Category: Jenayah

  • Polis klasifikasi penemuan mayat dengan kaki terikat besi sebagai kes bunuh

    Polis klasifikasi penemuan mayat dengan kaki terikat besi sebagai kes bunuh

    KEJADIAN seorang lelaki Indonesia yang mayatnya dijumpai mati dalam keadaan kaki kiri diikat dengan rantai besi pada sebuah kerusi di kawasan parkir di sebuah apartmen di Jelutong, Pulau Pinang pada Jumaat lalu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, perkara itu berikutan terdapat beberapa perkara yang mencurigakan dalam kes tersebut khususnya berhubung penggunaan rantai besi pada kaki mangsa.

    Selain itu ujar beliau, tindakan rakan serumah mangsa yang melarikan diri sejurus kejadian itu juga menjadi tanda tanya.

    ”Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, kita mengklasifikasikan semula kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Pada 22 April lalu, mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemukan dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di apartment Eastern Court, Jelutong, Pulau Pinang.

    Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartment tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

    Sementara itu Soffian berkata, polis turut menahan dua lelaki termasuk rakan serumah mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

    Ujar beliau, kedua-dua lelaki merupakan warga tempatan yang mana suspek pertama berusia 52 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Penang pukul 12.10 tengah malam tadi manakala suspek kedua berusia 45 tahun ditahan pukul 1.30 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Lintang Air Itam.

    ”Kedua-dua mereka direman sehingga 29 April ini bagi membantu siasatan dan kita juga berjaya mengesan rakan serumah mangsa yang melarikan diri selepas kejadian tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu tambah beliau, bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di kepala dan badan akibat jatuh dari tempat tinggi selain mangsa turut didapati positif Covid-19.

    “Bagaimanapun, laporan bedah siasat tidak menjumpai sebarang tanda-tanda pergelutan, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Polis rampas mercun seludup RM30,000 selepas kejar van 70km

    Polis rampas mercun seludup RM30,000 selepas kejar van 70km

    POLIS  merampas mercun seludup bernilai RM30,000 selepas menahan sebuah van di tepi jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Keladi di Hulu Besut, di Jertih pada pukul 11.15 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata terdahulu van itu dikejar oleh enam kereta peronda polis (MPV) sejauh 70 kilometer dari Pasir Mas, Kelantan sebelum polis berjaya menahan seorang suspek pada pukul 11.15 pagi, namun seorang lagi suspek telah meloloskan diri.

    Beliau berkata kejadian bermula apabila anggota polis dari cawangan MPV Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas yang melakukan tugas ronda cegah jenayah melihat sebuah van berwarna putih yang mencurigakan, lalu pemandunya diarahkan berhenti untuk pemeriksan.

    “Suspek sebaliknya bertindak memecut kenderaannya ke arah Tanah Merah melalui Machang dan Pasir Putih, Kelantan sebelum memasuki daerah Besut,” katanya pada sidang media di IPD Besut, di sini hari ini.

    Katanya van dipandu suspek yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu turut melanggar sebuah kenderaan orang awam di bandar Jerteh ketika cuba meloloskan diri.

    Abdul Rozak berkata keseluruhan rampasan termasuk van itu dianggarkan bernilai RM120,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

    — BERNAMA

  • Klip video raya: Aliff Syukri beri keterangan hampir 5 jam

    Klip video raya: Aliff Syukri beri keterangan hampir 5 jam

    USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hari ini memberi keterangan hampir lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Putrajaya berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikatakan kontroversi.

    Beliau dengan memakai kot kelabu serta berseluar hitam tiba di SKMM pada pukul 9.58 pagi dan keluar pada pukul 2.41 tengah hari.

    Ditemui pemberita usai memberi keterangan, Aliff Syukri memohon kemaafan daripada masyarakat yang tersinggung dengan video berkenaan dan meminta supaya tidak melibatkan keluarganya dalam perkara itu.

    “Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, terima kasih kepada SKMM kerana memberi layanan yang baik. Saya mohon maaf kepada semua masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya,” katanya.

    Klip video raya berkenaan memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut, mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

    Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata SKMM telah memberi notis kepada individu yang dikenal pasti dalam video berkenaan untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

    Menurut Annuar, penelitian peringkat awalan SKMM mendapati ada sebab untuk siasatan dilaksanakan dan susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA

  • Penjawat awam minta habuan RM100,000 projek sanitasi ditahan

    Penjawat awam minta habuan RM100,000 projek sanitasi ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam lelaki di Putrajaya pada Jumaat lepas kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000.

    Sumber berkata, suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah agensi kerajaan itu disyaki meminta habuan berkenaan sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja berkaitan sanitasi di pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri di Johor, baru-baru ini.

    Menurutnya, suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun ini bagi kerja berkaitan sanitasi namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000.

    “Suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan lelaki tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, lelaki tersebut direman selama empat hari yang berakhir pada hari ini dan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000. – BERNAMA

  • Polis tahan suami isteri seludup mercun di Pasir Mas

    Polis tahan suami isteri seludup mercun di Pasir Mas

    POLIS menahan sepasang suami isteri selepas disyaki menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM17,660 menggunakan kereta jenis Proton Saga di Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, Kelantan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, polis peronda mengesan pasangan berumur 38 dan 42 tahun itu berdekatan lampu isyarat di Kampung Lati-Lubuk Jong kira-kira 10 malam sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

    Beliau berkata, ketika pemeriksaan di dalam kereta didapati ada puluhan bungkusan dan kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta.

    “Kita dapati terdapat pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam kereta tersebut termasuk mercun bola, Sky Thunder, Cracker Ball, mercun mancis dan mercun papan.

    “Kesemua mercun itu disyaki diperoleh dengan cara menyeludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Nasaruddin berkata, siasatan juga mendapati nombor plat kenderaan yang digunakan oleh suspek tidak didaftarkan.

    “Kedua-dua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan jenis Proton Saga itu dianggarkan bernilai RM72,660,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua mercun tersebut kemungkinan untuk pasaran di sekitar Kota Bharu kerana terdapat permintaan yang tinggi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. – BERNAMA

  • Jenayah pecah rumah dijangka meningkat Aidilfitri tahun ini

    Jenayah pecah rumah dijangka meningkat Aidilfitri tahun ini

    Oleh NURUL IZZATI ZAINI

    KES jenayah pecah rumah dijangka meningkat pada musim Aidilfitri tahun ini susulan peralihan ke fasa endemik.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di seluruh negara sejak dua tahun lepas telah menyebabkan penurunan kes jenayah pecah rumah pada musim perayaan.

    “Pada 2019 sebanyak 28 kes jenayah pecah rumah dicatatkan di daerah Sentul dan jumlah ini turun kepada 19 kes pada 2020. Pada 2021, hanya 14 kes dicatatkan.

    “Setelah dua tahun orang ramai tidak dapat pulang ke kampung, kita jangka tahun ini banyak rumah yang akan ditinggalkan kosong (ketika musim perayaan) dan ini merupakan satu cabaran bagi pihak polis untuk memastikan setiap rumah tersebut selamat dan tidak dipecah masuk pencuri,” katanya ketika ditemu bual Bernama.

    Beh berkata, usaha pihak polis menjalankan operasi secara berkala bagi membanteras jenayah pecah rumah akan bermula dengan Kempen Rumah Selamat.

    Kempen sempena musim Aidilfitri itu dilancarkan hari ini seluruh negara.

    Kempen Rumah Selamat ialah pencegahan jenayah melalui rondaan oleh anggota PDRM di kawasan taman-taman perumahan yang didaftarkan sepanjang musim perayaan.

    Seramai 106 pegawai polis akan terlibat dalam kempen ini bagi daerah Sentul dan antara tempat yang disasarkan ialah Jinjang, Kepong dan Sentul.

    “Hebahan telah pun dibuat kepada komuniti setempat bagi menggalakkan orang ramai mengisi borang balik ke kampung. Polis akan meronda sekurang-kurangnya sekali sehari bagi setiap rumah yang didaftarkan.

    “Borang tersebut boleh diperolehi secara fizikal di Kawasan Rukun Tetangga terdekat atau melalui atas talian menerusi Facebook dan WhatsApp,” katanya.

    Beh turut berpesan kepada orang ramai yang hendak pulang ke kampung supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memastikan rumah dikunci dengan baik, memasang lampu di sekeliling rumah serta memasang kamera litar tertutup jika berkemampuan.

    “Yang atas jalan raya juga diingatkan supaya berhati-hati, jangan pandu laju lebih-lebih lagi ketika hari hujan. Ingat, walaupun kita dibenarkan beraya di kampung, jaga SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung COVID-19,” katanya.

    Sementara itu, seorang penduduk Taman Ehsan Kepong, Ahmad Nabil Ismail, 27, berkata beliau dan keluarga telah pun mengisi borang Kempen Keluarga Selamat sebagai antara persiapan pulang ke kampung pada Mei ini.

    Ahmad Nabil berkata maklumat tentang kempen tersebut diketahui daripada kumpulan WhatsApp komuniti setempat di kawasan rumahnya.

    “Kes jenayah pecah rumah beberapa kali pernah terjadi di kawasan rumah saya. Sebab itulah saya mengisi borang ini sebagai langkah berjaga-jaga sebelum pulang ke kampung untuk jangka masa yang lama,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Manakala seorang penduduk Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Nur Aqilah Aina Aizhar, 26, berkata beliau tidak pernah mendengar tentang kempen ini dan berharap lebih banyak pendedahan dilakukan.

    “Ini kali pertama saya mendengar tentang kempen ini. Lagi pun kebiasaannya jiran tetangga di sini saling bantu-membantu tengokkan rumah, jadi tidak berapa risau sangat apabila pulang ke kampung,” katanya yang dihubungi Bernama. – BERNAMA

  • Lari dari depot tahanan:Lapan lagi berjaya ditahan semula

    Lari dari depot tahanan:Lapan lagi berjaya ditahan semula

    SERAMAI lapan lagi tahanan pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Rabu lalu berjaya ditahan semula hari ini.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, kini tinggal 61 lagi tahanan yang masih diburu polis.

    Beliau memberitahu, Jumlah tahanan yang masih belum dijumpai itu makin berkurang berbanding 69 orang pada pukul 6 pagi tadi.

    “Jumlah tahanan belum ditemui melibatkan 51 lelaki, enam perempuan, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

    “Bagaimanapun, seramai 467 tahanan daripada keseluruhan 528 tahanan yang meloloskan diri dari depot tahanan itu telah ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar harian.

    Tambah beliau, seramai lapan tahanan iaitu lapan lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang ditempatkan di depot berkenaan ketika ini.

    Sebelum ini, media melaporkan polis giat memburu baki 69 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Rabu lalu.

    Pada Rabu lalu, seramai kira-kira 700 tahanan dari Depot Imigresen Sementara Relau melarikan diri dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi.

    Daripada jumlah itu, enam tahanan yang cuba melintas di Kilometer 165 Lebuhraya Utara- Selatan maut dilanggar kenderaan dalam kejadian lebih kurang 6.50 pagi.

    Mangsa maut terdiri daripada masing-masing dua lelaki dan wanita dewasa, manakala masing-masing seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki.

  • Hassan kesal siasatan SPRM terhadap Nazlan

    Hassan kesal siasatan SPRM terhadap Nazlan

    AHLI Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim kesal dengan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Berikut adalah kenyataan penuh Ahli Parlimen Pasir Gudang itu:

    Saya Hassan Abdul Karim seorang ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memantau SPRM berasa kesal terhadap campurtangan SPRM mengganggu kebebasan badan Kehakiman dengan tindakan SPRM melakukan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Yang Arif, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab untuk sama-sama mempertahankan kebebasan badan kehakiman Malaysia. Hakim-hakim Mahkamah di Malaysia mesti dilindungi dari tindakan sewenang-wenang pihak Eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.

    Apa yang dilakukan oleh SPRM sekarang terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, seorang hakim Mahkamah Rayuan Malaysia bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahaan kuasa antara badan eksekutif dan juga badan kehakiman, tetapi ia juga merupakan satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

    Tidak dinafikan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, hakim-hakim yang sedang berkhidmat boleh dilucutkan jawatannya jika berlaku salah laku, termasuk kesalahan bersifat jenayah seperti rasuah. Tetapi ada kaedahnya yang khusus di mana tindakan sedemikian boleh dilakukan iaitu melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk oleh Kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kes Tribunal Bebas yang berkaitan pemecatan Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara adalah satu contoh.

    SPRM perlu menyedari bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri. SPRM tidak boleh perlakukan sesuka hati ke atas seorang Hakim Mahkamah hanya berdasarkan wujudnya satu laporan rasmi polis dilakukan ke atas hakim tersebut.

    Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah bagaimana seorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya.

    Sekiranya tindakan SPRM sekarang menyiasat hakim dengan sesuka hati berterusan maka akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim untuk melaksanakan peranan dan tugas mereka di mahkamah.

    Perlu difahami sekarang telah wujud persepsi bahawa tindakan ke atas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ini ada kaitannya dengan keputusan Hakim tersebut ke atas kes pertuduhan terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Kes SRC International di mana Hakim Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda lebih RM210 juta terhadap Najib Razak.

    SPRM sewajarnya tidak terlibat dengan usaha balas dendam pihak-pihak tertentu terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    SPRM peru sedar bahawa terdapat usaha yang konsisten pihak tertentu yang tindak-tanduk mereka boleh dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan kehakiman apabila terdapat cubaan dilakukan untuk mencemarkan integriti hakim yang membicarakan kes Najib Razak dengan tujuan keputusan kes SRC International itu dibatalkan dan satu perbicaraan semula diadakan.

    Perlu diingatkan bahawa keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Kes SRC International yang mensabitkan kesalahan Najib Razak telah disahkan oleh sebuah panel tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan.

    Kepada SPRM, saya menyeru supaya memandang kepada diri SPRM sendiri. Beberapa laporan polis secara rasmi telah dibuat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki berkait isu pembelian saham yang mencurigakan yang menimbulkan kemungkinan berlaku satu kesalahan di bawah Akta SPRM.

    Saya berasa kesal sehingga ke hari ini, tidak ada siasatan dilakukan ke atas Tan Sri Azam Baki. Malah cadangan dari JKMR yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim agar Tan Sri Azam Baki direhatkan dengan bercuti supaya satu siasatan bebas dapat dilakukan langsung tidak dihiraukan oleh SPRM.

    SPRM perlu sedar bahawa tugas JKMR di mana saya salah seorang anggota Jawatankuasa tersebut adalah untuk memantau perjalanan SPRM. Malahan di bawah Seksyen 14 Akta SPRM dinyatakan dengan jelas bahawa JKMR bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam segala hal tentang rasuah di Malaysia ini.

    Maka atas tanggungjawab inilah saya membuat pernyataan ini untuk menasihati SPRM supaya menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan amanah dan mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

  • 4 lelaki termasuk jurulatih renang ditahan edar syabu RM10.3 juta

    4 lelaki termasuk jurulatih renang ditahan edar syabu RM10.3 juta

    POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang yang disyaki mendalangi sindiket penyeludupan dan pengedaran syabu, dalam serbuan di Selangor dan Johor pada 22 dan 23 April lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis turut merampas syabu seberat 287 kilogram yang dianggar bernilai kira-kira RM10.3 juta dalam serbuan itu.

    Beliau berkata, kesemua mereka yang berumur 25 hingga 29 tahun itu ditahan dalam empat serbuan dengan dua daripadanya ditahan di kediaman masing-masing di Puchong, di sini manakala dua lagi di sekitar Johor Bahru.

    Katanya, siasatan awal polis mendapati syabu itu diseludup masuk ke dalam negara menerusi sempadan di utara negara menggunakan kapal, dan ia akan “transit’ Lembah Klang terlebih dahulu sebelum dipasarkan ke negara jiran melalui sempadan di selatan negara, dan sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.

    “Syabu yang dirampas menerusi kerjasama JSJN Bukit Aman, JSJN kontinjen Selangor dan JSJN Johor itu dipercayai boleh digunakan oleh 1.4 juta penagih dadah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

    Ayob Khan berkata, polis turut menyita pelbagai jenis aset melibatkan kenderaan dan wang tunai yang digunakan sindiket itu yang dianggar bernilai RM173,000.

    Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua lelaki terbabit negatif dadah dan tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod dalam kes dadah dan jenayah.

    “Keempat-empat mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Warga emas antara 33 individu ditahan judi lumba kuda

    Warga emas antara 33 individu ditahan judi lumba kuda

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 33 individu termasuk seorang wanita yang terlibat dalam kegiatan judi lumba kuda ditahan polis menerusi serbuan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di Johor Bahru semalam.

    Sebanyak 37 buah telefon bimbit, enam kertas catit taruh, 19 keping surat khabar bertulisan Cina mengandungi jadual perlumbaan kuda dan wang tunai sebanyak RM29,981 dirampas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 36 hingga 76 tahun itu ditangkap dalam Op Dadu pada pukul 3.15 petang.

    “Sepasukan polis dari bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah membuat serbuan di Taman Ungku Tun Aminah.

    “Dalam serbuan itu, polis telah menahan seramai 32 lelaki dan seorang wanita tempatan yang berusia 36 hingga 76 tahun dalam Op Dadu yang diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Shahurinain berkata, kesemua yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 6(1) dan 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

    Semua suspek berusia lingkungan 36 hingga 76 tahun itu ditangkap dalam Op Dadu pada pukul 3.15 petang.

    “Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) boleh dihukum dengan denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali manakala bagi Seksyen 6(3) boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM200,000 dan juga akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan.

    “Polis Johor akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian bagi mengekang dan membanteras kegiatan ini daripada berleluasa,” katanya.

    Tambahnya, orang awam mempunyai maklumat yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian, boleh menghubungi bilik gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074.