HASRAT enam lelaki untuk mendapat gaji lumayan bekerja di Kemboja bertukar tragedi apabila dipaksa melakukan aktiviti penipuan melalui telefon sebaik tiba di negara itu.
Polis menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa berusia 19 hingga 36 tahun itu pada 20 dan 22 April lalu yang mendakwa mereka menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
Susulan itu kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri, kertas siasatan kini dibuka dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan enam mangsa berasal dari Padawan itu di Kemboja.
“Siasatan awal mendapati semua mangsa ditawarkan peluang pekerjaan di Kemboja oleh ejen pekerjaan, bagaimanapun selepas tiba berada di negara itu mereka sedar diperdaya selepas dipaksa melakukan kerja di pusat panggilan yang melakukan penipuan menerusi telefon
“Berikutan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak membuka dua kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching, hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd. Azman berkata, Bahagian Urus Setia/Perundangan JSJK Bukit Aman akan mengambil tindakan menerusi Interpol untuk mengesan mangsa di Kemboja, sekali gus menjalankan tangkapan terhadap ejen terbabit.
Menurutnya, trend kes penipuan terbabit kian meningkat mengikut kajian berbanding tahun sebelumnya kerana keadaan amat memerlukan duit untuk meneruskan hidup.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu, sebanyak 666 kes dilaporkan berbanding tempoh sama pada 2021 iaitu 640 kes di mana ia meningkat sebanyak 26 kes atau 27.45 peratus,” katanya.
NIAT seorang lelaki untuk mendapatkan servis membersihkan rumah menjadi pengalaman ngeri, apabila ditipu sindiket penipuan sehingga hampir seluruh simpanan di dalam bank miliknya lesap.
Muhammad Nor Izzudin Hamzah, 32, langsung tidak menyangka dia sendiri akan menjadi mangsa penipuan meskipun sentiasa berwaspada setiap kali membuat transaksi.
Katanya, segalanya bermula apabila dia tertarik dengan satu iklan berbayar mengenai servis untuk membersihkan rumah dalam Facebook, dan terus menekan pautan ke aplikasi WhatsApp yang disediakan untuk bertanya mengenai servis berkenaan pada Jumaat lalu.
“Setelah kami berbincang, orang yang dihubungi itu meminta saya memuat turun aplikasi yang disediakan atas nama My Maid. Ketika itu, saya tidak syak apa-apa kerana saya fikir kalau ditipu pun, mungkin hanya akan rugi RM20 sahaja untuk deposit servis itu.
“Apabila cuba melakukan transaksi, aplikasi berkenaan meminta saya memasukkan kata laluan Maybank2U saya. Namun laman itu agak pelik daripada Maybank2U yang biasa. Cuma ketika itu saya tidak sedar. Apabila saya mengisi kata laluan, transaksi itu gagal,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Izzudin turut berkongsi pengalaman di akaun Facebook miliknya.
Bagaimanapun, perunding Takaful itu mencuba lagi untuk membuat transaksi, namun gagal sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada individu yang dihubungi menerusi WhatsApp. Mereka bersetuju untuk membuat pembayaran secara tunai selepas mendapatkan servis tersebut.
“Kira-kira dua jam sekitar jam 4.25 petang, saya mendapat satu notifikasi yang mengatakan saya membuat transaksi. Kebiasaannya kalau kita membuat transaksi dalam jumlah yang besar, sepatutnya kita perlu memasukkan kod transaksi TAC. Tetapi kali ini, tiada permohonan dapatkan TAC.
“Saya menyangka ada hutang atau sebagainya, tetapi bila tengok kepada nama di notifikasi itu, saya kenal pun tidak. Saya bingung dan syak sesuatu tidak kena dan terus hubungi Maybank untuk menyekat semua transaksi,” ujarnya.
Namun, dalam beberapa minit Izzudin mendapat dua lagi notifikasi mengesahkan dia melakukan transaksi lain sebelum menyedari hampir seluruh duit simpanannya dalam akaun bank itu lesap, dengan anggaran kerugian sebanyak RM18,000.
Izzudin membuat laporan polis, dan masih berurusan dengan pihak bank bagi mendapatkan kenyataan butiran lengkap transaksi berkenaan.
“Hampir semua duit saya hilang termasuk duit KWSP yang baru sahaja masuk dua hari sebelum itu, serta komisyen bulanan saya. Yang tinggal hanya RM20 sahaja,” luahnya lagi.
Kecewa dengan kejadian itu, Izzudin mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang transaksi, namun Izzudin lebih berharap agar bank meningkatkan kempen kesedaran mengenai modus operandi sindiket penipuan.
“Sistem bank sudah cukup bagus, namun tidak semua pelanggan celik teknologi dan peka dengan situasi semasa dan kadang-kadang kita terlepas pandang. Jadi kesedaran perlu dirancakkan lagi.
“Seperti contoh, kes seperti saya ini, ada bank yang buat video kesedaran namun hanya dimuat naik di laman YouTube mereka sahaja. Kalaulah mereka iklankan video tersebut di media sosial, sekurangnya boleh capai lebih ramai pengguna.
“Penipu atau scammer ini bijak dengan modus operandi mereka, namun bank perlu satu langkah lebih kehadapan dalam menyalurkan maklumat kepada pelanggan dalam memastikan keselamatan dan peringatan kepada pelanggan,” katanya.
PERSELISIHAN faham seorang murid tahun tiga dengan rakan sekelasnya menyebabkan dia cedera dipercayai dibelasah oleh bapa rakannya itu.
Kejadian dikatakan berlaku di luar pagar sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Terengganu pada Ahad lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, kejadian pada pukul 1 petang itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan rakannya.
Menurut beliau, sebelum kejadian, mangsa dikatakan bermain sebelum bergaduh dengan rakan sekelasnya di luar pagar sekolah.
Katanya, mangsa dikatakan telah menampar rakan sekelasnya itu dan ketika bapa rakannya datang, dia telah mengadu kepada bapanya mengatakan dia ditampar oleh mangsa.
“Lelaki berkenaan kemudian dikatakan bertindak mencekik dan mengangkat mangsa lalu dihempas ke bawah menyebabkan kepala mangsa mengalami luka kecil dipercayai terkena batu,” ujarnya ketika dihubungi hari ini seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurut Abdul Rahim, pihak sekolah telah menghubungi bapa mangsa bagi memaklumkan kejadian itu dan bapa murid berkenaan datang mengambil anaknya di sekolah sebelum membuat laporan polis.
Beliau berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
Ujarnya, kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.
SEORANG pekerja balak warga Indonesia yang dipercayai membakar kereta peronda polis ketika mengamuk di Kampung Selengkong Nenasi, Pekan, pada Sabtu direman tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika dihubungi berkata, lelaki berusia 30-an itu direman bermula hari ini sehingga 1 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan sebuah kereta peronda polis jenis Proton Waja terbakar angkara tindakan seorang pekerja balak yang mengamuk dalam kejadian sekitar 11 malam pada 23 April.
Polis sebelum itu menerima panggilan daripada penjaga tanah matau balak berhubung seorang lelaki sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi, sebelum tiga anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.
Suspek juga telah bertindak agresif terhadap anggota polis tersebut dengan memukul dan mencederakan dua anggota sebelum bertindak masuk ke rumah kongsi serta mengambil satu objek menyala seperti api dan membalingnya ke dalam kenderaan polis.
Susulan itu, polis melaksanakan Op Kesan bagi menjejaki suspek sehingga berjaya diberkas sekitar 4.20 petang semalam berhampiran lokasi kejadian. – Bernama
TUN Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan Putrajaya harus menyimpan wang tunai dan barangan mewah yang dirampas dalam serbuan ke atas pangsapuri yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak pada 2018, jika bekas perdana menteri itu tidak dapat membuktikan ia sebenarnya adalah hadiah dan tidak dibeli dengan dana 1MDB.
Dalam satu siri ciapan Twitter yang memperincikan apa yang digambarkan sebagai pergerakan dana yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara itu, Mahathir berkata tiada bukti siasatan menyeluruh sudah dijalankan.
“Jadi dakwaan mengatakan ia adalah hadiah diterima,” katanya, merujuk kepada berbilion wang yang Najib dakwa diterima daripada keluarga diraja Saudi.
“Kemudian ada wang dan barangan mahal yang ditemui di Pavilion. Pada mulanya, polis mendakwa wang dan barangan itu dibeli dengan wang 1MDB. Kemudian kerajaan mendakwa ia tidak dapat membuktikan wang tunai dan pembelian barang mewah itu adalah hasil wang yang dicuri daripada kerajaan – terutamanya dari 1MDB.
“Maka diputuskan wang dan hadiah itu dikembalikan kepada Najib kerana ia adalah hadiah. Seperti yang dinyatakan di atas, pengesanan jejak sumber wang itu tidak menyeluruh. Kemungkinan besar ia bukan hadiah,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.
Pada 8 November tahun lalu, kerajaan gagal dalam usaha pelucutan barangan yang dirampas tersebut, di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, Putrajaya tidak dapat membuktikan hubungan langsung antara barangan tersebut dan dana yang diperolehi secara haram.
Gambar fail rampasan barangan mewah milik Najib Razak dan keluarga.
Sebelumnya, pada Mei, kerajaan turut gagal dalam dalam membuktikan sejumlah RM114 juta yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib adalah sebahagian daripada dana yang dicuri dari 1MDB.
Najib berkata beliau menyimpan wang itu bagi pihak UMNO.
Pada Ogos tahun lalu, MalaysiaNow melaporkan RM114 juta sudah dipulangkan kepada Najib walaupun tidak dapat disahkan pada masa itu sama ada ahli Parlimen Pekan tersebut sudah memulangkan wang tersebut kepada UMNO.
“Jika Najib tidak dapat membuktikan bahawa barangan itu adalah hadiah, mereka tidak sepatutnya memulangkan wang dan hadiah itu kepada Najib,” kata Mahathir.
Kerajaan harus kekal simpan wang dan hadiah tersebut sehingga sumbernya dibuktikan.”
Beliau turut menambah bahawa tiada siapa tahu ke mana baki wang itu dibelanjakan dan ada yang berkata ia diambil oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
“Saya syak (mengapa) letakkan kesalahan kepada Jho Low adalah kerana dia tidak dapat dihubungi. Kerana itu mustahil untuk siasatan dijalankan ke atasnya,” katanya.
IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sedang menyiasat berhubung kesahihan satu hantaran di Facebook mendakwa tiga pegawainya bersikap kasar terhadap orang awam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung dakwaan itu.
“Pada Rabu lalu, satu hantaran dibuat oleh seorang pemilik akaun di Facebook menyatakan tiga pegawai di IPD Batu Pahat bersikap kasar terhadap orang awam.
“Pada hari sama juga, polis menerima dua laporan daripada pihak yang terkesan akibat hantaran dimuat naik berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Justeru Ismail berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua pihak bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan orang awam tersebut.
“Malah, tindakan oleh jabatan sedia diambil sekiranya mendapati terdapatnya salah laku daripada pegawai-pegawai berkenaan,” katanya.
Dalam hantaran tersebut, seorang pemilik akaun Facebook menulis ‘Balai Polis IPD Batu Pahat ada tiga orang polis yang bermasalah. Seorang Inspektor polis Melayu suka berbahasa kasar ‘bodoh’ terhadap orang awam.
“Polis Cina atasan dia pula suka-suka marah orang awam ‘keyboard warrior’ tanpa menyiasat apa sebenarnya berlaku,” katanya melalui hantaran itu.
Malah, pengguna itu mendakwa, seorang lagi pegawai berketurunan India berpangkat inspektor pula sentiasa enggan menerima panggilan orang awam sehingga menimbulkan kesusahan.
Justeru, dalam hantaran sama, lelaki itu meminta Ketua Polis Balai Batu Pahat sentiasa memantau polis di bawahnya agar tidak melepasi batas terhadap orang awam.
POLIS Terengganu menahan dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dengan beberapa kes pemerasan menggunakan panggilan video (VC) lucah di negeri ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata tangkapan pertama menerusi Op Cantas VC itu membabitkan pasangan suami isteri masing-masing berumur 27 tahun dan 23 tahun di Sungai Petani, Kedah pada 10.15 pagi, Sabtu lepas.
“Susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki berumur 39 tahun ditahan di Baling, Kedah dan polis merampas beberapa telefon bimbit, iPad dan juga beberapa keping kad bank dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu.
“Modus operandi suspek adalah berkenalan dengan mangsa melalui aplikasi seperti Mi Chat dan mengajak mangsa membuat VC lucah dan sebaik panggilan ditamatkan, suspek terus mengugut mangsa dan menunjukkan video yang telah dirakam semasa VC,” katanya pada sidang media di Terengganu, hari ini.
Beliau berkata di Terengganu, pihaknya menerima tiga laporan mangsa terbabit dan setiap mereka dikatakan diugut untuk melakukan beberapa transaksi wang tunai ke akaun bank suspek bagi memastikan video lucah mereka tidak disebarkan di laman sosial.
“Jumlah transaksi tak sama, ada yang sekali masukkan hanya RM30, esoknya suspek minta lagi dan ada yang sudah lakukan transaksi hingga RM2,000,” katanya yang memaklumkan semua mangsa adalah lelaki termasuk ada yang bekerja dalam sektor awam.
Rohaimi berkata, sindiket pemerasan itu dipercayai baru beroperasi pada tahun ini dan semua laporan yang diterima di negeri ini melibatkan kejadian sepanjang April sahaja, serta beliau percaya masih ramai mangsa terlibat enggan membuat laporan kerana ia melibatkan maruah pengadu.
“Siasatan lanjut kita mendapati ada empat lagi kes berkaitan dengan kes ini di luar Terengganu dan kita sudah menghubungi kontinjen terbabit untuk bekerjasama,” katanya.
Sementara itu, Rohaimi turut memaklumkan bahawa jumlah kes jenayah komersial bagi empat bulan pertama tahun ini di Terengganu menunjukkan peningkatan yang sangat ketara.
“Dalam tempoh sama tahun lepas kerugian direkodkan adalah lebih RM500,000, tapi bagi tahun ini sudah mencecah hampir RM4.5 juta.
“Kita dah cukup bagi pendedahan tentang Macau scam dan love scam ini tapi masih ramai yang terjebak dan ia banyak melibatkan pesara, kakitangan awam dan golongan profesional…ada pesara guru yang kerugian sehingga RM736,000 dan ada pesara kena tipu RM532,000,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar orang ramai ‘berkawan’ dengan polis dan merujuk kepada pihak berkuasa jika mendapat panggilan yang mencurigakan bagi mengelakkan daripada ditipu.- Bernama
JABATAN Integriti Pematuhan Standard (JIPS) akan menyiasat seorang pegawai polis wanita yang didakwa buat live TikTok sewaktu serbuan di sebuah pusat hiburan sehingga video berkenaan tular dalam media sosial.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya kini meneliti bila dan di mana siaran langsung itu dilakukan.
“Saya sudah arahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran secara langsung semasa operasi itu.
“Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok itu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Terdahulu, seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.
Video berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.
Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan JIPS hari ini.
“JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya,” katanya.
Pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.
Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan untuk menarik perhatian dan mendapat tontonan yang tinggi oleh masyarakat dan netizen.
Dalam perkara sama, tujuan larangan itu dikeluarkan bagi mengelak isu persepsi negatif dan mengundang pelbagai kritikan yang boleh menjatuhkan imej PDRM.
Tabiat atau aktiviti memuat naik video tidak wajar dilakukan pegawai atau anggota polis semasa berpakaian seragam dalam waktu bertugas atau selepas bertugas kerana pakaian berkenaan adalah kebanggaan pasukan dan haruslah digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
DUA lelaki yang sedang memunggah rokok seludup terkejut dan tidak sempat melarikan diri apabila berkas Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dalam satu satu operasi di sebuah premis Taman Sri Permai, Kluang, semalam.
Serbuan pada pukul 2 petang itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam selepas mendapat maklumat dan hasil risikan.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, semasa diserbu kedua-dua suspek sedang sibuk memunggah bungkusan besar yang mengandungi rokok seludup.
“Kedua-dua suspek masing-masing berusia 32 tahun memunggah bungkusan itu dari kenderaan jenis Toyota Harrier dan Lexus ke dalam premis yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok tidak bercukai.
“Hasil siasatan awal ke atas suspek mengaku baru sahaja beroperasi selama tempoh tiga bulan dan bekalan rokok juga dipercayai didapati melalui negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 32 tahun ditahan dan mereka mengakui mendapat bekalan rokok seludup dari Indonesia dan menjadikan premis tersebut sebagai tempat penyimpanan sebelum diagihkan sekitar Kluang
Katanya, mereka mengakui bekalan rokok itu diperoleh menerusi jalan laut dari Indonesia sebelum diagihkan di sekitar daerah Kluang.
Beliau memberitahu, rampasa dadah membabitkan RM216,480 manakala keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM782,921.
Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai disekitar daerah kluang,” katanya.
Beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.
KESERONOKAN 166 pengunjung termasuk pekerja premis hiburan di Taman Ekoflora, Setia Indah, Johor Bahru terbantut apabila diserbu pihak polis malam tadi.
Mereka yang berusia antara 20 hingga 45 itu ditahan kerana melanggar standard operasi prosedur (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa dalam peralihan fasa endemik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, menerusi operasi itu yang bermula jam 11.30 malam, turut ditahan seorang lelaki kerana bertindak menghalang penjawat awam melakukan tugas.
“Tindakan kompaun berjumlah RM166,000 telah dikenakan terhadap kesemua mereka di bawah Peraturan (17) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.
Kompaun berjumlah RM166,000 dikenakan terhadap kesemua mereka di bawah Peraturan (17) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.
“Individu yang ditahan pula diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi kesemua SOP ditetapkan kerajaan dalam tempoh PPN ketika ini.
“Pada masa ini, tiada sebarang pengumuman berhubung kebenaran diberikan kepada pusat hiburan untuk kembali beroperasi, mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang salah laku boleh menghubungi bilik gerakan Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-2254074.