kilogram dadah RM7.74 juta dirampas

    Dua sindiket tumpas, 258 kilogram dadah RM7.74 juta dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HANYA dalam tempoh tiga hari, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah dan Perlis berjaya menumpaskan dua sindiket melibatkan rampasan dadah seberat 258 kilogram bernilai RM7.74 juta di Kedah dan Pulau Pinang.

    Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan berkata, kejayaan merampas dadah jenis syabu seberat 212 kilogram dan 46 kilogram ganja itu dibuat menerusi dua operasi, melibatkan lima serbuan yang dijalankan antara 16 hingga 18 April lalu.

    Kata beliau, polis turut menahan sembilan suspek berusia antara 31 hingga 52 yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah tersebut.

    Dalam operasi pertama pada 16 April lalu kata Ayob, polis menahan empat suspek di Kepala Batas, Pulau Pinang yang membawa kepada serbuan di satu kawasan perumahan di Sungai Petani.

    “Dari situ, pihak kami telah melaksanakan serbuan di satu kawasan perumahan di Sungai Petani yang membawa kepada penemuan lebih 200 kilogram dadah jenis syabu.

    “Menerusi operasi kedua yang dilancarkan pada 18 April pula, kita menahan lima lagi suspek di Kulim selain merampas beberapa lagi kilogram dadah di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar, hari ini.

    Ayob berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada ejen insurans, mekanik, jurujual dan penganggur dengan tujuh daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine.

    Selain itu katanya, semakan mendapati empat suspek yang ditahan, memiliki rekod lampau dalam kes dadah serta jenayah.

    “Jika terlepas ke pasaran, dadah ini boleh digunakan lebih 1.15 juta penagih. Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan suspek direman selama lima hingga tujuh hari bermula 17 dan 18 April lalu.

    “Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana JSJN setakat ini telah menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM423,000,” katanya.

    Antara aset yang disita termasuk tujuh kenderaan antaranya BMW, Honda Civic serta beberapa motosikal selain wang tunai berjumlah RM4,000.

    Dalam pada itu katanya, sindiket terlibat dipercayai mula aktif dalam kegiatan haram tersebut sejak pertengahan 2021.

    “Modus operandinya adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran menerusi Kelantan, sebelum dibawa menggunakan jalan darat ke negeri-negeri utara termasuk Kedah dan Pulau Pinang.

    “Melalui dua operasi yang dijalankan ini, kita percaya telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja untuk pasaran tempatan terutama di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

  • Empat wanita ditahan terbabit aktiviti pelacuran

    Empat wanita ditahan terbabit aktiviti pelacuran

    POLIS menahan empat wanita warga asing ditahan polis di sebuah premis di Kampung Jambu, Taiping, kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti persundalan di daerah tersebut.

    Harian Metro melaporkan, turut dirampas peralatan yang digunakan untuk kegiatan pelacuran seperti minyak urut, tuala, kondom, wang tunai dan resit bayaran.

    “Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping untuk tindakan lanjut,” menurut satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook rasmi Polis Daerah Taiping, hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 372A dan 372B Kanun Keseksaan, serta Seksyen 55(b) dan Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1959/63.

  • PGA7 tahan 2 lelaki rampas barang seludup bernilai lebih RM200,000

    PGA7 tahan 2 lelaki rampas barang seludup bernilai lebih RM200,000

    BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas barangan seludup bernilai lebih RM200,00 di Pasar Besar Tasek Raja, Pasir Mas malam tadi.

    Rampasan dibuat selepas pihak berkuasa menahan dua lelaki yang bertindak sebagai pemandu serta kelindan lori mendakwa menerima upah sebanyak RM1,800 untuk membawa pelbagai barangan berkenaan termasuk pakaian, selipar dan beg dari pangkalan haram Sungai Golok ke bandar Kota Bharu.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, suspek berusia 29 dan 35 tahun itu ditahan ketika membawa kesemua barangan seludup itu di lokasi tersebut pada pukul 7.30 malam tadi.

    Menurut beliau, ketika anggota membuat rondaan, mereka terserempak sebuah lori dipandu suspek yang dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahanya untuk tujuan pemeriksaan.

    Katanya, hasil pemeriksaan di dalam lori menemui 3,181 pakaian pelbagai jenama, 250 pasang selipar dan tujuh beg disyaki dibawa masuk ke dalam negara melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang.

    “Kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah untuk kebenaran membawa barangan berkenaan, jadi anggota menahan mereka dan merampas lori serta barangan untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tujuan laporan.

    “Kesemua baju, selipar dan beg yang dirampas kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Cap Dagang 2019,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Azahari, penyeludup menggunakan modus operandi dengan membawa masuk barangan terbabit menggunakan perahu melalui jalan sungai dan ditempatkan di lokasi transit, sebelum dibawa menggunakan lori pada waktu malam ketika semua sedang bersedia berbuka puasa.